TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JPM BAGI BULAN OKTOBER 2023

 

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

 

SEMPENA

MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JPM BAGI BULAN OKTOBER 2023

 

 

16 OKTOBER 2023 (ISNIN)

DEWAN DE’SERI ENDON, PUSPANITA PURI

PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahuu ‘iwajaa

Wasallallah hu ala saidina Muhammad

Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een.

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Menteri-Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah kita melabuh tirai akhir tahun Masihi, dan ini mungkin perhimpunan terakhir untuk tahun ini dan insya-Allah kita bertemu lagi pada perhimpunan tahun hadapan dengan lonjakan semangat yang lebih baik. 
  2. Kita sudah cuba sedaya upaya seluruh pasukan seperti mana yang saya sebut semalam, ia bukan sahaja Jemaah Menteri, Pegawai-Pegawai Kanan, Penjawat Awam umumnya yang memungkinkan kita membuat perubahan sedaya upaya kita, In uridu illal-islaha mastata’tu.
  1. Itu merupakan doa Nabi Shuib A.S membuat perubahan atau Islah. Itu andaian bahawa tidak harus ada seperti yang saya sebut semalam budaya keselesaan, menganggap kita sudah sempurna sudah tidak perlu dibetulkan, semuanya sudah baik. Dalam Islam menekankan Al-Itqan Fil Amal, iaitu strive for excellent. Kalau hadis Nabi Muhammad SAW itu menyebut Itqan Fil Amal. Jadi kalau ada sikap begitu maksudnya dia ada humility, tawaduknya bahawa sedaya upaya kita lakukan tetapi keterbatasan kita sedemikian rupa bahawa masih ada ruang diperbaiki.
  1. Mencari ikhtiar baru untuk selalu meningkatkan, menutup, dan mengelak daripada kelemahan dan kekurangan dan mencari jalan. Itu yang usulkan dari awal supaya budaya dalam politik dan juga penjawat awam itu memberi ruang mendengar teguran, pandangan malah kritikan yang membina. Umpamanya semalam, diajukan persoalan-persoalan kepada PM & TPM dengar soalan yang dibangkitkan tanpa tapisan, dan saya kira ini merupakan suatu yang baik yang juga disebut sebagai demokrasi bermakna, tau juga disebut musyawarah, bukan diatur atau diprogram, soalannya begini, jawapannya begini, sebaliknya ia bersifat terbuka.
  1. Mengikut budaya masyarakat kita umumnya bertanya soalan agak kritikal tetapi sopan kerana soal nilai dan akhlak itu dipertahankan. Sebab itu saya kata kadang-kadang Ahli-Ahli Parlimen harus belajar daripada Rakyat tentang apa erti sopan, apa yang menetapkan soal nilai dan akhlak. Lebih-lebih lagi dalam menangani media sosial yang seringkali memaparkan ucapan-ucapan mereka yang kelihatan agak keterlaluan, jadi mereka itu harus melihat bagaimana untuk lebih menekankan soal nilai dan akhlak.
  1. Soal nilai dan penafsiran Quran dan sejarah itu penting. Ada satu soalan mengapa saudara Anwar kalau bercakap soal MADANI seringkali diselitkan dengan Quran dan Hadis, ini seolah-olah orang bukan Islam tidak mendapat tempat. Jadi saya jawab mengatakan, sebagai orang Islam memang sandaran kita adalah Quran dan Hadis tetapi tidak bermaksud untuk eksklusif kerana mesejnya itu mesej umum, mesej kepada negara dan rakyat. Kadang-kadang saya ambil juga dari Tirukkural dari segi khazanah Tamil di India, ataupun Confucius, ada sedikit titik persamaannya, tetapi bukan soal akidah, bukan soal ibadah khusus, tetapi soal pemikiran tentang kemanusiaan, manusiawi, Itu harus diterapkan dengan melihat kepada pemikiran semasa, yang disebut sebagai waqie’ (realiti) yang kita hadapi. Sebab itu saya bagi contoh semalam, cerita mengenai wasatiyyah (kesederhanaan).
  1. Dalam falsafah Yunani disebut ‘Golden Mean’, ia tidak melampau atau tidak memilih untuk mengambil sikap yang ekstrim. Atau dalam falsafah Confucius, disebut ‘Zhongyong’, itu semua memberi mesej yang sama bahawa dalam hidup itu harus dipertahankan kesederhanaan. Bukan kesederhanaan (everage), kesederhanaan dalam konteks ini adalah sikap itu tidak melampau, tetapi sentiasa diangkat darjat dan martabat.
  1. Saya teringat kupasan tentang bagaimana Quran menafsir dan menterjemah sejarah. Bukan aspek tarikh, masa, nama yang ditekankan tetapi mesej itu, mesej nilai, mesej prinsip. Kita ambil contoh dalam Surah Kahfi (Ayat 13-14):

“Nahnu naqussu AAalayka nabaahum bilhaqqi innahum fityatun amanoo birabbihim wazidnahum huda, Warabatna AAala quloobihim ith qamoo faqaloo rabbuna rabbu assamawati wal-ardi lan nadAAuwa min doonihi ilahan laqad qulna ithan shatata”.

  1. Allah menyebut dalam Quran, akan aku ceritakan kisah yang sebenar. Surah Kahfi ini menarik kerana ada banyak persamaan dengan Bible, yang menyebut tentang ‘The Cave’, nanti kalau saya sebut, nanti orang kata Anwar telah samakan Al-Quran dengan Bible. Susah pulak nak jawab (nada bergurau). Ini adalah pemikiran pelampau, mereka tidak melihat teks tetapi terus mendakwa Anwar telah samakan Islam dengan semua agama.
  1. Sejarah dalam cerita ‘The Cave’ tersebut menceritakan tentang zaman Kristian, tetapi diberikan nilai yang baik bahawa ada pemuda-pemuda semasa itu Kristian, tuan-tuan jangan lupa bahawa zaman itu adalah zaman Kristian. Tetapi bila saya kupas sebegini, orang Kristian lebih mudah faham bahawa dalam Quran, ada kisah sejarah pada zaman Nasrani, di mana anak muda diselamatkan kerana prinsip mereka yang kental.
  1. Akan aku ceritakan sebenarnya, apa yang sebenarnya? innahum fityatun amanoo birabbihim wazidnahum huda Anak muda dengan keyakinan dan iman mereka, Allah tambah petunjuk kepada mereka. Mengapa? Kerana, ini soal nilai, soal prinsip, mereka tidak terpukau dengan kuasa dan kezaliman, penindasan, penipuan dan porak peranda di luar, mereka pilih untuk selamatkan diri mereka kerana terpahat dalam hati sanubari mereka, apa yang terpahat? warabatna ala kulu bihim terpahat di hati sanubari mereka hanya keyakinan dan kekuatan Allah yang menjadikan langit dan bumi. Jadi terpahat di hati sanubari mereka bahawa yang kuat dan berkuasa itu adalah Allah SWT. Maknanya soal nilai yang ditekankan.
  1. Sebab itu bila saya sebut dalam MADANI ini, iaitu pertumbuhan ekonomi, transformasi digital, energy transition itu semua penting. Kalau tidak kita bicara tentang ini sahaja, iaitu tentang nilai. Apabila kita tidak melakukan kerja kita akan ketinggalan. Kita menang dari segi nilai tetapi kita kalah dari segi teknologi dan transformasi digital. Jadi kita harus kembangkan keduanya tetapi mendasari itu semua adalah sistem nilai. Nilai ini dimulakan dari peribadi dan bukannya hendak mengutuk orang lain. Kamu harus baik, baik, Kamu jangan rasuah, ya. Tetapi aku sudah kumpul harta ratusan ribu juta, kamu jangan rasuah, kamu mesti hidup sederhana.
  1. Tetapi, ya ayyuhalladzina amanu ku anfusakum wa ahlikum naro (mula dari diri kita), Ibda bi Nafsik yang pertama Quran yang kedua Hadis. Intisarinya apa? Nilai. Kita apabila jadi orang politik kena tahu bahawa apa yang mendasari itu adalah nilai yang baik. Tidak perlulah umpamanya hanya terikat dengan undang-undang. Undang2 itu kerana ada kelemahan manusia cuai dan lupa. Tetapi peringatan itu kepada semua. Kalau kita ada nilai kita terapkan.
  1. Dalam MADANI ini saya yakin kita boleh angkat dan kita hentikan kelemahan lampau. Ada kekuatan dulu tetapi ada kelemahan dulu. Kita bina dari kekuatan itu dan kita tinggalkan kelemahan yang berlaku.
  1. Mudah-Mudahan kita labuh tirai 2023 masihi ini dengan semangat yang sama dan membuka lembaran baru sejarah negara. Saya begitu yakin, bukan soal pelaburan, soal keyakinan negara luar, tetapi tentang kapasiti kita untuk mengangkat keupayaan ekonomi dan sosial dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita sudah bagi garis-garis keutamaan bahawa kita sudah menggapai langit, maknanya seolah-olah cuba menggapai yang ideal, bidang-bidang baru seperti digital, AI, energy baru, teknologi hijau, dan hidrogen.
  1. Tetapi kita harus sentiasa mengakar ke bumi sementara kita menggapai langit. Jangan pula sibuk menggapai ke langit hilang tradisi dan budaya, itu tidak mungkin. Jadi asas agama, akhlak, budaya, nilai itu mengakar ke bumi. Yang kita nak menggapai ke langit itu idealism baru, perubahan, teknologi, digital dan sebagainya. Carilah jalan bagaimana untuk kita kembalikan maruah bangsa, negara dan Malaysia tercinta.

Terima kasih.

Waasalaammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.