TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JANUARI 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JANUARI TAHUN 2024

 

 

8 JANUARI 2024 | ISNIN

 

DEWAN DE’SERI ENDON, PUSPANITAPURI PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera

 

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahuu ‘iwajaa

 

Wa nusalli ala rasoolilah kareem

Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een

  1. Kita mula tahun ini pertama, 2 Januari yang lalu meluncurkan PADU, dan kita akan buat beberapa penambahbaikan, penyesuaian berdasarkan pandangan-pandangan masyarakat.

 

  1. Keduanya kita telah menyusun semula Jemaah Menteri, KSN dan penjawat awam dengan kerangka untuk kita tingkatkan khidmat kita dan program kita tahun ini. Agak menarik akhir tahun lalu dan awal tahun ini ada beberapa tindakan kita yang agak tegas dan menarik perhatian ramai. Pertama ialah kerana ketegasan SPRM untuk bertindak tanpa mengira kedudukan dan untuk memberikan mesej yang jelas kepada negara bahawa kita tidak akan bertolak ansur lagi dengan rasuah. Munasabahlah kita bertindak kepada rasuah skala besar kerana dalam sejarah ini jarang berlaku tindakan seumpama itu. Keduanya, PDRM telah bertindak ke atas pengedar dadah yang agak berskala besar, yang selalu terlepas tindakan-tindakan diambil kepada ejen-ejen di peringkat bawah ataupun penagih dadah. Jadi dua (2) perkara ini sangat penting.

 

  1. Ketiga, kita tegas dalam isu kezaliman, penindasan, dan keganasan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dan Palestin. Kerajaan bertindak untuk melarang sama sekali kemasukan kapal Israel Zim ke mana-mana pelabuhan di Malaysia. Tetapi yang harus saudara-saudara tahu ialah bahawa kelulusan ini telah dibuat sejak 2002 oleh Perdana Menteri, kemudian 2005 oleh Jemaah Menteri dan berlaku sepanjang masa, mingguan atau selang seminggu sehinggalah saya dimaklum oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan terus kita ambil tindakan. Jadi maknanya kecerdasan kesiapsiagaan penjawat awam itu penting untuk mengingatkan kita supaya membetulkan, tidak boleh kita umpamanya di peringkat antarabangsa keras dalam mengutuk kezaliman, tetapi membiarkan mereka meraih keuntungan dari kemudahan dan prasarana-prasarana yang kita sediakan.

 

  1. Ketiga-tiga perkara ini tidak menarik begitu banyak perdebatan, perhatian, wacana, terutama di kalangan umat Islam. Yang paling meluas menjadi tarikan adalah Surah Kahfi. Ada baiknya kerana rakan-rakan JAKIM tahu bahawa jarang sekali berlaku perbincangan tentang kupasan ayat-ayat Al-Quran dan saya anggap ini satu perkembangan positif walaupun serangan terhadap saya itu agak keterlaluan, kerana ada yang menyebut, “orang itu yang menyampaikan itu adalah sesat lagi menyesatkan”. Tapi yang baiknya ialah ia telah membawa satu wacana. Ini bukan kaedah pendidikan tanpa ‘bil hikmah wal mau’izzatil hasanah, mujadalah bil lati hiya ahsan’. Itu peringkat yang ditegaskan di dalam Al-Quran Al-Karim.

 

  1. Apa yang saya sebutkan bulan lalu kepada saudara-saudara, iaitu tentang peristiwa anak muda. Dua (2) kali saya ulang ayat Al-Quran, ‘innahum fityatun ‘amanu birabbihim wa zidnaahum hudaa’ maknanya anak-anak muda ini beriman, itu yang pangkalnya. Tapi kupasan nya kadang-kadang orang tak dengar, malah tafsiran itu dipolitikkan, jadi akhirnya disergah. Padahal pada saya, eloklah kalau pemimpin dah bercakap ada rujukan Al-Quran, ada rujukan hadis walaupun saya tidak termasuk dalam golongan orang lama. Tapi asalkan kupasan itu tidak bercanggah dengan pemahaman Islam.

 

  1. Yang saya bacakan itu adalah kisah yang disebut dalam Al-Quran, diceritakan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW:

 

Naḥnu naquṣṣu ‘alaika naba`ahum bil-ḥaqq, innahum fityatun āmanụ birabbihim wa zidnāhum hudā

Wa rabaṭnā ‘alā qulụbihim iż qāmụ fa qālụ rabbunā rabbus-samāwāti wal-arḍi lan nad’uwa min dụnihī ilāhal laqad qulnā iżan syaṭaṭā

(Surah Al-Kahfi Ayat 13 – 14)

 

Ayat itu menyatakan bahawa “akan aku ceritakan kepada kamu kisah yang sebenar”, kemudian saya kaitkan dengan Quranic Interpretation of History. Penafsiran sejarah Quran ini dia tidak pada masanya, pada siapanya selain daripada Nabi-nabi ataupun kisah-kisah sama ada Firaun atau Qarun. Tapi yang ditekankan ialah mesej, risalah, nilai, itu yang ditekankan dalam Islam. Sebab itu ada pertikaian tentang masa dia. Anak-anak muda ini selamat daripada, atau menolak sistem di luar Raja Roma Decius yang memaksa. Ada satu tafsiran kata orang-orang Kristian, ada yang kata tidak, tapi memaksa orang-orang penduduk di situ menyembah berhala, zalim, ganas, membunuh, mendera. Mereka itu lari ke gua diselamatkan dengan tidur 309 tahun dan Quran menjelaskan, yang penting di sini apa? Ada keimanan, ada nilai, ada akhlak, ada prinsip menolak syirik, menolak kezaliman, menolak kebobrokan dalam sistem, itu yang nak disampaikan, itu yang saya sampaikan. Orang ini selain daripada beriman, kerana terpahat dalam hati sanubari mereka itu percaya kepada yang menjadikan langit dan bumi itu adalah Allah SWT.

 

  1. Raja Romawi itu Decius, dalam The Golden Legend, iaitu kitab sahih orang-orang Nasrani, yang menyatakan Seven Sleepers of Ephesus (nama tempat). Jadi disebut di situ dan ini diterima pertama oleh Orthodox Church, kemudian menyeluruh di kalangan penganut agama Kristian. Mesej dia adalah sepertimana saya bercakap kepada penjawat awam, iaitu kemampanan itu penting, energy transition itu penting, digital transformation itu penting, akan tetapi mendasari ini semua adalah keperluan kita mempertahankan iman, akhlak dan nilai. Itu mesejnya.

 

  1. Tenggelam mesej itu, malah saya diserang kerana dikatakan saya pemimpin yang tidak waras dan sebagainya. Tapi yang saya kata menarik kerana ramai ulama-ulama, ustaz-ustaz, asatizah yang mengupas. Dikaitkan umpamanya yang dalam tafsir Ibn Kathir disebut juga, ada kelompok yang percaya kalangan ini orang Nasara. Nasara ini kalau disebut dalam istilah sekarang ini, Isa ini daripada Nazareth. Nasara ini disebut dalam Al-Quran. Atau Al-Masih, Al-Masih itu diterjemahkan dalam bahasa Yunani itu sebagai Kristus yang jadi Kristian. Sebab itu Majlis Fatwa Azhar dan Majlis Fatwa Jordan mengesahkan boleh guna Al-Masih, boleh guna Nasara, boleh guna Kristian dalam konteks unity. Bila yang saya sebut Christian Trity dalam ceramah?

 

  1. Jadi menarik saudara-saudara kalau diikuti kerana perbahasan itu lebih terbuka. Tetapi semuanya menggagaskan dalam mengupas, dalam menegur dan mengkritik jangan sekali-kali mencelah, menghina, apa lagi menuduh orang itu, melaknatkan atau menyesatkan. Dan saya syukur Alhamdulillah kerana apa yang dilontarkan di Perhimpunan JPM ini menimbulkan minat masyarakat terutama anak muda untuk membaca dan menelaah. Jadi bukan sekadar membaca Quran dan menafsirkan tetapi menelaah secara lebih mendalam. Itu saya anggap penting. Nanti di bulan yang lain saya akan kupas Ayat Quran lain dengan tafsir supaya menggalakkan ada perbahasan lain. Tapi saya rujuk JAKIM terlebih dahulu supaya tiada kontroversi.

 

  1. Tapi dalam kes ini saya nak sebut, saya baca ayat Al-Quran itu, dan ada yang mengupas seolah-olah saya tidak baca ayat Al-Quran. Saya hanya mempertahankan 7 orang ini yang tidak beriman, sementara orang Kristian, yang tidak pun saya sebut. Saya ulang teliti semula seluruh ucapan itu yang dirakam dan maksud saya ialah dalam keghairahan kita memacu pertumbuhan ekonomi, digital, meningkat mutu pendidikan, kesihatan, jangan tinggal soal nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak yang baik. Itu yang ditekankan dan ini juga pengajaran daripada kisah anak muda yang mempunyai kecekalan, daya juang, mempertahankan prinsip dan beriman kepada Allah SWT.

 

  1. Susulan daripada ini ialah perbincangan kita dengan Jemaah Menteri, Tan Sri KSN dan pemimpin penjawat awam lain tentang arah tuju kita. Selalunya bila Ketua-ketua Jabatan, KSU, jumpa dalam perbincangan saya dalam Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang turut dipengerusikan oleh Dato’ Sri Fadillah, semuanya akan mencadangkan, minta peruntukan, tambah projek, yang memang dibolehkan. Tetapi ada kaedah baru yang kita nak perkenalkan. Mesti ada laporan bulanan, apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara-saudara dalam usaha melaksanakan projek-projek itu. Laporan bulanan tersebut harus dihantar sama ada melalui KP atau Datuk KSU kepada KSN dan juga untuk makluman saya, supaya ada pendekatan yang agak berbeza. Kita semua diamanahkan dan kita tidak mahu tunggu laporan satu tahun, setiap bulan mesti ada kemajuan yang jelas. Sumbangan saudara-saudara melaksanakan sama ada menjadikan negara ini seperti dalam doa sebentar tadi, Negara MADANI ataupun Ekonomi MADANI dan dasar-dasar yang kita telah cerakinkan dalam peralihan tenaga ataupun transformasi digital ataupun pelan perindustrian dan juga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

 

  1. Jadi saya harap hal ini dapat dilakukan bersama-sama dengan usaha perubahan. Saudara tahu dalam sistem politik, dalam Kerajaan, Jemaah Menteri, kita juga cuba melakukan kaedah-kaedah yang baru. Kalau ada yang dahulunya baik kita teruskan, tetapi pendekatan kita harus berubah. Sebab itu umpamanya kita tidak meneruskan dengan cara rundingan terus untuk mengelakkan kecelaruan, salah guna. Jadi hal-hal ini ditekankan, kemudian di setiap Kementerian ada pendekatan yang harus lebih berani. Walaupun ada desas-desus pelbagai hal, tapi saya yakin Insya-Allah, Kerajaan kita stabil. Oleh kerana kestabilan ini, kita nak gunakan sepenuhnya untuk melaksanakan program untuk mengangkat martabat negara kita. Pendidikan tidak boleh dengan acuan yang lama, penguasaan bahasa harus lebih baik, tetapi peningkatan penggunaan penguasaan Bahasa Inggeris harus diberi keutamaan. Program digital harus dilakukan secara lebih drastik, agresif daripada yang dulu, kalau tidak kita akan ketinggalan.

 

  1. Begitu juga dengan program-program lain di Kementerian-kementerian lain, umpamanya Kementerian Digital. Saya bentuk kementerian khas kerana saya tidak fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas, dengan tahap kelajuan yang dicapai oleh beberapa negara lain tanpa fokus dalam bidang digital. Tetapi digital juga seperti mana saya sebut kepada rakan-rakan JAKIM, itu melibatkan juga soal nilai. Digital ini satu prakasa baru yang menekankan soal teknologi baru, tetapi kita mesti mengakar ke bumi. Kita ada sistem keyakinan kita, ada nilai kita, jadi hal ini harus kita dekati. Sebab itu dia merentas, jabatan dan kementerian. Tapi janganlah fikir dalam kerangka lama, “It’s my department, it’s my ministry,” tidak boleh lagi. Mesti merentas kementerian. Kalau law dia melibatkan semua, kalau JAKIM saya sebut mesti melibatkan semua. Kalau tidak dia jadi hanya satu cabang kementerian agama yang tidak ada kaitan dengan yang lain.

 

  1. Yang kita bicara soal pendidikan, kesihatan, soal undang-undang mesti ada. SPRM umpamanya, mesti jelajah dan rangkaian itu ke seluruh Jabatan dan Unit supaya faham dan bertindak. Mudah-mudahan dengan pendekatan ini dan juga peningkatan Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk melanjutkan beberapa acara reform penjawat awam, kita dapat berdepan, maju di tahun 2024 ini di tahap yang lebih cemerlang, insya-Allah. Dan saya tentunya bergantung kepada rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri. Penekanan juga banyak kepada keupayaan dan prestasi penjawat awam serta kerjasama yang amat memuaskan dan membanggakan kita semua.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.