TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM CAKNA MADANI BERSAMA AGENSI PENGUATKUASAAN
13 JULAI 2023
PICC, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
YB Anthony Loke Siew Fook,
Menteri Pengangkutan;
YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution,
Menteri Dalam Negeri;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkapli Bin Mohamed,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Kementerian Kewangan.
- Terima kasih atas kesudian yang hadir pada petang ini. Saya bincang dengan KSN dan KPPA dalam penyempurnaan tugas kita ini bidang penguatkuasaan itu diberi amanah yang besar dan amanah bukan dari segi pulangan hasil kepada kerajaan, tetapi juga dari segi pengawalan, mengelak daripada ketirisan dan sebagainya.
- Setelah beberapa bulan dalam kerajaan dan melihat keadaan di lapangan, kita dapati ada beberapa hal yang harus diberi pertimbangan oleh kerajaan. Umpamanya keadaan di sempadan, kemudahan-kemudahan, kemudian perumahan, isu-isu keselamatan pegawai terutama dalam menghalang penyeludupan dan lain lain.
- Saudara, janganlah sekali-kali memikirkan hal ini tidak diberikan perhatian, sebenarnya kita beri perhatian yang agak serius. Kalau kita mahu penguatkuasaan kerajaan yang berkesan maka, perhatian tentang kebajikan dan keperluan mereka itu harus difikirkan dan cuba atasi sebaiknya.
- Saya tekankan hal ini kerana dalam beberapa sesi Mesyuarat Jemaah Menteri hal ini dibangkitkan. Kita maklum akan ugutan, risiko dan tekanan yang dihadapi oleh penguatkuasa kita di sempadan, umpamanya APNM, Kastam dan Imigresen. Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan di kawasan perbatasan dan sempadan negara yang sangat daif.
- Saya cuma ambil kesempatan ini untuk mengingatkan saudara-saudara bahawa hal ini diberi perhatian walaupun tidak semua ketika kita umumkan. Tetapi ada langkah akan diambil umpamanya hal-hal berkaitan sempadan, Kastam, Imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia khususnya Sabah Sarawak. Kita peruntukan RM1 bilion kerana kita tidak boleh harapkan pegawai-pegawai kita bekerja dengan bersungguh tapi kita tidak berikan sedikit ruang keselesaan kepada mereka, bukan sahaja dari segi pejabat, tetapi juga perumahan kebajikan mereka.
- Jadi saya mulakan dalam mukadimah ini supaya semua faham bahawa anda sentiasa diberikan perhatian. Dalam pengendalian usaha Kerajaan ini, kadang-kadang kita rasa, bukan saya hendak salahkan sesiapa, tapi saya nampak ada kelemahan kita. Apa kelemahan kita?, kita kurang beri perhatian tentang masalah di lapangan.
- Selain itu kita berdepan dengan kontroversi, contohnya soal FELDA, ya benar pernah diluluskan dan ada kertas Jemaah Menteri meluluskan RM8.3 bilion untuk melupuskan hutang peneroka FELDA, tetapi dalam Belanjawan 2021, sementara tahun 2022 tidak ada peruntukan. Jadi walaupun pengumuman pelupusan itu ada, keputusan telah dibuat tetapi tidak ada tindakan susulan. Maka bila saya jadi Menteri Kewangan, saya minta laporan FELDA dari segi kedudukannya, pengumuman dibuat dipersetujui dan diluluskan tetapi hutang peneroka kekal. Kita tidak boleh elaklah semuanya dipolitikkan. Tapi saya beritahu yang tandatangan, kelulusan memuktamadkan. Permulaan pelupusan pinjaman itu adalah akhir bulan Jun sebelum Raya Haji RM990 juta daripada jumlah RM83 bilion.
- Namun, bila sampai di lapangan macam-macamlah, ada yang berkata Perdana Menteri bohong sebab sudah lulus. Saya tidak pernah kata tidak lulus. Tapi lulus, tanpa fulus. Fulus tidak ada. Contoh, saya lulus peruntukan RM1 juta tambahan kepada Kastam, lulus tapi peruntukan tidak sampai-sampai, 3 tahun dia lulus tanpa fulus.
- Sebab itu kalau kita lihat apa tumpuan kita tahun ini, kita dahulukan pembaikan tandas sekolah. Setiap sekolah tanpa kecuali tempat anak-anak kita belajar dengan kemudahan tandas asas yang tidak sempurna. Ini tidak kira lagi kipas rosak, lampu rosak dan kemudahan-kemudahan lain tidak ada. Jadi terpaksa kita siapkan RM1 bilion untuk perbaiki tandas termasuk klinik-klinik desa yang digunakan oleh keluarga kita, terutama di luar bandar. Kita perlu tambahan lagi RM1.4 bilion.
- Inilah pendekatan yang dibawa oleh MADANI, ia akan bermakna kalau ada perasaan ihsan dan rahmah. Sikap ihsan dan rahmah serta pertanggungjawaban ini yang acapkali saya sebut, hadam dan popularkan. Kita kerja itu dengan niat secara keras menolak penyalahgunaan kuasa, keras menolak rasuah kerana kita kasih kepada sistem negara kita, kita cinta kepada Malaysia. Kita hendak selamatkan negara kita ini daripada kekayaannya dirompak, memperkayakan sebilangan kecil, sementara yang lain itu terlantar.
- Negara yang memiliki khazanah yang besar, kekayaannya banyak, tetapi tidak terurus dengan baik kerana salah urus, penyelewengan, tamak haloba, dan nafsu serakah, maka sampai bila-bila pun tiada jamin keselesaan hidup kepada rakyat. Sebab itu dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menekankan tentang apa pun usaha dan kerja kita termasuk penguatkuasa, Ketua Jabatan, dan Menteri yang diamanahkan,
Ertinya: Sayangilah siapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh siapa saja yang ada di langit.
(HR At-Tirmidzi no. 1924).
Tunjukkan tanggungjawab dan kasih sayang kita kepada sesama kita ‘irhammu’ (kasihlah kamu) ‘fil ardh’ (paling di bumi). Maknanya keluarga kita adalah sesama Islam dan sesama manusia ini. Sebab itu tidak boleh ketepikan orang, kita tidak boleh hanya jaga Melayu sahaja, Islam sahaja, tetapi kita kena jaga sesama manusia kerana ‘Irhamu man fil ardhi’ itu kasih kepada yang di bumi.
- Kemanusiaan yang disebut adalah Humanitarian ideals atau istilah qurannya karamah insaniah. Allah mengangkat darjat manusia itu, ‘Walaqad karramna banee adam’, Allah angkat darjat manusia itu, kerana kasih sayangnya, kerana kemanusiaannya kepada satu sama lain. Apatah lagi kita ini walaupun Muslim majoriti Melayu dan Bumiputra itu juga majoriti, peruntukan perlembagaan jelas pertahankan kedudukan Melayu dan Islam dan hak keistimewaannya, bahasanya dan Raja-rajanya. Tetapi menjamin keselesaan, keadilan, kemanusiaan bagi semua yang lain.
- Justeru, kita kena ada keyakinan bahawa Islam itu sebagai contoh dan teladan yang baik. Jadi kasih itu yang di bumi, manusia keseluruhannya, haiwan di muka bumi, pohon-pohon, tumbuh-tumbuhan dan bumi yang kita pijak, bukit-bukau, serta tanah yang kita pijak. Kalau kita tunjuk kasih sayang tidak boleh zalim sesama manusia. Tidak boleh zalim kepada haiwan, tidak boleh musnahkan pohon jika tidak perlu. Tidak boleh musnahkan bukit-bukau. Habis bukit-bukit diceroboh kesannya kerosakan kerana tidak ada keseimbangan. Apabila banjir yang lebih merana, terkesan akibat malapetaka itu kebanyakan golongan miskin. Golongan kaya, golongan atasan jarang sekali terkesan dengan masalah banjir.
- Jadi bila kita kata pertahankan bidang penguatkuasaan ini, hal ini kerana kita hendak selamatkan manusia daripada nafsu serakah orang yang gelojoh mencuri harta memunggah kekayaan. Sama ada balak itu dengan izin atau tidak izin banyaknya itu dikuasai oleh penyakau-penyakau. Dan kerana kesannya esok kepada rakyat di bawah. Itu sebab kena dengan semangat kasih sayang irhamu man fil ardhi kalau ini dilakukan apa sambungan hadis di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang ke atas kamu. Jadi kalau begitu sudah rahmat kasih sayang antara kamu, tidak payahlah minta elaun tambahan (nada berseloroh). Itu tafsiran tidak betul, kerana yang kita minta itu munasabah dan hak kita. Jadi kalau tunjukkan kasih sayang di bumi nescaya di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita (those in heaven will shower mercy upon you).
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
- Badan penguatkuasaan ini dipantau. Kadang-kadang mendapat liputan yang sangat negatif serta sering dikritik oleh pihak media dan orang ramai. Daripada 10,000 kerja yang baik saudara-saudara telah buat, tetapi tidak tercatat dan tidak dilapor, sebaliknya ada satu kesilapan media lapor dalam muka surat halaman depan. Sebab itu bila berlaku seperti mana isu Imigresen di KLIA baru-baru ini saya turun, saya menyatakan bahawa saya tidak boleh nafikan mungkin ada satu kelompok kecil yang salah, tetapi saya juga tidak boleh nafikan bahawa mereka semua telah bekerja dengan baik kerana sewaktu saya pergi lawatan mengejut ada 15 kaunter dan semuanya beroperasi dengan baik.
- Kemudian kebetulan apabila lalu di situ saya lihat pengoperasian Kastam, ada enam (6) mesin pengimbas di KLIA yang rosak, hanya satu (1) beroperasi, sudah tentulah saya menegur saya kata patut hal ini diperbaiki segera. Sekarang sudah baiki semua, berbanyak terima kasih kepada KSN. Selaku Menteri Kewangan tentu saya tidak puas hati kerana kerosakan itu sudah lama tetapi adalah tidak adil sekiranya saya membuat satu kenyataan umum dengan melibatkan seluruh Jabatan Kastam itu sebagai contoh. Jadi saudara-saudara janganlah tersinggung kita jalankan tugas kita dengan niat ikhlas mendapat rezeki yang baik dan tahu ada beberapa kelemahan dan kecuaian harus dielakkan.
- Jadi itulah serba sedikit pengalaman saya kongsikan. Tetapi seperti mana yang saya sebut dalam mukadimah sebentar tadi, saya hendak tekankan bahawa saya berdiri di sini untuk memberi pengakuan dan jaminan bahawa kita ambil berat. Oleh sebab itu, beberapa bulan lalu saya umumkan tentang kadar gaji upah penjawat awam, banyak orang kritik, mereka kata penjawat awam terlalu ramai. Ini tidak betul. Faktanya salah sebab Malaysia sahaja yang mengukur penjawat awam secara keseluruhannya juga melibatkan profesion kepolisian, petugas perubatan, guru sebagai sebahagian kategori penjawat awam. Di sesetengah negara profesion yang saya sebutkan tadi tidak dimasukkan dalam katergori penjawat awam. Jadi bila kita masukkan nampak begitu besar. Tetapi jangan kita anggap nisbah penjawat awam di Malaysia sudah mencukupi dengan jumlah 32 juta penduduk. Singapura tidak ukur begitu, mereka tidak masukkan tentera dan polis.
- Walau bagaimanapun, sama ada naik atau tidak kadar upah dan elaun penjawat awam, itu masih dianggap rendah. Setelah 10 tahun lebih sekarang belum ada pun jawatankuasa yang harus dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk mengkaji semula sistem skim saraan penjawat awam. Maka insyaa-Allah dalam 1-2 minggu ini, selepas PRN, saya akan pengerusikan mesyuarat pertama bersama KSN, KPPA serta beberapa Menteri dan pegawai untuk meneliti keseluruhannya skim perkhidmatan dan persaraan penjawat awam disamping melihat keupayaan kewangan kita bagaimana kita boleh perbaiki dan tingkatkan. Saya juga cadangkan supaya peningkatan itu secara berperingkat. Ini kerana kekangan kewangan dan perlu juga melihat kepada keupayaan ekonomi.
- Saudara, baru-baru ini saya umum RM200 juta untuk rumah tentera. Perumahan tentera itu dalam keadaan yang teruk, kita warisi puluhan tahun. Begitu juga dengan kemudahan Esscom di Lahad Datu, perumahannya teruk, kemudahan asas teruk, pejabat Esscom pula menyewa rumah kedai sahaja. Jadi salahkah saya kalau saya luluskan segera beberapa bulan yang lalu, RM200 juta untuk baiki segera. Bukan apa, ini perumahan tentera, bukan hendak bangunkan semula pun, kita baiki guna kor kejuruteraan tentera, baiki tandas rumah, pintu rumah dan bumbung yang bocor.
- Itu peringkat awal, kemudian polis, insyaa-Allah, hari sabtu saya tengah selesaikan keperluan semuanya dengan KSP dan saya akan umumkan di Sungai Petani tentang perumahan PGA dan Polis. Penjara juga kita sediakan RM10 juta untuk pembaikan. Jadi insyaa-Allah selepas kita uruskan perumahan Polis pada hari sabtu kita akan lihat pula perumahan Penjara, Kastam dan JPJ.
- Saudara, menjadi hasrat saya agar hal-hal asas ini ditangani dahulu dan urusan pentadbiran kerja lebih baik daripada sebelumnya. Saya cuba bagi contoh saya kerja pun sekuatnya walaupun umur sudah hendak mencecah 76 tahun. Saya hendak bahagian penguatkuasaan ini serius, jangan bagi peluang kepada penyeludupan. Kita ikut peraturan dan undang-undang. Kalau sekiranya ada orang ganggu gugat kerja saudara, saudara boleh teks saya dan saya akan pastikan saya akan pertahankan hak saudara.
- Kalau tidak, negara ini akan rosak sistemnya. Negara ini tertegak sebagai negara hukum. Kalau yang kecil-kecil kita pantau soal rasuah, yang besar-besarnya ambil berbilion-bilion ini jangan kita lepaskan. Sebab tu saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Azam dan seluruh pasukan SPRM kerana keberanian. Ianya tidak mudah, tidak mudah. Saya pun tahu bahawa tidak mudah. Saya Perdana Menteri, tapi saya tahu tidak mudah hendak berdepan dengan orang yang ada berbilion-bilion. Kalau orang itu berkedudukan tinggi, dia boleh buat apa sahaja, boleh keluar kenyataan apa sahaja, boleh fitnah. Pengaruhnya besar, mereka boleh kawal, mereka boleh beli media sosial, mereka juga jaga kepentingan media dan mereka boleh beli orang untuk mempengaruhi pendirian mereka dan mereka boleh beli undi. Tetapi saya sudah terima jawatan ini, saya sudah hadapi dan jalani liku-liku hidup sama ada yang senang mahupun getir, lebih banyak yang susah. Saya hendak pastikan kerjasama kawan-kawan dan saudara jalankan amanah dengan sebaiknya supaya kita dapat selamatkan Malaysia dan angkat semula martabat negara ini.
Saudara-saudara,
- Kita juga mahu perkukuh struktur organisasi dan laluan kerjaya kepada pegawai dan anggota skim penguatkuasa. Oleh itu, kita ada ambil keputusan belajar dari pengalaman. Sesetengah balai Polis tu masih guna mesin taip lama, mesin pengimbas selalu rosak, kemudahan-kemudahan asas banyaknya lemah. Maka kita beri kelonggaran kepada semua jabatan ini bagi aspek kemudahan keperluan asas kita beri kelonggaran untuk membeli peralatan, memperbaikinya dalam konteks keupayaan kewangan segera yang kita luluskan untuk tahun ini. Mulai sekarang kalau ada hal-hal yang saya sebutkan tadi Ketua Pengarah dan KSU harus kemukakan segera supaya kita boleh selesaikan tahun ini juga. Janganlah sampai tidak boleh buat kerja kerana isu kemudahan-kemudahan asas ini.
- Ada yang bangkit soal elaun pakaian seragam bagi kumpulan pengurusan dan profesional. Isunya jumlah yang diberikan ini tidak setimpal, harganya lebih jadi kena tampung wang sendiri. Uniform ini keperluan yang diwajibkan sudah bukan pilihan, sudah wajib. Jadi kalau belanja itu lebih daripada had yang ditetapkan berdasarkan keputusan jabatan masing-masing termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup implikasi kewangan untuk tahun ini sahaja RM5.5 juta ringgit ditambah.
- Saudara bagaimana kita boleh perbaiki? ada bahagian penguatkuasaan yang mengutip dana yang besar, iaitu LHDN dan Kastam. Jadi saya bersetuju untuk tahun ini kita peruntukan RM100 juta untuk membantu mereka melengkapkan apa sahaja keperluan di pejabat atau jabatan mereka. Ini satu permulaan yang saya ingat begitu bermakna kerana ini kali pertama maknanya yang sudah kutip RM100 juta itu ditahan untuk keperluan jabatan keseluruhannya. Untuk berlaku adil, kita terpaksa juga beri kepada penguatkuasaan yang tidak ada pulangan hasil. Ini kerana tanggungjawab mereka juga besar, justeru, kita pastikan supaya ada peruntukan khas yang diberi kepada jabatan tanpa perlu membuat permohonan dan peruntukan tahunan. Dan ini saya sudah beritahu KSP supaya dapat disegerakan dan peruntukan ini boleh diterima selewat lewatnya akhir minggu depan. Kalau tidak terima sila lapor kepada saya.
- Saya sekali lagi tekankan, kita punyai cabaran besar dalam negara kita. Kerana kita warisi keadaan hutang negara terlalu tinggi RM1.5 trillion dan defisit 56%. Tetapi berita baiknya apa? suku tahun pertama pelaburan tinggi RM71 bilion. Pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi daripada negara China, Singapura dan Indonesia 5.6%. Inflasi tiap bulan kian rendah 28% dengan pengganguran berkurangan, melainkan pengangguran di kalangan graduan muda agak tinggi sedikit.
- Namun, kita terpaksa mendepan dengan masalah kejatuhan ringgit. Walaupun berlaku di seluruh dunia tetapi ringgit itu tercabar di antara lain kerana kadar faedah kita rendah. Di antara yang paling rendah di rantau ini. Jadi bila dalam dialog mahasiswa mereka tanya, saya kata kalau saya ada RM1 million dollar Amerika Syarikat saya hendak letak simpanan tetap di Malaysia atau Singapura atau Indonesia. Pulangan di Indonesia dan Singapura lebih tinggi kerana OPR mereka itu jauh lebih tinggi, walaupun Singapura tidak panggil OPR. Tapi kalau saya naik kadar faedah, perniagaan kecil rakyat akan terbeban. Peminjam hutang rumah akan terbeban. Kalau saya tidak naikkan, ringgit jatuh sedikit. Jadi kalau tanya saya sebagai bertanggungjawab di antara ringgit jatuh sedikit dengan beban kepada rakyat, saya pilih untuk menyelamatkan rakyat daripada kedudukan ringgit.
- Baru sebentar tadi saya menemui Richard Lee Chee di antara peniaga paling kaya di Hong Kong, Beliau berminat untuk melabur di Malaysia. Minggu hadapan rombongan beliau akan datang ke Malaysia untuk membawa mesej pelaburan besar-besaran di sini. Jadi selagi kita dapat menarik pelabur seperti ini, saya percaya kita boleh selesaikan masalah ekonomi. Tanggungjawab kita bukan soal naikkan faedah, tanggungjawab kita pastikan negara ini diurus dengan baik dan dapat mengelak daripada penyakau-penyakau meragut kekayaan.
- Saya tidak sebut ini sebagai satu agenda mainan politik. Saya pegang sekarang, saya di antara pengkritik kerajaan paling kuat dahulu, saudara pun tahu perkara itu, tetapi apabila lihat fail-fail yang ada sekarang, rupanya kita warisi satu sistem yang benar-benar rosak. Kita angkat pemimpin-pemimpin sama ada namanya parti Melayu atau parti Islam atau parti pelbagai kaum, lebih ramai yang gunakan kuasa memperkayakan diri, keluarga dan kroni mereka. Bercakap berdegar-degar jaga Melayu, jaga Islam, jaga negara, tetapi masing-masing punyai kekayaan berbilion-bilion ringgit.
- Sebab itu bila orang jerit kuat-kuat hendak tolong Melayu, saya tengok muka-muka ini kalau betul-betul dia kaya. Saya kata betul hendak tolong Melayu ahlan wasahlan Harta kamu berbilion itu serah kepada orang Melayu setengahnya. Kamu ada kekayaan dapat RM5 bilion, RM2 bilion serah RM1 bilion balik pada rakyat. Kerana dari mana kau boleh dapat RM5 bilion RM2 bilion. Ada seorang mantan menteri meninggal, rebutan kekayaan di antara keluarga, ibunya dengan isteri. Kekayaan RM2 bilion. Ada orang dengan catatan punyai bank di Luar Negara. Memunggah kekayaan begitu banyak. Kalau hendak berjuang untuk rakyat, pulangkan balik kepada rakyat. Barulah kita boleh selamatkan negara ini.
- Tetapi sementara kami di sini, saya hendak jamin apa pun serangan yang mereka lemparkan, satu perkara yang saya hendak jamin saudara-saudara dan saya tidak akan tolak ansur sama sekali, iaitu saya tidak akan izinkan negara ini dan pemimpin-pemimpin untuk menggunakan kuasa mencuri harta rakyat dan merosakkan negara. Saya pohon kerjasama saudara-saudara pegang satu amanah penguatkuasaan dalam negara kita. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR