TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
WACANA STRATEGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT)
5 JANUARI 2024 | 10.00 PAGI
PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC), KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa usolli wassallim ‘ala rasulil kareem.
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,
Menteri Pendidikan Tinggi;
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud,
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Pertama, izinkan saya mengucap setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama dalam acara yang dibuat cara yang amat terburu-buru tapi sangat berkesan. Saya terharu kerana komitmen dan kehadiran dari seluruh negara walaupun notis yang singkat. Ini menunjukkan kepekaan, komitmen saudara-saudara terutama dalam kalangan pentadbir, penjawat awam, intelektual, professor dan pimpinan universiti di seluruh negara. Saya ucap terima kasih dan amat hargai.
- Tradisi ini kita alu-alukan. Kita letakkan Menteri, Timbalan Menteri dan KSU tapi tidak bermakna mereka menguasai semua permasalahan. Jadi untuk memulakan tugas mereka, saya seringkali menganjurkan supaya dalam minggu-minggu pertama, mereka harus gunakan ruang, memberikan sedikit penjelasan dan mendengar keluhan, pandangan, kritikan dan usul yang dikemukakan oleh saudara-saudara yang sudah lama bertapak di dalam dunia pendidikan tinggi. Saudara Khalid Nordin telah memberikan beberapa gagasan dan anjuran di antaranya untuk kepentingan kebajikan mahasiswa dan saya harap akan diteruskan oleh Saudara Zambry.
- Permasalahannya rencam. Bila dengar tadi kuliah utama oleh Menteri, saya mengimbau juga permasalahan. Apa permasalahan identiti, falsafah pendidikan, keperluan negara, keperluan budaya. Kemudian desakan dan tuntutan semasa yang semuanya perlu ditangani dalam dunia pendidikan, luar biasa. Sebab itu kalau saudara tanya di antara pengalaman saya yang saya anggap sangat mengesankan adalah tugas saya mengajar bermula di Yayasan Anda, kemudian di Universiti Georgetown, Washington DC dan kemudian menjadi Menteri Pendidikan Malaysia. Satu pengalaman yang bukan sahaja mengesankan tetapi mendewasakan saya, memberikan kefahaman yang lebih baik dengan begitu banyak wacana dan pendedahan kepada dunia ilmu yang bertukar dengan kadar yang sangat pesat.
- Sebab itu intisarinya seperti mana saya ucapkan tahun lalu kepada rakan-rakan di Kementerian Pendidikan, ia seolah-olah kita mahu menggapai langit, meneroka alam pemikiran baru, disiplin yang tidak terjangka pada awalnya, disinggung tadi artificial intelligence, kita bicara soal energy transition yang tidak sangat relevan 20 tahun yang lalu. Kita berbicara soal digital transformation yang bukan menjadi sesuatu hal yang mendesak 20 tahun yang lalu. Kemudian arah tuju dunia perindustrian dengan teknologi tinggi yang tentunya berbeza daripada pelan-pelan perindustrian yang lama. Maknanya kita harus menggapai langit. Tetapi dalam keghairahan kita untuk menggapai langit kita jangan lupa dan tertinggal landasan, kerana kita sebagai negara dengan budaya, dengan faham keagamaan, juga dengan yang rencam, harus juga mengakar ke bumi. Jadi bagaimana kita harus kekal mengakar ke bumi, teguh dengan landasan asal kita sebagai negara bangsa, di samping itu nak mencapai dan menggapai langit.
- Saya hanya mengemukakan permasalahan. Ini kerja profesor dan Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi dan rakan-rakan untuk menjawabnya. Maknanya cabaran itu sangat kritikal. Kalau kita tangguh dan lakukan perencanaan formula seperti mana yang pernah kami lakukan 20-30 tahun yang lalu, kita akan ketinggalan landasan. Sebab itu dalam Jemaah Menteri, saya agak tegas menekankan kalau kita buat keputusan transisi peralihan tenaga maka ia harus dilakukan sekarang. Mesyuaratnya minggu depan, keputusannya dalam tempoh 2 bulan. Kita tidak boleh lagi dengan jangkaan biasa 6 bulan satu tahun. Kalau kita nak wujudkan fakulti artificial intelligence, tidak boleh umpamanya menunggu keputusan daripada kajian unit, kemudian jabatan kemudian fakulti, kemudian board of studies, kemudian Kementerian Pendidikan Tinggi, 6 bulan, tahun depan mulakan, kita akan ketinggalan satu tahun. Jadi seluruh pendekatan kita harus berubah. Jadi, ini cabaran kita.
- Ini yang disebut tadi menangani permasalahan dalam dunia pasca normal atau “postnormal times” yang dirumuskan hanya tentang chaos, complexity, contradictions. Tetapi satu terminologi yang sangat relevan dalam menghadapi atau menangani permasalahan dalam “postnormal times” ialah simultaneity”, semuanya berlaku dalam masa yang sama. Apa lagi yang menekan kita? Climate, digital termasuk AI, transisi tenaga, keperluan penguasaan bahasa, bahasa kedua dan bahasa antarabangsa.
- Jadi semua cabaran, permasalahan dan tuntutan itu berlaku dalam masa yang sama termasuk isu pembenturan idea dan fahaman yang mesti diselesaikan dalam masa singkat dan segera. Simultaneity yang mendesak kita melaksanakan dengan kadar yang lebih pantas. Kepantasan kita menangani ini akan memungkinkan kita kembali ke tingkat atas dalam persaingan antara negara. Ini akan memberikan kita suatu pendekatan yang agak realistik. Kalau tidak wacana kita ini seperti mana pidato menteri biasa, “bahawa kita telah capai kejayaan yang membanggakan”, “tahap universiti-universiti kita sudah tercapai di peringkat yang diiktiraf di dunia”, “mutu pendidikan kita itu nombor satu”, dan “mutu kesihatan kita tu nombor 2”. Ya kah?
- Apakah boleh kita pertahankan bila kita lihat ketimbang kepesatan perubahan di negara-negara lain? Beberapa dunia di negara arab, UAE, Arab Saudi yang dianggap lembab puluhan tahun yang lalu, sekarang kepesatan perubahan itu memeranjatkan. Di rantau ASEAN kita agak jauh ke depan tahun 90-an, dalam beberapa bidang sudah ketinggalan atau hampir ketinggalan. Saya tidak maksudkan setakat Singapura, Taiwan tetapi tentunya Indonesia, Thailand dan Vietnam. Bila ada beberapa perbincangan dengan potensi pelabur besar, baru-baru ini di San Francisco, mereka berbicara ada kekuatan kita. Jangan kita berikan pandangan seolah-olah kita ini sudah begitu lembab dan lesu. Tidak semestinya. Tetapi dalam persaingan, kita tidak dapat lagi pertahankan kadar kelajuan yang ada, tidak dapat lagi pertahankan pendekatan pendidikan rendah, menengah, tinggi yang ada, tidak mungkin lagi menganggap kita ini mampu bersaing kalau kita rasakan apa yang kita punyai sekarang sudah cukup.
- Saranan oleh bakal pelabur dari Amerika, mereka mengatakan bahawa di ASEAN ini, Malaysia ini dianggap baik dan ada potensi. Tetapi kepesatan perubahan baik dalam soal digital ataupun transisi atau peralihan tenaga dan kecepatan kelulusan, mengatasi beberapa kerenah pentadbiran itu. Birokrasi kita ketinggalan, ketimbang Vietnam umpamanya. Berita itu melesukan saya. Balik ke Malaysia, saya minta kaji berapa ratus lawatan ke Vietnam. Apa yang kita pelajari? Berapa ratus lawatan ke Indonesia dan Thailand. Apa yang kita pelajari? Maka kita harus bukan sahaja memberi sumbangan tetapi mempelajari kekuatan perubahan mereka. Apakah ini semua perkara ataupun idea baru? Tidak. Tetapi percayalah bagi rakan-rakan yang menguasai disiplin sains sosial, tahu tentang teori McLaren ataupun propensity to change and resistance to change. Ini bukan sahaja di kalangan orang-orang yang kurang pendidikan di desa, tidak. Resistance to change juga kadang-kadang terlihatan dalam kalangan golongan elit, sama ada elit politik atau pentadbir atau yang disebut intelektual. Ada resistance to change dari kaedah dan cara yang biasa mereka kenal dan mereka agak yakin untuk pertahankan cara yang sedemikian.
- Sebab itu dalam soal tata kelola umpamanya, bila saya asak dengan keras, kalau negara ini mahu maju, ekonomi mampan, negara bangkit sebagai negara hebat, betulkan tata kelola. Yang jadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, Menteri-menteri mesti hentikan cara gelojoh memunggah kekayaan negara. And this we will do it firmly and without compromise. Saya di sini adalah public intellectual, saya nak saudara-saudara faham ini bukan perkara mainan bagi saya. Kerana kalau tidak ketirisan itu berlaku, mana mungkin ketirisan buat sekolah boleh berlaku, bina universiti boleh bocor, bukan bocor bumbung, bocor kelulusan projek. Apa lagi projek-projek besar? Tebatan banjir bocor, Jana Wibawa bocor. Negara apa sudah didik anak-anak di bidang kejuruteraan, bidang teknologi, bidang IT, bidang sosial, sains, agama, syariat tetapi sistem itu bobrok.
- Ini yang disebut tadi, excellence without a soul. Jadi mesti menggapai langit dan mengakar ke bumi. Akar itu budaya kita, bahasa, budaya, akhlak dan nilai tetapi permulaannya menerima kekuatan kita dan kelemahan kita. Sebab itu dulu pernah saya popularkan laporan suruhanjaya yang dibentuk dan ditubuhkan oleh Presiden Ronald Reagan yang berjudul ‘A Nation At Risk’. Kalau saudara-saudara lihat, bayangkan Amerika Syarikat dengan universiti-universiti terkemuka di dunia masih mengeluarkan, menerbitkan laporan suruhanjaya pendidikan tinggi yang menyebut mengenai negara itu menghadapi risiko kerana kelemahan-kelemahan dalam perancangan, dalam tindakan dan dalam kaedah pendidikan keseluruhannya.
- Soalnya ialah kalau Amerika Syarikat sendiri dengan kekuatan mereka dalam beberapa bidang terutama dalam bidang pendidikan, walaupun ada karya Harry R. Lewis, ‘Excellence Without A Soul’, tapi dia ada excellence. Remember, they have that excellence in the academic pursue that is unquestionly and undoubtedly academic excellence. What is lacking, it’s becoming soulless, no compassion, no consideration for the pure issues of concern to the society outside the campus. Jadi rumusannya, ‘excellence without a soul’. Jangan kita rasa kita ada ‘soul’ walaupun kurang ‘excellence’. Saya bimbang takut ‘excellence’ pun tidak ada ‘soul’ pun mulai runtuh. Maka cabaran bagi kita ialah dari ‘A Nation At Risk’ 80-an kepada 2000-an excellence without a soul itu harus mencabar kita pemikir, perancang, bagaimana dapat kita latih dan didik anak-anak kita.
- Saya pernah berpengalaman dan di antara profesion yang saya paling senangi ialah sebagai seorang guru. Menjadi pendidik di Yayasan Anda begitu lama, kebanyakannya untuk peringkat Tingkatan 6 dan kemudian sekadar visiting fellow dekat Oxford Science dan mengajar di Universiti Georgetown. Saya boleh umpamanya dengan segala kritikan kita tentang kelemahan sistem pendidikan barat, ada kekuatan luar biasa tentang kesungguhan disiplin mahasiswa dan graduan muda dalam menelaah, menghadam, menggali maklumat yang kadang-kadang terkesan kurang dalam kalangan kita. Saya tidak fikir kita boleh bersaing dalam dunia pendidikan China, Taiwan, Finland, kerana negara-negara tersebut dianggap sudah maju dalam dalam bidang-bidang tertentu, sekiranya tidak dapat kita bentuk disiplin di kalangan anak muda dan mahasiswa untuk apa yang disebut oleh Saidina Ali bin Abi Thalib, ‘lazzatul ma’rifah’ ataupun ‘love for scholarship’, menimba, mencintai ilmu.
- Jadi apa yang saya nak gagaskan selain daripada mengakui bahawa ada keperluan untuk melancarkan satu tindakan lebih tegas dan berani dengan pantas, iaitu bagi universiti-universiti, saya cadang kepada Saudara Zambry, beri ruang dan kelonggaran kepada kepimpinan universiti. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus hanya menyelaras, mengelakkan pertindihan atau permasalahan tetapi beri lebih banyak ruang kepada universiti, mencabar mereka dalam 2 tahun, melihat program yang lebih baik. Kalau ini jadi pendekatan kita, maknanya kita bagi ruang. Sekarang ini bila kita bicara dengan universiti, dia kata “ya kami kemukakan” tetapi penyelarasan di KPT tak jelas. Bawa kepada fakulti, fakulti kata ya, kemuadian bawa kepada Senat dan universiti. Jadi pelbagai kekangan. Saya fikir universiti ini harus diberi lebih banyak ruang.
- Setakat yang saya mampu sebagai Menteri Kewangan memang maksimum dalam keadaan kekangan kewangan sekarang. Hutang RM1.5 trilion, defisit tahun lalu 5.6% dan saya terpaksa kurangkan defisit kepada 5%, kalau tidak pelaburan dan kedudukan ekonomi itu tidak diurus dengan bertanggungjawab. Tapi dalam keadaan begitu, saya nak pastikan supaya kebocoran dalam perbelanjaan menurun dan hasil itu meningkat. Setakat ini hasil memang meningkat kerana kita cuba baiki tata kelola dan elak kebocoran, baik Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam dan unit-unit lain. Dan dengan ini walaupun ada kekangan, saya sebut peruntukan bidang pendidikan itu menyaksikan peningkatan tertinggi dalam Belanjawan 2024, diikuti oleh Kementerian Kesihatan dan berikutnya Kementerian Pertahanan.
- Saya harap dalam menggagaskan idea baru ini ialah menyerahkan mandat saudara-saudara, selain daripada kekuatan bahasa dan budaya yang sangat integral dengan masyarakat, tidak mungkin satu dunia dan negara membangun, berkembang, kompromi soal penguasaan bahasa. Jadi kalau kita mula dengan dasar yang cukup jelas di semua universiti, penguasaan Bahasa Melayu itu mesti baik. Dan kalau ini sudah diterima sebagai syarat mutlak, termasuk bagi pelajar-pelajar Malaysia di IPTA, maka tidak ada kesenjangan kaya miskin pendidikan.
- Kita beri kelonggaran, tetapi sekurang-kurangnya pendidikan asas seperti bahasa perlu dikuasai, sejarah negara harus diketahui. Itu asas. Kemudian buatlah, terokailah bidang dan disiplin baru yang dikehendaki, kita tidak akan ganggu. Dan kalau ini diterima, maka munasabah bagi kita menumpukan untuk tahun ini dengan syarat bahasa itu dikuasai dengan baik. Kita mesti mula meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris di pusat-pusat pendidikan tinggi. Saya fikir hal ini harus dimulakan sekarang dan pendekatan saya, bila saya kata sekarang itu maksudnya minggu depan. Iaitu dalam kuliah mahupun dalam bahasa, tetapi profesor harus menekankan buku-buku rujukan dan sebagainya supaya penguasaan kelancaran Bahasa Inggeris dipertingkatkan.
- Kita lihat umpamanya perkembangan ini berlaku, Indonesia kekal dengan kekuatan Bahasa Indonesia, Bahasa Thai di Thailand, tetapi anak-anak muda di universiti tempatan mereka mulai menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu baik, dan sudah mengatasi kekuatan Bahasa Inggeris di negara kita. Jadi jangan kita menjerit soal Bahasa, ada yang kemudiannya fobia kalau kita sebut penguasaan Bahasa Melayu. Ada juga golongan yang agak elit, golongan kota ini dia sebut fobia. Bila saya sebut “kalau kamu itu syarikat tempatan, rakyat Malaysia, tulis surat kepada saya, tulis dalam Bahasa Melayu”. Itupun ada yang fobia, sudah ada unsur-unsur ekstrim. Kemudian ada yang kata “oh ini kerana nak jawab tuntutan golongan Islam dan Melayu pembangkang”. Tak betul!. Saudara lihat hidup saya, daripada zaman saya di universiti, saya tidak pernah kompromi soal penguasaan bahasa yang baik. Ini bukan ‘zero sum game’. Promote English language at the expense of Malay language, or promote Malay language at the expense of English language. This is outmoded view.
- Dalam bidang pendidikan, terutama pendidikan tinggi, kebanyakan universiti di dunia menekankan penguasaan lebih daripada satu bahasa. Jadi ini di antara yang penting. Kemudian tentulah soal transformasi digital, IT dan AI. AI pun ada cabaran dia sendiri iaitu soal nilai. Sebab itu dalam MADANI ini bagi saya soal nilai, soal akhlak itu sangat penting, sebab AI itu ada kelemahan-kelemahannya.
- Sebab itu dalam perbincangan saya dengan NVIDIA baru-baru ini saya bangkitkan perkara ini. Our concern is the issue of values in our belief system, of course, in Islam or religious values, which is not necessarily accepted in the West because it’s total idea laïcité’ like the French or total absolute secular views, which we do not regard as pertinent and this invariably will affect our understanding and our younger generations view when they start mastering AI. You know, his input is to me very pertinent. He said, “As long as you control the discipline, the input is yours, not the Americans. You make sure that your values, culture, religions are being given some preference in the content and that would invariably influence what AI has to say”. Sound partly great to me tetapi tentunya ia memerlukan kepakaran yang sensitif dengan fahaman dan budaya masyarakat. Jadi saudara-saudara, dalam keghairahan meneroka disiplin baru, jangan sesekali meninggalkan akar.
- Saya tidak ulang isu-isu MADANI, kerana sebahagiannya saudara-saudara sudah teliti dan hadam, boleh tegur dan kritik. Bila saya lontarkan idea, saya katakan saya terima sekiranya ada teguran terutama di kalangan sarjana dan intelektual termasuk kritikan, saya tidak ada masalah. Tapi janganlah kritik semasa bila dah tamat dan tidak disambung jawatan, terus menjadi pengkritik. Jadi saya harap kita jadikan wacana ini wacana yang agak lebih terbuka dan saya tak mahu melebih-lebihkan harapan tetapi kenyataan yang benar adalah, berilah peluang kepada negara ini. Berilah kesempatan kita bersama-sama lakukan anjakan daripada kebiasaan lalu, baik tata kelola, baik perbincangan.
- Pokoknya bagi saudara-saudara di kalangan pemikir bangsa harus melihat keutamaan. Keutamaannya ialah mengangkat martabat bangsa dan negara, menggunakan ruang perbaiki kelemahan-kelemahan kita, mendidik anak-anak kita supaya dalam 5-10 tahun, mereka bersaing dengan yakin dengan negara maju di dunia. Ini yang harus diberikan tumpuan dan yang lain-lain titik bengik itu boleh diketepikan.
- Tidak mudah tetapi saya yakin. Saya yakin insya-Allah kerana kekuatan Kerajaan Perpaduan MADANI sekarang ini walaupun dia rencam, coalition dari pelbagai parti dan aliran sejarah kefahaman, saya belum hadapi satu pun masalah besar tatkala merangka keutamaan-keutamaan penting, baik MADANI, dasar, ekonomi, pelaburan, digital ataupun tenaga. Belum hadapi apa-apa masalah kerana pemusatan kita sekarang ini ialah ke arah perbaiki sistem tata kelola dan mengangkat martabat negara ini.
- Saya yakin beri masa 2-3 tahun, kalau ada proses dengan kepesatan dan komitmen yang ada di kalangan penjawat awam, di kalangan sarjana dan tentunya pimpinan politik, saya yakin insya-Allah Malaysia akan berubah wajah sebagai negara yang maju dan lebih bergaya, insya-Allah.
Assalamualaikummualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA