TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SEMINAR MALAYSIA MADANI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

SEMINAR MALAYSIA MADANI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

16 JULAI 2023 (AHAD)

 

BERTAM RESORT, KEPALA BATAS

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Saudara Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

Timbalan-timbalan Ketua Menteri;

Setiausaha Kerajaan Negeri; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Hari ini kita himpunkan jemaah yang menggerakkan Pendidikan Islam, pencerahan di kalangan umat terutama di Pulau Pinang.

 

  1. Kita dalam Kerajaan Perpaduan dengan semangat MADANI yakin hanya dengan kefahaman dan pencerahan di kalangan umat, kita mampu mengangkat martabat mereka.

 

  1. Kita hidup dalam satu negara dan tentunya berpaksikan kepada Perlembagaan yang menetapkan kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, lebih mendewasakan mereka dan memberikan ruang memikir bagaimana boleh memartabatkan Islam dalam negara ini.
  2. Di samping itu, memberi kefahaman dan kecelikan budaya yang mengerti bahawa hidup berbudaya mestilah dengan aman dan belajar untuk menghormati hak semua warganegara di negara ini.

 

  1. Tidak ada yang disebut sebagai zero sum game. Apabila membicarakan soal mengangkat martabat dan syariat Islam bermakna kita menekan hak orang lain.

 

  1. Apabila kita memberikan ruang untuk mengangkat martabat suku kaum yang lain seperti pendidikan mereka atau ekonomi mereka bermakna Islam dikesampingkan. Kekuatan Islam itu adalah keupayaannya. Memungkinkan kita bangkit sebagai khaira ummah yang boleh menjadi contoh hanya kerana kita berupaya tanpa halangan untuk menegakkan yang makruf dan menolak kemungkaran – Ta’muruna bil ma’rufi wa tanhauna’anil munkari wa tu’minuna billah.

 

  1. Kekuatan kita bermula dari keyakinan apabila disebut MADANI ini, kerana saya yakin umat ini boleh diangkat sebagai Ummat – Wa kazaalika ja’alnaakum ummatan wasata litakoonoo shuhadaaa’a ‘alan naasi wa yakoonar Rasoolu ‘alaikum shaheedaa.

 

  1. Kita dijanjikan bukan sahaja umat yang khair tetapi mempertahankan kesederhanaan, keseimbangan, jalan antara iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, material and physical, man and nature.

 

  1. Saya masih ingat satu kupasan yang sangat bernas oleh Almarhum Syeikh Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi yang mengupas tentang wasatiyyah dan kebetulan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dahulu pernah menerbitkan dan mengedarkan kupasan wasatiyyah oleh Almarhum Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi. Mungkin susah untuk Kerajaan Negeri mendapatkan balik dan mengedar semula.

 

  1. Apakah kekuatan ulama besar seperti Qaradawi? Beliau tidak melihat dari satu aspek tetapi dari segi iman dan akidah, ilmu dan akal, dari segi hidup bermasyarakat, dari kedudukan keseimbangan di antara kekuatan, keyakinan dan kekuatan ilmu, kekuatan umat Islam yang tahu memuliakan, menghargai kepentingan yang mengangkat martabat umat Islam dengan menghormati nilai kemanusiaan sejagat yang disebut Karamah Insaniah dan kemanusiaan pelbagai kaum dan agama.

 

 

 

  1. Saya masih ingat seorang pemikir semasa, Profesor Seyyed Hossein Nasr yang menulis tentang Man and Nature – keseimbangan di antara manusia dan alam sekitar, porak peranda dunia kerana kegelojohan, nafsu serakah, fitnah, keganasan, nafsu amarah. Kerosakan kerana tidak pertahankan kepentingan nature.

 

  1. Apabila ada kuasa, direbut. Bukan sahaja kekayaan dan kontrak, balak, bukit bukau dan sekarang yang baharu nadir bumi (Rare-earth), sama sekali tidak peduli kesan sampingannya.

 

  1. Jadi apabila disebut man and nature, yang mempertahankan Islam dalam semangat wasata itu, ia mesti dijaga supaya semua hasil mahsul ini tidak merusakkan. Ini kupasan lama tentang bagaimana persekitaran (environment).

 

  1. Kebetulan ini adalah new subject kerana tidak ada kitab-kitab lama yang mengupas tentang climate change tetapi tunggak dan pangkal persoalan itu ada, termasuk apabila kita kupas mengenai ummat yang rosak.

 

 

 

  1. Ini bagi saya kekuatan yang harus kita jaga iaitu mempertahankan keseimbangan. Baru-baru ini, saya undang Sheikh Ali Jum’ah, bekas Mufti Besar Mesir ke Kompleks Seri Perdana dan juga ke Masjid Putra, Putrajaya. Beliau mengupas mengenai Ummah Wasat itu dari sudut sederhana ertinya mediocre atau umpamanya tidak cemerlang, tetapi sederhana baginya, umpamanya mendaki bukit dan menurun bukit dan mercu itu adalah pertengahannya dan itulah kesederhanaannya.

 

  1. Ini disebut ‘Itqan Fil Amal’ – striving for excellence tetapi tidak ekstrem dalam pemikirannya, dalam tindakannya, dalam menghukum orang, menghina orang, mencerca orang kerana perbezaan pendapat.

 

  1. Ini juga disebut umat yang seimbang, yang tahu tanggungjawabnya dan tahu tanggungjawabnya kepada masyarakat. Yang tahu apa itu hablumminallah dan juga hablumminannas. Ini dah macam kuliah asar pulak.

 

  1. Banyak ustaz-ustaz ada disini tetapi saya minta maaf terlebih dahulu. Saya cuma ingin melontarkan idea kerana terdapat kaitan dengan MADANI. Yang saya lontarkan idea ini adalah daripada saya. Saya takut orang salah faham dan salah dengar tafsir mengenai masyarakat MADANI. Jangan dengar tafsiran daripada orang lain dahulu, dengar daripada saya dan selepas itu nak tafsir, kritik boleh. Saya tidak mengatakan bahawa kupasan idea yang saya luncurkan dan tidak memungkinkan percambahan idea yang lebih baik atau untuk memperbaiki.

 

  1. Tetapi janganlah menghina pandangan ini dan berkata ia menyesatkan dan sebagainya kerana itu tidak betul. Saya katakan ada keyakinan di kalangan ummat ini untuk mengangkat martabat mereka dalam semua bidang dan ini adalah salah satu masalah di dunia. Bagaimana kita bergelut mengenai perkara ini bukanlah perkara baharu.

 

  1. Pada tahun 1930 an, seorang ulama bernama Amir Syakib Arsalan Rahimahullah telah menjawab satu soalan dari akhbar bernama Almanar, Kaherah, sementara yang bertanya itu merupakan seorang dari salah satu provinsi di Indonesia:

 

“Mengapakah, kalau dikatakan Islam itu benar tetapi umat Islam dijajah dan ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan, ilmu teknologi? Apakah kekuatan yang diperlukan? Mengapa umat di Eropah maju dan umat Islam mundur?”

 

Maka, jawapan daripada Amir Syakib Arsalan rahimahullah adalah:

 

“Yang pertama, kita perlu lihat apakah orang Islam itu sebenarnya mengamalkan. Ia bukanlah slogan, jeritan, janji, sumpah seranah, bukan sekadar menjerit takbir tetapi mengamalkan. Kalau ada perbezaan itu adalah di antara – lima taquluna ma la taf’alun, di antara yang disuarakan dan yang diamalkan.”

 

Itulah jawapannya.

 

  1. Katakanlah, bagi perkara yang kecil umpamanya bagaimana kita letak nilai kebersihan? Lihat tanah-tanah di masjid kita, tidak lulus dari segi syarat, amalannya. Jikalau dunia Islam mungkin Turkiye satu-satunya negara yang dari segi tahap kesihatan itu membanggakan. Kalau di Asia mungkin di Jepun.

 

  1. Sekolah pun begitu. Sebab itu dalam Belanjawan MADANI yang pertama yang saya luncurkan akhir tahun lalu dan awal tahun ini, saya mulakan dengan perkara yang asas. Sekolah Arab, Sekolah Melayu atau Sekolah Tamil kesemuanya lebih kurang keadaan tandasnya. Jadi saya katakan kepada YB Fadhlina untuk mencari penyelesaian untuk sekolah-sekolah yang tandas, bumbung, atau dinding pintu yang rosak, yang perlu dibaiki termasuk juga Klinik Kesihatan. Setelah disemak keperluannya berjumlah RM1.4 bilion.

 

  1. Kita semua mempunyai pengalaman ke sekolah dan kita semua ada anak-anak atau adik-adik yang bersekolah. Tanyalah kepada mereka, saya yakin tanpa terkecuali, ada sahaja tandas di sekolahnya yang rosak. Saya periksa pertama kali semasa menjadi ahli Parlimen Port Dickson dan saya terkejut. Maka saya adakan gerakan untuk perkara ini. Biarlah orang kata Perdana Menteri ini hanya memikirkan tandas dan saya tidak peduli, tetapi yang penting itu sekolah anak-anak kita.

 

  1. Kalau bercakap hebat semua, kalau pengalaman parti itu semua parti sudah ada pengalaman memerintah tetapi isu tandas pun tidak selesai di sekolah-sekolah kita. Jadi saya mula dari asas kerana bagi saya contoh tu mesti baik dan tentunya akidah, akhlak, kebersihan, ummatan wasata barulah boleh litakoonoo shuhadaaa’a ‘alan naas – menjadi contoh kepada manusia dan barulah wa yakoonar Rasoolu ‘alaikum shaheedaa, itu susulannya.

 

 

  1. Bayangkan hutang yang banyak iaitu RM1.5 bilion dan defisit sebanyak 5.6%. Mujurlah ada negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak yang boleh bertahan dan mempunyai surplus serta perbelanjaan mengurus yang baik.

 

  1. Negeri yang lain itu gebang saja, saya tahu kerana saya Menteri Kewangan. Bercakap bagaimana pun tengok mengenai ekonomi negeri tetapi jika Kerajaan Persekutuan tidak tolong, ada negeri yang untuk membayar gaji pun tidak ada duit. Saya tolong tidak kira parti kerajaan atau parti pembangkang tetapi saya ingin menegaskan soal tata kelola, soal pentadbiran bersih itu penting.

 

  1. Kalau tidak bagaimana kita hendak membicarakan soal kemampanan, amanah, ehsan, daya kreatif atau inovasi yang dalam kerangka besar MADANI itu jika perkara asas ini tidak diperbaiki.

 

  1. Bayangkan dalam keadaan kita sekarang, tidak semestinya semasa saya sebagai Menteri Kewangan dahulu ada lebihan bajet (surplus budget) bermakna lebih senang berbelanja umum tetapi hutang kini begitu besar, jadi masalah pun besar.

 

  1. Saya baru membicarakan soal tandas, tidak mengambil kira lagi keperluan blok baharu, tidak mengambil kira 50 pelajar  dalam satu kelas.

 

  1. Maknanya ada masalah dalam tata kelola ini. Tidak perlu bercakap soal slogan, yang menang hanyalah slogannya. Kadang sesetengah itu menang kerana maki hamunnya. Tetapi ini masalah yang kita kena selesaikan. Kita gunakan kuasa untuk selesai hal ini. Ini masalah anak-anak kita yang majoriti Melayu walaupun ada sekelompok miskin tegar itu kaum India. Tetapi majoritinya itu Melayu dan kita mula dengan masalah tandas.

 

  1. Kemudian saya ke Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah dan Kem TUDM, Butterworth. Saya melihat rumah-rumah tentera itu dalam keadaan yang amak teruk. Masalah yang sama bumbung, dinding, pintu dan tandas yang terbiar begitu Lama. Maka saya tambah peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Kor kejuruteraan tentera untuk memperbaiki segera.

 

  1. Semalam saya di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA), Sungai Petani dan mendapat keluhan yang sama. ESSCOM di Lahad Datu Sabah, tempat tentera dan polis bertempur sehingga ada yang meragut nyawa untuk mempertahankan bumi bertuah ini tetapi pejabatnya, sewa rumah kedai. Perumahan mereka adalah paling daif dan sesak. Semuanya tertampung di bahu saya. Jadi sebab itu dari Isnin sampai Jumaat saya bekerja.

 

  1. Semalam saya luluskan segera RM40 juta ringgit untuk ESSCOM, Sabah. Kemudian kepada PGA keseluruhannya untuk Polis Diraja Malaysia RM200 juta ringgit.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Duit ini semua datang daripada mana? Hutang negara sudah banyak dan kalau kita tambah perbelanjaan ini, macam ada pemimpin pembangkang berkata apa masalahnya kalau kita pinjam? Ya, kita boleh pinjam tetapi siapa yang akan bayar nanti? Anak-anak kita? Adilkah? Mana boleh pembangkang berkata macam itu. Negara ini mesti diurus dengan baik dan adil. Kalau kita kata pinjam memang boleh pinjam kerana negara kita belum bankrap tetapi siapa yang akan bayar? Anak-anak kita?

 

  1. Apakah pinjaman itu betul-betul perlu? Kalau perlu ya boleh. Almarhum Tun Abdul Razak mula meminjam secara besar-besaran daripada Bank Dunia, untuk apa? Untuk membuka FELDA, membuat jalan di luar bandar, membina sekolah menengah kebangsaan kerana pada zaman Inggeris itu hanya ada sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah tidak ada. Sekolah menengah semua di pekan-pekan iaitu sekolah inggeris. Kita faham dan kalau tanya saya sama ada saya sokong atau tidak, saya jawab saya sokong.

 

  1. Tetapi selepas itu, meminjam untuk bina Gedung-gedung, projek-projek mega termasuk Projek LCS yang lingkup. Tambah RM1 bilion, tambah RM6 bilion. FELDA yang menjadi kontroversi baru-baru ini pada 27 Jun 2023, baru saya menandatangani bayaran pertama RM990 juta. Mantan Perdana Menteri mengatakan bahawa saya berbohong. Kerana dahulu dia sudah luluskan. Ya betul. Lulus macam hari ini saya katakan sebagai contoh saya luluskan RM10 juta. Tetapi lulus ini dengan fulus dan fulus itu duit.

 

  1. Kalau lulus tanpa wang ianya adalah pengumuman dan memang betul dalam pengumuman, saya tidak menafikan memang mengikut proses. Ianya lulus pada tahun 2021 tetapi bajet bagi tahun 2021 itu tidak ada dan bajet belanjawan 2022 itu tidak ada. Jadi effective (kuat kuasa) itu tidak ada. Saya baru luluskan pada 27 Jun 2023 dan saya yang tandatangan. Apa yang dikatakan saya berbohong? Demikianlah politik. Saya dengar satu kenyataan ini tetapi palsu dan bohong. Namum jawabnya Allahuakbar, tidak kena jawapan sebegitu. Rekod itu ada dan sebagai contoh FELDA yang dahulu mencatat keuntungan besar sekarang terbeban dengan hutang RM8.3 bilion.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya sebut ini supaya saudara mengerti. Bagaimana kita harus mengurus kewangan negara dan ini tidak mudah. Kalau hendak berhutang, bebannya itu kepada anak-anak. Tidak berhutang tetapi ada tanggungan yang mesti diselesaikan, jadi kita harus jimat. Sebab itu saya katakan tatakelola dan pengurusan kewangan serta anti-rasuah mesti jadi tunggak dalam pentadbiran MADANI.

 

  1. Jika dibincangkan soal perjudian, semasa zaman saya yang terdahulu, dinaikkan daripada 8 cabutan kepada 22 cabutan. Tetapi pada masa itu, keputusan itu tidak dibantah Kabinet dan selama 3 tahun tidak dibantah oleh semua parti Islam atau parti Melayu. Namun, dijawabnya itu dahulu, sekarang kami sudah haramkan. Saya berterima kasih dan alhamdulillah di negeri itu telah diharamkan. Tetapi dalam tempoh seminggu itu, saya boleh turunkan kembali kepada asal iaitu 8 cabutan. Adakah mencukupi? Jawapannya tidak kerana perjudian masih ada, tetapi sekurang-kurangnya dengan kuasa yang saya ada, saya mula turunkan.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Adakah saudara ingat menaikkan 8 cabutan perjudian kepada 22 cabutan itu percuma? Apabila Perdana Menteri atau Menteri Kewangan menaikkan menjadi 22 cabutan, tidak ada habuan untuk dia? Kalau betul ada yang berfikiran begitu, yang naif maka saudara janganlah bercakap soal politik, tidak mungkin perkara ini berlaku dan inilah permainannya.

 

  1. Saya melihat diri saya berbeza daripada pemimpin dan pimpinan yang lain. Jika ada masalah, saya lontarkan. Jika saya ke universiti, saya beritahu kepada anak-anak apakah masalahnya kepada mereka termasuk kelemahan kita saya ceritakan. Jika wang negara tidak ada, saya beritahu. Apa yang boleh kita tadbir, pencerahan ini yang disebut kefahaman kita dalam soal ini.

 

  1. Inilah kenyataan apa yang berlaku dalam negara kita. Bagaimana kita nak selesaikan? Saya katakan sekali lagi untuk berjimat dan cermat. Kita ambil contoh isu tebatan banjir, berapakah peruntukannya? RM15 bilion ringgit dan telah diluluskan tetapi nasib baik belum dilaksanakan. Jadi saya terus menghentikan dan membatalkan kelulusan lama, buat tender terbatas segera. Apa yang berlaku? kita telah dapat jimat RM1.8 bilion.

 

  1. Orang yang lama marah, mereka kata saya tuduh. Saya tidak tuduh cuma saya mengatakan bahawa cara mereka membuat rundingan tender itu dengan memberi kepada kawan-kawan, saya hentikan perkara ini dan saya selamatkan RM1.8 bilion. Ke mana saya menggunakan wang penjimatan itu? RM1 bilion ke Kelantan dan saya bagi bagi bukan sebab Parti PAS tetapi saya beri sebab banjir.

 

  1. Saya tidak mahu menghukum rakyat yang harus menempa masalah banjir semasa kita ada keupayaan untuk memberi wang yang saya jimatkan daripada tebatan banjir. Jadi RM1 bilion ke Kelantan kerana Kelantan menghadapi masalah banjir paling parah. Dan kedua, RM800 juta lebih itu saya beri kepada Kota Tinggi, Johor kerana Johor tak semena-mena menghadapi masalah banjir yang serius. Jadi selamat  8 bilion.

 

 

 

  1. Kemudian beberapa tender yang lain, yang sudah terlepas tidak apalah tidak boleh membuat apa-apa tetapi bagi tender yang belum, kita runding semula dan tender semula.

 

  1. Inilah menyebabkan saya boleh tambah RM200 juta di sana dan RM100 juta disini. Alhamdulillah tak semena-mena, sejak saya mengambil alih pada November tahun lalu sehingga sekarang iatu bulan Julai, hasil negara kita bertambah begitu pesat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dari cukai atau orang yang jarang bayar cukai pun telah membayar cukai. Tauke-tauke besar dan jutawan semuanya membayar cukai. Saya katakan kepada mereka ini baiklah, jika tidak bayar maka saya tak buatlah. Kalau dahulu jika tidak bayar boleh kautim tetapi sekarang, saya maklumkan – kamu untung itu bagus dan kita akan bagi insentif, kita bantu. Kita mahu kilang dibuka, kita mahu hotel lebih untung tetapi harus memcukai bayar.

 

  1. Sekarang memang hasil negara meningkat dan apabila saya bertanya dalam Mesyuarat setiap minggu, selepas Mesyuarat Jemaah Menteri saya ada lagi dua (2) mesyuarat. Pertamanya dengan Jabatan Perdana Menteri termasuk semua badan di bawahnya seperti JAKIM, MAMPU dan lain-lain bersama dengan Ketua Setiausaha Negara. Kemudian saya ada mesyuarat bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara, KWSP, LHDN, Kastam Diraja dan sebagainya.

 

  1. Saya dapatkan progress setiap bulan dan memang ada lonjakan pendapatan yang begitu tinggi. Jadi alhamdulillah dalam keadaan yang susah, Allah beri ruang untuk meringankan dan ini saya gunakan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dan soal pendidikan. Saya tambah peruntukan kepada guru kafa, maahad tahfiz dan sekolah agama.

 

  1. Pada tahun 1999, apabila saya dpenjarakan, Tun Mahathir telah membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Tetapi sekarang saya adalah Perdana Menteri. Saya bawa balik semua peruntukan yang dibatalkan itu dikembalikan untuk menaikkan semula sekolah agama rakyat. Jadi orang yang mencium tangan Mahathir ini patut jawab mengenai perkara ini kepada rakyat.

 

  1. Untuk membuat dalam cara yang berskala besar masih belum boleh, tetapi inilah yang kita lakukan setiap 2-3 bulan sekali untuk kita tambah.

 

  1. Saya pergi ke universiti dan anak universiti ini mengeluh. Dia cakap setelah belajar, mendapat diploma selepas itu dapat graduate tetapi belum mendapat pekerjaan. Jadi dia membuat internship untuk mendapat latihan tetapi elaun tidak diberikan.

 

  1. Ya memang betul syarikat-syarikat tidak membayar elaun kerana internship ini tidak ada elaun. The term internship itu adalah program untuk memberi pendedahan latihan dan tidak diberikan elaun. Tetapi anak universiti ini berkata, dia menetap di Kampung Lahar Yooi tetapi bekerja di Kepala Batas. Pergi balik setiap hari ke pejabat, makan minum terpaksa ditanggung oleh bapanya. Dahulu ada PTPTN tetapi sudah habis, jadi beban kepada bapa dia yang dalam golongan B40. Jadi apabila saya mendengar perkara ini, bukan dari pakar, bukan daripada orang politik, bukan dari pegawai tinggi tetapi daripada anak di tingkatan 6 dan apa yang dicakapkan itu kebetulan betul pandangannya.

 

  1. Saya balik, terus saya beri arahan semua syarikat kerajaan untuk teliti dan minggu lalu, syarikat seperti Khazanah Nasional, KWSP, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti yang mengambil ribuan pelajar-pelajar internship membuat keputusan dan mereka bersetuju untuk membayar minima RM800 sebulan.

Saudara-saudara,

 

  1. Itulah caranya. Mengapa saya berikan contoh ini? Bagi saya kerana MADANI. Apabila kita sebut mengenai MADANI, kita sebut mengenai kemampanan, perlu ada nilai rahmah, kemanusiaan dan kasih sayang.

 

  1. Dalam negara ini apabila kita bercakap soal tata kelola, semuanya mahu maju, mampan, berteknologi dan digital. Ya, semuanya benar tetapi yang selalunya hilang ialah soal nilai, akhlak dan rahmah, yang tidak tercatat dalam Program Ekonomi. Sebab itu saya masukkan nilai, akhlak dan rahmah.

 

  1. Guru-guru saya selalu ingatkan, hadis awal yang disebarkan oleh ulama ma dan disampaikan ialah ‘Irhamu man fil ardli yarhamkum man fis sama’ – mesti ada significance. Sama ada kerja kita sebagai Menteri, sebagai guru, ustazah, pegawai, pengurus. Kalau tidak ada compassion dan kasih sayang itu adalah masalah.

 

  1. Sebab itu senang, kalau orang tu berbeza dari segi parti politik, dikatakan terus orang itu tidak masuk syurga. Kalau orang itu berbeza agama, lagilah dikatakan ahli neraka. Ia tidak dimulakan dengan compassion dan kasih sayang. Apakah kita memilih bagaimana kita nak jadi, memilih warna kulit kita, memilih kaum kita? Dalam Islam, betul ada jantina iaitu lelaki dan perempuan  tetapi ada kabilah, ada warna kulit yang berbeza. Untuk apa? Untuk lita’arafuu. Apa ukurannya? Bukan warna kulitnya, bukan pangkat kekayaan dan darjatnya tetapi Inna akramakum ‘indallāhi atqākum – kita semua tahu tetapi apabila amalan itu, kita cepat dan pantas menghukum. Sebab itu baik soal ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan saudara-saudara yang banyak mengajar anak-anak, itu kasih sayangnya luar biasa.

  2. Tidak ada guru yang baik, ustaz yang baik ataupun guru Quran yang berjaya kalau dia tidak ada perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya kerana kita yakin bahawa menunjukkan kasih sayang di bumi itu A’amintum man fis sama’i, nescaya di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita.

 

  1. Pengalaman saya dan saya bernasib baik, luar biasa. Dari Sungai Bakap dan selepas itu semasa berumur 5 saya pindah ke Bukit Mertajam. Pada hujung minggu, bapa saya memaksa untuk pergi ke Cherok Tok Kun tetapi setiap petang pergi ke Sekolah Agama Ijtihad, Wataniah Islamiah di Cherok Tok Kun.
  2. Maknanya sebaik sahaja habis sekolah, saya terus menaiki bas pukul 2.30 petang, kadang-kadang berebut terlambat sikit, ustaz akan marah. Pada masa dahulu, ustaz-ustaz ni boleh tahan juga garang tetapi tak ada langsung rasa nak marah kerana mereka ada cara tersendiri dan saya masih berterima kasih kepada ustaz itu kerana dia mengajar saya fiqh dan membantu saya sehingga sekarang. Kemudian ramai lagi ustaz-ustaz di situ yang mengaji agama.

 

  1. Satu lagi yang saya ingat, Haji Salleh (Lebai Leh), juara tempat ketiga pertandingan Quran di Pulau Pinang dan belia selalu memegang rotan di sebelah. Jika kena itu, bagi saya itu sebagai pengajaran dan kita tidak fikir langsung, sakit ke pedih ke, kita hanya fikir kasih kerana selain itu sikap dia itu nak mengajar dan setiap bulan dia akan mendapat upah dari seorang murid sebanyak 20 sen. Kadang-kadang ibu bapa atau orang kampung yang tidak berada akan memberi 10 sen. Ayah saya seorang ahli Parlimen jadi boleh beri lebih sedikit upahnya tetapi orang yang biasa itu akan beri 20 sen sahaja.

 

  1. Jadi saya fikir dengan 20 sen ini boleh makan apa? Demikianlah pengorbanan guru-guru agama kita pada zaman dahulu yang menyebabkan kita boleh baca Quran. Itulah Sekolah saya di Cherok Tok Kun dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, dan tentulah budayanya lain, tradisinya lain tetapi banyak membantu saya. Alhamdulillah.

 

  1. Saya nak ceritakan bagaimana Innama Buistu Liuammima itulah taraf seorang guru.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya mengambil kesempatan untuk menyebut bahawa tugasan ini susah dan sangat penting sebab itu apabila saya bercakap pada Ismail dan kawan-kawan, saya mahu saudara faham mengenai Idea dan Pendekatan Malaysia MADANI ini supaya kita tahu bahawa di kalangan umat Islam itu, ada dikalangan masyarakat lain yang bukan Islam yang juga penting dan kita jaga, kawal supaya keadaan tenang dan aman. Kemudian kefahaman tentang nilai dan akhlak serta kemanusiaan itu juga penting.

 

  1. Akhir kalam, saya ingin menyebut, walaupun saya katakan kita warisi banyak masalah tetapi alhamdulillah sudah mencecah 8 bulan kerajaan baharu, ada berita baik. 3 atau 4 hari yang lalu, Elon Musk iaitu orang paling kaya di dunia, mempunyai teknologi yang tinggi, space science yang utama di dunia dan teknologi digital serta internet connectivity yang sangat baik dan juga green technology. Beliau mempunyai tiga (3) kekuatan iaitu Space X, Starlink dan EV. Beliau meminta untuk bercakap dengan saya menerusi video conferencing, dan saya kata okey. Syukur alhamdulillah, beliau bersetuju dan tahun ini juga akan membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya.

 

  1. Apa maknanya ini untuk negara kita? Maknanya ini adalah potensi untuk anak-anak kita yang menceburi bidang kejuruteraan dan TVET, yang puluhan ribu akan di accommodate, bukan sekadar teknologi biasa tetapi high-end technology, high-end digital technology dan high-end green technology yang menjadi keutamaan kita. Mudah-mudahan dipermudahkan, Insya-Allah.

 

  1. Tetapi kalau ditanya mengapa Elon Musk ingin melabur di negara kita? Pertama, beliau berkata bahawa Malaysia ini aman sekali, dia rasa Jadi saya kata yang rasa selamat itu bukan disebabkan saya tetapi disebabkan tentera polis. Bayangkan kalau di negara lain ada orang Melayu pergi ke kedai Cina di tengah malam atau orang Cina pergi ke Kampung Melayu di  tengah malam tentunya mengudang masalah, tetapi di sini tapi di sini tidak ada masalah, alhamdulillah.

 

 

  1. Yang kedua katanya kerana politik yang stabil. Yang ini disebabkan Kerajaan Perpaduan, membantu dan tentunya ketiga-tiga pimpinan dan idea yang jelas untuk memberikan program-program memacu pertumbuhan ekonomi.

 

  1. Beberapa hari sebelum tu, Richard Lee antara saudagar paling Kaya di Hong Kong hendak melabur di negara kita.

 

  1. Sebelum itu, Geely. Geely merupakan di antara syarikat automobil yang terbesar di dunia, yang membeli Jaguar dan 2 hingga 3 lagi syarikat kenderaan. Bakal kerjasama dengan Proton di Proton City, Tanjung Malim.

 

  1. Beberapa lagi syarikat lain dan yang penting juga Aramco, Aramco ini syarikat minyak gas terbesar dunia yang berpangkalan di Arab Saudi dan milik Arab Saudi. Semasa Energy Asia yang diadakan pada bulan lalu, Syarikat Aramco berjumpa dengan saya dan memberitahu “Mr Prime Minister – I want to announce to you that we have accepted Malaysia as the hub for our Investment in Southeast Asia.”

 

  1. Selain itu, kebetulan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Mekah untuk menunaikan fardu Haji dan pada satu acara baginda berjumpa dengan Perdana Menteri dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. Apabila baginda pulang, baginda telah menyampaikan salam Mohammed bin Salman, dan memberitahu kepada saya, bahawa Kerajaan Arab Saudi bersetuju menjadikan Malaysia sebagai Pusat Pelaburan penting di rantau Asia ini.

 

  1. Syukur alhamdulillah kerana nampak perkembangan-perkembangan ini meyakinkan, sebab itu saya memohon kerjasama saudara-saudaa untuk memberi ruang dan peluang kepada kerajaan ini supaya lebih kukuh sama ada di Persekutuan dan di Pulau Pinang.

 

  1. Kalau ada apa-apa yang saudara rasa belum cukup saya lakukan atau terdapat kelemahan-kelemahan, saya sedia perbaiki. Saya tidak datang sini mengatakan bahawa Anwar sebagai Perdana Menteri semua sempurna tidak, tetapi kita punya banyak masalah.

 

  1. Walau bagaimanapun, hanya satu yang saya tidak boleh tolak ansur. Saya telah melalui pasang surut derita yang panjang dan saya tidak bersedia bertolak ansur untuk khianati amanah, mencuri wang negara dan mengizinkan rasuah berterusan di negara kita.

 

  1. Saya mohon saudara-saudara mengerti bahawa kadangkala cara saya penyampaian saya tidak disenangi. Ada setengah orang, saya pakai capal mereka tak setuju. Ada setengah orang, saya pakai baju samping di sebelah dalam, katanya tak elok tapi itu tidak mengapa bagi saya. Tetapi satu perkara yang tidak boleh dipertikai, saya tidak mengguna kuasa saya sebagai Perdana menteri atau Menteri Kewangan untuk mencuri duit negara, untuk zalim kepada rakyat untuk khianati amanah dan untuk seperti mana di fitnah, memencilkan dan mengkhianati Islam dan bangsa Melayu.

 

  1. Selama 8 bulan ini dan saya tanya di Parlimen apa yang saya lakukan yang dikatakan mengkhianati Melayu dan Islam. Adakah kerana saya sokong Ketua Menteri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang? Saya tidak khianat dan saya terima kenyataan geopolitik dan realiti.

 

  1. Saya mahu negara ini aman. Semua negeri yang lain orang Melayu dan Islam pegang. Semua jawatan-jawatan utama Agong, Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Bank Negara, semua orang Melayu dan Islam pegang.

 

 

  1. Jadi, selamatkan negara ini, jangan izinkan ada permusuhan kaum yang menyebabkan kita kembali runtuh kerana nilai kita dan kedangkalan ilmu. Mudah-mudahan Allah selamatkan kita.

 

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.