TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BAGI BULAN JANUARI TAHUN 2024
9 JANUARI 2024 | SELASA
DEWAN UTAMA, KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitaaba
Wa lam yaj’al lahuu ‘iwajaa
Usolli Wasallim Ala Rasoolil Kareem
Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
Menteri Kewangan II;
Yang banyak membantu dan menyelenggara semua tugas-tugas berat, saya hanya kekal dengan tugas-tugas ringan (nada bergurau).
YB Puan Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Kewangan;
Sekarang seorang, jadi kena laksanakan tugas 2 Timbalan Menteri Kewangan.
Saya ambil kesempatan ini untuk ucap penghargaan kepada kedua-dua mantan Timbalan Menteri Kewangan, seorang sudah jadi Menteri, seorang lagi Timbalan Menteri di Kementerian Kerja Raya, iaitu Saudara Ahmad Maslan dan Saudara Steven Sim. Penghargaan kerana mereka banyak membantu dalam menjalankan tugas sepanjang tahun lalu.
Johan Merican kekal sebagai KSP. Timbalan-timbalan, rakan-rakan daripada GLC dan semua yang hadir.
- Terima kasih atas kesediaan untuk bersama-sama pada pagi ini. Seperti biasa kita ada perhimpunan, tapi saya juga undang pengurusan utama daripada GLC-GLC, dan saya fikir ada beberapa penganjuran, pandangan untuk merangka dan melaksanakan program untuk 2024 ni bersama mereka.
- Seperti mana kita tahu, selain daripada kekuatan Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, GLC-GLC ini punyai tanggungjawab yang besar dan tidak seperti mana peringkat awal, tapi sekarang kekuatan keseluruhannya mencecah hampir RM2 Trilion. Jadi mereka punyai kekuatan yang juga akan membantu dan menentukan keberkesanan tindakan kita.
- Saya sebut perkara ini kerana tahun lalu, kita telah banyak merangka dasar-dasar utama, Negara MADANI, Ekonomi MADANI, Transisi Tenaga, Peralihan Tenaga, Transformasi Digital, Pelan Perindustrian dan kerangka baru yang sedikit sebanyak penyesuaian dalam Kajian Separuh Penggal selain daripada Belanjawan MADANI. Tapi ini semua kerangka yang digubal adalah untuk menentukan supaya hala tuju kita jelas.
- Tetapi sama ada berhasil atau tidak ialah pelaksanaan. Kalau kita ungkap pandangan pujangga Inggeris yang juga orang Amerika, T.S Eliot, dia kata “between the ideas and the reality, lies the shadow”. Jadi cabarannya ialah tentang kerangka pelaksanaannya dan sebab itu kita harus hadam dasar tetapi lebih tentu pastikan perlaksanaan yang lebih berkesan. Ini kebimbangan saya.
- Semalam, Menteri Besar dan kepimpinan pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kanan Negeri, Pengarah JKR Pahang jumpa. Saya sekali-sekala akan jumpa berasingan kerana saya hanya nak dengar dan saya lihat kadang-kadang ada disconnect di antara apa yang kita bicarakan, fahaman tentang ekonomi makro, pemusatan program kita dengan apa yang difahami di peringkat itu. Maknanya dalam jentera kerajaan ini harus dipastikan ada bukan sahaja keseragaman tapi kefahaman. Umpamanya kita mahu setiap pegawai bukan sahaja di Kementerian Kewangan, di setiap kementerian di setiap negeri dan daerah itu faham sekurang-kurangnya apa keupayaan kerajaan, apa kekangannya. Harus semua faham apa yang kita warisi, kekuatan kewangan kita, kerana umpamanya dituntut oleh mereka itu tak salah, saya dalam perjumpaan saya dengan mereka itu, sekurang-kuranngnya tak kurang dari RM7-8 bilion tambahan. Sebab itu saya manfaatkan waktu itu untuk menjelaskan tentang hutang negara, defisit, dan keupayaan kita untuk difahami.
- Tetapi, ada beberapa perkara yang mendesak, umpamanya kita dah luluskan dalam belanjawan. Soal pengurusan dan maintenance jalan-jalan yang berlubang, Jalan-jalan Persekutuan. Kalau dahulu, semasa saya Menteri Kewangan, Jalan Persekutuan itu sangat baik, jalan negeri itu berlubang. Sekarang jalan negeri jauh lebih baik daripada jalan Persekutuan. Jadi kita telah luluskan sedikit peruntukan. Arahannya mesti dipantau di kalangan Menteri-menteri oleh Saudara Amir Hamzah, KSP dan KSU. Tak perlu tunggu bulan Mac, April, patut daripada sekarang terus ambil tindakan dan menjalankan pelaksanaan itu. Kerana bagi kita yang duduk di sini mungkin tidak terkesan, tetapi bagi orang di daerah Jerantut, Lipis, jalan berlubang itu meresahkan mereka. Jadi ada hal-hal yang sudah diluluskan kita terus kendali.
- Saya baca dalam media sosial, Menteri Pendidikan Tinggi disambut di oleh para pelajar mahasiswa Universiti Malaysia Sabah kerana mereka belum mandi, air tidak ada. Tahun lalu sebelum saya melawat di sana saya luluskan RM3 juta. Saya tidak pasti mungkin ia mengambil masa untuk pelaksanaannya tetapi saya nak dapat laporan mungkin daripada KSP, mungkin boleh tanya KSU Kementerian berkenaan. Pantau MADANI mungkin boleh bantu untuk menanya apa berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan diambil oleh kementerian dan universiti untuk melaksanakan. Pada sebahagian orang mungkin perkara ini kecil, tapi kalau mahasiswa itu menghadapi masalah bekalan air, itu patut meresahkan kita.
- Jadi hal-hal yang sedemikian yang saya bimbang. Sebab itu yang saya cakap tadi di antara perancang, pengurus-pengurus besar dengan pelaksanaan di bawah itu, dia akan ada kesenjangan yang nyata dan disconnect. Tanggungjawab kita ialah pastikan bahawa pembangunan itu bererti kepada mereka. Merdeka negara itu sebenarnya merdeka rakyat. Pertumbuhan ekonomi itu bukan pertumbuhan golongan atasan, bukan sahaja di kalangan perancang tapi sehingga peringkat akar umbi. Jadi saya pasti ada pelaksanaannya, tetapi hal-hal yang sedemikian saya fikir boleh diatasi.
- Kerana saya tak ingat bulan berapa, tahun lalu saya sampai ke sana dan saya dengar resahan dan saya minta confirmation dari Naib Canselor dan iya katanya, dan saya luluskan. Jadi saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu mengambil masa, saya tidak mahu buat keputusan, menghukum seperti mana sesetengah ustaz dia cepat hukum orang. Jadi saya tidak menghukum cuma saya nak minta laporan teliti apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan untuk disegerakan penyelesaian masalah air di universiti tersebut.
- Sebelum itu saya ingat saya pergi ke kem tentera yang juga menghadapi masalah yang sama dan kita minta liputan. Jadi mungkin satu kategori semua kelulusan tahun lalu sama ada oleh saya ataupun Kementerian-kementerian Menteri lain, kita mahu lihat tahap pelaksanaannya. Sebab tu tindakan mesti dalam kadar yang pantas. Ease of doing business itu bunyinya sedap tapi pelaksanaannya itu macam one stop agency, it stops there. Sebab itu saya beritahu Tengku Zafrul, “Don’t use that term any more. There’s no one stop agency in Malaysia”. Dia ada satu agensi untuk facilitate atau accelerate the process.
- Walau bagaimanapun, memang ada kejayaan-kejayaan yang nyata. Saya tidak mahu umpamanya media ambil kesempatan menceritakan tentang masalahnya sahaja. Masalah-masalah ini menunjukkan kita dengar, kita peka. Kalau kita tak dengar masalah rakyat yang dibangkit, kita dianggap pekak. Di antara peka dan pekak itu hanya satu huruf. Saya pilih peka. Jadi kejayaannya apa? Sesuatu yang direncana begitu lama tapi memerlukan kekuatan dan tekad politik untuk melaksanakan iaitu Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Ini maknanya di antara lain meletakkan prinsip pertanggungjawaban dan ketelusan yang lebih jelas dan mengekang bidang kuasa Menteri Kewangan. Kerana apa yang diumumkan, diunjurkan mesti dilaksanakan. Kalau tidak mesti diserahkan semula untuk dibahaskan di Parlimen.
- Kemudian amalan yang pada hemat saya dari dulu yang menyaksikan suatu bentuk rompakan, penyalahgunaan kuasa yang mudah memberi ruang. Jadi seorang penguasa terutama Menteri Kewangan senang sekali dengan prinsip rundingan terus. Kerana rundingan terus walaupun ada kaedah-kaedahnya saya setuju, tetapi ia memberikan ruang yang lebih luas bagi sang penguasa untuk menetapkan. Dan ini pernah berlaku secara meluas dan membataskan bidang kuasa jawatankuasa teknikal dan pegawai-pegawai dan menyebabkan orang politik atau penguasa politik itu menentukan, dan ini dihalang. Sebab itu saya kata menghalang sama sekali amalan rundingan terus dan melalui proses tender. Saya tidak katakan tidak ada pengecualian. Bila saya ke Labuan, ada masalah bekalan elektrik yang mendesak. Kita arah tenaga, terutamanya PETRONAS melaksanakan IPP dan itu merupakan satu keperluan yang dianggap mendesak. Tetapi saya tidak fikir kita boleh tentukan kontrak mana yang PETRONAS ambil. Jadi saya tidak fikir ia menimbulkan apa-apa kontroversi. Tapi prinsipnya kita menghalang sama sekali rundingan terus.
- Kemudian berhubung penyasaran subsidi. Yang ini kalau rakan-rakan di Kementerian Kewangan lebih arif. Pada peringkat awal ada banyak pembangkang gunakan ini sebagai seolah-olah kita merampas subsidi untuk rakyat. Tapi inilah cabaran kita menjelaskan kepada rakyat setiap tindakan. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua faham. Jadi penyasaran subsidi setelah diberi penjelasan berkali-kali dan bertubi-tubi asakannya, maka lebih kurang ada kefahaman. Kerana 85% rakyat itu tidak terkesan sama sekali, masih diberikan subsidi. Kita prinsipnya apa? Pertama, subsidi yang mencecah hampir RM80 bilion tidak mungkin diteruskan. Itu akan membebankan negara dan merosakkan akar sendi ekonomi negara. Tetapi tidak boleh pula ditarik subsidi sehingga membebankan rakyat. Maka apa yang dilakukan ialah menarik subsidi bagi warga asing 3.5 juta orang yang mendapat manfaat daripada semua minyak, termasuk minyak mentah dan bekalan elektrik. Kemudiannya ada subsidi daripada orang yang maha kaya terbanyak.
- Orang kata “Pasal apa Anwar anti betul dengan orang kaya?”. Bukan anti orang kaya. Dalam Islam kita tidak harus cemburu, tetapi jangan kita beri sedekah kepada orang kaya. Masalah subsidi pendekatan sekarang ini, sedekah kepada golongan kaya. Subsidi elektrik kepada orang kaya dan pendapatan yang ratusan juta, ratusan ribu ringgit sebulan tapi masih lagi diberi subsidi elektrik. Jadi pendekatan kita sekarang hanya menarik subsidi, belum menaikkan tarif kepada mereka. Hanya menarik subsidi kepada golongan 10%-15% terkaya dan 3.5 juta orang asing. Dengan itu, ada pengurangan subsidi sekitar RM4.6 bilion setahun.
- Seperti juga pengapungan harga ayam. Kita beri subsidi ayam itu kepada orang paling kaya, restoran 5 bintang dan juga kepada 3.5 juta orang asing. Sebab itu dikatakan pengapungan harga, diberikan harga siling dan bila kita hentikan itu, Alhamdulillah harga tidak naik daripada siling yang ditetapkan buat sementara waktu. Tetapi kita boleh jimat sekitar RM1 bilion setahun. Dari ayam, jimat RM1 bilion ringgit. Jadi saya bincang dengan Kementerian Ekonomi supaya menyegerakan penyasaran subsidi bagi minyak pula.
- Apa kata kalau dengan penyasaran ini membebankan sedikit rakyat? Contohnya kita kata inflasi bawah dari 2% tapi ramai juga mengeluh harga barang-barang keperluan masih meningkat. Maka kalau kita dapat kurangkan subsidi, sebahagiannya kita pulangkan balik kepada rakyat. Pulangan itu dalam skim sama ada STR, e-MADANI yang kita berikan langsung kepada rakyat. Bukan sahaja setakat B40 dan juga kebanyakan daripada M40. Jadi kita cuba tingkatkan jumlah bantuan suntikan Tunai Rahmah, e-MADANI ini secara langsung kepada rakyat. Mudah-mudahan ini dapat mengurangkan bebanan rakyat.
- Kemudian kemiskinan tegar, saya masih belum dapat laporan terakhir, setakat ini kita dapat memansuhkan dan menoktahkan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan pada bulan November ada sekitar 400 keluarga, maka Menteri Besar mengarahkan supaya perkara ini dapat diselesaikan. Tentunya tahun ini akan tambah pula, bukan maknanya satu tahun dia noktah. Tapi Alhamdulillah kita boleh bantu dan ini juga dilaksanakan melalui program-program CSR. Sebab itu harus selaraskan masalah kita ini. Tanpa PADU, kita tidak dapat selaraskan bantuan jadi ada yang pemainnya dapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, dia tak bagi tahu berapa Kerajaan Negeri bagi, dia tak bagi tahu apa yang diberikan oleh Pusat Zakat. Jadi ada yang dapat 3 kali ganda, ada yang tak dapat langsung. Jadi ini insya-Allah kita akan perbaiki.
- Kadar KDNK 3 suku pertama mencatat 3.9% maknanya sasaran KDNK 2023 insha Allah 4%. Inflasi masa kita ambil alih 4 November 2022 itu 4%, November 2023 1.5% rendah tapi seperti mana saya sebut, jangan kita terpukau dengan angka. Saya tak kata statistics lie. Statistik itu boleh kita pertahankan tetapi kadang-kadang di beberapa kawasan, angka statistik ini lebih kepada angka purata. Pelaburan itu memecahkan rekod kerana hampir RM350 bilion dan bagi 9 bulan pertama Tahun 2023, kelulusan pelaburan adalah RM225 bilion iaitu peningkatan 66% ketimbang tempoh sama Tahun 2022. Hasil negara kita akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Tetapi kalau Kastam memang lebih daripada yang diunjurkan. LHDN RM183 bilion dan Kastam RM55 bilion.
- Hala tuju 2024, kita faham kerangka, kita faham dasar dan harus ada kerjasama yang lebih mantap. Kerjasama yang saya maksudkan ini bukan sahaja jabatan, agensi dan GLC di bawah Perbendaharaan tetapi di seluruh negara. Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu, kita tetapkan bahawa penyelarasan harus lebih berkesan. Kita tak boleh bekerja dalam silo. Saya dapat laporan satu agensi GIC yang juga melakukan TVET, ada juga tentang pinjaman kepada rakyat, kemudian ada pula yang dibuat oleh TEKUN. Jadi kalau tidak diketahui apa yang dilakukan, kita ada masalah dalam membentuk pelaksanaan.
- Kemudian projek-projek seperti tebatan banjir, Pan Borneo Sabah, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Pusat Kanser Sarawak, perluasan Lapangan Lapangan Terbang Pulau Pinang, naik taraf sistem pengairan kawasan MADA, penyelenggaraan infrastruktur asas termasuk jalan raya dan kuarters kerajaan itu telah diluluskan dan kita akan pantau pelaksanaan itu supaya cepat.
- Saya ke Kelantan masa saya cuti, kemudian banjir. Pelaksanaannya ikut jadual, tetapi Sungai Rantau Panjang umpamanya dibuat proses tambakan atau tebatan itu di sebelah tebing sungai sebelah kanan, jadi air bertakung sebelah kiri. Kerana projek tersebut projek untuk 2 tahun akan datang. Jadi 2 tahun tu sengsara sebelah kiri lebih daripada yang dulu kerana sudah ada tebing sebelah kanan. Jadi entah bagaimana sebahagian daripada tebing tu ditebuk kerana sengsara sebelah sini, maka mungkin ada yang fikirkan, biarlah sama-sama sengsara. Jadi ditebuk, air deras menuju ke hilir. Melihat kepada keadaan itu kita terpaksa adakan peruntukan khas untuk membina beberapa bangunan ataupun tebing sementara untuk mengelakkan daripada pengaliran air berterusan. Tetapi harus disegerakan. Hal yang sedemikian kita tak boleh tangguh. Kalau kita tangguh, masalah lebih besar daripada dulu kerana sebahagian daripada tebing sungai telah didirikan.
- Inilah hal yang apabila kita turun ke bawah, kefahaman kita akan lebih baik. Sebab itu saya syorkan terutamanya Ketua-ketua Bahagian di Kementerian Kewangan ini untuk lebih banyak daripada biasa turun ke bawah termasuk pengurus-pengurus besar GLC-GLC supaya melihat sendiri masalah di bawah.
- Peranan GLIC dan GLC ini sebab di antara lain saya panggil kerana terlalu penting. Saya tidak fikir kita boleh anggap mereka ini sebagai suatu bidang ataupun kegiatan yang terasing daripada kerangka besar. Saya ucap terima kasih kerana setakat ini mereka secara kolektif dengan kekuatan kewangan yang besar banyak membantu. Pertama, contoh yang mendapat hasil munasabah, tentunya paling tinggi EPF. Keduanya, saya beri beberapa arahan umpamanya harus juga ada penekanan pengurangan pelaburan di luar negara. Kerana kalau alasannya tidak menarik, maka apa kemunasabahan kita
mengadakan kempen menarik pelabur asing ke Malaysia? Kalau syarikat-syarikat utama kita tidak ada keupayaan untuk memastikan jenis pelaburan yang menarik dan memberi keuntungan. Kita harus beri kelonggaran, kita akan bincang sekali lagi 20%-25%, belum pasti. Tetapi tentu ada tanggungjawab untuk sama-sama memikirkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam negara.
- Kemudian saya telah minta jentera kita, Pantau MADANI
dan saya minta kerjasama GLIC, GIC supaya dapat interact secara langsung dengan pimpinan untuk memastikan pelaksanaan program-programnya ikut dasar yang kita telah tentukan. Tidak mengganggu kerangka besarnya, tetapi ada beberapa aspek tertentu. Saya bagi contoh Transisi Tenaga, Transformasi Digital itu saya rasa sudah sangat mendesak dan kritikal bagi negara. Ia memerlukan penglibatan semua. Transformasi Digital itu kalau kita tidak secara pantas dan pesat buat perubahan, sistem pendidikan dalam pengelolaan tatakerja kita, ia akan menyebabkan kita jauh ketinggalan. Jadi saya harap Jabatan ICU akan melihat hal ini kerana ini akan menjadi di antara tunggak dasar negara kita.
- Hal yang terkait juga ialah sesetengah GLIC, GIC ni pekerjanya ada yang 8,000 ada yang 10,000, ada yang lebih. Masalah rakyat di bawah mereka itu jangan dibebankan kepada rakyat. Saya ingat lagi laporan awal bila kita swastakan Tenaga Telekom dan saya juga panggil PETRONAS masa itu, saya kata mereka tentu bila diswastakan, catat keuntungan besar. Jadi sepatutnya Menteri Kewangan ucap terima kasih, jadi saya ucap terima kasih. Tetapi saya tanya masalah mereka yang tidak selesai umpamanya kalau kemiskinan tegar di kalangan keluarga di bawah Tenaga atau Telekom. Dalam 15,000 pekerja, 5,000 tiada rumah langsung. Tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk bina perumahan untuk pekerja sendiri? Kalau tidak kita catat keuntungan dengan bercakap soal commercialization dan kita bebankan kelompok yang agak pendapatan rendah ini kepada Kementerian dan Kerajaan untuk menangani. Saya tidak fikir itu munasabah. Jadi saya mahu umpamanya perancangan yang jelas.
- Untuk pendidikan, kalau ada di bawah syarikat kita yang mencatat keuntungan yang baik, kemudian anak-anak di sekolah atau universiti tidak ada dana yang cukup untuk belajar, terpaksa ambil daripada PTPTN. Ini hal yang harus diteliti. Apakah mampu? Saya tidak fikir semua harus dibiaya kerana mungkin ada kekangan dari satu-satu syarikat tetapi hal ini harus diperhatikan. Jadi selain daripada soal pelaburan, keuntungan, kecekapan digital dan lain lain, hal yang menyentuh kepentingan pekerja syarikat sendiri itu mesti diatasi. Jadi saya minta dalam masa tempoh satu bulan, melaporkan kepada kita. Mungkin kepada Menteri dan KSP untuk sampaikan kepada saya, apa dia rencananya? Baik rencana pelaburan, rencana bumiputera, rencana perumahan pekerja, rencana pendidikan dan meningkatkan mutu pendidikan. PETRONAS memang terkenal ada biasiswa yang besar. Saya percaya yang lain-lain Tenaga, Telekom juga memberikan biasiswa. Bank-bank juga termasuk Maybank dan lain-lain ada rencana-rencana latihan dan program. Tapi saya nak dapat laporan supaya ada kefahaman yang lebih jelas.
- Saya ingin menyentuh berhubung masalah perumahan mereka, masalah kadar upah mereka, masalah pendidikan mereka. Mana mungkin syarikat Kerajaan ada pekerja yang anak dia nak masuk universiti tak cukup dana dan oleh itu tak jadi masuk universiti. Saya tidak fikir hal ini boleh kita pertahankan. Sebab itu memang arahan saya tahun lalu bila ada pelajar miskin dapat PTPTN tak cukup, maka universiti tidak boleh menolak kemasukan mereka. Biar dia masuk dulu kemudian kita cari jalan dan kaedah untuk bantu mereka. Hal-hal ini mesti diselaras, barulah betul negara ini Negara MADANI kerana ada pertumbuhan, ada kemampanan, ada transformasi digital, ada inovasi dan daya cipta tapi ada juga Rahmah dan Ehsan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM