TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS MEMPERINGATI NEGARAWAN
TUN DR ISMAIL AL-HAJ
2 OGOS 2023
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera.
Alhamdulillah Nahmaduhu Wa Nusholli ‘Ala Rasuulihil Karim.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Menteri-menteri;
Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN);
Sahabat-sahabat Almarhum;
Pegawai-pegawai Kerajaan dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Bagi pihak Kerajaan tentunya kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana generasi-generasi kini masih tidak padam sejarah, pahlawan bangsa, dan negarawan ulung yang diletakkan sebagai asas pembinaan negara Malaysia tercinta.
- Kepada Mohamed Tawfik dan keluarga, kami ingin menyampaikan penghargaan di atas kesediaan saudara-saudara termasuk sahabat handai serta rakan-rakan Almarhum Tun Dr. Ismail yang telah melakar sejarah tersendiri.
- Banyak yang boleh ditulis dan dibahas mengenai almarhum, tetapi saya memilih untuk bersama dalam majlis ini. Pada mulanya kita mahu adakan di Kelab Sultan Sulaiman tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana sedang ada usaha membaik pulih bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, saya memilih tarikh 2 Ogos ini kerana tarikh ini merupakan tarikh pemergian pahlawan bangsa, negarawan ulung Tun Dr. Ismail.
- Mengenang era almarhum, tentunya saya masih muda dan juga merupakan pemimpin mahasiswa ketika itu. Terdapat dua majlis penting yang mana kami terlibat bersama. Pertama, perjumpaan mahasiswa yang mengadakan demonstrasi. Semasa perjumpaan tersebut kita berjumpa dengan semua tokoh-tokoh lain seperti Almarhum Tun Abdul Razak, Tan Sri Ghazali Shafie dan pelbagai lagi, tetapi untuk menemui Almarhum Tun Dr. Ismail ini agak sedikit gerun, orangnya tegas, dan seperti diulas, prinsipnya amat jelas.
- Semasa beliau memanggil pemimpin-pemimpin mahasiswa yang mengadakan demonstrasi itu, beliau bertanya dan mengatur satu demi satu, apa yang hendak disampaikan. Beliau berkata, “baik, sekarang Menteri Dalam Negeri yang perlu jaga keamanan, yang hendak menyelamatkan negara ini akan berucap dan sampaikan pandangan, jadi kamu dengar baik-baik”. Jadi, cara atau style beliau itu menggerunkan, kadang-kadang keras dan tegas.
- Pertemuan kali kedua saya dan almarhum adalah ketika Kongres Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia yang diadakan di Johor Bahru yang turut disertai oleh Mantan Menteri Besar pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Osman Sa’at, yang merasmikannya adalah Almarhum Tun Dr Ismail. Beliau sebenarnya amat berminat dengan program-program generasi muda; mahasiswa dan belia. Saya masih ingat satu acara dengan Majlis Belia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan juga pertemuan di rumah beliau setelah demonstrasi. Dalam acara PKPIM pada masa itu beliau sudah mengenali saya dan saya terpaksa berucap dengan agak keras kerana kalau saya cakap lembut nanti pemimpin mahasiswa kata Anwar Ibrahim ini garang di luar tetapi apabila jumpa Menteri jadi pengecut.
- Namun, ucapan saya di hadapan Almarhum Tun Abdul Razak ketika itu saya masih berani, atau dengan Menteri-menteri lain juga saya berani dan saya agak keras. Tetapi apabila berdepan dengan Tun Dr Ismail, saya melembutkan bahasa dan isi kerana saya gerun kepada beliau. Sebaik selesai, semasa makan beliau memanggil saya, disaksikan oleh Allahyarham Tan Sri Osman Sa’at, dan beliau memberi galakan kepada saya.
- Ini amat berbeza, penerimaan daripada seorang tokoh dan negarawan yang tahu bahawa seorang anak muda yang mempunyai idealisme untuk pertahankan bahasa. Kita mahu Kerajaan tegas memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita mahu Kerajaan menjaga kepentingan anak-anak Melayu pada masa itu kerana tidak ada ruang selain daripada menguasai bahasa Melayu. Penegasan kita pada ketika itu kalau mahu tuntut anak-anak menguasai Bahasa Inggeris, maka Kerajaan harus menentukan di sekolah aliran Kebangsaan ada penekanan Bahasa Inggeris. Jangan dipaksa mereka menguasai Bahasa Inggeris di peringkat yang sudah agak lewat seperti di universiti.
- Walau bagaimanapun, tokoh atau sosok Tun Dr. Ismail itu sangat sederhana apabila bertemu dalam keadaan begitu, beliau mengambil masa menerangkan kepada saya, mengapa peralihan, penggunaan bahasa itu penting. Menurutnya, beliau belajar di Australia, beliau bukan seorang yang menganggap Bahasa Inggeris itu tidak penting tetapi dalam sejarah satu bangsa ada ketika di mana harus ada kejutan supaya ada kesedaran meluas di kalangan rakyat untuk memartabatkan bahasa sendiri. Beliau membicarakan soal nasib masyarakat Melayu terutamanya yang miskin dan terpinggir.
- Ini sangat menarik. Justeru Mohamed Tawfik dengar ya, Tun Dr. Ismail itu bukan dari keluarga miskin. Kita anggap beliau dari keluarga aristokrat, Melayu Johor, maknanya beliau adalah dari kalangan orang yang dekat dengan Istana dan dianggap kelas atasan tetapi itu tidak langsung dipamerkan apabila berbicara soal dasar negara, soal pembangunan luar bandar atau desa, dan juga apabila beliau menyatakan pujiannya kepada Almarhum Tun Abdul Razak yang memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar.
- Jadi ini yang patut dihadam oleh anak-anak muda sekarang termasuk sedutan ucapan, sama ada yang dibaca oleh Saudara Fahmi Fadzil sebentar tadi atau dari liputan berita FINAS iaitu tentang sikap beliau yang mahu menyelamatkan bangsa Malaysia. Tiada siapa pun boleh mempertikai bahawa Tun Dr. Ismail itu seorang pejuang bangsa, nasionalis tulen, pejuang kebangsaan, orang yang bersama-sama dalam UMNO dan memartabatkan UMNO sebagai parti gagah pada ketika itu. Mesej beliau tidak pernah lari dari upaya untuk selamatkan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, dan kemudiannya Malaysia mesti bangkit satu generasi dengan kesedaran untuk mengangkat martabat bangsa Melayu, menjaga perpaduan, kukuhkan hubungan antara kaum iaitu kaum Cina dan India pada ketika itu sebelum Sabah dan Sarawak.
- Saya masih ingat ucapan beliau dalam Persidangan PKPIM, secara tuntas dan konsisten menekankan keperluan negara untuk diselamatkan dengan satu sikap yang terbuka, menerima semua warganegara dalam satu semangat kekeluargaan tulen. Ini yang harus kita pelajari.
- Mengenang jasa tokoh silam bukan membicarakan debu-debunya, bukan untuk nostalgia tetapi menghidupkan idealisme, mesej, dan suara keramat mereka tentang bagaimana mahu meletakkan asas dan menyelamatkan negara bangsa.
- Bagi saya di antara hal yang sangat relevan dalam membicarakan hal di bulan Kebangsaan sebelum menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos dan Hari Malaysia bersama Sabah dan Sarawak pada 16 September adalah menghidupkan suara keramat, idealisme, prinsip tegas yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin ulung kita termasuk semangat perpaduan, hidup cara damai sebagai satu keluarga besar negara Malaysia tercinta.
Saudara-saudara,
- Ada sosok lain yang harus kita faham tentang Tun Dr. Ismail. Dalam dunia politik tidak banyak yang boleh menjelmakan satu sosok yang tegas. Selepas tahun 1969, ada peristiwa sebelum itu yang mengatakan Tun Dr. Ismail merajuk kerana itu beliau berundur. Beliau mahu kukuhkan UMNO tetapi ada beberapa dasar yang mungkin kurang disenanginya, maka beliau kata biarlah beliau cuti rehat.
- Akan tetapi, apabila tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengajak beliau bersama dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). MAGERAN memerlukan seorang sosok yang tegas, yang punyai integriti, tidak korup dan digeruni oleh masyarakat. Itulah dia tokoh yang menyelamatkan negara dari pergaduhan yang berlaku selepas 13 Mei 1969, itu sosoknya Tun Dr. Ismail.
- Pada masa itu syukur alhamdulillah, negara kita ini telah melahirkan pejuang-pejuang besar. Bayangkan pada masa itu selepas 13 Mei 1969, permusuhan kaum menurut Tengku Razaleigh tadi masih menebal, senang diapikan dan terus membakar. Anak muda sebaik sahaja dengar ini mencabar kedudukan kita, terus marah dan melonjak semangat mereka tetapi tidak menyemak fakta. Apatah lagi dalam dunia media sosial sekarang ini. Contohnya, berita dua minit menyebabkan kita menghukum, hukum dengan memfitnah dan mencerca orang tanpa memnyemak dan usul periksa.
- Ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, muncul sosok ini, diajak dan beliau tidak berfikir panjang, bukan soal peribadinya, soal keuzurannya, soal sikapnya, kemarahannya atau tidak kepuasan hati dengan beberapa dasar yang lalu tetapi tugasnya hanya bagaimana kaedah dan cara menyelamatkan Persekutuan Tanah Melayu, negara yang baru merdeka dan berdaulat dengan tegas dan berani kenyataan-kenyataan beliau seperti mana yang diungkapkan tadi, tidak samar, tidak kabur. Yang salah tetap salah, kamu langgar, kena tangkap, kamu langgar undang-undang kami hukum. Itulah suara Tun Dr. Ismail.
- Kalau saya mendapat lebih 20 peratus daripada suaranya itu, fikir saya tentunya saya selamat. Tetapi sosok peribadinya lain. Saya ini lebih santai, jadi kalau bunyi nampak gerun pun orang tidak rasa gerun. Saya tidak tahu bagaimana sikapnya dengan anak-anak beliau, namun dari pengamatan saya beliau tidak perlu bicara apa-apa, beliau datang dan tenung, mungkin sapu misai beliau sedikit dan semua akan diam. Pada masa tu saya pemimpin mahasiswa dan saya belum menyertai politik. Orang hormat beliau sebab integritinya yang tidak boleh dibeli, tidak termakan dengan pujuk rayu, wang atau harta dan ini yang perlu kita hidupkan dalam budaya politik di negara kita.
- Negara ini juga mampu selamat sekiranya pimpinan punyai integriti, tolak rasuah, tolak kezaliman dan tegas melaksanakan undang-undang menyelamatkan negara bangsa.
- Apa yang boleh saya singkap dari pengalaman tokoh besar ini ialah suatu dasar yang jelas bagi membina negara bangsa, dasarnya jelas dalam membangunkan negara, memacu pertumbuhan, menyelamatkan negara, memberi harapan kepada setiap warganegara sama ada majoriti Melayu yang masih rasa terpinggir atau orang India yang rata masih miskin atau orang Cina yang merasakan hak mereka mungkin terabai kerana tidak diberi peluang atau kelompok di Sabah dan Sarawak yang merasakan mereka patut diberi pengiktirafan sewajarnya mengikut perjanjian Malaysia 1963.
- Namun, satu aspek lain yang harus kita pelajari ialah soal integriti dalam politik. Bagaimana kita mampu melahirkan generasi sekarang ini, orang yang tumpuannya itu semata-mata untuk menyelamatkan negara dan bangsa? Bagaimana kita mampu lahirkan generasi termasuk anak-anak muda yang terpahat dengan prinsip yang sama iaitu sama-sama membangun, menolak kebejatan sosial, rasuah dan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa?
- Namun, yang kita bicarakan ini generasi awal, negarawan ulung, Almarhum Tun Dr. Ismail yang sukar ditandingi dan disaingi, tokoh yang punyai integriti sama ada bicaranya, suaranya tegas dan sosok peribadinya menentang rasuah, mempunyai tatakelola yang baik dan kerana itu digeruni oleh rakyat.
- Mari kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan semangat itu terpancar dan dihadam oleh anak muda bahawa kita mempunyai tugas dan tanggungjawab menyelamatkan negara dan menjadikan sambutan Hari Kebangsaan Merdeka Tanah Melayu 1957 dengan menggali khazanah dan menjadikan cita-cita murni pahlawan bangsa dan negarawan ulung terutamanya Almarhum Tun Dr Ismail sebagai pedoman kita.
- Saya ucap terima kasih sekali lagi kepada saudara-saudara atas kesediaan untuk bersama dan saya memilih untuk tidak membaca teks yang disediakan kerana saya fikir lebih wajar saya curahkan perasaan dan isi hati saya, suara hati nurani mengenang seorang tokoh besar Tanah Melayu, Malaya dan kemudiannya Malaysia yang kita sanjung Almarhum Tun Dr. Ismail.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- MA63: PERJANJIAN HARUS DIPEGANG, MESTI DITUNAIKAN – PM ANWAR
- USAHA DAMAI DI MINDANAO HARUS CAPAI KEJAYAAN – PM ANWAR