TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KOLOKIUM MADANI
PERKHIDMATAN AWAM 2023
8 NOVEMBER 2023 | 3.00 PETANG
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
Dato’ Seri Dr. Zulkapli Bin Mohamed,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff,
Ketua Pengarah JAKIM; serta
Seluruh keluarga JAKIM dan semua tetamu penting yang hadir pada tengah hari dan petang ini.
- Alhamdullilah, terdapat beberapa kupasan dan idea yang dilontarkan termasuk dari KSN yang harus dimanfaatkan untuk memperkukuh maksud dan pelaksanaan dasar negara MADANI. Saya mulakan dengan menjelaskan tentang mengapa kita memilih untuk melakukan anjakan daripada dasar-dasar terdahulu yang tidak kesemuanya kita ketepikan.
- Kalau kita lihat, dasar ataupun falsafah negara dan agenda ekonomi MADANI, terdapat kesinambungan idea-idea yang baik yang pernah dilontarkan dan dilaksanakan dahulu lalu kita manfaatkan. Soalnya mengapa kita harus melakukan anjakan ini? Ini kerana terdapat kelompongan.
- Saya pernah mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Development Committee Of World Bank and IMF, saya bukan hendak singgung seolah-olah saya mengetepikan sumbangan mereka tetapi kalau kita ambil umpamanya Shared Prosperity atau Kemakmuran Bersama, ia merupakan satu idea yang baik yang dirangka oleh Bank Dunia kemudian diterjemahkan dan dilaksanakan.
- Apa kekuatannya? Kekuatannya ialah memberi penilaian dan melontarkan idea yang boleh membantu mengangkat pertumbuhan ekonomi dan menjamin keselesaan semua rakyat. Itu kita terima. Apakah kelemahannya? Kelemahannya adalah kerana soal akhlak, nilai dan keyakinan agama itu memang dipinggirkan kerana kerangka pemikiran yang juga menjadi asas dan kekuatan mereka adalah pemikiran barat.
- Begitu juga semalam umpamanya telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet untuk menilai pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) yang diterima hampir semua negara di dunia. SDG adalah matlamat pembangunan yang mampan dan memang ada kekuatannya.
- Oleh itu, dalam perbincangan semalam bersama Menteri-menteri, Premier Sarawak, Menteri-menteri besar dan Ketua menteri, saya mengatakan bahawa 17 matlamat SDG itu boleh kita manfaatkan tetapi harus ada sinergi dan selari dengan matlamat negara kita kerana kelemahan dalam mana-mana lontaran idea yang dikemukakan dari badan-badan antarabangsa barat.
- Sementara kekuatannya, soal keyakinan, soal relevan agama, soal akhlak dan nilai masih ada kelemahannya. Itulah sebabnya mengapa kita merangka MADANI. Aspek ini ditekankan sekali dengan SDG dan juga pandangan-pandangan lain yang boleh kita manfaatkan.
- Saya mahu jelaskan hal ini kerana penting kerana umpamanya dalam pendebatan Parlimen beberapa minggu lalu saya telah ditanya, adakah ini sama dan mengapa tidak boleh diterima oleh kerajaan sekarang tentang Kemakmuran Bersama? Jadi jawapan saya ialah mengambil dan menciplak hampir keseluruhannya dari idea yang dilontarkan oleh Bank Dunia kemudian ada kepakaran satu kumpulan penyelidik, menggunakan bahasa yang agak sesuai dengan negara kita dan dilaksanakan.
- Kekuatannya apa? kerana banyak idea itu akan memberi manfaat kepada negara. Kelemahannya dalam aspek nilai, akhlak dan keyakinan agama itu kita tidak disinggung, hanya di kesampingkan. Kalau itu dimasukkan sebagai penempelan kepada satu dasar yang dirangka dari luar, sebab itu dalam merangka MADANI, teras bagi semuanya itu tidak boleh lari daripada keyakinan, nilai dan relevan Kerajaan Malaysia.
- Ia tidak mudah. Hari ini saya mengucapkan tahniah kepada Menteri dan Ketua Pengarah JAKIM kerana telah mengambil ikhtiar ini untuk mengumpul dan membantu kerana JAKIM tidak mahu dilihat sebagai aspek agama yang terasing daripada mendasari semua idea dan dasar negara yang selama ini walaupun kerajaan atau parti bertukar ganti tetapi peranan JAKIM itu kekal.
- Mungkin perlu dimasukkan elemen-elemen yang boleh membantu fahaman parti masing-masing tetapi tidak dirobah konsep menyeluruh. Saya mempunyai pendapat yang berbeza kerana saya kata kalau benar kita mahu melakukan anjakan, maka harus ada penerapan nilai yang kukuh yang mana JAKIM boleh membantu kegiatan dalam semua Jabatan dan Kementerian.
- Oleh itu, saya mengucapkan jazakumullah khairan kathiran kepada rakan-rakan keluarga JAKIM tetapi soalnya ia tidak semudah itu. Kita ini sebagai negara yang bebas dan demokratik, ada yang merasa runsing dan ada pandangan yang agak sinis yang dikatakan ini adalah percubaan Anwar Ibrahim untuk Islamize.
- Saya tidak menafikan, memang ada percubaan untuk memberi kefahaman Islam yang lebih dan mengamalkannya tetapi mengapa harus ditakutkan? Malaysia ini hidup dengan asas dan diterima peranan Islam sebagai agama Persekutuan dan peranan agama dan nilai dalam negara kita. Bukan untuk memaksa orang lain untuk menerima agama kita, tetapi soal nilai dan agama, apa lagi yang menekankan tentang kemanusiaan yang universal dan Rahmatan Lil’alameen itu boleh dimanfaatkan oleh semua.
- Jadi saya mengambil kesempatan untuk menjawab kebimbangan daripada beberapa rakan, kalau sekadar kebimbangan itu tidak apa tetapi ini kecelaan yang tidak dapat diterima kerana kita tidak bermaksud sama sekali untuk memaksa orang menerima agama kita, yang penting itu adalah nilai. Lebih baik orang Islam itu memahami Islam dan mengambil pendekatan yang disebut sebagai sama ada khaira ummah atau ummatanw wasatal litakoonoo shuhadaaa’a ‘alan naasi wa yakoonar Rasoolu ‘alaikum shaheedaa, maknanya umat yang wasatiyyah daripada terpesong dan diheret mengikut tren yang melampau.
- Jadi itu jawapan saya tetapi kalau katanya pilihannya adalah untuk menerima atau menolak agama, itu bagi saya bukan pilihan. Pilihannya adalah, apakah untuk menerima Islam yang wasatiyyah, yang memberi rahmat kepada semua yang menunjukkan toleransi terhadap semua kaum dan agama dalam negara kita serta hidup dengan aman dan harmoni, maka saya katakan kita pilih Islam yang boleh membantu mengukuhkan akidah, mengangkat akhlak kita dan menjadikan kita hari ini muslimun’ wathiqun. Maknanya orang Islam yang yakin dan dapat melaksanakan. Kita gunakan natijah itu setelah dicerakin dalam MADANI dan sementara saya minta umpamanya JAKIM berbincang dan mengupas maksud untuk meningkatkan kefahaman dan pelaksanaannya, saya juga terbuka untuk mendengar daripada tokoh-tokoh politik, tokoh ilmiah, ilmuwan dan juga dalam kalangan masyarakat untuk memberi pandangan mereka sama ada di kalangan orang Islam atau bukan Islam.
- Dan kalau ada umpamanya ciri-ciri yang dianggap bertentangan dengan tatasusila, keyakinan dan prinsip perlembagaan, saya sanggup menilai semula tetapi setelah hampir setahun sejak MADANI ini, belum ada yang boleh menunjukkan di mana aspek itu yang mencabar keutuhan nilai masyarakat Malaysia yang bersatu.
- Jadi saya harap penjelasan ini akan membantu bukan sahaja dari kalangan umat Islam tetapi rakan-rakan di kalangan bukan Islam yang kadang-kadang sangat bimbang apatah lagi kalau saya serahkan beberapa tugas ini kepada JAKIM kerana prasangka. Menyentuh hal berkaitan isu prasangka ini, kita di Malaysia tidak boleh melihat agama Islam ataupun peranan kaum lain dari sudut prasangka yang kita warisi dari barat.
- Seorang ahli politik sains yang terkemuka berketurunan Arab-Kristian yang selalu saya ungkapkan pandangan beliau, Edward Said yang pernah menjadi Profesor di Universiti Columbia yang terkenal. Apabila berbicara soal Palestin, beliau menyebut satu frasa yang sangat popular dan mengesankan. Beliau berkata ini bukan politik kaum, politik permusuhan atau politik yang menimbulkan pembenturan idea atau perpecahan, ini adalah politics of dispossession, iaitu politik di mana satu kelompok rakyat namanya orang Palestin yang dirampas tanah, hak, maruah mereka dan dispossessed daripada apa yang mereka warisi.
- Itu yang dikupas tentang Palestin tetapi Edward Said ini terkenal pada peringkat awalnya kerana menulis buku mengenai orientalisme pada akhir 70-an. Buku orientalisme itu menunjukkan bagaimana sejarawan, ahli sosiologi, ahli sejarah, pengkaji agama barat dan orientalis melihat bukan sahaja Islam tetapi agama yang lain daripada yang mereka yakini dan warisi itu sebagai the other. It is us. The western intellectual Judeo-Christian tradition and them.
- Dan yang paling parah diserang adalah Islam dan Arab tetapi ini semua adalah kita dan semua agama di Asia ini. Itu kupasan beliau yang menjelaskan prasangka itu dalam setiap kajian terjemahan Al-Quran yang dipesongkan. Terjemahan Ibnu Khaldun, saya masih ingat Almarhum Profesor Ismail al-Faruqi yang menyebut dalam bentuk terjemahan buku yang penting the muqaddimah oleh Ibnu Khaldun, apabila dibuat oleh orientalis itu masih dipesongkan beberapa istilah untuk menimbulkan kekeliruan.
- Dalam kajian tentang agama apatah lagi dan ini mempengaruhi seluruh disiplin, sains sosial, antropologi, sosiologi, sejarah sehinggakan kefahaman kita begitu dan oleh itu generasi sekarang walaupun kita rasa kita bebas dan merdeka tetapi kefahaman itu kuat mempengaruhi kita. Mark Rutte, Perdana Menteri Belanda melawat Malaysia baru-baru ini tentulah dalam perbincangan itu saya melontarkan idea dan pandangan tentang Gaza dan Palestin untuk beliau lebih simpati dan faham.
- Kebetulan beliau belajar dahulu di Universiti Leiden, antara universiti terkemuka di zaman penjajahan Belanda dan telah melahirkan seorang ahli akademik dan pengkaji Islam yang terkemuka, Dr. Snouck Hurgronje yang saudara tahu menulis dua buah (2) buku yang penting, The Achehnese, satu kajian yang sangat mendalam dan sangat teliti mengenai sifat keilmuan, semangat budaya dan sejarah orang Aceh. Sebuah lagi buku yang agak penting adalah Mecca in the Latter Part of the 19th Century atau Mekah di akhir abad ke-19.
- Siapa Dr. Snouck Hurgronje? Dr. Snouck Hurgronje ini merupakan seorang ahli ilmiah dan ilmuwan yang terkemuka dan pelajar Islam. Beliau pernah ke Mekah Al-Mukarramah dengan menggunakan nama Abd al-Ghaffar dan berkahwin dengan anak Jawa untuk membolehkan beliau masuk ke Mekah bagi mempelajari dan melihat sendiri kerana dia nak tahu mengapa orang-orang Jawa atau orang Indonesia itu apabila pulang dari Mekah, sifat dan peribadinya lain. Mereka ada roh perjuangan, minat tentang pengajian, minat untuk membuka pesantren-pesantren atau yang kita katakan pondok-pondok, mesti ada sesuatu di Mekah itu yang tidak dapat dikesan oleh penjajah Belanda, maka beliau pergi ke Mekah beberapa ketika sehinggalah dapat dikesan oleh perisikan dan Intelligence Police Arab Saudi, barulah diusir keluar daripada Mekah. Maknanya sebagai seorang bukan Islam, beliau masuk dan mengkaji.
- Di antara guru yang terkenal, Syaikh Ahmad Khatib dan mengajar ilmu Islam dan mengatakan beliau orang-orang Indonesia atau orang jawi pada masa itu di kepulauan Melayu termasuk daripada Semenanjung Tanah Melayu. Apabila beliau pergi ke Mekah, beliau belajar dan ada semangat baharu dan minat untuk belajar. Beliau minat untuk mengajar dan minat untuk hidupkan semangat Islam ini dan roh perjuangan Islam termasuk menentang penjajahan. Itu yang dikaji dalam Mecca in the Latter Part of the 19th Century.
- Apabila beliau balik, kerana kupasan beliau baik maka diangkat oleh Permaisuri Belanda, Queen Wilhelmina sebagai penasihat yang mempengaruhi dasar yang disebut The ethical policy 1905 dan apa matlamatnya? Yang pertama, mengawal orang yang hendak pergi ke Mekah dan pantau yang balik itu sama ada membawa semangat apa. Yang kedua, melunakkan kefahaman mereka dan memberikan mereka pendidikan barat yang boleh mengasingkan mereka daripada kefahaman Islam, nilai dan budaya mereka.
- Ini seperti juga penjajahan baik dari Lord Cromer di Mesir, Thomas Babington Macaula di India, Dr. Snouck Hurgronje di Belanda, Stamford Raffles di Singapura dan Tanah Melayu. Semuanya sama-sama brown in color tetapi english dari segi semangat dan cita-citanya seperti mana Stamford Raffles dalam notes on the setting up of a malay college in Singapore, itu matlamat mereka.
- Saya beritahu bahawa inilah latar belakangnya. Apakah mudah untuk kita rombak pemikiran ini semua? Tidak mudah. Sebab itu kalau saudara baca kajian tentang civil service in the early period, kajian oleh WS Scott rasanya kalau tidak silap. Minta maaf saya tidak pakai nota, saya berfikir sahaja. Beliau berkata the first generation, walaupun ada dedikasinya dan komitmen mereka untuk membangunkan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat, tetapi sentimen, cara dan pemikiran mereka terlalu Inggeris.
- Alhamdulillah ada kekuatan kerana mereka ini membentuk sistem pentadbiran kita yang teratur dan cekap. Tanggungjawab generasi sekarang seringkali memberikan pengisian yang boleh membetulkan landasan hidup kita dengan nilai manfaatkan daripada pengalaman dan kepintaran pentadbiran barat atau Inggeris tetapi mengembalikan keyakinan, nilai dan akhlak yang sesuai dengan Negara Malaysia.
- Itulah mengapa saya katakan MADANI itu diperlukan dalam konteks ini untuk mengekalkan yang baik tetapi memberi pengisian yang baharu. Mengapa ia mendesak sekarang? Semalam saya sebut tentang kajian oleh Boston Consulting Group (BCG). Ini penting kerana dalam kajian itu, disebut berdasarkan SEDA.
- SEDA ini adalah Sustainable Economic Development Assessment, bagaimana kita menilai pembangunan sesuatu negara agar mampan dari sudut pertumbuhan ekonomi, pelaburan, kesihatan, pendidikan, kemudahan asas dan semua sekali. Disitu dilihat Malaysia dari akhir 90-an sehingga berapa tahun kebelakangan, saya ingat kajian berakhir sekitar 2010.
- Makna selama 20 tahun, Malaysia telah membangun, ada kemajuan, dan pertumbuhan tetapi kalau dilihat dari segi SEDA ketimbang negara-negara lain seperti Vietnam Indonesia dan Thailand, apa yang berlaku? Vietnam, Thailand, Indonesia adalah dari threshold yang lebih rendah tetapi lebih jelas melonjak naik.
- Sementara Malaysia dari threshold yang relatif tinggi atau sederhana kekal tidak berlaku pertumbuhan mendadak dari sudut SEDA. Penilaian mengikut SEDA selama 20 tahun itu kekal di tahap yang lama. Saya membaca perkara ini beberapa tahun yang lalu dan ia sangat mengesankan dan mencabar saya. What is wrong with our society? What is wrong with our nation? Itulah sebabnya mengapa saya merasakan harus ada kejutan yang disebut in uriidu illaa al-ishlaaha maa istatha’tu supaya memperbaiki di mana kekurangannya. Ada orang kata kelemahan Anwar Ibrahim adalah beliau cuba merungkai hal-hal yang lama. Tidak sama sekali. Ini adalah asas kita yang selama 20 tahun, pertumbuhan negara itu mendatar dan tidak melonjak.
- Jadi kita kena cari sebab apa sama ada pentadbiran, pekerja, mutu universiti itu di mana masalahnya. Yang paling ketara ialah kerana tatakelola yang lemah dan penyelewengan yang diterima sebagai satu sistem hidup. Beberapa skandal besar itu tidak mungkin berlaku hanya dengan orang politik yang korup. Kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistemnya sama ada ilmuwan atau ahli akademik yang diam membisu ataupun pentadbir yang sudah menerima kenyataan ini dan tidak mampu melakukan apa-apa perubahan atau lain-lain.
- Namun demikian, yang nyata ialah keadaan kita yang muram, pertumbuhan lembap dan ia menuntut sesuatu kejutan, tindakan untuk membetulkan tatakelola ini, menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan. Jangan izinkan pembaziran berlaku kerana setiap sen yang kita bazirkan itu akan menyebabkan jumlah terkesan itu jutaan ringgit dan mengesankan dari sudut pengagihan kepada golongan yang memerlukan.
- Ini hanya akan berlaku dengan tekad pokitik yang jelas, iaitu Jemaah Menteri yang punyai tekad yang jelas, tidak tolak ansur dan penjawat awam terutama yang berpengaruh, yang kanan merasa betul-benar perlu untuk menyelamatkan negara dan bangsa ini. Maka kita harus lakukan sesuatu yang lebih bermakna. Bagi saya, negara MADANI ini hanya akan jadi slogan biasa kalau tidak dihadam, dihayati dan cuba dilaksanakan seperti juga fahaman agama bahawa Islam iżā da’ākum limā yuḥyīkum. Betul kita harus sampaikan tetapi cabarannya ialah penghayatannya. Jadi bagaimana hendak diperbaiki? Itu kita harus teliti dan bincang bersama dari peringkat bawah sehingga tinggi dan saya yakin, ia mesti bermula dari atas.
- Sudah setahun saya diamanahkan sebagai pemimpin negara ini. Saya akui bahawa kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, KSN dan pimpinan penjawat awam sangat membanggakan dan dalam beberapa langkah yang dilakukan sama ada memberikan kesan dan ini menambah keyakinan saya bahawa keadaan yang lembap dan longlai serta memprihatinkan itu mampu dirobah dan saya menerima beberapa pandangan.
- Semalam dalam acara yang dianjurkan oleh MAMPU, di hadapan sebahagian daripada saudara, saya menyebut umpamanya kalau dulu, apabila saya mula aktif dalam pimpinan kerajaan sebagai Menteri kebanyakan kerja-kerja berat dan konsultasi itu dilakukan oleh penjawat awam. Masa itu disebut pegawai-pegawai Kerajaan tetapi kebelakangan ini puluhan tahun lalu semuanya kepada konsultan asing yang belanjanya berbilion ringgit.
- Maka saya syorkan dalam mesyuarat bersama KSN, KPPA dan JPA, saya berkata, kita peruntukan jumlah yang lebih besar. Hantar dan kirim bukan sahaja penjawat awam peringkat tertinggi di semua Jabatan dan agensi tetapi juga yang pegawai yang muda yang punyai potensi dinaikkan pangkat dan kedudukan mereka. Bidang mana yang mereka perlukan? Tebatan banjir? hantar dua atau tiga orang biar jadi pakar dan faham betul-betul. Untuk bidang Artificial Intelligence, hantar ke universiti terbaik untuk mendapatkan latihan terbaik.
- Ia bukan sahaja soal academic excellence dalam bidang tetapi kefahaman, penguasaan ilmu dalam bidang yang diperlukan contohnya bidang teknologi maklumat atau apa sahaja bidang. Ini bukan saya fikir hantar 30 atau 40 orang tetapi ratusan anak muda termasuk dari penjawat awam dan kalau ini dapat kita lakukan dalam masa satu atau dua tahun ini, kita tidak perlu bergantung kepada keupayaan konsultan luar kerana dengan sendirinya kita melatih daripada ratusan ribu, tentunya ada puluhan ribu yang mempunyai keupayaan menimba ini dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican senyum, dia bimbang saya umumkan peruntukan tambahan tanpa menyemak keupayaan kewangan.
- Saya sudah beritahu semalam dengan anggaran RM30 hingga RM40 juta. Kalau ini bermakna memulakan dalam masa singkat, tingkatkan dengan jumlah bidang. Kalau bidang artificial intelligence di mana yang terbaik di Harvard, kursus di Los Angeles ataupun kursus di Mohamed bin Zayed, University of Artificial Intelligence, Just do it. Tidak perlu mengikut sangat segala peraturan-peraturan panjang lebar. Bagi bidang ini, saya sanggup beri kelulusan khas kerana ini bagi makna kepada maksud MADANI.
- Bagi JAKIM, kita ada banyak masalah termasklah orang yang berdepan dengan segala perbenturan idea, permusuhan golongan ekstrem begitu begini, tidak apalah yang nak gaduh itu, gaduh lah ya. Kadang-kadang kerja orang politik ini hanya suka bergaduh, jadi biarlah bergaduh tetapi dari segi JAKIM, lihat di kalangan staf yang baik dan kirim yang terbaik.
- Ini bukan soal nak dapat satu lagi PhD tidak semestinya, itu kalau boleh diteruskan tetapi bagi saya cari apa masalah. Bagaimana umpamanya negara A menangani masalah ini? dan bagaimana kita menghadapi masalah ini? Bagaimana kita boleh membawa semangat kesatuan? apa yang boleh kita pelajari? Saya tidak mewakili satu pandangan yang anti beberapa perkara kerana saya berfikir dari negara barat pun banyak yang kita boleh menimba ilmu.
- Yang penting adalah pertahankan akidah, akhlak dan nilai kita, sebab kalau ambil satu sikap yang semata-mata kebencian terhadap barat itu juga merugikan kita ataupun negara China, itu kehebatan mereka dalam masa 20 tahun itu memang menakjubkan. Kalau dulu Malaysia termasuk di antara negara yang disebut oleh Bank dunia sebagai East Asian Economic Miracle, pertumbuhan ekonomi di Asia timur dan termasuk di Malaysia, saya yang menakjubkan tetapi sekarang tidak ada yang menakjubkan di Malaysia.
- Melainkan kita lakukan kejutan dan perubahan yang menyeluruh dan saya selalu memberi sokongan penuh kepada Menteri-menteri, KSN dan KPPA untuk tegas dan sekarang lebih mudah kerana politik jauh lebih stabil. Kekuatan ahli Parlimen lebih dua pertiga, masa untuk kita tumpu kepada kerja, tegas dan kalau perlu ambil tindakan keras, saya akan ambil tindakan keras kerana pilihan raya 4 tahun lagi, Insha-Allah.
- Akhirulkalam saya ingin menyatakan, saya luahkan idea dan cara yang juga lebih terbuka dari segi konsep dan pendekatannya supaya rakan-rakan, penjawat awam memberi kerjasama sepenuhnya. Kita punyai potensi dan kalau tanya saya, saya yakin. Baik juga Allah banyak uji saya dan ada pengalaman, sekarang dah tua baru jadi Perdana Menteri kerana ada lebih banyak kesabaran dan mudah-mudahan lebih waras.
- Tetapi setelah melihat sepak terajang politik dan apa yang berlaku dalam pentadbiran Negara ini dan melihat kepada keupayaan kita, saya yakin sangat saudara-saudara yang ini bukan kenyataan politik tetapi saya benar-benar yakin, beri dua tiga tahun dengan semangat baharu ini, saya yakin Malaysia akan dapat diangkat sebagai satu negara hebat di rantau ini.
- Dari sudut dunia, percayalah dalam masa singkat, negara-negara asing baik perjumpaan bersama Perdana Menteri Belanda dan Jepun baru-baru ini dan esok Naib Presiden China datang ke Malaysia, kemudian saya ke Timur Tengah, Arab Saudi, Mesir, Turki dan UAE, saya lihat dukungan dan hormat untuk bersama kita itu luar biasa. Betul kita ada hubungan yang baik duhulu tetapi tengok macam UAE, sebulan lalu kita ke sana, sejak itu sudah dua rombongan yang mereka hantar untuk melabur di sini secara serius.
- Putera Diraja Mohammed bin Salman memutuskan untuk membesarkan pelaburan PETRONAS-Saudi Aramco dan menyatakan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pelaburan terbesar Arab Saudi di rantau Asia Pasifik. Turkiye tentulah kerana kita memang bersahabat baik. Jadi saya tidak payah sebut hal itu.
- Cuma saya menunggu sambutan daripada kita, sebab itu saya putuskan umpamanya kaedah lama tidak boleh dipakai lagi, orang minta untuk melabur, kena tunggu lapan (8) bulan baru ada jawapan, jadi saya kata ini tidak boleh. Tidak apa kita langgar sikit-sikit peraturan kalau ianya tidak melibatkan rasuah dan tidak ada penyelewengan.
- Saya sudah berpakat dengan Ketua Audit Negara, kalau ada mana peraturan-peraturan teknikal itu bukan jadi masalah. Masalahnya itu apabila ada disalah guna peraturan untuk mencuri wang negara tetapi kalau sekadar untuk mempercepatkan itu harus.
- Saya berjumpa dengan beberapa pelabur di New York dan semuanya mengatakan bahawa Malaysia itu baik, dari segi profesionalism, policies, infrastruktur semuanya baik. Namun, saya kata apa yang lambat? Kelulusan. Saya kata mana boleh lambat? mereka kata ya dan dibandingkan dengan Vietnam.
- Saya balik dan saya tidak boleh terima perkara sebegitu. Jadi kita harus percepatkan dan itu satu yang kita harus jaga daripada sekarang kerana dasar apa yang dikatakan clarity, dasar ekonomi dan pelaburan kita jelas, masalah dan pelaksanaan.
- Untuk isu yang kontroversi tidak apalah saya cuba tanggung dan saya jawab macam dalam cerita hadis 40. Itu pun pada saya ingatkan baguslah cadangan tetapi penat hendak menjawab. Penat tidak penat pun bulan Januari kena laksana kerana umat Islam, anak-anak Islam lebih baik cepat dapat menguasai Al-Quran dan menguasai hadis yang asas, lebih selamat mereka dan keluarga mereka dan negara daripada umat Islam yang jahil dan mudah di perangkap.
Terima kasih.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR