TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
BAGI BULAN OKTOBER 2023
17 OKTOBER 2023
KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa Qaiyimal liyunzira baasan shadeedam mil ladunhu wa yubashshiral mu’minin Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan,
Timbalan Menteri Kewangan;
YB Steven Sim Chee Keong,
Timbalan Menteri Kewangan;
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendahaan;
Timbalan KSP dan rakan rakan yang saya mulakan.
- Pertama saya mohon maaf kerana ada kelewatan sedikit dari jadual. Hari ini saya kurang sihat, ini yang dikatakan demam belanjawan. Ini merupakan satu amalan dan contoh yang tidak baik.
- Kita mulakan dengan memanjatkan syukur kepada Allah SWT kerana dapat sama-sama membentangkan belanjawan negara. Seperti biasa kita semua maklum bahawa pengumuman ataupun yang membentangkan itu adalah Menteri Kewangan tetapi yang bertungkus lumus membuat persiapan itu adalah jentera yang ramai khususnya dari Kementerian Kewangan dan juga kementerian lain yang memberikan input.
- Jadi sepatutnya kita berikan penghargaan kepada semua yang bertanggungjawab, bukan sahaja di dalam kerajaan, bahkan juga sektor swasta yang turut memberikan input yang dapat kita manfaatkan untuk tahun hadapan dengan lebih bijak.
- Jadi, sebab itu saya selalu tegaskan bahawa belanjawan negara yang dipaparkan kepada rakyat bukan sahaja untuk pelaburan dan ke arah pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk memberikan keselesaan semaksimum mungkin kepada rakyat.
- Tentunya belanjawan negara satu tahun tidak boleh menyelesaikan masalah kerumitan yang kita warisi selama puluhan tahun. Sebab itu mana-mana belanjawan, tidak harus dilihat sebagai satu pembohongan atau vakum. Sebaliknya ia perlu dilihat dari sudut latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhannya, kestabilan politiknya, keupayaan kita melangsaikan hutang dan juga menyelesaikan beberapa kerangka ekonomi makro yang asas.
- Pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai belanjawan, setakat ini, ada yang kata mengapa harus kita turunkan defisit? mengapa harus kita sibuk melangsaikan hutang? Kalau kita terus dengan defisit yang membengkak, orang yang labur pasti tidak yakin dan akan mengatakan bahawa ianya diurus oleh barisan pimpinan politik atau pengurusan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
- Menurut Adam Smith, sebaik-sebaik mengurus ekonomi negara adalah umpama mengurus ekonomi rumahtangga. Hutang membengkak, anak-anak tidak mampu bayar. Maknanya gagal urusannya.
- Hutang yang mampu ditangani kemudian itu ada kemunasabahannya. Terutama kalau hutang itu yang boleh bawa pertumbuhan. Justeru, kita sudah putuskan jangan lagi tambah hutang-piutang kita teruskan bahawa defisit harus kurang dalam masa yang sama masalah-masalah prasarana asas seperti pendidikan dan kesihatan harus diberikan perhatian.
- Anak-anak kita di sekolah tidak mampu tunggu 10 tahun untuk sekolah dibangunkan. Satu Fakulti AI yang kita umumkan tidak boleh tangguh 5 tahun kerana kita tidak akan dapat bersaing dengan baik.
- Ada beberapa keutamaan siapa hendak memutuskan keutamaan itu. Kita dengar semua pihak, akhirnya kita terpaksa putus daripada 1000 usul kita mungkin terpaksa terima 100. 100 itu tidak puas hati kerana tidak dapat keseluruhan permintaan, yang 900 itu tidak suka sebab tidak dapat dipertimbangkan.
- Tetapi kita lupa bahawa belanjawan ini untuk 2024, ada lagi belanjawan akan datang, 2025, 2026 insya-Allah. Jadi sebab itu penerangan mengenai 2 perkara itu penting dalam belanjawan. Kita kena jelaskan kepada rakyat.
- Mengenai isu asas seperti kesihatan dan pendidikan, adalah menjadi tanggungjawab utama mana-mana negara sebagaimana yang saya sebut tentang pandangan pengalaman seorang pemikir Islam Al-Marhum Malik bin Nabi. Ia mesti dari keyakinan yang disebut “inner struggle of conscience”. Maknanya kita lakukan dengan pemikiran, tetapi ia mesti dari hasrat yang tercerna dari hati nurani yang ikhlas membawa kebaikan, iaitu “inner struggle of conscience”. Malik bin Nabi ini pemikir besar dari Algeria yang banyak mempengaruhi pemikiran saya sejak muda lagi.
- Kemudian kerana kita ini masyarakat pelbagai kaum. Kadang-kadang kita santuni mereka dengan menukil karya-karya leluhur bangsa, karya agung yang tidak semestinya bertentangan dengan kefahaman kita. Sebab tu saya ambil Mencius (Mengzi), seorang sage China yang agung yang menekankan soal itu juga keyakinan soal ihsan, maknanya masyarakat kita kaum lain pun tidak merasa terasing dari gagasan kita untuk mengangkat martabat semua rakyat.
- Begitu juga dalam kalangan masyarakat India, saya bawa tentang ‘Tirukkural’. ‘Tirukkural’ itu dalam budaya dan tamadun Tamil Selatan India merupakan satu tokoh besar menasihat raja-raja supaya bertanggungjawab, berlaku adil, mengurus negara dengan baik dan teratur. Keterujaan mengenai ‘Tirukkural’ telah sampai di India, saya dapat makluman daripada rakan bahawa liputan di media India tentang ‘Tirukkural’.
- Ini sekadar menghimpunkan idea besar supaya kita dapat timbulkan semangat kesatuan. Tapi penerangan itu penting, dan saya harap keluarga Kementerian Kewangan ini hadam betul-betul tentang kontroversimya dan mengapa penekanannya sedemikian.
- Ada yang kritik dalam keadaan hutang negara yang banyak tetapi masih rasa perlu untuk memberikan ganjaran yang adil kepada penjawat awam. Tidak ada yang memikirkan bahawa ganjaran itu kecil ketimbang kerja serta tiada penambahbaikan skim penjawat awam yang baharu kerana lebih dari 10 tahun tiada sebarang kajian atau penambahbaikan. Sepatutnya kajian itu bermula 2 tahun yang lalu, tetapi tidak dilakukan kerana keadaan politik tidak terarah. Justeru, kita lakukan tahun ini dan pastinya akan mengambil masa sebab saya beritahu kepada JPA, KSN, dan KSP bahawa kalau hendak buat kajian biar betul-betul menyeluruh dan meliputi semua pandangan serta betul-betul adil kepada semua bidang perjawatan dalam kerajaan.
- Oleh kerana ia mengambil masa, maka kita putuskan untuk memberikan sediti ganjaran sebanyak RM2,000.00 pada awal tahun depan agar penjawat awam tidak merasakan bahawa mereka itu hanya diminta bekerja tanpa langsung diperhatikan kedudukan mereka.
- Hutang ini defisit, manakala subsidi kita untuk satu tahun sudah mencecah RM81 bilion, di antara paling tinggi. Kadang-kadang orang sedap bercakap tentang jalur masyarakat dan sememangnya ada kalangan yang benci, dan berbeza pandangan, tetapi bagi rakyat yang sedia berfikir mereka faham bahawa tidak boleh mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab kekal dengan subsidi begitu banyak.
- Dari mana pendapatan? RM81 bilion dan ini tertinggi di rantau kita. Tidak ada negara yang berikan subsidi sebegitu tinggi. Apakah kita perlu potong semua subsidi? Tidak boleh kerana ia akan bebankan rakyat. Subsidi adalah bantuan oleh kerajaan untuk mengurangkan beban kepada rakyat.
- Apakah bantuan itu patut diberikan kepada golongan maha kaya? Orang kata Anwar anti maha kaya, ini bukan menekan orang kaya, tetapi sekiranya kamu kaya tidak perlu diberi sedekah, kerana subsidi itu umpama sedekah.
- Orang kaya jangan ditekan berlebihan kerana dia tidak akan menjana pertumbuhan ekonomi. Semasa saya Menteri Kewangan dahulu, saya diberitahu daripada dua pandangan, satu daripada Ibn Khaldun pemikir Islam dan satu lagi seorang reformist neo confucianisme China, Wang Yang Min, kalau kita cukai berlebihan, dia akan menekan dan tidak memberikan dorongan untuk orang menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Accessive taxation will discourage new investment and productivity, itu kenyataan daripada dulu sampai sekarang tidak berubah.
- Saya mula dengan Tabung Haji, selama ini diberikan kemudahan dan subsidi kerajaan kepada semua. Pendapatan saudara RM1 juta sebulan, kalau daftar melalui Tabung Haji, Tabung Haji akan bagi subsidi untuk menunaikan Haji. Jadi bagi saya tidak munasabah dan Tabung Haji akan membantu mempermudahkan dan mengurus.
- Bagi orang yang pendapatan sederhana, miskin berilah sedikit subsidi, kalau ada upaya untuk pergi menunaikan Haji, bagilah lebih sedikit bantuan. Jadi tahun ini kita mulakan, alhamdulillah tidak ada masalah, kuranglah sedikit tanggungan Tabung Haji. Maknanya bukan menekan tetapi menarik balik sedekah (subsidi) kepada orang kaya.
- Begitu juga dengan elektrik, tiada dikenakan cukai tambahan atau dikurangkan subsidi ataupun ditarik subsidi tetapi subsidi bagi 90% rakyat kekal.
- Jadi kalau tanya saya itu yang saya rasa seadil mungkin. Tetapi oleh kerana dunia politik demokrasi ini tidak menghalang orang menyerang dan menyerang lagi. 90% tak terkesan hanya 10% dikenakan, iaitu tidak di diberikan subsidi. Berapa penjimatan kita? RM4.6 bilion.
- Maknanya selama ini subsidi itu dimanfaatkan oleh golongan 10% ini hampir sama dengan 90%. Apakah ini satu dasar yang kita terapkan? Tidak. Ini yang disebut kecelaruan dasar selama ini. Kita bagi subsidi kepada semua. Ini tidak betul. Ini yang sedang kita cuba sasar semula subsidi untuk 90%. Jadi kita saving RM46 bilion.
- Apabila kita berikan subsidi minyak, ayam dan telur kepada semua rakyat, termasuk 3.5 juta orang asing di Malaysia. Jadi puluhan bilion kita bayar bagi orang asing. Justeru kita kena fikir jalan macam mana hendak beri subsidi kepada rakyat.
- Sebenarnya ayam dan telur sejak dahulu kita bagi harga siling bantuan untuk kekalkan harga. Kerajaan bayar subsidi, tetapi sekarang ini diberi setiap hari, berbanding dahulu hanya diberi sebelum perayaan, sebelum akhir puasa, sebelum hari raya Cina kita bagi takut harga naik melambung dan membebankan rakyat. Berapa setahun yang lalu? saya ingat dalam RM3.4 bilion subsidi ayam dan telur termasuk kepada 3.5 juta orang asing serta orang yang paling kaya (10%) tadi. Jadi kita kena sasarkan semula. Walau bagaimanapun, kebetulan harga ayam dan telur hari ini lebih rendah daripada harga yang kita tetapkan. Jadi tidaklah perlu diberikan harga siling. Inilah yang saya katakan penerangan untuk menjelaskan.
- Contohnya baru-baru ini berkenaan yuran universiti. Kita beri pinjaman PTPTN, yuran universiti ada yang RM1500 dan ada yuran universiti RM1800. Terdapat keluarga dari Ampang, 2 dari Tambun lapor mengatakan mereka tidak mahu terima perlawanan ke universiti kerana tidak mampu, jadi saya bagi arahan, tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dia kepada kementerian ataupun jabatan untuk selesaikan. Pertama kali dalam sejarah tidak ada anak kita dari mana sahaja atau dari kaum mana pun juga yang miskin tidak mampu bayar yuran yang ditolak oleh universiti. Daftar dahulu, lapor diri, beri dia ruang untuk cari penyelesaian. Jadi itu adalah contohnya, maknanya begitulah cara kita berikan penerangan.
- Yang ketiga penting dan harus bermula dari Kementerian Kewangan ialah pelaksanaan penjimatan. Sebaik sahaja kita keluar daripada bilik ini, lampu mesti tutup. Sebab saya tengok pembaziran itu kita lupa apabila kita selesa. Al-quran menyebut bahawa ada orang yang mengatakan dia beragama tetapi dia mendustakan agama “Araital Lazi Yukazzibu Biddin”. Itu satu perkara yang disergah keras dalam Islam tapi dalam amalan kita terkadang kita cuai.
- Begitu juga dengan pembaziran. Saya beritahu dulu semasa perhimpunan Kementerian Kewangan di luar Jalan Duta kita boleh nampak lampu. Kalau lampu buka saya minta Ketua Jabatan naik untuk tutup kerana wang itu wang rakyat, wang negara. Kita tidak boleh sia-siakan. Kerana dalam Al-quran juga ada disebut tentang kalangan orang yang membazir. Orang yang membazir itu Al-quran menempelak sebagai ikhwan syayathin (saudara syaitan).
- Jadi saya harap perkara ini diambil serius. Setiap orang bertanggungjawab keluar tutup lampu. Termasuk di pejabat KSP.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih dan berdoa supaya jabatan, penguatkuasaan, kastam dan sebagainya itu dapat memberikan khidmat yang sebaik mungkin.
Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR