TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SENTUHAN AGRO MADANI PERINGKAT NEGERI SELANGOR

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

SENTUHAN AGRO MADANI PERINGKAT NEGERI SELANGOR

 

 

18 JULAI 2023 (SELASA) | 9.00 PAGI

 

MSEKIN WONDERLAND, BAGAN SEKINCHAN, SEKINCHAN, SELANGOR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

 

YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu,

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;

 

Timbalan Menteri;

 

Timbalan Ketua Setiausaha; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Terima kasih atas inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana mengadakan Siri Agro MADANI ini untuk memberi peluang pimpinan menyantuni rakyat dan melihat perkembangan dan kemajuan bidang pertanian dan penternakan. Saya lihat ramai juga wakil dari pekebun, penternak dan juga nelayan. Terima kasih atas kehadiran saudara-saudara.
  2. Kita tahu bahawa walaupun tidak dihebahkan begitu rupa, negara kita ini terlalu bergantung kepada import pertanian yang agak tinggi dan atas inisiatif Menteri dan Kementerian serta rakan-rakan lain di agensi, kita telah mengambil beberapa langkah baharu.

 

  1. Sekinchan memang terkenal dengan kejayaan pengeluaran hasil padi yang menjadi teladan bagi negara ini. Berdasarkan pengalaman rakan-rakan di sini, waras? Kabare? – kalau tidak mula cakap Jawa ini orang jadi malap sikit (nada gurauan). Maka beberapa hari yang lalu, kita telah luncurkan satu program raksasa untuk memastikan pengeluaran padi itu lebih tinggi kerana sekarang ini import beras kita terlalu tinggi. Negara mempunyai kawasan yang subur, tanah yang masih luas tetapi kita mesti import beras yang dahulu daripada Siam sekarang Vietnam dan beberapa negara lain.

 

  1. Oleh itu, atas ikhtiar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lain-lain, kita telah laksanakan projek raksasa dan bagi persiapan, prasarana seperti infrastruktur parit tali air itu belanjanya sebanyak RM3 bilion untuk beberapa tahun ini. Apabila kita berbincang dengan Kementerian Kewangan, kita tidak ada pilihan walaupun hutang yang kita warisi itu tinggi.

 

  1. Sekarang ini yang membangkang memang cakap banyak, tetapi masa dia perintah dahulu, hutang berlonggok-longgok, tidak ada usaha untuk selesaikan. Masalah subsidi pesawah dan nelayan, mereka tidak tambah. Semua peruntukan yang saya beri tambahan RM800 bagi empat bulan untuk nelayan, tambahan untuk penternak serta subsidi, itu semua kita tambah sejak Belanjawan MADANI November yang lalu.

 

  1. Begitu juga Projek Lima Musim Dua Tahun walaupun ada percubaan oleh MADA dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama BERNAS tetapi tidak ada rancangan raksasa. Tahun ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, oleh kerana nak selaraskan dengan semua Jabatan, saya minta Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri selaraskan kerana ia melibatkan terlalu banyak jabatan dan kementerian.

 

  1. Rakyat tidak peduli kementerian atau jabatan mana, yang dia peduli adalah apakah Kerajaan boleh ada ikhtiar tambahan untuk pastikan masa depan, pendapatan dia itu lebih baik. Maka sebab itu saya minta KSN selaraskan bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, kita lancarkan projek ini dan dalam keadaan kekangan kewangan yang besar pun kita masih luluskan kerana jumlah pesawah padi itu tinggi sehingga ratusan ribu. Mereka dan keluarga tidak boleh lagi kekal di tahap yang lama. Maknanya kalau selain daripada Sekinchan, kebanyakan tempat lain jika tanam padi itu miskinlah namanya. Sudah berpuluh tahun percubaannya.

 

  1. Jadi kali ini kita buat rancangan raksasa dan kita minta pesawah bagi kerjasama. Maknanya soal baja, soal racun dan soal benih itu tanggungjawab Kerajaan tetapi kita mahu bawa pesawah padi ini supaya dalam masa dua tahun hasil dia itu daripada RM1,000 atau RM1,200 sampai menjadi RM1,800-RM2,000 sebulan. Jadi bolehlah kita nampak peningkatan RM400 hingga RM500.

 

  1. Sementara nak tunggu hasil 3 bulan, tidak boleh tunggu begitu, tanam nak tunggu hasil 3 bulan, dia nak makan apa? Maka itu kita berikan subsidi RM200 sebulan sementara nak dapat hasil. Ini semua kita lakukan setelah kita dengar keluhan. Seperti juga nelayan-nelayan yang mengatakan pada musim tengkujuh dan musim hujan, dia nak pergi ke mana? Kalau dulu kita dengar beberapa pemimpin dia berleter, orang Melayu malas, nelayan malas dan tidak kuat kerja tetapi dia tidak pernah tahu, macam mana nelayan buat kerja, tengah ribut dia nak pergi tangkap ikan bagaimana?

 

  1. Seorang pemimpin itu tidak perlu cakap banyak-banyak, melaung Melayu Melayu Melayu, Islam Islam Islam tetapi tengok pada amalnya. Kamu betulkah cakap soal Melayu? kalau betul nak jaga orang Melayu, yang kamu curi bilion ringgit itu bagi balik kepada orang Melayu. Saya senang je.

 

  1. Kalau tidak, ini kerja edan semuanya, Jaman Edan Saya ingat dahulu apabila saya ke sini, Tanjung Karang dan Sabak Bernam ini kerana ada wak wak jawa, saya menceritakan tentang kisah Ronggowarsito. Ronggowarsito itu pujangga terkenal yang bijaksana yang bertugas di Keraton, Jawa atau Keraton, Jogjakarta yang kita kenal. Jadi, nenek Ronggowarsito itu, disebabkan keberaniannya menegakkan keadilan, membela nasib rakyat, dia ditangkap oleh penjajah Belanda dan hilang.

 

  1. Kemudian, cucunya iaitu Ronggowarsito yang mempunyai kebijaksanaan dan kewarasan, tahu jikalau beliau bertempur secara langsung akan dibunuh semuanya. Jadi beliau guna kebijaksanaan dan menulis tentang apa yang disebut “Kita ini dijaman Edan”. Jaman Edan dan orang luar daripada Kuala Lumpur, daripada Selangor atau Jawa itu, tidak tahu. Saya kalau bercakap pasal Jaman Edan di Kedah, saya kena terjemahkan bahawa Edan itu gila. Kalau orang di Selangor itu tidak perlu terjemah. Jadi beliau kata Jaman Edan begitu. Hari-hari mendengar kelompok ini fitnahkan, kita nak buat baik dianggap jahat. Yang dahulu yang sakau banyak-banyak disanjung, yang kita hentikan rasuah, jangan bagi pemimpin pegang jawatan Perdana Menteri pegang Menteri, pegang Menteri Besar, Menteri Kewangan kerjanya sakau duit rakyat, kita hentikan itu.

 

  1. Kerana jika negeri makmur dan kaya pun, kalau pemimpin-pemimpin asyik kumpul kekayaan bagaimana nak tolong rakyat? Bagaimana nak selesaikan masalah? Apa kena mengena dengan Agro MADANI, pertanian ini apa kena mengenanya? kerana hasil kita banyak dan kalau boleh kita bantu, jangan curi duit rakyat dan negara.

 

  1. Ramai bekas-bekas pemimpin, mantan-mantan Menteri masa dalam Kerajaan kaya-raya yang lebih-lebih. Masa jadi Menteri, tanah di sana, bangunan di sana, harta di Australia, harta di London, kemudian apabila beliau sudah tidak jadi Menteri, beliau lompat dan bercakap pejuang Melayu, pejuang Islam, Allahuakbar tetapi yang kamu curi harta. Sebab itu apabila bertanya kepada saya, senang sahaja, jika kamu betul pejuang Melayu, hidup Melayu, pejuang Islam Allahuakbar, harta kamu yang berbilion-bilion itu kamu bagi balik kepada orang Melayu.

 

  1. Kerana kalau ini kita tidak perbaiki saudara-saudara, percayalah yang kita bagi RM200 sebulan atau RM300 sebulan, RM3 bilion untuk pesawah padi tidak ke mana jika urusan dan tatakelola tidak diperbaiki. Sebab itu saya bercakap dari mana pun kalau MADANI ini, soal tatakelola, urusan yang baik mesti kita tetapkan. Jangan gunakan peluang ini untuk lawan maki orang dan fitnah orang. Seolah-olah, kita dalam Kerajaan ini hanya tunduk kepada tekanan puak-puak Cina DAP. Itu sahaja yang dia dengar.

 

  1. Saudara, saya sekarang Perdana Menteri. Saya dengar semua pandangan seperti mana saya sebut, anak Melayu itu saya anggap macam anak saya. Sebab itu saya turun helikopter di IPD, saya tengok ada Sekolah Rendah Agama, saya terus singgah, melihat kelas melihat anak-anak, melihat tandasnya kerana saya dah beri arahan dan kita dah belanja tinggi untuk sekolah.
  2. Tengoklah Sekolah di Sabak Bernam dan Tanjung Karang dan banyak sekolah yang tandasnya tidak terurus dan rosak. Ada enam tandas tetapi empat rosak, dua rosak. Kita ini ibubapa, yang ini kalau betul anak-anak kita, baik anak Cina, anak India atau anak Iban dan anak Kadazan, kita mesti anggap anak-anak kita. Sekolah mereka itu mesti kita perbaiki.

 

  1. Jadi berapakah yang kita belanjakan? RM1.4 bilion ringgit dan kita sudah luluskan semua untuk baiki kemudahan awam termasuk tandas sekolah. Kalau ada sekolah-sekolah yang belum dibaiki, ambil tindakan segera. Mana pegawai daerah disini? baik tadi saya ada berjumpa dengan pegawai daerah kerana IPD ada meminta wang sedikit untuk baiki jubin.

 

 

         Saudara-saudara,

 

  1. Saya tidak sanggup umpamanya nak biarkan begini. Jadi, di peringkat bawah Pegawai Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung, tolong tengok kalau betul ada masalah, sila lapor. Berapa kita lulus? RM1.4 bilion, sama ada dia anak petani, anak pesawah atau anak nelayan itu semua pergi ke sekolah. Jadi itu kena betulkan dahulu. Ini yang nak cakap berdegar-degar, maki hamun orang yang tidak ada kaitannya. Gunakan kuasa dan betulkan ini dahulu.

 

  1. Kemudian saya kata kita mahu noktahkan kemiskinan tegar. Maknanya yang hadir hari ini kebanyakan ramai juga miskin tetapi miskin tegar ini maknanya nak beli susu untuk anak tidak cukup wang, nak beli uniform sekolah tidak cukup wang, itu miskin tegar dan saya maklumkan dalam Belanjawan MADANI ini, mulai tahun 2023 sebelum akhir tahun, saya nak setiap orang yang paling miskin di Malaysia baik anak Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan mesti dibantu supaya boleh menaik taraf kepada miskin dan bukan lagi miskin tegar.

 

  1. Saya harap kalau ada yang nama-nama tidak termasuk senarai, tolong lapor segera. Saya tidak mahu umum sahaja tetapi tidak laksanakan. Di Parlimen, ada seorang ahli Parlimen yang kononnya atas nama Islam mengatakan mana ada dalam dunia ini, dalam Islam kita boleh hapuskan kemiskinan.

 

  1. Inilah masalahnya, cakap slogan tetapi fahaman tidak ada, hanya nak guna ini untuk kecam sahaja apa usaha yang saya buat. Saudara, apa salahnya? Apa yang kita boleh buat untuk tolong orang miskin? saya tidak main-main. Kali pertama saya kena masuk penjara pun disebabkan kes Baling. 3 hari yang awal sebab kes muslim di Selatan Thailand yang kena tindas di Pattani tetapi yang 22 bulan adalah kerana kes Baling dan itu adalah pengajaran.

 

  1. Kita ada kuasa buatlah sesuatu, tidak apalah tidak setuju dengan parti tetapi janganlah bangkang usaha nak tolong orang miskin tegar. Sebab apa saya tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri? Orang kata saya tidak ambil gaji tak apalah sebab dia kaya, tidak kena juga. Orang kaya-kaya dahulu yang kaya berbilion ringgit masih ambil gaji, kamu tidak soal. Orang yang ambil gaji sama ada dia pakai kopiah atau songkok atau serban tetapi tidak kerja, kamu tidak soal.

 

  1. Ini masalah kita saudara, kita ini terlalu taksub sehingga tidak boleh fikir dengan waras. Jadi yang saya tidak ambil itu kerana saya malu. Elaun ahli Parlimen dah ada, cukuplah kereta pun ada pergi mana-mana ada Polis jaga, ada pesawat, ada helikopter bukan saya punya tetapi Kerajaan punya untuk digunakan oleh Perdana Menteri urusan kerja.

 

 

  1. Jadi biarlah kita dalam setahun dua ini tengok dahulu dan selesaikan masalah-masalah rakyat kemudian apabila keadaan dalam tiga empat tahun sudah baik, nak ambil gaji okaylah. Itu pun salah, dicerca, dihina dan saya tidak ada masalah itu kerana kita – fa iza ‘azamta fa tawakkal ‘alallah, innallaha yuhibbul mutawakklilin. “Wa syawirhum fil amr” itu kita berunding, kita ambil keputusan.

 

  1. Keputusan apa? Pertama, menoktahkan kemiskinan tahun ini. Pegawai Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung harus ingat, pastikan senarai itu tepat. Kedua, sekolah anak kita. Sekolah Kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil, sekolah Cina, semua sekolah tengok keadaan kemudahannya seperti tandas, bumbung, pintu, kipas angin ada atau tidak, kita buat itu dahulu. Kemudian, klinik-klinik desa berapa jumlah saya katakan satu bulan RM4 bilion. Kemudian kita turun, seperti kita turun tadi di IPD, saya pergi banyak tempat termasuk Lok Kawi di Sabah. Tentera ini kerjanya mempertahankan negara.

 

  1. Pada minggu lalu Elon Musk, orang paling kaya di dunia dari Amerika, beliau beritahu, nak buka ibu pejabat di Cyberjaya. Terima kasih kerana Menteri besar ini hebat jadi orang ada keyakinan. Kemudian ada beberapa perancangan lain. Ini kali pertama saya nak sebut bahawa Geely, yang bekerjasama dengan Proton, menulis kepada saya 10 halaman muka surat panjang memberitahu nak teruskan, jadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini.

 

  1. Mereka akan mula dengan USD10 billion maknanya RM40 bilion. Untuk apa? untuk saya ambil komisen? untuk saya terima hadiah? atau untuk jamin ekonomi kita ada naik? ribuan anak-anak kita akan mendapat kerja tetapi semua ini, satu lagi Syarikat Aramco, syarikat minyak dan gas terbesar di Arab Saudi dan di antara syarikat minyak terbesar di dunia, Amin H. Nasser, Pengerusi Eksekutif berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Syarikat Aramco sekarang senang dengan dasar kerajaan dan kepimpinan Kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pusat perkembangan minyak dan gas oleh Arab Saudi di Asia Tenggara.

 

  1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menunaikan Haji dan baginda duduk bersebelahan dengan HRH Mohammed bin Salman, Putera Raja dan Perdana Menteri Arab Saudi, dan HRH Mohammed bin Salman meminta untuk kirim salam kepada saya kemudian memaklumkan bahawa pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia.

 

  1. Alhamdulillah, saya cerita sebahagian ini kerana apa saudara? Pertama kerana negara ini aman. Siapa yang bantu mengamankan? tentera, polis dan penguatkuasaan. Jangan kita andai perkara ini mudah, kita boleh banding dengan negara lain yang pergaduhan, perang saudara, pergaduhan kaum, pergaduhan antara agama, pergaduhan di antara Islam sendiri seperti di Iraq dan Syria.

 

  1. Begitulah kerana tidak ada tolak ansur langsung, hukum langsung, tidak suka kafir, tidak suka masuk neraka. Ini bibit-bibit yang boleh pecah belahkan kita. Apabila polis dan tentera bantu, saya kata saya turun di Lok Kawi, Sabah dan saya lihat kerja mereka teruk tetapi rumah mereka itu sudah puluhan tahun tidak dibaiki. Tandas rosak dan pintu tandas pecah. Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di daerah Lahad Datu, tempat tentera dan polis jaga keamanan negara daripada serangan pengganas dari Sulu tetapi kedudukan mereka sangat daif. Maka, terpaksa saya luluskan RM40 juta untuk ESSCOM, untuk anak-anak polis dan tentera kita.

 

  1. Saya umumkan minggu lalu keseluruhannya untuk Polis sebanyak RM200 juta. Untuk apa? untuk baiki tandas, dinding, bumbung rumah kediaman mereka kerana jasa mereka menjaga keamanan kita. Bagi tentera adalah sebanyak RM200 juta lagi.

 

  1. Jadi saudara ini berbeza sebab itu saya katakan MADANI, tidak cakap riuh rendah tetapi kerja tidak Jalan. Sebab tu tadi saya turun dari helikopter, dari IPD, saya boleh tengok tandasnya lepas tu pergi ke Sekolah Rendah Agama, pergi tengok dalam bilik darjah, budak darjah satu yang ramai situ kemudian pergi tengok tandas. Nanti orang komen pula malam ini di ceramah, itulah Kerajaan Perdana Menteri inspektor tandas. Saya tidak peduli panggillah Anwar Inspektor tandas, saya berbangga alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya saya kerja sampai di bawah.

 

 

         Saudara-saudara,

 

  1. Ini pasukan kita. tengok macam saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu ke hulu ke hilir, ke merata negeri dan daerah kerana selagi kita tidak dapat menyantuni di peringkat bawah, kita tidak dapat kenal. Saya terangkan ini kerana kalau Malaysia ini tidak ada pelaburan asing, ringgit kita tidak akan kuat dan pertumbuhan tidak akan meningkat.

 

  1. Kalau pertumbuhan ekonomi kita suku tahun pertama dan Selangor adalah negeri nombor satu sebab itu kita cadang untuk kekalkan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari sebagai Menteri Besar. Ini kali pertama saya umum rasmi ini, beliau pun terkejut tadi sebab pertumbuhan ekonomi baik. Suku tahun pertama tahun ini sebanyak 5.6%. Ini paling tinggi berbanding dengan China, Singapura dan Indonesia.

 

  1. Pelaburan setakat suku tahun pertama adalah sebanyak RM71 bilion, ini tidak termasuk yang Elon Musk, tidak termasuk yang Syarikat Aramco dan tidak termasuk yang Geely yang saya terima surat malam tadi. Geely bekerjasama dengan Proton dan Tan Sri Syed Mokhtar, jadi dia bagi satu salinan kepada Tan Sri Syed Mokhtar tentang pelaburan di sini sebab politik itu stabil. Ada orang kata menteri-menteri dahulu sudah berjumpa Elon Musk tiga tahun yang lalu. Ya, mereka jumpa tetapi beliau tidak datang. Kamu jumpa kamu pujuk kamu bagi insentif, beliau tidak jawab, hanya kata akan dipertimbangkan.

 

  1. Tetapi apabila ada Kerajaan Perpaduan yang beliau tengok kuat, beliau yang minta telefon dengan saya. Minggu lalu telah diadakan video conference call dan beliau beritahu tiga perkara. Satu adalah ibu pejabat Tesla, kenderaan electric vehicle (EV) yang besar di dunia. Kedua, Starlink untuk Internet, kalau di Sekinchan ini tidak ada Internet, kita boleh pasang di atas bumbung dia boleh cover saiz ini, tidak perlu 5G yang mahal-mahal, yang itu banyak di bandar tetapi di luar bandar kita perlu di sekolah desa dan universiti perlu.

 

  1. Ada orang kata “tengok Anwar beli 40 buah Starlink tanpa tender”, tetapi yang curi berbilion-bilion ini tidak pula gaduh. Saya tidak ambil duit tuan-tuan sebab itu saya di Kedah dan di Pulau Pinang saya umumkan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu ke YB Tuan Loke Siew Fook ke, saya melihat rekod mereka daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, daripada Polis Diraja Malaysia dan daripada SPRM sama ada, ada atau tidak rekod mereka ambil kontrak dan sebagainya.

 

  1. Jadi saya bersyukur alhamdulillah, kita sudah lapan bulan membuat kontrak yang betul dan tidak sakau. Kalau dia sakau, saya tidak akan buat mesyuarat tetapi saya pecat serta merta. Jadi saya puji dan itu pun salah. Salah Perdana Menteri tidak boleh pertahankan Menteri-menterinya.

 

  1. Yang mencuri dahulu kamu pertahankan, yang saya pertahan yang tidak curi, salah. Ini yang saya maksudkan Ronggowarsito kata Jaman Edan, “yang curi kamu puji, yang tidak curi kamu keji”. “Bagaimana kita menghadapi Jaman Edan?” tanya Ronggowarsito. Ronggowarsito jawab “kalau dalam Jaman Edan, orang jahat dikatakan baik, orang baik dikatakan jahat, orang curi dipuji, orang bersih dicerca.” Jaman Edan kata pujangga Jawa “Eling Lan Waspada.” Kena beringat dan berwaspada. Betul kan? saya tidak berapa pandai macam Speaker kita (nada gurauan).

 

  1. Jawapan bagi pelaburan datang ini pertama, aman. Jasa siapa? Bukan saya tetapi jasa polis, tentera dan penguatkuasaan. Kedua, politik yang stabil itu jasa siapa? jasa Keadilan, Amanah, DAP dan UMNO. Ini penting peranan UMNO, Parti Sabah (GRS) dan Sarawak (GPS) menjadikan politik stabil. Kemudian dasar yang jelas, hala tuju yang jelas dalam ekonomi. Itu menyebabkan mereka yakin dan tatakelola yang baik.

 

         Saudara-saudara,

 

  1. Berapa jumlah yang diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan? Tahun 2022 adalah sebanyak RM4.8 bilion, dinaikkan 12.06% kepada RM5.39 bilion, majoriti luar Bandar orang Melayu tetapi apa yang dia kata? kita tidak jaga orang Melayu.

 

  1. Bagi subsidi padi dan beras adalah sebanyak RM1.62 bilion. Kemudian saya katakan untuk pesawah yang saya sebut tadi 3 bulan, RM200 sebulan sebelum tuai. Bagi nelayan yang pemilik vessel, ada dua kategori. Bagi warganegara sebanyak RM300 sebulan dan satu lagi kategori RM250 sebulan. Kemudian perumahan nelayan seperti mana yang saya buat dahulu di Sungai Acheh di Pulau Pinang, ada peruntukan khas melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Kalau lambat tolong tanya kepada YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu.

 

  1. Harga ayam dan telur tadi saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu sebut naik sikit, riuh rendah di sini. Saudara jangan lupa dua tahun yang lalu masa mereka perintah, telur pun tidak ada dan ayam pun tidak ada, harga melambung.

 

  1. Sekarang ini Kementerian Kewangan bayar. Pertama, biar bekalan itu ada, kalau tidak ada perlu beritahu cepat, FAMA akan masuk dan bantu. Kemudian kita tampung dengan subsidi, berapa kosnya? RM1.28 bilion yang kita makan telur dengan ayam ini. Kita kata harga dan kerajaan tampung RM1.28 bilion. Nak marah, nak tambah lagi macam mana? Yang cakap tidak ambil tahu, tidak ambil tahu ini tambah. Jika ikut kerajaan terdahulu, perjanjian subsidi habis pada bulan Jun. Maka bulan Jun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bawa ke dalam Jemaah Menteri. Saya kata, “tidak boleh berhenti nanti orang susah harga melambung”.

 

  1. Kemudian bagi nelayan sebanyak 38,500 orang dan 240,000 pesawah di seluruh negara, kita berikan RM200 sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kadang-kadang disebabkan Aidilfitri ini sudah lama jadi dia lupa, janganlah. Kalau ingat dia syukurlah, “wa idz ta’adzdzana robbukum lain syakartum laazidannakum walain kafartum”  jadi kalau kita syukur, syukur kepada Allah SWT. Macam mana saya boleh buat? kerana kudrat Allah SWT. Macam mana boleh saya lulus? kerana izin Allah SWT jadi kita syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada kalangan yang membuat.
  2. Untuk sawah padi saya dah sebut tadi, yang lain-lain kita umum dari masa ke semasa tetapi saya cuma nak beritahu kepada Persatuan Nelayan, Persatuan Peternak dan Persatuan Pesawah melalui wakil-wakil, apakah yang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan buat semua sudah elok? Tidak. Apakah yang Perdana Menteri umum ini semua cukup? Belum. Kita perlu baiki sebab itu kita mahu Kerajaan Negeri yang kuat yang boleh bersama dengan Kerajaan Perpaduan Persekutuan. Apabila kita berpakat, kita boleh bantu tetapi ada kadang-kadang Kerajaan Negeri ini keupayaan dia terbatas.

 

  1. Ada Kerajaan negeri yang bukan Selangor, gaji bulanan pun Kerajaan Persekutuan kena bagi. Kebetulan Menteri Besar itu parti lain tetapi beliau cakap baik dan datang ke pejabat mengatakan gaji mereka ini sudah tidak cukup untuk bulan depan. Oleh itu, saya luluskan kerana dia cakap dengan baik. Sebab itu sekarang ini kita kena tahu penting ada Kerajaan Negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya kerja boleh jalan dengan baik.

 

 Tuan-tuan dan puan-puan, adik, kakak yang dihormati sekalian,

 

  1. Percayalah, dalam hidup saya ini, pasang surut dan saya selalu beritahu lebih banyak surut daripada pasang. Hidup derita itu lama, bukan sahaja saya terseksa tetapi juga Wan Azizah, anak-anak dan keluarga. Tetapi itu semua pengalaman. Allah SWT takdirkan dengan segala percubaan sehinggalah sekarang.

 

  1. Sekarang tauke-tauke besar, mantan-mantan Perdana Menteri yang kaya-raya itu berhimpun dengan berbilion-bilion ringgit untuk halang kemajuan kita tetapi saya percaya fatawakkal ‘alallah, Innallaha yuhibbul mutawakkilin, bertawakal kepada Allah kerana Allah kasih kepada orang yang tawakal. Kita pegang amanah untuk apa? untuk jadi kaya? untuk pergi bercakap kepada rakyat bela nasib rakyat tetapi baru jadi Menteri Besar sekejap harta dah kumpul begitu banyak?

 

  1. Saya minta kerjasama dan sokongan ibu bapa untuk fahamkan ini betul-betul. Kita kena selamatkan orang Melayu dan negara Malaysia. Kita kena selamatkan daripada amalan guna kuasa untuk kayakan diri tetapi bagi sikit-sikit kepada rakyat. Saya tidak kata bahawa dahulu tidak pernah bagi. Tahun dahulu pun bagi dan dua  tahun dulu pun bagi tetapi tidak setimpal dengan kontrak-kontrak itu diambil dengan komisen yang banyak. Kemudian pergi cakap di kampung itu bersih, jadi orang kampung percaya.

 

  1. Saya melihat fail ini, yang saya marah dan tegur ini sebab kamu cakap bersih, orang kampung percaya dan cium tangan kamu tetapi rupanya selaput dengan najis kerana harta yang kamu ambil banyak termasuk kontrak dan apabila bercakap, kata kita ada projek khas Jana Wibawa untuk tolong bumiputera. Sakau begitu banyak tetapi nama Jana Wibawa untuk bantu untuk bagi kontrak kepada bumiputera tetapi kontraktor Cina pun dia bagi. Boleh nak bagi kalau kontrak lain tetapi ini kontrak bumiputera dia bagi sebab kawan dia yang membantu dia. Ini saudara-saudara, saya nak beritahu saya sudah lapan bulan menjadi Perdana Menteri, saya tidak izinkan sama sekali penipuan dan kecurian ini.

 

  1. Saya minta saudara faham kalau pun saya minta tolong kerjasama, saya meminta tolong kerjasama supaya kita boleh bersihkan dan selamatkan negara ini. Apakah yang kita sebut sempurna? Tidak. Apakah tidak ada kelemahan? Ada. Sebab itu kita kena dengar daripada saudara dan saudari dari semasa ke semasa. Sekali lagi saya ucap terima kasih dan doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan Agro MADANI ini berjalan lancar sebagai usaha meningkatkan pendapatan petani, nelayan dan penternak.

 

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.