TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN GLOBAL HALAL SUMMIT (GHAS)
12 SEPTEMBER 2023
PUSAT PAMERAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA MALAYSIA (MITEC),
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolillah Kareem.
YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YAB Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri besar Pahang
YBhg. Dato’ Seri Reezal Merican biin Naina Merican
Pengerusi MATRADE
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
- Sejak kita umumkan Ekonomi MADANI, kemudiannya Pelan Perindustrian Negara dan semalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), tanpa kecuali kita tekankan keperluan kita meningkatkan keupayaan industri halal. Dalam kunjungan saya baru-baru ini ke negara China, beberapa ketua negara-negara, antaranya Presiden China, Presiden Vietnam, Laos dan Kemboja tanpa kecuali membicarakan soal industri halal. Pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun danPresiden Korea di Jakarta baru-baru ini turut menyentuh tentang industri halal. Jadi satu kerugian besar kalau kita tidak memberikan perhatian terhadap industri ini kerana pengiktirafan luar telah diberikan kepada Malaysia.
- Saya ucap tahniah kepada JAKIM yang telah mempelopori industri pensijilan halal, kerana dari pengiktirafan itulah maka berkembangnya industri halal. Tidak dilupakan HDC atau Halal Development Corporation dan MATRADE yang telah menyelaras dari sudut industri. Saya juga telah meminta TPM YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi untuk menyelaraskan kegiatan industri ini termasuk pensijilan halal. Issued certification as been largely recognized by the international community. Nations and Malaysia is the epic countries and industries refer to the Malaysian certification as something recognise of a high standard, and we should fully utilize this, not only for halal certification and also for the industry. Sebab itu saya minta Dato’ Seri TPM dan menteri supaya dalam pensijilan ini dipastikan bukan sahaja aspek halal, “Halalan Tayyiban”, tetapi penekanan terhadap urusan berkaitan kelulusan yang lebih cepat dan efisien turut diberi keutamaan.
- Saya singgung tentang institusi instrumen kewangan Islam, bank, takaful dan sebagainya yang diperkenalkan 40 tahun yang lalu. Jika dilihat dari segi maksud maqasid syariah, the higher objective of the shariah mesti sentuh soal keadilan, soal pemerataan ekonomi, soal memberi peluang dan soal memberikan pengenalan instrumen kewangan ini sebagai alternatif yang boleh dipilih bukan hanya memfokus kepada soal halal dan tanpa riba sahaja. Perkara ini pernah dikupas oleh ahli-ahli ekonomi Islam terkemuka seperti Mohammad Nejatullah Siddiqi, yang merupakan pengasas ekonomi kewangan dan perbankan Islam. Beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah menulis satu rencana yang sangat tegas menyatakan bahawa kita harus mengangkat fahaman tentang kewangan dan perbankan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi. Bukan sahaja memperkenalkan instrumen-instrumen berkaitan kewangan Islam dalam sistem konvensional, tetapi harus ada keupayaan untuk mengangkatnya sebagai suatu alternatif yang baik kepada kewangan konvensional terutama dalam keadaan keresahan dan keretakan dalam sistem kewangan antarabangsa yang disebut International Financial Architecture yang sangat bergantung kepada Dolar sehingga menyebabkan kejatuhan nilai Yen malah Renmimbi (RMB) dan juga Ringgit.
- Justeru, hal yang sama dalam konteks industri halal. Aspek pertama berkenaan pensijilan, memang kita telah berjaya, tetapi harus diangkat lagi supaya ia menjadi contoh bukan sahaja dari segi halal tetapi dari aspek kecekapan, proses, penyelidikan yang bermutu dan keupayaan memberi kelulusan halal dengan lebih cepat dan pantas.
- Yang kedua adalah industri. Sinergi di antara pensijilan dan promosi perdagangan perniagaan itu penting. Program GHAS ini penting kerana bukan sahaja memberikan ruang untuk memperkenalkan industri halal, tetapi memberikan upaya dan ruang bagi industri tempatan termasuk industri kecil dan sederhana sebagaimana yang disebut mengenai soal adil dan ihsan, bil adli wal ehsan. Iaitu penekanan bukan sahaja berkaitan halal tetapi penekanan juga perlu diberikan kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana dari Tanjong Karang dan Manik Urai misalnya supaya mereka dapat memperkenalkan industri mereka. Ini merupakan satu upaya alternatif ekonomi Islam yang membanggakan.
- Ini merupakan satu cabaran sebab itu saya katakan setiap langkah yang diambil oleh JAKIM dari segi pensijilan halal mesti selari dengan perkembangan industri di luar negara. Selain itu, saya juga telah mengusulkan supaya dalam produk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan perkhidmatan logistik, peranti perubatan, dan pengilangan kontrak diselarikan dengan Halal Development Corporation dan MATRADE khususnya kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.
- Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, kita hanya berperanan setakat meluluskan pensijilan tetapi tidak mengembangkan industri halal di negara kita. Dengan cara yang sedemikian kita akan mendapat manfaat sebagai negara yang diiktiraf mempunyai sijil halal yang di terima dunia serta berpeluang untuk menjalin kerjasama dengan China, Jepun, Korea atau negara-negara lain, kerana mereka juga melihat pasaran yang besar yang mungkin mencecah sehingga satu trilion.
- Jadi walaupun ada peningkatan 64% seperti yang disebut oleh YB Tengku Zafrul, ia amat membanggakan, namun, kita perlu mengisi ruang dan peluang yang ada dengan kapasiti yang lebih tinggi. Jadi ini cabaran bagi kita untuk mencari pendekatan atau kaedah terbaik. Saya kira pekara ini boleh direalisasikan sekiranya ada sinergi yang kuat dengan gabungan HDC dan MATRADE serta agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain untuk mengenalpasti syarikat-syarikat yang mempunyai potensi termasuklah industri-industri desa, industri kecil dan sederhana serta perusahaan mikro.
- Presiden China, Xi Jinping misalnya, dalam pertemuan-pertemuan turut menekankan soal industri halal. Justeru kita perlu mempertingkatkan pemahaman mengenai aspek halal dan industri halal dengan memberi penerangan lanjut bukan hanya dari aspek pensijilan halal dan indusri tetapi turut menyentuh tentang dakwah. Mengapa dalam Islam soal makanan halal itu ditekankan dan makanan halal itu dalam tafsirannya bukan setakat ianya tidak mengandungi unsur-unsur yang haram tetapi ia juga bersih, tiada elemen bahan kimia dan juga terarah kepada makanan organik yang sihat.
- Jadi saya percaya dengan usaha GHAS ini bersama-sama dengan MATRADE kita berupaya melakukan satu anjakan baharu dalam industri. Saya juga telah putuskan supaya perkara ini dapat di selaraskan di bawah kuasa kabinet yang dipengerusikan oleh TPM Dato’ Seri Zahid serta melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan serta perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk memberi ruang kepada semua terlibat dalam memanfaatkan pensijilan halal dan industri halal ini. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada GHAS yang saya kira peneraju pameran dunia halal. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya rasmikan GHAS 2023. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR TERIMA PANGGILAN DARIPADA PM PAKISTAN
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR