KUALA LUMPUR, 28 Februari 2024 — Malaysia dan Uzbekistan menyatakan komitmen untuk memperhalusi kerjasama terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal-hal strategik bagi kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov pagi tadi.
“Dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, kami berbincang mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dua hala Malaysia-Uzbekistan dan juga isu-isu serantau.
Pada masa sama, kami turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), situasi di Gaza serta perkembangan di Afghanistan.
“Saya percaya pertemuan (ini) akan memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan,” katanya.
Saidov kini dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari ke Malaysia mulai Selasa dan ia merupakan lawatan pertama Saidov ke negara ini sebagai Menteri Luar.
Pada 2023, Uzbekistan menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia bagi rantau Asia Tengah.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan bernilai RM451.9 juta (US$94.03 juta), iaitu peningkatan sebanyak 30.9 peratus berbanding 2022.
— BERNAMA