TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MALAM GALA FESTIVAL BUDAYA PUTRAJAYA 2023

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MALAM GALA FESTIVAL BUDAYA PUTRAJAYA 2023

 

30 SEPTEMBER 2023 (SABTU) | 8.30 MALAM

 

DATARAN PUTRAJAYA, PRESINT 3, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

YB Dato Sri Tiong King Sing,

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;

 

YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan,

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;

 

YBrs. Dr. Yasmeen binti Yasim,

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan);

 

YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff,

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan);

 

YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot,

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan);

 

Datuk Fadlun Mak Ujud,

Presiden Perbadanan Putrajaya;

 

Tuan Yang Terutama, Duta-duta;

 

Pegawai-pegawai, rakan-rakan; dan

 

Saudara Saudari di depan di kanan dan di kiri.

  1. Terima kasih di atas kehadiran untuk menyerikan Malam Gala Festival Budaya Putrajaya 2023. Saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Perbadanan Putrajaya kerana telah menghasilkan satu pementasan yang begitu menarik dan hebat di negara kita. Maknanya kita mempunyai potensi untuk mengembangkan bakat dan ini memberikan makna kepada pertumbuhan seni dan budaya.

 

  1. Dahulu apabila saya lakarkan soal kebangkitan Asia atau Asian Renaissance, pangkalnya adalah pertumbuhan ekonomi kerana dengan memperkasa ekonomi, negara akan maju tetapi kemajuan itu tidak mungkin terbatas dengan pemerkasaan ekonomi. Negara dan masyarakat itu perlu kekuatan ekonomi tetapi juga pemerkasaan seni dan budaya.

 

  1. Sebab itu pentingnya peranan Kementerian ini dan program-program yang dilaksanakan untuk memartabatkan maksud seni sama ada lukisan, puisi, filem, teater, pementasan atau tarian yang kita akan saksikan pada malam ini.

 

 

 

  1. Pemerkasaan ekonomi dan pemerkasaan seni dan budaya dalam negara kita dengan kepelbagaian ini adalah kekuatan. Tidak banyak negara di dunia yang boleh mempamerkan seni dan budaya Melayu sebagai terasnya, dan dilengkapkan oleh seni dan budaya suku-suku kaum yang lain, dari Perlis hingga ke Sabah. Saya ucapkan tahniah kerana penyertaan menyeluruh dari seluruh suku kaum dan rakyat Malaysia pada malam ini.

 

  1. Gunakan kesempatan ini untuk melihat kekuatan yang ada pada kita. Kita boleh memilih perbezaan ini untuk memperkukuh dan memperkuat atau kita boleh memilih untuk menimbulkan keretakan. Saya percaya rakyat yang waras, cintakan negara, menghormati nilai karamah insaniah, dan kemanusiaan akan melihat perbezaan ini.

 

  1. Suku kaum, pelbagai jenis tarian dan budaya itu adalah kekuatan kerana kepelbagaian itu membina kehebatan negara Malaysia tercinta. Jadi saya harap malam ini kita adakan majlis dan saya percaya saudara-saudara sedang menunggu persembahan yang akan disampaikan dengan latihan yang begitu lama. Saya dengar semalam anak-anak terpaksa berlatih sehingga jam satu pagi. Hebat anak-anak ini dan berikan tepukan buat mereka. Jadi malam ini saya dan rakan-rakan akan bersama-sama menyaksikan rasa senang dan bahagia melihat keupayaan anak-anak mempamerkan kehebatan mereka dalam seni dan budaya.

 

  1. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan satu penekanan kepada YB Dato Sri Tiong King Sing kerana beliau bimbang, takut saya tidak mengumumkan peruntukan tambahan. Saya ingin beri jaminan kerana pelancongan ini satu bidang ekonomi yang sangat penting dalam negara kita.

 

  1. Maka Kementerian Pelancongan, Seni dan budaya harus percaya bahawa pelancongan adalah salah satu fokus kita selain perkembangan industri dan IT, teknologi makanan dan lain-lain. Tentunya dalam Belanjawan Negara kita akan berikan juga pemusatan tentang industri pelancongan termasuklah pemerkasaan seni dan budaya.

 

  1. Setakat itu sahaja saya boleh umumkan malam ini kerana malam ini adalah malam santai untuk kita tonton persembahan. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Menteri dan seluruh pasukan di Kementerian dan Perbadanan Putrajaya kerana berusaha menjayakan majlis pada malam ini. Oleh kerana saya melihat sungguh hebat acara malam ini, mungkin saya akan cadangkan supaya acara Festival Budaya Putrajaya ini dijadikan acara tahunan di Putrajaya.

 

  1. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan taufik dan hidayah.

 

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.