TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN AI UNTUK RAKYAT
16 JANUARI 2024 | SELASA
DEWAN BESAR, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusolli Ala Rasoolihil Kareem
YB Tuan Rafizi Ramli
Menteri Ekonomi,
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
KSU, Naib Canselor, wakil Intel, dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah sekali lagi kita dapat bersama dalam satu ikhtiar yang sangat bermakna dalam menjayakan program Negara MADANI dan program Transformasi Digital. Saya ucap tahniah kepada saudara Rafizi dan Kementerian Ekonomi kerana mengambil ikhtiar menyegerakan pelaksanaan program pertamanya, PADU yang juga terkait dalam pelaksanaan Transformasi Digital. Pada hari ini satu lagi peluncuran yang sangat bermakna dalam menganjak negara memacu program dan ikhtiar untuk meningkat kefahaman dalam kalangan rakyat tentang Artificial Intelligence (AI).
Saudara-saudari saya muliakan,
- Penerokaan pemikiran dan teknologi baharu sudah pastinya menghadapi sedikit kebimbangan, sedikit tentangan, sedikit keraguan dan sedikit kerisauan. Saya masih ingat tatkala mempopularkan komputer di seluruh negara pada tahun 80-an, banyak pertimbangan tentang bahan-bahan yang mungkin tidak kompromi tentang soal akhlak, pornografi dan sebagainya. Jadi saya tengok apa kaedah yang boleh digunakan untuk menarik minat terutama di kalangan masyarakat desa di kampung. Saya bawa komputer ke masjid di Permatang Pauh dan kemudian saya tanya Imam, “nak baca surah apa?” Kemudian dia kata “tak apa kita mula Al-Baqarah,” jadi saya petik bunyi Al-Baqarah. Itu cara saya meyakinkan masyarakat yang pada ketika itu sangat risau tentang pengenalan suatu teknologi baharu. Keadaan sekarang tentunya berbeda, kebimbangan yang berlaku pada tahun 80-an tidak sangat merunsingkan pada tahun 2024.
- Ini juga yang disebut oleh saudara Rafizi sebagai digital divide. Apa dia permasalahan dalam soal digital? Pertama, ia merupakan satu teknologi baharu yang mencabar, yang dalam beberapa keadaan memerlukan suntikan aspek prakarsa dan prasarana awal. Kedua, ia memanfaatkan golongan elit bandar sehingga menyebabkan kesenjangan melebar dalam kalangan rakyat biasa sama ada miskin bandar, desa dan pedalaman, itulah kebimbangan kita. Tetapi apa yang dilakukan oleh Kerajaan khususnya Kementerian Ekonomi pada hari ini adalah mengenal pasti masalah ini dan mencari penyelesaiannya. Justeru, apa yang diluncurkan hari ini adalah untuk memastikan supaya AI itu tidak lagi janggal bagi rakyat keseluruhannya.
- Saya ucap terima kasih kerana dengan kerjasama MyDIGITAL dan Intel, satu tajuk baharu, AI Untuk Rakyat telah diperkenalkan, merupakan satu bidang penerokaan teknologi baharu. Ini merupakan ikhtiar dan inisiatif yang diambil oleh MyDIGITAL dan Kementerian Ekonomi. Kita baru sahaja meluncurkan Transformasi Digital beberapa bulan lalu, diikuti dengan PADU dan hari ini AI Untuk Rakyat, yang bertujuan supaya rakyat tidak ketinggalan.
- Tetapi seperti mana-mana prakarsa dan aplikasi baharu yang diperkenalkan, kalau tidak disambut segera dengan kepantasan yang diperlukan, kita akan ketinggalan. AI ini seperti mana teknologi baharu adalah satu bidang yang mesti dikuasai sekarang dan mesti diterima kelajuan perubahan yang memaksa kita untuk cepat mengadaptasikannya. Jadi kalau diperkenalkan hari ini, kemudian mengambil tempoh tiga (3) bulan untuk pihak universiti dan sekolah memikirkan dan merencanakan, 6 bulan baharu hendak minta pelajar-pelajar mengikuti pembelajaran AI Untuk Rakyat yang disediakan, maka kita ketinggalan satu tahun. Kita tidak ada waktu.
- Naib Canselor ada di sini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi juga ada, pastikan semua pelajar tanpa terkecuali, terutama di universiti, mesti mengikuti program 4 jam AI Untuk Rakyat. Program ini bukan hanya untuk pelajar-pelajar dalam disiplin IT atau AI, tetapi pembelajarannya harus merentasi disiplin pengajian, merentasi Kementerian dan Jabatan. Ia harus bermula dengan pensyarah. Saya juga baru menyebut kepada saudara Rafizi sebentar tadi, AI Untuk Rakyat ini harus bermula dengan Perdana Menteri.
- Justeru, kita perlu cepat menguasai dan tumpu kepada AI. Kadang-kadang kita terheret dengan perbincangan soal lain. Kita terhambat, leka dengan isu-isu yang merosakkan, melemahkan sendi kekuatan negara. AI, bukan sahaja membuka peluang pelaburan, soal penerokaan alam pemikiran dan ilmu baharu, AI mempunyai potensi yang pelbagai. Jadi, kita tidak mahu ketinggalan.
- AI juga melibatkan tatacara dan tatakelola yang baik. Saya ulas ini kerana ada kecenderungan termasuk dalam kalangan golongan elit dan suara-suara bebas yang tidak pernah menyuarakan secara keras menentang rasuah dan memperbaiki tatakelola, bahkan seolah-olah cuba melindungi perasuah-perasuah besar serta kurang senang dengan tindakan keras memerangi rasuah. Kerana perasuah besar tu memberi makna kepada dana berbilion, boleh menguasai media sosial, boleh membeli beberapa tokoh politik, dan boleh memberikan dana kepada beberapa parti politik.
- Tetapi, apa kaitannya dengan MyDIGITAL dan AI? Semua ini boleh berhasil sekiranya kita urus negara ini dengan baik. Through good governance, transparent system, leadership that is accountable. Ini yang kita hendak terapkan supaya negara ini diurus dengan baik, dasar yang jelas, kepintaran pengurusan dan penjawat awam yang pantas dan tuntas serta prakarsa yang pragmatik. Kadang-kadang wacana kita riuh rendah soal-soal lain. Ada mantan-mantan pemimpin yang sibuk hendak melindungi kesalahan mereka dengan mencerca rakyat, “Orang Melayu malas, orang Cina dan India tidak taat kepada negara”. Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita dan saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita harus tumpu kepada usaha-usaha mengangkat darjat dan martabat negara.
- Walaupun kita bicara soal transisi tenaga, Transformasi Digital dan AI, kita tidak sekali-kali pernah meninggalkan soal nilai, akhlak dan jati diri. Sebab itu saya katakan “menggapai langit tetapi tetap mengakar ke bumi”. Mengakar ke bumi bermaksud, budaya kita, agama kita, sistem nilai kita tetap dalam dukungan dan menjadi asas dalam AI.
- Menyebut tentang kebimbangan terhadap perubahan teknologi baharu bahawa manusia sintetik ini, iaitu AI akan menguasai manusia sehingga hilang nilai keinsanannya. Tetapi yang dijawab oleh beberapa tokoh AI itu menarik, antaranya, NVIDIA dan Ruth Yankson menyebut bahawa terserah kepada kepakaran yang ada. Ini bermaksud betapa canggih dan modennya apa yang dihasilkan oleh AI, aspek asas sejarah, budaya, agama, akhlak, dan sistem nilai tidak dibelakangkan. Sebab itu bagi saya kita tidak harus takut. Seperti mana juga bila kita perkenalkan komputer suatu ketika dahulu, kita katakan firewalls itu tidak semestinya di luar, firewalls itu melalui didikan keluarga dan di dalam sistem pendidikan. Jadi benteng pertahanan iman dan mental itu harus disemai melalui sistem pendidikan kita di rumah dan juga menerusi sistem pendidikan formal. Jadi saya rumuskan di sini bahawa terdapat dua (2) kebimbangan kita mengenai AI, iaitu digital divide dan hilangnya nilai manusiawi.
- Kebimbangan yang sama dirasai apabila kita menyebut tentang industrialization ataupun industrial revolution. Kita bimbang industri akan melupuskan nilai kemanusiaan, dehumanisation of men. Perkara inilah yang sering dibicarakan dengan panjang lebar oleh rakan-rakan generasi saya iaitu soal terhakisnya nilai kemanusiaan kerana asakan kekuatan industri teknologi yang hebat. Hal itu masih relevan tetapi seperti yang kita tahu revolusi industri itu tidak menghakis nilai keinsanan manusia. Semuanya terletak kepada diri kita, bagaimana kita merencanakan untuk mempertahankan mengakar di bumi dengan meletakkan nilai dan asas yang baik. Jadi saya percaya dalam menangani kebimbangan yang diungkit berkaitan AI, ia memerlukan kekuatan jati diri, kekuatan asas, budaya, agama dan nilai.
- Saya juga ingin memberi penekanan kepada Perkhidmatan Awam, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan, jangan tunggu bulan Februari. Saya mahu menetapkan unjuran baharu, iaitu satu juta pengguna sebelum tamatnya satu tahun pelaksanaan AI Untuk Rakyat berbeda dengan unjuran saudara Rafizi yang disebut 3 tahun satu juta rakyat. Justeru, dalam tempoh beberapa hari ini mesti ada usaha memperkenalkan aplikasi ini dalam kalangan penjawat awam, pelajar pendidikan tinggi dan sekolah.
- Seperti mana arahan untuk hal yang lain, laporan mengenai pencapaian AI Untuk Rakyat bagi tempoh satu bulan selepas pengumuman ini mesti dikemukakan. Semua KSU, KP dan Naib Canselor harus mengemukakan laporan kepada Kementerian masing-masing, apa usaha-usaha kecelikan budaya AI yang telah dilaksanakan dan jumlah peserta yang sudah menamatkan pembelajaran 4 jam bagi AI Untuk Rakyat. Saya anggap cabaran ini juga termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Jadi dalam satu bulan semua ahli Jemaah Menteri akan beri laporan, sementara sekretariatnya adalah saudara Rafizi.
- Saya ucap tahniah, “My appreciation, gratitude to Intel Malaysia for this profound contribution to the general literacy and awareness of all Malaysians, and it will be of immense help, in assistance to us all if we do take this very seriously as a learning curve to introduce a very pertinent subject that will decide critically, the future of this nation.”
- Atas usaha Intel ini juga, semalam Huawei dan Ericsson beri mesej yang sama bahawa mereka akan bantu. Jadi ini akan memberi harapan kepada kita supaya lonjakan ini dapat ditingkatkan. Oleh itu, saya berharap agar semua rakyat, bermula pada malam nanti sudah boleh mendapatkan pengenalan mengenai AI menerusi ai.gov.my. Anak-anak, sebelum mendapat arahan daripada Naib Canselor, anda juga sudah boleh mulakan pembelajaran tentang AI. Daripada kita sibuk soal remeh, elok kita tumpu hal ini. Kita jayakan negara kita, kita angkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di rantau kita. Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM