TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA SETAHUN PENTADBIRAN KERAJAAN MADANI

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

 

SEMPENA

 

MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA SETAHUN PENTADBIRAN KERAJAAN MADANI

 

 

23 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)

 

 

DEWAN SERI SIANTAN,

KOMPLEKS PERBADANAN PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Menteri-menteri;

 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, pertamanya kita mengatur syukur kepada Allah SWT, dan bersama-sama bermunajat kepadaNya pada malam ini. Kedua, menambah ikhtiar supaya dapat meneruskan usaha mengangkat martabat umat dan negara yang sesungguhnya kesyukuran itu adalah langkah awal untuk kita meneruskan pengembaraan hidup, Wa iz ta azzana Rabbukum la’in shakartum la azeedannakum wa la’in kafartum inna ‘azaabee lashadeed iaitu Allah memerintahkan supaya kita sentiasa mengingati dan bersyukur atas kenikmatan, kesihatan dan keamanan yang Allah kurniakan kerana mengingkari kesyukuran itu akan mengundang azab yang pedih.

 

  1. Kesempatan malam ini saya menzahirkan jazakumullah khairan katsiran kepada imam dan jawatankuasa yang telah membantu menganjurkan majlis ini dan yang turut mendoakan kesejahteraan dan keamanan bagi rakan-rakan kita yang mengalami ujian yang besar, dihina dan dikhianati oleh musuh yang menjadi tunggak pemerintah zalim Israel.

 

  1. Saya ingin mulakan dengan menyatakan tentang situasi dunia antarabangsa. Ini merupakan zaman yang kelam dan muram bagi umat Islam kerana seluruh dunia dengan kekuatan dan pengaruh media sosial dapat menyaksikan bagaimana kejam dan ganas serta hilang pertimbangan dan peri kemanusiaan bukan sahaja Israel tetapi dengan dukungan kuasa-kuasa besar lain yang sudah hilang martabat dan maruah kemanusiaannya.

 

  1. Seperti mana yang banyak dikupas, tidak mungkin kekuatan Israel sahaja yang dapat meneruskan keganasan tanpa dukungan beberapa kuasa dunia barat lain. Maka, apa yang kita pelajari dan alami dahulu tentang sejarah penjajah dan imperialisme yang kemudian membuka ruang tentang sikap yang disebut pertamanya, orientalisme dan kemudian Islamophobia itu ternyata sangat menebal dalam pemikiran dunia barat.

 

  1. Di beberapa tempat lain kita telah berhujah tentang bagaimana usaha itu diteruskan dari zaman penjajahan lagi seperti mana yang kita tahu nota yang ditulis oleh Stamford Raffles di Singapura tatkala mengemukakan minit tentang pendidikan Melayu untuk Tanah Melayu, seperti mana juga Lord Cromer di Mesir dan Macaulay di India iaitu andai kata terdapat kebebasan sekalipun, pemikiran captive mind terjajah itu masih mengekal.

 

  1. Seperti juga Dr. Christiaan Snouck Hurgronje, pengkaji Islam Belanda terkemuka yang menulis Mekka in the Latter Part of the 19th Century dan juga The Achehnese. Dengan kefahaman Islam beliau telah merangka bagaimana penjajah Belanda boleh memperkenalkan satu dasar yang boleh memukau inteligensia Indonesia supaya terus kekal kagum dan terpesona dengan fahaman barat lalu meremehkan budaya sendiri dan menghilangkan keyakinan terhadap kekuatan dan keupayaan Islam itu sendiri.

 

  1. Bagi kita yang mengikuti perkembangan sejarah pemikiran kolonial, tidak menghairankan kalau ada sebahagian daripada rakan-rakan kita masih terbelenggu dalam pemikiran yang sama. Saya tidak berniat untuk mengupas soal sejarah pemikiran kolonial yang pernah dikupas oleh Edward W. Said dalam Orientalism yang memekarkan kefahaman Islamophobia sama ada di barat ataupun saki-baki mereka di negara-negara yang sudah merdeka. Tetapi inilah natijahnya. Apabila kita merdeka, memaknai kemerdekaan itu bererti bukan sahaja menyingkirkan kuasa penjajah dari negara kita tetapi membebaskan wilayah pemikiran dan jiwa kita. Ini yang disebut oleh Syeikh Muhamad Sl Ghazali sebagai isti’mar ruhi wa fikri, bahawa kemerdekaan yang sebenarnya ialah memerdekakan kita daripada pemikiran dan jiwa penjajahan.

 

  1. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam sejarah Islam dan kebudayaan Melayu menyebut tentang kekuatan Islam sebenarnya adalah memerdekakan berdasarkan tradisi aqliah, akhlak dan jiwa serta pemikiran malah beliau menyebut umpama rupa dan jiwa. Ini di antara hal yang terus dikupas oleh para sarjana. Manakala kita dalam negara MADANI ini perlu meneruskan usaha membebas dan memerdekakan pemikiran kita walaupun kita masih berdepan dengan pemikiran barat yang masih menebal.

 

  1. Kita tidak mempertikaikan soal kemanusiaan, universalisme, demokrasi atau hak asasi yang dibicarakan. Sebaliknya yang kita pertikai adalah semua istilah-istilah yang memukau, yang tidak diamalkan, kerana perbezaan layanan bila berbicara soal hak kemanusiaan dan hak asasi di barat adalah berbeza dengan apa yang berlaku di dunia Islam.

 

  1. Oleh yang demikian, saya memulakan dengan meminta supaya kita memerdekakan diri dan jiwa kita daripada pengaruh dan saki-baki itu dan kalau kita mahu menjadikan negara ini negara MADANI maka kita mesti mengangkat martabat supaya menjadi manusia yang memaknai kemerdekaan dari konteks rupa dan jiwa.

 

  1. Dalam seminggu dua ini, saya membicarakan soal yang disebut oleh Almarhum Malek Bennabi tentang inner struggle of conscience iaitu kemerdekaan dan jiwa merdeka itu mestilah dari hati pancaran nurani dan sanubari kita, barulah ia memberikan makna. Bukan sahaja menciplak tetapi mampu menyaringi secara bijak, secara hikmah dari segi pancaran keyakinan kita sendiri.

 

  1. Beberapa hari yang lalu, di Francisco, saya berkesempatan mewakili rakyat Malaysia menerima undangan dari Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Semua Ketua-ketua negara Asia-Pasifik hadir, maka kita turut hadir membicarakan soal perkembangan dan pertumbuhan ekonomi. Tetapi dalam beberapa kesempatan, dalam sidang, saya menyatakan pendirian kita bahawa Malaysia harus juga mengambil kesempatan mengajak pelabur supaya dapat kita angkat martabat ekonomi negara kita.

 

  1. Perbincangan hal-hal lain penting tetapi asas pertumbuhan ekonomi sangat penting untuk menjamin pekerjaan bagi anak kita, menjamin keselesaan hidup rakyat dan kita perlu pelaburan domestik dan pelaburan luar. Alhamdulillah, kita turut mendapat sambutan selain dari negara China, Eropah khususnya Jerman, juga daripada Amerika Syarikat.

 

  1. Sungguhpun begitu, tidak harus dikaburi mata kita dan mengalih pandangan daripada isu kemanusiaan. Maka kita sebut di situ perihal yang berlaku di Gaza. Bagi rakyat Palestin adalah hal yang bukan sahaja memedihkan dan dalam beberapa hal membingungkan kerana orang membicarakan soal kemanusiaan, hak asasi dan kemerdekaan itu hanya terpakai untuk satu kelompok.

 

  1. Maka saya olah, Malaysia harus kekal sebagai negara yang merdeka dan mengungkapkan mengikut keupayaan kita tentang hal-hal yang perlu kita sampaikan. Syukur alhamdulillah, dari awal apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menitahkan supaya membentuk Kerajaan Perpaduan, mempersatukan semua kekuatan dan mengetepikan pertempuran politik lama untuk menyelamatkan Negara. Ada yang memilih untuk menangguhkan, ada yang memilih untuk menolak dan kami alhamdulillah memilih untuk menerima baik ihsan dan kebijaksanaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang juga telah berunding dengan Raja-raja Melayu, tidak memihak kepada sesiapa tetapi hanya memberi perintah yang jelas untuk menyelamatkan negara.

 

  1. Wa’tasimu bihablillahi jami’an wa-la tafarraqu – pegang semangat perpaduan dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Kalaupun ada permusuhan lama, memang tidak mungkin saya nafikan pertempuran politik yang panjang itu ada, tetapi haruslah dalam konteks itu, faaslihoo bayna akhawaykum (Al Hujurat Ayat 10) untuk sedia memulakan babak baharu dengan memaafkan asalkan kita membawa hala tuju yang baik.

 

  1. Mandat inilah yang saya pikul tatkala diberikan kesempatan berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat dan pimpinan Amerika serta semua ketua-ketua negara lain termasuk Presiden Xi Jinping  dari negara China, ASEAN, Australia, Mexico dan Chile. Saya sampaikan ucapan terima kasih atas undangan kepada Presiden Joe Biden dan saya usul untuk terus bekerjasama dalam isu perdagangan dan ekonomi.

 

  1. Selain itu, saya mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan beliau mendukung semangat kerjasama dan mempertahankan prinsip hak asasi manusia, dan semangat demokrasi. Saya turut bertanya, mengapa menuntut semua pihak menghukum Rusia kerana menakluki sebahagian daripada wilayah majoriti penduduk Rusia di Ukraine dan menyatakan itu sebagai keganasan, penganiayaan, kezaliman tetapi membisu apabila rakyat Palestin khususnya di Gaza ditindas, dicerobohi, dikhianati. dibunuh, dihina dan dirampas hak mereka?

 

  1. Saya terpaksa lakukan begitu kerana saya mewakili semangat rakyat Malaysia. Ada orang kata, hebat Anwar kerana berani bercakap begitu, saya jawab saya berani kerana saya tahu rakyat Malaysia menuntut pimpinan yang menyuarakan kebenaran dan keadilan.

 

  1. Saya menyatakan Amerika Syarikat itu sebagai negara kukuh dan besar yang mendukung perjuangan dan kekuatan Israel, harus bertindak segera menghentikan dan saya sebut “end the aggression and stop it now” kerana menangguhkan hanya satu hari lagi bermakna masih ramai yang terbunuh dan terkorban.

 

  1. Saya sengaja singkap pengalaman ini beberapa hari yang lalu kerana saya tahu tidak mungkin saya mempunyai keberanian begitu rupa kalau tidak dengan dukungan dan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia baik Islam dan bukan Islam yang mempertahankan prinsip kerukunan hidup damai dan prinsip kemanusiaan.

 

  1. Di Parlimen semalam, sejurus selepas pulang dari San Francisco, dalam jawapan soal jawab Perdana Menteri, saya sebut berkenaan isu ini dengan menyentuh dan menyinggung perasaan umat Islam tetapi isu ini juga turut mengorbankan ramai rakyat Kristian termasuk tujuh (7) gereja yang dihancur leburkan oleh tentera Yahudi Israel.

 

  1. Oleh itu, bagi Malaysia, kita mengajak rakan-rakan kita yang Islam dan bukan Islam untuk melihat ini sebagai isu kemanusiaan dan kezaliman yang harus didukung oleh semua rakyat Malaysia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

 

Saudara-saudara, 

 

  1. Kita bersyukur kerana setelah terbentuk Kerajaan Perpaduan yang didukung bukan sahaja oleh Pakatan Harapan, Keadilan, DAP dan Amanah tetapi juga oleh UMNO dan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang memberikan komitmen dan dukungan yang kukuh supaya terbentuk Kerajaan yang kukuh, bersatu padu dan boleh mengangkat martabat rakyat dan negara ini.

 

  1. Selain itu, Premier Abang Johari dan GPS juga memberikan dukungan secara tuntas sejak awal tertubuh sehingga sekarang, memberikan pandangan bahawa negara ini harus diselamatkan dan tumpu untuk membangunkan ekonomi serta menyelamatkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan.

 

  1. Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor mengambil sikap yang sedemikian dan sehingga kini kekuatan kita, yang menentukan kedudukan dan kuasa politik negara ini ialah suara majoriti di Parlimen dan alhamdulillah hari ini dengan dukungan kepada Kerajaan MADANI melebihi dua pertiga di antara yang terkuat.

 

  1. Soalan berikutnya yang ditanya, setelah satu tahun, walaupun beberapa bulan terdapat gelombang kerana sentiasa dihantui oleh katanya kemungkinan untuk dijatuhkan tetapi alhamdulillah Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri kita dan Kerajaan-kerajaan negeri yang bersama-sama sebagai satu pasukan telah bekerja merangka, pertamanya ekonomi MADANI, keduanya transisi tenaga, ketiganya, Pelan Induk Perindustrian, transformasi digital dan mendasari semua ini, semua hal-hal yang mendesak dalam negara tetapi kita tidak pernah meninggalkan kerangka dasar MADANI kerana sementara kemampanan ekonomi itu penting, transisi negara itu penting, transformasi digital juga mendesak, soal nilai, akhlak dan jati diri itu harus kita terapkan.

 

  1. Ini yang membezakan kita dalam MADANI ini dengan pemahaman pertumbuhan dan kemampanan yang difahami oleh banyak negara dan banyak teori politik. Negara ini harus kekal dengan dasar, nilai dan akhlak yang terikat dengan tradisi dan budaya serta rasa bangga dengan kekuatan dalaman kita sementara menggapai ilmu dan disiplin baharu.

 

  1. Ini yang kita katakan menggapai ke langit dengan teknologi, industri, artificial intelligence, transformasi digital, tenaga baharu dan menerima kenyataan bahawa menggapai ke langit tanpa pernah melupakan bahawa kita harus mengakar ke bumi. Inilah kekuatan kita dalam MADANI.

 

  1. Kita tidak hanya menggapai langit untuk menuntut perubahan teknologi dan sebagainya tetapi meninggalkan akhlak dan nilai, kita tidak boleh ketepikan kelemahan-kelemahan yang ada dan harus segera perbaiki.

 

  1. Apakah kelemahan-kelemahan ini? Di beberapa tempat, saya ulas bahawa mengikut salah satu kajian yang sangat mendalam dan kukuh yang dibuat oleh Boston Consulting Group (BCG) iaitu kajian kedudukan Malaysia selama 20 tahun lalu. Kajian itu meliputi pertumbuhan pelaburan, kesihatan, pendidikan dan semua prasarana, bukan sahaja pertumbuhan dan ekonomi yang disebut Sustainable Economic Development Assessment (SEDA). Sustainable itu kerana merangkul semua aspek penilaian sama ada kekuatan dalam negara kita.

 

  1. Jawabnya ya, asas kita kukuh tetapi dari tahun sekitar 2000 sehingga 2020 selama 20 tahun, kekuatan ini tidak berkembang dan dilihat dari SEDA, kita kalah dalam persaingan dengan Vietnam, Singapura malah Indonesia. Oleh kerana kekuatan asal kita, treshold itu agak kukuh, maka ada dalam beberapa bidang mereka belum dapat melangkau dan mengatasi kekuatan kita tetapi ternyata selama 20 tahun kajian SEDA, tidak ada perkembangan yang membanggakan, apatah lagi menakjubkan.

 

  1. Maka inilah cabaran kita dalam setahun, konsolidasi menguatkan dan merangka beberapa kekuatan, menyelesaikan masalah asas rakyat termasuk pendidikan dan sekolah daif, kemudahan kesihatannya, prasarana asas seperti rumah-rumah polis dan tenteranya, kelengkapan kawasan perbatasan, sektor keselamatan, semua itu dirangka. Terdapat banyak kelompongan dan kelemahan dan kelemahan yang agak ketara itu ialah kelemahan tatakelola.

 

  1. Memang ramai rakan-rakan di sebelah sana yang rasa jemu atau mual, orang Kedah kata cemuih mendengar mengenai tatakelola dan rasuah seolah-olah dua istilah ini cukup menakutkan mereka tetapi percayalah, Malaysia ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dapat mengangkat atau diangkat martabatnya kalau kita membetulkan isu tatakelola dan kita menghentikan amalan rasuah dalam negara kita.

 

  1. Alhamdulillah, rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan pimpinan dalam Perpaduan sepakat untuk menyatakan apa yang berlaku dahulu adalah sejarah lampau. Ada yang kuat, membanggakan dan ada juga yang mengaibkan. Tetapi alhamdulillah sepanjang satu tahun ini, pemantauan melalui SPRM saya bangga dengan keputusan-keputasan yang diperolehi, proses-proses pengurusan dan kewangan mengikut tatakelola, mengikut tender. Saya juga memberi amaran yang keras kepada pimpinan, tidak boleh guna kuasa untuk memperkayakan diri dan keluarga mereka.

 

  1. Alhamdulillah, sekadar rekod seminggu yang lalu, laporan dari SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, pimpinan kita dapat mempertahankan supaya menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

 

  1. Akan tetapi, masalah ini belum selesai seluruhnya kerana kecurangan-kecurangan ini masih berlaku dan kita harus gempur dengan segala kekuatan yang ada dan saya mohon kerjasama untuk kita melangkah ke depan ini, selain membetulkan pelaksanaan awal, kenal pasti mana arah tuju kita? saya jawab, tahun pertama kita mengemudi bahtera ini pada awalnya sedikit terumbang-ambing tetapi alhamdulillah dengan dasar yang jelas menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat, cukup satu tahun maknanya percayalah, dengan mandat yang ada tahun ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk membangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi sebarang tentangan, rintangan atau percubaan merosakkan sendi negara kita dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

 

  1. Maknanya pada tahun ini percayalah, insya Allah dengan semangat yang ditunjukkan oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas untuk mengemudi negara ini dengan lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun yang lalu, itu yang pertama.

 

  1. Yang kedua, saya ingin sentuh di sini ialah kesediaan kita untuk membentuk satu negara yang benar-benar bersatu. Kita tidak boleh menjamin masa depan kita dengan selamat dengan negeri-negeri dari Perlis, sampailah ke Sabah dan Sarawak, dengan kaum dan fahaman agama yang berbeza, tidak mungkin negara ini selamat kalau kita izinkan fahaman perkauman yang sempit, memusuhi satu sama lain, fahaman agama yang cuba digunakan untuk menghukum orang sewenang-wenangnya dan menanam bibit kebencian tanpa hikmah, tanpa hasanah yang terus menular dalam kalangan kita.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Melihat apa yang sering berlaku di media sosial itu gejala menghukum orang, membunuh orang itu perkara biasa dan apakah negara ini boleh selamat kalau kita izinkan hal ini berlaku? Tidak belajarkah daripada pengalaman negara-negara lain, kita lihat di beberapa negara Arab, Afghanistan dan Rwanda berkecamuk kerana permusuhan antara kaum dan agama. Bukan suatu masalah atau halangan bagi negara ini untuk mengangkat martabat Islam, Tidak ada masalah untuk memartabatkan budaya dan kehebatan tamadun Melayu tetapi jangan sesekali menggunakan ini untuk menimbulkan perpecahan di kalangan kita.

 

  1. Negara ini memang majoritinya Islam dan Melayu. Negara ini menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan. Negara ini menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun di Sarawak dan di Sabah di izinkan penggunaan rasmi Bahasa Inggeris sejak awal kemerdekaan. Negara ini menetapkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja raja Melayu. Hal ini, perkara-perkara ini bukan untuk dirundingkan, tetapi perkara ini menjadi beberapa peraturan keramat dalam perlembagaan dan harus dan wajib dipertahankan.

 

  1. Seperti mana yang kita tahu, perdebatan semalam di Parlimen sebagai contoh sahaja, isu Mahkamah Persekutuan dengan undang-undang Islam Negeri Selangor 2021 dan Kelantan 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan pada tahun 2021 bahawa, keputusan Dewan Undangan Negeri, pindaan yang dibuat itu tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Yang dipertikai oleh Mahkamah Persekutuan itu bukan hukum Syariah tetapi peraturan undang-undang negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Apa ada bantahan masa itu oleh parti-parti politik? tidak ada. Ada tunjuk perasaan? tidak ada. Ada disuarakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang dan beberapa Menteri pada masa itu? tidak ada. Bila? 2021. Pada 20 Mei 2022, Mahkamah memutuskan untuk menetapkan tarikh bantahan daripada beberapa peguam di Kelantan terhadap undang-undang Kelantan, bukan terhadap kandungan undang-undang itu tetapi  terhadap proses kelulusan yang dibuat yang pada pendapat mereka bertentangan dengan perlembagaan.

 

  1. Perlembagaan Mahkamah Persekutuan, Ketua Hakim Negara menyuarakan pandangan mengatakan keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu tidak berkaitan dengan kandungan syariah tetapi ada undang-undang diberi pinda diperkenalkan di Kelantan itu adakah selari dengan perlembagaan.

 

  1. Namun, apa yang disuarakan di luar? Bahawa Kerajaan ini cuba mempertikaikan syariah. Keputusan itu sudah dibuat tahun 2021, itu tidak ada kena mengena dengan saya atau Kerajaan sekarang. Pada Mei 2022, bukan Anwar Ibrahim Perdana Menterinya bukan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji. Mohd Na’im Mokhtar itu Menteri agama bukan Fadhilah, Timbalan Perdana Menteri.

 

  1. Adakah saya salahkan mereka? Tidak tetapi jangan salahkan kita isu ini, tunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Apa keputusan kita? pada bulan Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor yang mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan saya Timbalan Pengerusi serta anggotanya termasuk YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji. Mohd Na’im Mokhtar dan sekretariatnya JAKIM mengemukakan pandangan untuk menyelesaikan masalah ini, kita wujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada badan-badan perundangan, pakar undang-undang, orang lama yang pakar hukum Islam mengkaji bagaimana boleh kita pinda supaya memberi sedikit kuasa tambahan di negeri dan juga Persekutuan. Itu telah diputuskan. Siapa yang putuskan? Kerajaan Perpaduan. Apakah ini diputuskan sebelumnya? Tidak. Siapa yang dihukum? Kita. Siapa yang dikatakan menentang Syariah? Kita.

 

  1. Sebab itu kita harus terikat dengan fakta. Jangan melakukan tuduhan semberono, sebarangan dan menghukum sewenang wenang. Negeri-negeri tidak boleh membuat pindaan sewenang-wenang. Kalau tidak Kelantan dan undang-undang lain, Sarawak ada undang-undang lain, Pulau Pinang ada undang-undang lain, Sebab itu peranan JAKIM sebagai sekretariat dan MKI ialah menyeragamkan undang-undang ini dan mengambil kira juga hak orang Islam dan hak orang bukan Islam. Orang bukan Islam jangan tuntut kerana pelaksanaan Islam itu tidak boleh ke atas orang Islam. Orang Islam juga jangan paksa Islam dan syariah itu kepada bukan Islam. Itu kefahaman kita daripada awal.

 

  1. Siapa yang kemukakan pindaan yang paling kukuh dalam sejarah kita tentang kuasa mahkamah Syariah? Itu perkara 121(1), pada tahun 80-an, saya mengemukakan dengan nasihat Ketua Setiausaha Negara pada masa itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Hashim bin Aman dan kerangka undang-undang yang dikemukakan oleh Allahyarham Emeritus Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, Dekan Fakulti undang-undang Universiti Malaya kemudian kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa. Mereka berbincang dan saya yakin kerana pada masa itu beberapa keputusan Mahkamah Syariah diketepikan oleh Mahkamah Sivil dan ia dianggap sewenang-wenang tidak adil kerana keputusan Mahkamah Syariah sama sekali tidak dipakai. Oleh itu, kita pinda menjadi 121(1A). Siapa yang kemukakan? Saya kemukakan kemudian dibentangkan di Parlimen dan diluluskan.

 

Saudara-saudara yang saya muliakan,

 

  1. Saya menjelaskan begini supaya negara kita ini lebih terkawal. Saya tidak mengatakan bahawa sentimen perkauman melampau ini kadang-kadang hanya di kalangan orang Melayu, tidak. Ada juga dalam kalangan yang bukan Islam yang kemudian menyindir saya, dia kata Anwar Ibrahim terlalu sibuk mempertahankan hak rakyat Palestin padahal nasib kami tidak terbela. Ini seolah-olah ada sekolah-sekolah bukan Melayu yang dibom, rumah-rumah yang dimusnahkan dan bayi yang dibunuh. Itu tidak ada. Jangan fikir begitu.

 

  1. Tanggungjawab kita menyuarakan. Dahulu semasa Nelson Mandela terseksa di bawah apartheid, pemimpin kita di antara yang cukup lantang termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj tetapi tidak bermakna dia tidak pedulikan nasib rakyat di sini. Tidak semua yang setuju kerana kadang-kadang ada yang tidak mengikuti perkembangan dan kadang-kadang ada pemikiran itu lebih putih daripada orang putih.

 

  1. Jadi bagi mereka tidak ada kesan Apartheid. Apartheid ini penguasaan orang kulit putih yang menghina dan menghambakan, menjadikan orang kulit hitam itu hamba, menafikan hak seperti mana yang dilakukan oleh Israel terhadap orang Palestin. Di Israel itu sendiri orang Islam tidak ada hak yang sama.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya harap di kalangan bukan Islam juga harus menerima beberapa kenyataan ini. Ya, kita ada kelemahan kita yang belum diselesaikan. Ya, ada anak India yang cukup pintar yang kadang-kadang tidak mendapat tempat. Kemukakan pandangan dan kita tolong. Tetapi ratusan ribu anak Melayu juga yang pintar dan tidak mendapat kesempatan.

 

  1. Jadi harus fikir begini. Kita bersaing tetapi mana ada persaingan yang adil. Sekolah Kapit anak Iban atau Sekolah Kebangsaan di Manek Urai dengan sekolah di Kuala Lumpur itu sekolah-sekolah baik, mana mungkin ada persaingan yang adil.

 

  1. Pemikir undang-undang dan filasuf Amerika Syarikat bernama John Rawls, berkata “Justice itu bukannya equality tetapi justice itu fairness. Justice is fairness.” Maknanya kalau sekolah itu tidak ada komputer, tidak ada guru sains yang layak, katakanlah kawasan kapit tetapi umpamanya dan dengan sekolah terbaik, kemudian katanya competition based on meritocracy, we must be given. Saudara, sebab itu dalam dasar kita, kita bagi peluang kepada sekolah dari pedalaman dan luar bandar, anak-anak Melayu majoriti, bagi mereka peluang tambahan kemudahan dan latihan walaupun keputusannya kurang baik.

 

  1. Kita semua pernah ke sekolah. Ada sahabat kita yang pintar tetapi tidak sampai ke sekolah terbaik. Jadi saya mengambil kesempatan ini menunjukkan apa arah kita untuk masa depan. Ini semua perlu dijelaskan kerana kita tidak mampu untuk fokus kepada soal ekonomi dan TVET serta energy transition kalau kita hanya simpang siur dengan politik usang zaman silam. Asyik berfikir soal kaum yang sempit padahal tumpulah perhatian kita dengan membaiki kedudukan di sekolah, kemudahan kesihatan, prasarana asas, membina universiti dan pusat pendidikan, memperkenalkan disiplin-disiplin baharu supaya dapat menambah keupayaan latihan yang cukup baik, untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik.

 

  1. Pagi tadi umpamanya, kita berbicara soal Institut latihan dan TVET. Apa yang kita tekankan adalah menambah mutu mereka. Saudara, 97% daripada lulusan TVET telah mendapat pekerjaan, Alhamdulillah. Akan tetapi, gaji mereka rata-rata hanyalah RM 2,000, tidak mencukupi. Apa yang perlu kita lakukan? Tingkatkan mutu latihan mereka. Sebentar tadi Ketua Pengurus PETRONAS telah berjumpa dengan saya, beberapa cadangan umpamanya di Sarawak itu yang gunakan adalah latihan bagi welding. Beliau mengatakan jika selesai latihan itu, minima gaji-gaji mereka adalah RM3500, biasanya RM4000 hingga RM4500 dan terdapat beberapa latihan yang tidak cukup jentera.

 

  1. Jadi saudara, tumpuan kita itu adalah Institut Latihan Industri (TVET) yang patut kita tingkatkan untuk memenuhi keperluan industri yang lebih canggih dan baru. YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin ada di sini, kita telah memperkenalkan Fakulti Artificial Intelligence di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

  1. Apa masalah dalam Pendidikan? YB Puan Fadhlina Binti Sidek ada di sini. Mutu pendidikan, sekarang ini kita membicarakan tentang mutu pendidikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah-kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris. Jadi mulai tahun hadapan, mutu penguasaan bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain daripada mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu.

 

  1. Jangan dipertikai lagi seolah-olah dengan memberikan keutamaan dalam bahasa Inggeris, kita meninggalkan bahasa Melayu. Tidak. saya jelaskan, kalau mahu negara ini terangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama yang dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah-sekolah swasta, sekolah-sekolah internasional. Kalau anak itu anak Malaysia mesti dan wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik.

 

  1. Di samping itu, semua anak-anak kita terutama di Sekolah Kebangsaan Mesti ditekankan penambahan supaya penguasaan bahasa Inggeris jauh lebih baik daripada sekarang. Semua negara maju sekarang mula memberi penekanan tentang sekurang-kurangnya dwibahasa. Jadi jangan kita pandang ringan hal ini.

 

  1. Kemudian saya sebut tadi soal latihan. Pada tahun ini, kita mendapat sambutan pelaburan yang luar biasa. Saya sebut syarikat Jerman yang buat cip mikro komputer terkemuka di dunia memutuskan untuk melabur jumlah terbesar luar daripada Jerman dengan jumlahnya sebanyak RM25 bilion di Malaysia.

 

  1. Kalau dulunya pelaburan cip mikro komputer ini untuk back-end, maknanya untuk teknologi yang peringkat rendah, keputusan mereka sekarang menjadikan Malaysia pusat pelaburan terbesar di luar Jerman dengan front-end, maknanya cip mikro tahap yang paling canggih.

 

  1. Oleh itu, kita harus melatih anak-anak kita yang ada lulusan TVET, jurutera dan lain-lain dalam bidang Matematik, Sains, Teknologi serta Digital supaya dapat memenuhi keperluan syarikat itu. Kalau tidak, kita akan mengambil kepakaran daripada negara asing.

 

  1. Geely-Proton telah memulakan dan mengembangkan kegiatan di Tanjung malim. Pusat automotif yang dikatakan Automotive City, antara projek besar yang lain daripada negara China, memerlukan puluh ribu lulusan TVET dan jurutera. Maka tumpuan kita adalah meningkatkan mutu latihan kita, dan sekarang sudah semakin baik.

 

  1. Meskipun dahulu ada yang memperkatakan mutu pendidikan kita terbaik tetapi saya tidak hairan dengan itu semua. Perbandingan dengan dunia di nombor 3 atau nombor 10, itu saya tidak peduli. Apa yang saya tekankan adalah tugas Kementerian-kementerian ini mesti ditingkatkan untuk mencapai kualiti yang lebih baik daripada sekarang supaya semua industri ini akan memanfaatkan kekuatan pelatih dari lulusan Malaysia sendiri. Maknanya kita ada kekurangan dalam bidang kemahiran itu.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Semalam saya ke MIMOS kerana kita mahu MIMOS menjadi seperti mana pusat-pusat sains yang lain, pusat-pusat penyelidikan universiti untuk mula diberikan dukungan dan sokongan supaya dapat meningkatkan keupayaan mereka. Saudara Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution, dia sudah renung tengok bila saya nak sebut soal keselamatan dan Dalam Negeri itu sudah arif.

 

  1. Kita tahu bahawa semua ini tidak akan bermakna – mutu pendidikan, mutu kesihatan, bahasa kalau negara kita tidak terjamin selamat dan aman daripada pencerobohan asing, menjaga dan mengawal sempadan ataupun pengkhianatan dan jenayah dalam negeri. Maka tugas pasukan tentera dan polis selain badan-badan penguatkuasaan lain mesti kita tingkatkan.

 

  1. Sekali lagi, saya sebut di sini, ini secara saya lontarkan cambahan idea tentang tanggungjawab dan tumpuan kita untuk tahun depan dan tahun-tahun berikutnya.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Kita harus tumpukan perkara ini tanpa terlalu banyak gangguan. Alhamdulillah politik kita stabil dan doalah supaya empat (4) tahun sehingga pilihan raya akan datang, tidak ada ganggu gugat lagi. Kita menjadi Perdana menteri atau Menteri-menteri ini bukan untuk memunggah kekayaan tetapi kita jadikan ini sebagai kesempatan yang sebaiknya untuk memikul amanah dan berkhidmat sedaya upaya kita dengan sebaik mungkin kerana kita yakin, kita mampu mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di rantau Asia.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.