TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS RAMAH MESRA WARGA PETRONAS
29 NOVEMBER 2023 (RABU)
KEMAMAN, TERENGGANU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah thumma alhamdulillah
Wa maa tawfeeqeee waktusaami illa billaah
Alhamdulillahil qawiyyil
Innama ya’muru masajidallahi man amana billahi wal-yaumil-akhiri wa aqamas-salata wa ataz-zakata wa lam yakhsya illallah, fa ‘asa ula`ika ay yakunu minal-muhtadin
Wasallallah hu ala saidina Muhammad
Wa’ala a’lihi wasabihi Ajmaeen
YB Tuan Sivakumar A/L Varatharaju Naidu,
Menteri Sumber Manusia;
YB Khairudin Abu Hanipah,
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak mewakili Menteri Besar;
Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM);
Pegawai-Pegawai, Pimpinan Universiti Teknologi Petronas dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terima kasih kepada ICU dan Kerajaan Negeri juga universiti yang telah bantu menyelenggarakan.
- Saya mulakan dengan membaca sepotong ayat Al-quran yang terkait dengan mengimarahkan masjid kerana pada hari ini saya juga mengambil kesempatan untuk meluluskan peruntukan pembangunan masjid. Bila kita umumkan pembangunan masjid ia tentunya berkait dengan tuntutan Al-quran. Al-quran menetapkan dalam pengalaman pimpinan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dua (2) kategori masjid. Masjid yang dibina “…lamasjidun ussisa ‘alat-taqwa…”, iaitu yang diasaskan kepada ketakwaan kepada Allah SWT ataupun kalau tidak dengan niat yang ikhlas. Jadi Islam itu selalu memberikan penilaian di antara hak dan batil di antara maaruf dan mungkar, kebaikan dan keburukan. Malah dalam pembinaan masjid pun dibedakan masjid ussisa ‘alat-taqwa yang dibina atas niat ikhlas ketakwaan kepada Allah SWT atau masjid yang boleh menjadi tempat porak peranda kerosakan.
- Dalam ayat yang saya bacakan tadi itu disebut tentang tuntutan membangunkan masjid itu tuntutan semua, Innamaa ya’muru masaa jidal laahi, membangunkan masjid itu tanggungjawab semua dan istilahnya bukan membangun atau membina, mengimarahkan fungsi tertentu dalam masjid itu. Jadi sebab itu selalu bila sebelum saya minta ICU pertimbangkan permohonan, saya hendak tahu jawatankuasa masjid sudah buat kerja atau tidak sudah buat persiapan atau tidak, sudah kutip daripada kariah atau tidak. Bila ini disempurnakan barulah kita menambah kelulusan yang agak tinggi juga untuk menyempurnakan pembangunan masjid.
- Tapi untuk apa masjid itu diimarahkan? Quran menjawab: man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri, untuk mengukuhkan iman kepada Allah dan hari akhirat. Bagaimana mengukuhkan?, wa aqamas-salata wa ataz-zakata dengan menyempurnakan solat dan zakat. Jadi kalau dalam program ini ada kaitan dengan program yang disebut oleh saudara Khairuddin tadi, iaitu mengapa kita beri penekanan yang begitu kuat tentang masalah golongan yang kurang bernasib baik. Ini bukan soal agenda politik semata-mata, agenda MADANI ini maknanya agenda yang manusiawi, yang mengangkat martabat manusia itu, walaqad karramna bani adama, Allah mengangkat darjat manusia ini, Bani Adam kerana akidahnya, akhlaknya, ehsannya, dan kerana rahmatnya. Dan ehsan ini termasuklah umpamanya memikirkan masalah orang yang kurang bernasib baik. Tengok apabila kita bina masjid, wa aqamas-salata wa ataz-zakata, solat dikaitkan dengan zakat. Kalau tengok dalam ayat Al-quran banyak disebut tentang solat dan zakat, maknanya sembahyang, ekonomi, ekonomi orang miskin khususnya zakat.
- Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, mengupas soal zakat dengan sangat menyeluruh, 2 jilid. Kata Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, dalam sejarah umat manusia ini jarang sekali negara berperang untuk membela orang miskin. Kebanyakannya berperang kerana hendak cari kuasa, untuk tunjuk kehebatan dan kuasa, untuk memunggah kekayaan, jadi pemimpin mesti kaya-raya, mesti cari harta. Kalau tidak boleh cari, curi harta. Ini pengalaman di banyak negara dulu dan sekarang termasuk pengalaman negara kita, sesiapa sahaja yang jadi menterii ataupun Perdana Menteri mesti ada kekayaan luar biasa.
- Ulung-ulung kalinya dalam sejarah, kata Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Saidina Abu Bakar As-siddiq RA, lancar perang untuk atasi masalah kemiskinan. Kalau zaman dahulu, meminang Puteri Mayang Mengurai tidak diterima oleh raja maka murkalah, isytihar perang, ataupun minat terhadap sesuatu kawasan atau hendak memperluaskan kawasan jajahan, isytiharkan perang ataupun kerana kekayaan maka diisytiharkan perang. Tetapi kata Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, “for the first time in history, we have Abu Bakar As-Siddiq in the name of Islam, justice, compassion for the pure launched war against those who refuse to pay zakat because refusal to pay zakat means the plight of the poor cannot be redeemed.” Maknanya pertama kali dalam sejarah umat manusia, Abu Bakar As-Siddiq isytihar perang kepada orang tidak bayar zakat. Kerana apa? Sebab institusi zakat ini sangat penting untuk mengukuhkan Ekonomi, kalau sekarang saya guna istilah Ekonomi MADANI, atau ekonomi Islam, yang prihatin terhadap golongan miskin dan menderita. Itulah yang dikatakan wa aqamas-salata wa ataz-zakata.
- Maka kalau ada keimanan, solatnya dan zakatnya, tidak ada lagi rasa takut melainkan kepada Allah SWT. Oleh kerana ada jawatankuasa masjid pada hari ini maka saya terpanggil untuk memberi kupasan ini kerana ini juga selari. Kalau ada yang tanya saya MADANI ini apa? Iaitu satu dasar negara yang agak lain sebab apa? Selalu kita bercakap soal dasar negara ini tentunya tentang pembangunan, atau apabila bercakap soal aspek Islam iaitu kesampingkan pertumbuhan ekonomi, penting? penting. Pelaburan penting, pendidikan penting, tetapi merangkumi semua dalam MADANI. Maknanya mesti ada kemampanan, maknanya ekonomi mesti kukuh kalau ekonomi tidak kukuh, wang tidak ada, tidak boleh bayar zakat. Jadi sebaiknya orang itu berniaga, ada pendapatan yang boleh di zakat kerana ini satu tanggungjawab besar dan pahala yang besar, bayar zakat. Makna ekonomi itu harus mampan.
- Untuk mampan kita bawa pelabur asing, saya beritahu sebentar tadi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Sharani bahawa Geely pelabur besar dari negara China yang ada kerjasama dengan Proton telah bersetuju dalam beberapa minggu ini akan datang dan saya bawa ke Tanjung Malim kerana ada pelaburan besar. Pelaburan untuk beberapa tahun yang melibatkan RM10 bilion untuk membangunkan industri automobil. Untuk apa? jaminan pekerjaan, untuk melatih anak-anak muda dalam bidang teknologi automobil, penyelidikan dan memberi ruang kepada warung-warung kecil di sekelilingnya serta membangunkan hotel. Sebab apa hendak bangunkan sebagai pendapatan tinggi, supaya boleh sempurnakan zakat dan membantu rakyat.
- Tetapi tujuan kita mengadakan ini kerana ada ehsan, ada rahmah dan kasih sayang, yang terasnya adalah nilai. Kadang-kadang kita bercakap orang meniaga, belajar Universiti Teknologi Petronas hendak jadi jurutera petroleum. Ya baik, tetapi kalau nilai tidak ditanam, dia akan jadi manusia profesional tanpa nilai, kerana manusia ini karamah insaniah iaitu ada nilai dan tahu baik dan buruk. Kalau tidak kita belajar di universiti dengan gedung yang hebat dan indah, orang di luar merempat dalam kemiskinan tidak mengesankan jiwa kita langsung kerana tidak ditanam sifat nilai.
- Dan ini juga dikupas oleh seorang sarjana terkenal di Amerika, mantan dekan Universiti Harvard. Universiti Harvard itu adalah di antara universiti paling terkemuka di dunia. Dunia iktiraf one of the top universities in the world, jadi tentunya cemerlang, tetapi kata Harry Miller, “excellence without a soul”, cemerlang luar biasa tidak dapat kita pertikai kecemerlangannya tetapi, apa kurangnya? tidak ada ketukan hati nurani dan jiwa raga yang tahu prihatin tentang masalah yang lain, katanya di luar kampus Universiti Harvard, ada orang miskin yang merempat, tidak dipedulikan, tidak mengesankan. Di luar itu ada orang kulit hitam yang ditindas yang merasa diri mereka sengsara kerana sistem itu menekan golongan minoriti, tidak dipedulikan. Jadi, tanya Harry Miller, apa yang kamu belajarnya?, ya kamu belajar jadi cemerlang, excellence, tetapi jiwa raga kamu itu kosong, kamu tidak ada kepedulian sebagai manusia. Jadi tidak adalah karamah dan insaniah yang kita harapkan.
- Sebab itu dalam sesi-sesi dialog, dalam Temu Anwar di universiti-universiti yang saya sempat hadir, saya selalu tekankan supaya untuk menjadi profesional dan mempunyai kemahiran serta keterampilan dalam disiplin-disiplin tertentu jangan sekali-kali tinggalkan soal keyakinan kita, soal akhlak, sahsiah, keperibadian, dan nilai kita sebagai manusia. Kikis fahaman sempit, benci orang, contohnya. Kalau tidak setuju maki hamun dengan mudah, guna Islam ke Melayu ke Cina ke India tidak peduli, tetapi perlu diingat bahawa kita manusia, ada nilai kemanusiaan mesti kikis hasad dengki. Itu yang ditanam dalam konsep MADANI.
- Jadi mudah-mudahan majlis-majlis seperti ini dapat memberikan keinsafan. Sebab itu saya kata untuk rumuskan isu excellence without a soul yang disebut oleh Profesor Harry Miller, Harvard, ada excellence. Excellence ini apa? itqan fil amal. Kegiatan ini membawa kepada kecemerlangan tetapi di Harvard tanpa hati budi, tanpa akal budi, tanpa hati nurani, tanpa keprihatinan, tanpa kemanusiaan atau manusiawinya atau insaniahnya. Sebab itu bagi kita ibu bapa dan rakan-rakan mesti ingat baik di institusi masjid atau universiti atau jabatan atau politik, tidak boleh terlepas daripada perkara ini. Beza pendapat dibolehkan.
- Baru-baru ini saya minta buku yang ditulis oleh seorang ulamak besar, Sheikh Taha Jabir Fayyaḍ al-ʿAlwani. Tajuk buku beliau adalah Adab Al-Ikhtilaf, iaitu ‘Adab Berbeza Pendapat Dalam Islam’. Dalam situasi sekarang, tidak boleh beza pendapat, mereka akan terus kata orang tidak ikut lalu terus dikafirkan, dimunafikan, dicerca dan dimaki hamun, itu tindakan tidak betul. Adab Al-Ikhtilaf itu merupakan Ethics of this Agreement in Islam dan saya minta dimulakan. Jadi ahli Jemaah Menteri saya bagi satu naskah. Apa yang ditekankan dalam buku tersebut? Dalam Islam ada adab dan beda pendapat, ada hal orang setuju, ada yang tidak setuju, ada penambahan beda, ada cara dakwah, kaedah dakwah bukan hukum. Yang menghukum itu khadi di mahkamah atau hakim. Sementara tugas kita adalah dakwah bil hikmah dengan bijaksana. Tapi kalau kita bercakap kemudian terus dengan maki hamun, kemudian disambut dengan tepukan dan laungan “Allahu Akbar”, maknanya yang bercakap pun tidak betul yang dengar pun jahil. Jadi sebab itu, dalam Islam ada kaedah dan saya minta disebarkan buku ‘Beza Pendapat Dalam Islam’ tersebut.
- Selain buku tersebut, di sekolah, semua sekolah terutama di kalangan pelajar Islam, saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan YB Fadlina untuk meminta semua pelajar Islam baca Hadis Arbain Imam Nawawi kerana beliau itu ulama besar. Dia pandai pilih daripada ratusan ribu hadis, 40 yang dipilih dan mesti dibaca dan dihadam oleh semua umat Islam matan hadis, terjemahannya dan syarahnya sekurang-kurangnya faham. Kalau tidak, kita guna Islam ini hanya untuk slogan sahaja, bahan jeritan, semangat, kemudian adabnya tidak dikesampingkan, akhlaknya tidak kira, matlamatnya tidak kira, kaedahnya, fiqh dan dakwahnya tidak ada. Ini yang menjadi masalah bukan saja di sini, malam di dunia Islam sehingga muncul golongan pengganas-pengganas seperti ISIS yang menggunakan Islam, mahir dalam Al-quran dan berjuang atas nama Islam dan mengucap Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah tetapi pembunuhan, pancung dan sebagainya diizinkan. Bagaimana kita tangani perkara ini? Hanya dengan ilmu.
- Jadi bila saya sebutkan kemiskinan, saya beri tekanan kerana saya fikir walaupun kita ada masalah sekarang harga bawang meningkat sebab kerajaan India sejak 2 bulan lalu telah memutuskan eksport bawang dari India ke luar negara naik 40% cukai. Cukai 40%, jadi naiklah harga bawang. Tapi yang kena marah PMX. Semalam 2 hari yang lalu Presiden Jokowi bercakap di Indonesia tentang harga beras yang terbatas dan meningkat, dia sebut 18 negara telah menghadkan eksport beras, ia terkesan. Nampak susah hati juga dengar, tapi maknanya kerajaan ambil Perdana Menteri dan Menteri mestilah cari jalan. Saya juga Menteri Kewangan, saya kena cari jalan tambah subsidi tampung, jangan beban kepada orang susah. Tetapi orang yang kaya belilah beras bashmathi janganlah minta kita subsidi bagi orang kaya, subsidi itu bagi rakyat yg memerlukan.
- Macam baru-baru ini kita naikkan kadar elektrik, kadar elektrik memang naik 1%, tapi naik itu untuk siapa? Orang yang rumahnya pasang 7-8 buah penghawa dingin, tau pendapatannya RM50,000 sebulan. 1% saja, 99% tidak termasuk tidak bayar. Saya pun kalau sebagai Anwar Ibrahim tidak bayar, tidak sampai ke situ tapi sebagai Perdana Menteri rumah Seri Perdana besar. Saya ingat penghawa dingin banyak, televisyen banyak, bukan saya beli memang ada jadi kena bayar. Jadi kita kena bezakan, itu pun ada orang di bawah yang cerca, Anwar ini, cakap tentang MADANI tapi tidak membantu. Itu tidak betul yang kita naik 1% bagi penggunaan yang tertinggi, kilang-kilang besar, yang untungnya ratus-ratus juta, bayarlah.
- Haji tahun ini kita tambah bantuan subsidi untuk jemaah haji tetapi bagi yang terkaya kita tidak bagi subsidi, mereka bayar. Berapa pendapatannya? Ada saya tengok dalam rekod jemaah haji sewaktu saya berjumpa dengan lembaga ada yang pendapatannya lebih kurang RM1 juta sebulan. Tetapi oleh kerana dia pencarum dia berhak dapat subsidi. Dia berhak dapat layanan, dia berhak dapat bantuan Tabung Haji untuk tolong uruskan tetapi sebab apa kita bayar subsidi. Jadi saya pun ambil keputusan yang kaya-kaya ini kita tidak berikan subsidi.
- Sebab apa saya buat begitu, kerana kerajaan tidak boleh tampung lagi subsidi begitu rupa. Subsidi maknanya bantuan untuk orang susah, pasal apa dalam sistem kita bantuan untuk orang susah juga diperolehi oleh orang kaya. Jadi kita kena tukar dan alhamdulillah 400 jemaah yang layak menerima sebahagian ataupun sepenuhnya subsidi tolak subsidi, kerana kita terangkan begini 2 hari yang lalu sewaktu saya hadir sambutan 60 tahun Tabung Haji.
- Macam minyak sekarang saya dicerca “hari ini menang, esok minyak turun”, ada dengar tak? Bila saya kata itu? tahun 2008. Masa itu berapa harga minyak Arab Saudi? 50 sen masa itu kita dalam RM1.00, 80 sen sehingga 60 sen, jadi saya kata pasal apa yang Arab Saudi boleh 50 sen dan kita tinggi sangat, kita kena turunlah. Berapa sekarang? Sekarang tahun 2023, sekarang harga minyak Arab Saudi lebih tinggi dari Malaysia. Jadi bagaimana kita hendak turun, macam mana lagi, kita ada subsidi begitu tinggi RM30-RM40 bilion subsidi minyak sekarang ini. Itu jawapan saya, kerana Arab Saudi itu ukuran, mereka keluarkan minyak berkali-kali ganda daripada kita tetapi harganya lebih tinggi daripada kita. Sekarang ini subsidi minyak siapa dapat? rakyat dapat, profesor, pensyarah dapat, Khairuddin EXCO dapat, tetapi orang yang pakai Rolls Royce, tauke-tauke besar kaya pun dapat subsidi minyak.
- Jadi kita kena rancang bagaimana rakyat semua dapat, tetapi bagi yang kaya bayarlah, itu pendekatan dasar saya. Orang marah sekejap tapi tidak apa kita akan terangkan. Berapa juta orang asing ada di Malaysia ini? 3 juta / 4 juta? Orang daripada Thailand masuk ambil beli minyak bawa ke Thailand, orang daripada Singapura datang masuk beli minyak bawa ke Singapura, kita subsidi kalau dia beli minyak harga minyak iaitu RM5 dia beli RM5, itu boleh, ini harga minyak ini RM4 tapi kita jual RM2, dia untung RM2, ini yang berlaku. Orang kaya dan tauke-tauke besar yang pakai Mercedes 5-6 buah dan Rolls Royce pun dapat subsidi minyak.
- Oleh itu, kita kena fikir bagaimana pertahankan hak rakyat, bagi subsidi kepada rakyat, tetapi tidak perlu bagi kepada yang maha kaya, barulah wang itu kita boleh pulih balik bagi kepada yang miskin dan yang daif fuqara`i wal-masakin.
- Tahun lalu, melalui Belanjawan MADANI saya katakan ini, kita ada universiti, semua pernah pergi ke lavatory sekolah tapi sekolah dia belajar dulu ada saja tandas yang rosak, ada 8 tandas, 4 rosak ada 4 tandas, 3 rosak. Tidak ada, hampir tidak ada sekolah yang tidak rosak tandas. Tapi negara hebat, negara maju macam-macam polisi dasar ada.
- Jadi saya kata, sebelum kita bincang perkara besar, kita selesaikan tandas anak-anak kita. Alhamdulillah, sekarang bulan September dan mengikut Wan Adnan yang pantau ini semua, sebelum awal Oktober insya-Allah semua tandas di semua sekolah, sekolah kebangsaan, sekolah arab, sekolah Cina, sekolah Tamil, selesai kita baiki. Alhamdulillah.
- Kita duk kira bangunan mercu tanda tinggi, jambatan paling panjang, nak kira yang hebat-hebat semua, tandas anak kita belajar pun tidak terurus. Jadi kita mula begitu. Mungkin tahun depan saya hendak tengok semua tandas masjid pula.
- Kemudian yang Saudara Khairudin sebut tadi tentang noktahkan kemiskinan, kita ada sekarang 135,000 keluarga yang bawah kategori fuqara, paling miskin dan insya-Allah kita akan pastikan sebelum akhir tahun ini kita dapat noktahkan kelompok yang paling miskin di negara kita. Insya-Allah.
- Jadi inilah yang saya hendak sampaikan, terima kasih sekali lagi atas kesudian saudara saudari. Tadi saya bercakap dengan Saudara Sivakumar, saya lihat dalam jadual ketibaan Perdana Menteri jam 1 petang, ketibaan jemputan jam 12 tengah hari. Kenapa awal sangat 1 jam itu buat apa?. Jadi saya minta semua jabatan kerajaan kalau mengurus program, tukarlah sikit. Kalau ketibaan Perdana Menteri itu jam 1 petang, ketibaan jemputan itu 12.40 tengah hari pun boleh. Saya dari tadi tidak sempat, lepas daripada program kesihatan dengan Dr. Zaleha, Menteri Kesihatan dan Menteri Besar, Datuk Seri Shaarani, makan berebut tidak makan, tidak sempat habis, jamah sedikit. Saya takut sampai lewat ke program ini. Tapi saya tengok dalam program jemputan jam 12.00 tengah hari. Jadikan arahan, 10 minit 15 minit sebelum itu tidak apa kalau hendak atur tempat duduk sebagainya tidak apa, tapi tidak perlu sampai tetamu diminta hadir begitu lama kerana membazir waktu dan mengurangkan produktiviti negara.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- HENTIKAN ANJUR MAJLIS BESAR-BESARAN – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR