TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN NOVEMBER 2023
6 NOVEMBER 2023 | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa Qaiyimal liyunzira baasan shadeedam mil ladunhu wa yubashshiral mu’minin Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YB Datuk Armizan Mohd Ali,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas);
YB Tuan Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi);
YB Datuk Ugak Anak Kumbong,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan
YBhg. Datuk Awang Alik Jeman,
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK)
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya mulakan dengan mukadimah doa. Kita bersyukur kerana turunnya kitab yang saling memperingati bahawa tradisi menimba ilmu itu bermula dengan semangat membaca Al-Quran.
- Pada Hari Keluarga yang lalu, saya menyebut tentang Abdullah Abdul Kadir Munshi (Abdullah Munshi), tatkala beliau melawat Melaka atas persoalan yang dibangkitkan oleh Stamford Raffles iaitu “apa yang dilakukan oleh anak-anak kecil, anak-anak Melayu di Melaka?”. Abdullah Munshi menjawab “mereka bermula dengan membaca Al Quran”. Maknanya sebaik sahaja kenal ibu bapa, mereka terus diminta untuk mengenali Allah dan membaca Al Quran. Kemudian tentunya, asas Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain.
- Tradisi itu harus kita dihidupkan bukan sekadar membaca Al-Quran tetapi mestilah hudan lin nas wa bayyinatin minal huda wal furqan kerana kekuatan Al-Quran itu adalah sebagai petunjuk kepada manusia dan dapat membezakan di antara yang baik dan yang buruk (penilaiannya – Furqan).
- Apa yang saya nak sampaikan ialah dalam simpang siur kerja, politik dan pentadbiran, kita harus mengekalkan asas untuk menimba ilmu, memperingatkan tentang adanya tanggungjawab kita Hablumminallah Walhablumminannas, tanggungjawab kepada Allah dan tangggungjawab kepada manusia.
- Kita sebut begini kerana dalam negara MADANI ini, kita tidak boleh lari daripada keyakinan dan kepercayaan yang menetapkan soal nilai dan akhlak. Kerana kalau kita tidak mendalami, kita hanya menyerahkan kepada beberapa kalangan yang kadang-kadang membuat penafsiran mengikut kefahaman mereka masing-masing.
- Pernah Islam itu menjadi teras kepada Sosialisme di dunia Arab yang dipanggil Istirakiyah Islamiyah. Teras Islam itu menjadi satu tunggangan bagi yang berkiblatkan sepenuhnya kepada barat termasuk satu kitab penting tentang An Imam in Paris dan beberapa tokoh ilmuan Mesir itu sendiri.
- Disebabkan itu dalam sejarah kebangkitan kesedaran dan kebangsaan Mesir, terdapat pertelagahan besar di antara Khalid Muhammad Khalid yang menulis sebuah buku tentang bagaimana kita harus mula dan berhadapan untuk mencari kemerdekaan, identiti dan jati diri bagi negara Mesir. Beliau menulis – Where do we begin? From where do we start? Min Huna Nabda’ (Dari sini kita mulai). Dari mana harus kita bermula tetapi natijahnya itu ke barat. Kalau negara Mesir hendak maju mesti kiblatnya itu ke arah barat, kata seorang Sheikh terkenal. Pengaruh seumpama ini juga ada dalam karya-karya awal di negara kita. Tidak ada salah untuk menimba beberapa pengalaman di barat tetapi jangan hilang Jati diri kita sebagai seorang Muslim, sebagai anak Malaysia dengan kebanggaan budaya dan tamadun Asia.
- Kemudiannya disambut oleh salah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin ketika itu, Muhamamd Al Ghazali dengan meluncurkan siri tanggapan terhadap buku Khalid Muhammad Khalid menjadi Min Huna Na’lam (Dari sini kita tahu) – We begin with knowledge and wisdom. Itu jawapan beliau dalam terjemahan Bahasa Inggeris.
- Saya ingn sebutkan di sini bahawa berlaku perbenturan idea. Maksud perbenturan itu adalah percanggahan atau pertelingkahan atau pertembungan idea. Itu memang berlaku dan tidak ada salahnya kalau perbahasan itu seperti mana juga dalam doa tadi bilhikmati walmaw ‘izatil hasanati wa jaadilhum billatee hiya ahsan, yang bermaksud janganlah kita lupa bahawa perbezaan pendapat itu tidak semestinya menyebabkan kita pantas menghukum, mencela, menghina apa lagi memfitnah. Berbincanglah dengan baik kerana ini pendekatan Al-Quran yang disebut bil-hikmah.
- Apakah intisarinya? Supaya Malaysia ini, budayanya, usaha membina MADANI dan tamadun ini tidak lari daripada jati diri dan semangat yang boleh diangkat berdasarkan keyakinan kita yang berteraskan kepada nilai, kerana kalau Islam itu difahami dengan lebih mendalam, tidak timbul permusuhan antara kaum atau antara agama sebaliknya akan timbul kesedaran untuk bertoleransi, hormat-menghormati dan apa yang disebut di dalam Al-Quran, Lita’arafu. Al-Quran memilih satu istilah bukan setakat tolerance. Tolerance bermaksud sikap saling mengenali tetapi berbeza pendapat. Al-Quran menyatakan tentang perbezaan warna kulit dan kaum itu Lita’arafu (untuk arif, kenal, menyantuni, lebih memahami dan memuliakan perbezaan).
- Jadi saya tekankan disini kerana kadang-kadang dalam beberapa perkara, pertelingkahan kita terlalu tajam dan sebab itu saya katakan tunggak dan asas dalam pemikiran MADANI ini mesti soal nilai dan soal akhlak.
- Anything which is a philosophical treaties, on in the realm of ideas, its more complex and challenging. Sebab itu ia memerlukan perbincangan yang lebih dan saya berharap perkara ini daripada rakan-rakan, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Pengarah. Selain daripada kerja-kerja biasa, mukadimah itu harus ada sedikit penekanan tentang beberapa perkara asas kerana penjawat awam ini mempunyai satu tugas yang lebih daripada petugas dan profesional lain di luar kerana mereka mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi bukan sekadar menjalankan tugas-tugas biasa dalam Jabatan.
- Terkait dengan ini, saya menyebut sedikit tentang perkembangan mutakhir di Palestin yang amat merunsingkan kita kerana belum ada petanda Israel akan menghentikan serangan. Kalau saudara-saudara lihat umpamanya semua persoalan dalam media dominan antarabangsa menyebut, “Apakah kamu mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober?”, namun serangan 70 tahun tanpa kesudahan tidak pula di persoalkan.
- Sebab itu dalam ucapan-ucapan saya, saya tegaskan. Apabila Rusia menakluki wilayah dianggap miliknya di Ukraine, itu dianggap suatu yang tidak bertamadun kerana merampas negeri atau hak milik orang lain. Tetapi tindakan Israel yang terus mengembangkan wilayahnya setiap tahun dan ada yang diberikan umpamanya alasan di tebing barat itu tidak ada Hamas tetapi sudah lebih 4,000 korban sebelum 7 Oktober, perihal tersebut bukan suatu masalah.
- Mengapa dengan kecanggihan, pemikiran, memikir soal nilai, soal agama, orang begitu sekali terheret dengan sentimen kebencian satu sama lain?
- Kita telah menghubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turki malah Iran untuk mengadakan perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin negara. Saya mengusulkan bahawa jangan hanya perkara ini dibincangkan di dikalangan pemimpin negara-negara Islam kerana negara seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China juga mempunyai pendekatan yang lebih lunak.
- Bolivia punyai pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan tetapi apabila dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin, belum ada konsensus untuk membawa negara-negara luar Islam dalam perbincangan.
- Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammad bin Salman serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dan keputusannya ialah untuk mengadakan dalam tempoh segera mungkin dalam satu atau dua hari ini untuk ditetapkan beberapa tarikh yang boleh mempertemukan pemimpin negara Islam.
- Apa yang positifnya disini? Yang positifnya adalah belum pernah isu Gaza atau Palestin dibahas dengan cara terbuka di dunia barat seperti yang berlaku sekarang. Perhimpunan-perhimpunan atau unjuk rasa yang difikir atau sebutan lazimnya adalah tunjuk perasaan itu adalah amat besar sekali di dunia barat atau Eropah. Kita menerima kunjungan dari beberapa negara dan Malaysia dalam sejarah mutakhir ini jarang mendapat kunjungan dari pemimpin negara luar.
- 2 minggu lalu, Mark Rutte, Perdana menteri Belanda telah membuat kunjungan hormat ke Malaysia. Kita berbincang dari segi ekonomi, masalah mengenai kelapa sawit. Saya tidak tahu bagaimana YAB Dato’ Sri Haji Fadillah boleh memujuk Mark Rutte untuk menanam pokok kelapa sawit yang sebenarnya pada masa sekarang terdapat kempen memboikot minyak kelapa sawit yang kuat di Eropah. Jadi ini memberi satu petunjuk yang sangat positif dan apabila beliau berjumpa dengan saya semasa makan tengahari, saya melihat beliau agak senang dengan tindakan tu dan tertarik dengan penjelasan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah.
- Maksudnya disini, kita tidak boleh menyerah terus dan perlu ada usaha untuk bergabung dengan Indonesia untuk menyatakan pendirian bersama. Saya sentuh juga soal Palestin dalam pertemuan empat (4) mata bersama Mark Rutte. Saya berkata, “saudara mewakili pandangan yang lebih demokratik, lebih prihatin tentang masalah kemanusiaan, jadi Janganlah memilih untuk berprasangka terhadap sesuatu kaum dan janganlah kejam terhadap Palestin.
- Satu perkara yang menarik diberitahu kepada saya ialah pada peringkat awal perang iaitu serangan Israel dengan dengan Hamas, dua pertiga penduduk Belanda menyokong Israel (Pro Israel), tetapi dalam 2 minggu yang lalu, dua pertiga telah secara terbuka menyatakan simpati dan sokongan kepada Palestin dan Gaza.
- Semalam, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkunjung ke Malaysia. Seperti kita sedia maklum, Jepun bersama kita dari segi pelaburan dan persahabatan, tetapi dari segi dasar luar negara itu Jepun lebih ke arah barat khususnya Amerika Syarikat, mungkin kerana Geopolitik negara Jepun dekat dengan Korea Utara dan China. Tetapi dalam pertemuan itu, saya menggunakan juga ruang empat mata dengan mengupas pendirian kita dan sikap yang keras bahawa kita tidak menyokong keganasan.
- Saya beri contoh, satu wilayah di Osaka atau Hiroshima ditakluki oleh orang lain. Adakah kita mengharap penduduk-penduduk di Osaka dan Hiroshima itu hanya berdiam diri? Itu yang saya sebut dan tentunya beliau bantah. Inilah yang berlaku kepada Palestin. Seterusnya, saya berkata bom yang dilempar di Gaza sekarang ini, jauh lebih besar daripada kesan bom di Hiroshima.
- Jadi saya berkata bahawa sebagai pemimpin Jepun beliau tentunya terkesan sehingga sekarang dengan peristiwa di Hiroshima. Jadi dia jawab dengan tegas bahawa dia masih menyokong supaya dihentikan serangan dan ditambah peruntukan kemanusiaan.
- Hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara juga membantu, umpamanya apabila saya berjumpa dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, dalam perbincangan empat mata itu saya terkesan dengan sentimennya. Saya meminta supaya diberikan keutamaan jika ada bantuan kemanusiaan dari Malaysia dan alhamdulillah beliau memegang pada janji beliau, pesawat Malaysia adalah antara yang paling cepat sampai dan diberi layanan dan berjaya menyeberang sempadan.
- Sebab itu saya kata, hubungan dua hala itu penting dan perlu ditingkatkan. Dalam beberapa hari ini, Naib Presiden Republik Rakyat China bakal membuat kunjungan ke Malaysia. Dalam siri lawatannya beliau dijadualkan melawat Kilang Proton di Tanjung Malim di samping program-program berkaitan pelaburan. Saya umum sasaran setengah juta kenderaan untuk pengeluaran. Mudah-mudahan dengan kehadiran beliau, dapat tingkatkan lagi usaha sama dan pelaburan serta Tanjung Malim dapat direalisasaikan sebagai sebuah bandaraya kenderaan automobil yang terbesar di rantau ini.
- Akhir kalam, saya ingin menekankan soal laporan Ketua Audit Negara. Saya mohon semua Ketua Jabatan meneliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai Jabatan berkenaan tetap melihat keseluruhan usul dan cadangan untuk memperbaiki tatakelola. Ketirisan dan kerugian kepada negara itu mencecah bilion ringgit. Ini termasuklah cara kita atur subsidi sekarang yang mana:
(i) Subsidi ayam – RM100 juta sebulan. Diberi keuntungan kepada 3.5 juta orang asing dan juga kumpulan maha kaya yang menjadi pendebatan menarik di Parlimen; dan
(ii) Elektrik – 90% masih diberikan subsidi. Kita tarik subsidi bukan mengenakan cukai tambahan tetap tarik subsidi kepada golongan maha kaya iaitu 10% teratas.
- Kita telah jimat RM4 bilion lebih untuk elektrik dan RM1.2 billion setahun untuk ayam. Jadi apabila kita mengapungkan harga, harga ayam dilihat masih rendah iaitu RM9.40, tidak sampai harga siling yang ditetapkan.
- Jadi kebocoran ini berpunca daripada dasar yang belum dimuktamadkan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi ataupun kerana yang ditegur oleh Ketua Audit Negara, itu harus diberi perhatian.
- Saya berharap agar KSN supaya semua ini diminitkan meminitkan perkara ini kepada Ketua-ketua Jabatan, Ketua Pengarah dan KSU. Perbincangan mengenai laporan Ketua Audit Negara harus disampaikan kepada KSN supaya dipastikan yang pertama, perkara ini dibincangkan dalam kerangka yang besar. Keduanya, secara khusus menyentuh atau menyinggung kedudukan di Jabatan. Dengan cara sedemikian tidaklah kesilapan dan masalah yang sama berulang pada tahun hadapan.
- Menyingkap tadbir urus beberapa tahun yang lalu, terdapat laporan mengenai jam yang sepatutnya berharga RM400 dikenakan harga RM4000, terdapat juga buku sekolah yang tidak sampai kepada pelajar walaupun bayaran telah dibuat. Perkara-perkara sebegini, sekiranya berlaku berulang kali kerana pemantauan kita lemah atau dengan kata lain kerja tanpa nilai (Excellence or attempting to achieve excellence without a soul).
- Mudah-mudahan ayat tesebut bukan sekadar menjadi slogan sahaja tetapi dapat dihayati. Terima kasih, demikian tazkirah pagi dan mudah-mudahan kita dapat tingkatkan usaha kita.
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR