TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN PADU (PANGKALAN DATA UTAMA)

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN PADU (PANGKALAN DATA UTAMA)

2 JANUARI 2024 | 12.00 TENGAH HARI

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Wa Nusallimu ‘ala rasoolil kareem.

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi

Timbalan Perdana Menteri,

Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi bin Ramli

Menteri Ekonomi,

Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo

Menteri Digital,

Menteri-menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Ketua Setiausaha, rakan-rakan yang saya muliakan.

 

1. Alhamdulillah kita menyaksikan satu lonjakan baru dari sudut pemahaman dan pelaksanaan. Apa yang kita maksudkan dengan Transformasi Digital yang kita umumkan tahun lalu. Negara tidak ada pilihan, sekiranya kita mahu pacu pertumbuhan, bersaing dengan negara-negara lain dan menjamin Malaysia sebagai sebuah negara mampan dan berjaya terutama bidang ekonomi dan pembangunan, maka sudut pelaksanaan digital itu sudah menjadi kritikal dan mendesak. Sebab itu saya putuskan untuk mewujudkan Kementerian Digital.

2. Pada hari ini kita perkenalkan sistem PADU, Pangkalan Data Utama. Sepertimana yang dijelaskan oleh saudara Rafizi sebentar tadi, pertama, ia adalah selaras dengan pendekatan dan Dasar Transformasi Digital. Kedua, menjamin supaya manfaat dan kemudahan itu dinikmati oleh orang yang berhak menerimanya. Sudah tentu dengan cara yang sedemikian dapat mengurangkan kos dan mengurangkan ketirisan.

3. Bila disebut penyasaran subsidi, ia tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pendekatan PADU dan Transformasi Digital yang kita sebutkan tadi. Ini kerana belanja kerajaan umumnya termasuk dalam beberapa perkiraan perbelanjaan yang merangkumi semua bidang dan kementerian tidak lain tujuannya untuk membantu rakyat miskin terutama di desa, pedalaman, nelayan, petani, pekebun kecil, dan pekerja bandar yang mencecah sehingga 22 bilion ringgit. Dalam semua kajian memperlihatkan bantuan tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasar.

4. Subsidi yang diberikan oleh Kerajaan diperkirakan dengan nilai ringgit sekarang itu mencecah hampir 80 bilion ringgit dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal-hal ini tidak dapat diperbaiki. 80 bilion ringgit itu tidak semuanya sampai kepada rakyat kerana seperti yang kita tahu, 3.5 juta bukan warganegara memperoleh manfaat yang juga tentunya kalau dikumpul kesemuanya mencecah lebih 10 bilion ringgit.

5. Penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital seumpama PADU ini akan menyebabkan golongan yang maha kaya, mendapat manfaat. Contohnya, pendekatan yang sama dilakukan oleh Kementerian Sumber Asli baru-baru ini, iaitu berkaitan penyasaran subsidi elektrik. Istilah subsidi itu sedekah, bantuan kepada orang yang memerlukan. Tetapi amalan di Malaysia tahun demi tahun tidak pernah ditukar bahawa sedekah atau subsidi ini diberi kepada semua rakyat dan bukan warganegara. 3.5 juta bukan warganegara dan rakyat yang paling kaya dalam Malaysia ini yang umumnya menggunakan elektrik jauh lebih tinggi daripada rakyat biasa. Maka Insha-Allah dilaksanakan sudah tahun ini dan hasilnya mengikut unjuran penjimatan lebih 4 bilion ringgit. Kerana subsidi tidak diberikan kepada golongan maha kaya dan subsidi tidak diberikan kepada warga asing, jadi kita jimat 4 bilion hanya dari segi elektrik.

6. Sebab itu bila ada sesetengah kalangan yang membantah, saya tanya, yang bantah ini kamu nak pertahankan siapa? Nak pertahankan warga asing? Nak pertahankan golongan paling kaya? Kerana yang masih menerima subsidi ini adalah 85% rakyat. Bukan naik kadar, bukan naik cukai atau tarif. Hanya menarik balik subsidi kepada golongan yang paling kaya tetapi insentif lain diteruskan.

7. Kita juga mahu pelaburan masuk dan alhamdulillah sepanjang tahun lalu kita lihat peningkatan lonjakan pelaburan sangat tinggi. Ini terkait dengan apa yang disebutkan tadi oleh saudara Rafizi iaitu kerja ini kerja pasukan, PADU, Kementerian Ekonomi, DOSM dan semua kementerian yang harus memberikan sumbangan dan kerjasama selain MAMPU.

8. Begitu juga dengan pelaburan yang mencecah jumlah yang begitu tinggi 300 bilion ringgit itu kerana peranan MITI, peranan Kementerian Luar, peranan kementerian-kementerian lain yang memberikan penegasan keyakinan tentang dasar. Kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan dan dasar lama. Dasar ini termasuk transisi tenaga ataupun peralihan tenaga (energy transition), serta dasar mengenai Digital Transformation atau Transformasi Digital yang telah kita perkenal dan jelaskan. Ini termasuk juga pelan perindustrian yang melakukan anjakan dari pendekatan lama mengikut sektor kepada mission-based.

9. Hal ini boleh dilihat oleh pelabur-pelabur dan mereka juga tahu pertamanya sistem politik kita yang kian stabil. Yang kedua, mereka juga melihat dasar sedia ada yang disebut clarity. Jadi sebab itu kebanyakan pelabur berminat untuk datang sekiranya mereka telah dijelaskan dengan dasar-dasar dan pelan kita seperti bidang sektor tenaga dan pelan Transisi Tenaga. Dari aspek digital umpamanya, Elon Musk, Jensen daripada NVIDIA dan Infineon telah maklum pendekatan kita tentang Transformasi Digital, pelan perindustrian dan tentunya Ekonomi MADANI. Dan ini membantu. Siapa yang persiapkan? Itu adalah seluruh jentera Kerajaan dan sebab itu di antara kebanggaan kami ialah bila kita perkenalkan umpamanya IDN (National Digital Identity), yang dikelola oleh MIMOS dengan kerjasama jabatan-jabatan Kerajaan, sementara PADU dikelolakan Kementerian Ekonomi dengan DOSM dan MAMPU. Ini menunjukkan keupayaan jentera Kerajaan itu yang mampu mengolah perkara baru dengan usaha mereka sendiri tanpa terlalu bergantung kepada konsultan-konsultan antarabangsa yang menyebabkan kos meningkat tinggi. Jadi saya ucapkan sekali lagi terima kasih dan tahniah kepada jentera ini.

10. Itu di antara perkara yang akan ditangani awal. Saya pengerusikan bersama KSN dan JPA untuk melihat kepada prestasi penjawat awam yang begitu membanggakan. Kalau ada pun kelemahan-kelemahan kecil yang akan dipantau oleh SPRM, tetapi umumnya secara menyeluruh sangat membanggakan. Oleh itu, kita memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam. Saudara harus percaya, kita tidak dapat menyegerakan pada awal tahun lalu kerana kita warisi kedudukan kewangan yang sangat merumitkan. Hutang negara pada masa itu masih 1.5 trillion ringgit dan defisit 5.6%. Alhamdulillah dengan kerjasama semua pimpinan Jemaah Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha dan seluruh kementerian dan agensi dan sektor swasta, kita dapat kurangkan menjadi 5%. Maknanya kalau kita ada fokus yang jelas dan komitmen serta iltizam untuk melaksanakan dengan baik itqan fil amal, dengan cekap dan kesungguhan, saya percaya ia boleh dilakukan seperti mana peluncuran PADU pada hari ini.

11. Saudara mesti ingat hari ini 2 Januari, maknanya semasa kebanyakan kita ambil waktu untuk cuti, tenaga induk di sini tidak dapat bercuti kerana perlu menyiapkan majlis peluncuran pada hari ini. Jadi, ada keistimewaannya, benar sebagaimana Datuk Seri Zahid dalam ucapannya sebentar tadi ada menyebut tentang melabuh tirai tahun lalu. Kita mula dengan lebih yakin tahun ini, melaksanakan dasar yang kita umumkan maknanya saudara-saudara, dia menuntut kerja yang bersungguh-sungguh.

12. Saudara, apa yang hendak kita bangunkan ini bukan saja PADU, kita hendak bangunkan ini agar sistem negara lebih canggih dan mampu bersaing. Ia memerlukan satu tekad yang baru dan jangan sekali-kali tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan. Tanpa PADU pelaksanaan berkesan terlalu banyak kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab mengapa masih ada kelompok yang dianggap miskin dalam negara kita. Anggaran belanja membantu orang miskin adalah 22 bilion, sementara subsidi sebanyak 80 bilion ringgit. Something wrong somewhere.

13. Pendekatan kita ini merupakan antara kaedah untuk memperbaikinya dan dari segi tekad kita, saudara percayalah. Saya bersyukur, kita punyai satu pendirian dalam Kerajaan Perpaduan untuk jelas dengan dasar-dasar yang saya mulakan dulu dengan tata kelola dan melawan rasuah dengan bersungguh-sungguh. Jadi saya ucap tahniah atas kegigihan SPRM untuk bertindak tanpa mengira siapa. Dan alhamdulillah kita telah catat kesungguhan kita yang jarang dapat berlaku dalam mana-mana negara apa lagi negara membangun dan negara di dunia. Tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh yang dianggap terlepas daripada apa saja bentuk penyiasatan dan tindakan. Kamu curi dana negara, kamu punggah kekayaan negara, sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri-menteri, kamu ingat, kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini.

14. PDRM bulan lalu mencatat satu lagi tindakan dan kejayaan. Ratusan ribu anak-anak kita terlibat dalam dadah dan terpaksa belanja ratusan juta ringgit satu tahun untuk menangani masalah ini. Puluhan ribu yang berjaya ditangkap dalam kalangan penagih dan pengedar-pengedar peringkat bawah. Sukar diambil tindakan terhadap pengedar-pengedar besar, tauke-tauke besar yang terlibat dalam dadah. Maka saya salute PDRM kerana telah menjelajah ke Sabah dan ambil tindakan yang tegas. Jadi cerita-cerita bahawa jerung terlepas tidak timbul lagi. Sekarang tumpuan kita kepada jerung-jerung supaya anak-anak ikan akan lebih beringat.

15. Saya syukur kerana ketegasan kita walaupun satu Jemaah Menteri terdiri pelbagai kaum pelbagai agama, tetapi dalam beberapa dasar utama atas nama kemanusiaan, kita tidak lagi mengikut pendekatan lama termasuk umpamanya bicara dengan keras menentang pencerobohan dan jenayah Zionis Israel ke atas Palestin dan Gaza. Saya berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana mengingatkan saya tentang laluan kepada penerbangan mereka dan kapal-kapal mereka yang berlabuh di sini. Hal ini patut dibetulkan dan dilarang kemasukan kapal-kapal Israel ke bumi Malaysia. Ya benar ia melibatkan sedikit kerugian tapi saya percaya lebih banyak keberkatan kerana kita menunjukkan ada keyakinan dan ada sifat perikemanusiaan.

16. Jadi terima kasih kepada saudara Anthony Loke kerana dia yang pertama mengingatkan saya, apakah harus kita teruskan dengan dasar yang dibuat pada tahun 2002 dulu iaitu membenarkan. Saya kata ini aneh, tidak mungkin satu negara yang merdeka dan berdaulat yang mempunyai perikemanusiaan, yang benci dengan kezaliman dan pembunuhan anak-anak boleh biarkan mereka berleluasa tanpa tindakan. Kita tidak ada kekuatan lebih daripada itu tetapi sekurang-kurangnya kita ada kesungguhan dan menunjukkan tekad untuk membetulkan keterlanjuran yang berlaku dahulu. Terima kasih kepada rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri.

17. Jadi saudara-saudara, kita luncurkan Pangkalan Data Utama PADU ini dengan akui penyelarasan itu perlu diteruskan dan seperti mana ditekankan tadi, baik pulih dipantau dengan teliti. Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri saya minta supaya KSN juga bantu pantau supaya pelaksanaan itu benar-benar dapat mencapai matlamat yang diidam-idamkan.

18. Saudara-saudara, hari ini kita luncurkan sesuatu pendekatan aplikasi yang baru yang sangat penting. Ia bukan soal menjamin saluran subsidi itu sampai tetapi ia menunjukkan keupayaan kita dan penyertaan masyarakat keseluruhannya. Satu perkara yang saya terlepas tadi iaitu apabila kita bicara soal Transformasi Digital. Ini peringatan kepada saudara Gobind, kerana seringkali tertinggal golongan miskin bandar di pedalaman, di desa, kerana kesenjangan lebih melebar. Menerusi pendekatan digital, tujuan kita mengurangkan kesenjangan, dan kesenjangan yang lebih melebar. Kaedah yang diperkenalkan melalui PADU ini secara tidak langsung memaksa setiap warganegara faham tentang Transformasi Digital dan menggunakan sistem PADU. Dengan sendirinya, kita ada pencerahan kecelikan budaya dan kecelikan digital.

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.