TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SENTUHAN KASIH DESA MINI KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) NEGERI KEDAH

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

PROGRAM SENTUHAN KASIH DESA MINI KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) NEGERI KEDAH

 

 

15 JULAI 2023 (SABTU)

 

DATARAN AMANJAYA MALL, SUNGAI PETANI, KEDAH

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah,

Alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi

Wa kafa billahi syahida

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;

 

Saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu;

 

Saudara YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil;

 

Menteri-menteri;

 

Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;

 

Kepimpinan dan keluarga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdullilah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana ini acara kedua saya dalam Program Karnival Usahawan Desa (KUD) yang diselenggarakan oleh Kementerian dan saya lihat bagaimana saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi begitu komited untuk mengangkat martabat rakyat, pengusaha kecil terutama desa kerana ini sebati dengan jiwa beliau dan saya ucap tahniah kepada beliau serta seluruh keluarga Kementerian.

 

  1. Dalam aspek tata kelola, untuk mengukur peranan Kerajaan dan Jabatan adalah dari segi apa yang dilakukan untuk rakyat. Bukan apa yang dijanjikan dan juga bukan cerca dan maki hamun. Ini bezanya.

 

  1. KUD ini sudah direncanakan berbulan yang lalu dan tarikh yang saya berikan atas permintaan saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, awal iaitu untuk memberi ruang dan mengangkat lagi peluang dan martabat menurut upaya dan strategi beliau, diselarikan sinergi dengan kegiatan halal. Kita tahu halal ini sekarang bukan hanya di negara Islam tetapi telah dikembangkan di negara China.

 

  1. Saya pergi ke negara China, isu halal saya bangkitkan. Di Eropah juga dan tentunya di negara Arab. Maknanya peluang itu ada, justeru kita minta saudara-saudara yang berniaga selarikan dan dengar pandangan serta nasihat supaya kita dapat tingkatkan mutu pengeluaran, mendapat hasil yang lebih baik serta kita bantu untuk sebarkan.

 

  1. Saya hendak beritahu ia tidak mudah, hendak dapatkan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan Pegawai-Pegawai Kanan yang begitu prihatin dan cari jalan bagaimana nak tingkatkan pendapatan usahawan-usahawan desa ini bukan mudah. Jadi ambil peluang ini dan janganlah dengar pandangan haprak yang lain. Kita kira dan ukur apa yang dia boleh buat, apa yang dia telah buat. Kerajaan ini ada kesempatan berkuasa dan biasa dalam politik, pimpinan silih berganti tetapi siapa sahaja yang memikul amanah, jalankanlah tanggungjawab itu dengan baik.

 

  1. Keutamaan, urus negara dengan baik. Kita pegang amanah. Kalau hendak meniaga itu di luar, bukan dalam Kerajaan atau sebagai tokoh dalam Kerajaan. Kalau hendak cari keuntungan itu di luar dan kita bertanggungjawab untuk bantu. Ini pendirian bukan sahaja saya tetapi saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan semua pimpinan, ini pendirian kita sekarang.

 

  1. Disebabkan itu dalam tempoh lapan bulan ini, saya semak dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada atau tidak laporan yang melibatkan mana-mana Menteri Kerajaan Perpaduan yang menggunakan kuasa untuk sakau, curi kontrak, ambil komisen berlebihan atau salah guna kuasa. Alhamdulillah, setakat ini kita bersyukur tidak ada satu kes pun, dan belum ada rekod Kerajaan dengan pasukan yang ada.

 

  1. Sebab apa saya tekankan hal ini? Kita bercakap soal ekonomi desa. Kalau pimpinannya hanya kira untuk sakau, macam mana hendak menjaga rakyat? Sebab itu saya kata kita ukur bukan sehari. Dari segi ucapan, “lima taqụlụna mā lā taf’alụn”, bukan bicara kerana ada orang yang bicara tetapi tidak mengamalkan.

 

  1. Sekarang ini asyik caci maki, hentam, sindir tidak kira siapa, orang politik kena sindir, Perdana Menteri kena balun teruk dan Raja pun kena hentam. Ini tidak boleh kerana kita ada undang-undang. Negara ini negara hukum bukan hukum belantara. Hukum ini maknanya mengikut undang-undang, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh. Semasa kempen kita berselisih faham itu biasa, tetapi takkan nak fitnah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri tidak buat kerja. Katanya asyik hari-hari di lapangan. Mana ada hari-hari. Hari Isnin sampai Jumaat itu di pejabat. Sabtu dan Ahad di lapangan. Takkan hanya nak duduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tidak peduli soal rakyat terbanyak yang lain? Bagaimana saya hendak tahu orang berniaga apa, macam mana saya hendak tahu apa keluhan mahasiswa, anak muda, anak-anak tingkatan enam, politeknik, kalau saya tidak berada di lapangan.

 

  1. Anak-anak tingkatan enam umpama saya bagi contoh, mereka kata, “Datuk Seri, kami ini tingkatan enam bukan budak sekolah, jadi biarlah caranya lain sikit dan aturannya lain sikit”. Semalam, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Binti Sidek terus mengumumkan bahawa tingkatan enam tidak dikategorikan sebahagian daripada sekolah tetapi dianggap sebagai pelajar kolej pra-universiti. Maknanya kita dengar, kita dengar siapa? kita dengar daripada anak tingkatan enam.

 

  1. Semalam saya umumkan minimum semua syarikat Kerajaan seperti Khazanah Nasional, PETRONAS atau mana-mana latihan yang diberikan harus sekurang-kurangnya diberikan RM800 sebulan bagi anak-anak muda. Ini kerana saya peduli semua masalah, kekangan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa, terkadang ada yang terpaksa berulang jauh, bagaimana dengan tambang, makan dan minum tetapi sesetengah gaji atau elaun itu sangat rendah. Sesetengah tempat tidak ada elaun sebab dalam latihan tidak disyaratkan untuk memberi elaun kerana mereka hanya diberi latihan pendedahan. Saudara,  Siapa yang bercakap? Budak TVET dan budak politeknik, mereka yang bercakap. Kalau ikut saya, hendak ikut cara mereka yang sombong itu, saya bersyarah sahaja dan hendak buat apa saya dengar? Tetapi saya dengar kerana saya fikir betul juga, saya tidak tahu. Jadi saya dengar dan terus ambil tindakan.

 

  1. Kemudian saya panggil saudagar-saudagar, ahli-ahli perniagaan bagi peluang untuk anak-anak ini dilatih. Suruhanjaya Sekuriti ada satu program melibatkan 600 anak-anak akan dibawa ke Kuala Lumpur bagi pendedahan. Bagaimana saya tahu? saya dengar daripada anak-anak ini. Jadi jangan peleceh dialog dengan mahasiswa atau universiti.

 

  1. Ini contoh, maknanya bukan saya sahaja tetapi semua Menteri-menteri diarah untuk hujung minggu turun dan dengar, sakit telinga tidak apa tetapi dengar perkara yang baik. Sebelum saya sampai ada memorandum bagi harga getah, bantuan nelayan dan pesawah padi, memo tersebut saya baca dahulu baru saya berucap. Kita kena dengar kerana bagi mereka seperti juga kita, “qulil haq walau kana murron” kata yang benar walaupun kadang-kadang sakit di telinga tetapi apabila dah dapat macam saya kata, lapan bulan kita bagi yang tadi saya umumkan, apakah dia? Kita tambah.

 

  1. Harga getah umpamanya, RM2.50 telah berapa lama. Kerajaan bertukar ganti, yang sesetengah kata hidup Melayu! tidak naikkan pula atau hidup Islam!, lagi tidak naik. Jadi kita ini tukang sorak dan tukang jerit. Saya tengok kadang-kadang dalam video itu maki, peleceh dan fitnah tetapi dia jawab “Allahuakbar”. Macam mana boleh berlaku sedemikian? Padahal kita perintah hanya dua bulan, daripada RM2.50 naik kepada RM2.70.
  2. Kemudian saya bercakap dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang Kedah marah sangat, katanya Anwar Ibrahim ini tidak kenang budi, ada orang Kedah yang pandai berniaga tetapi ditekan orang itu. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah seorang peniaga Melayu yang berjaya. Saya bersahabat dengan beliau dan runding dengan baik. Saya kata “Syed, pesawah padi ini aku dah pening kepala macam mana lagi hendak tolong.” Belanjawan ini yang saya umumkan tadi untuk tiga tahun bagi infrastruktur. Saya tanya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebab kita betul-betul ambil berat dan ambil sungguh-sungguh tindakan untuk bantu pesawah padi ini.

 

  1. Saya minta Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri selaraskan dengan semua Kementerian dan Jabatan hanya untuk tolong pesawah padi ini supaya boleh tanam lima musim dua tahun. Jadi berapa belanja? RM3 bilion, saya katakan macam mana saya hendak cari RM3 bilion, tetapi saya tidak boleh kata tidak sebab kalau tidak, RM3 bilion untuk perairan, perparitan dan sebagainya, hasil tidak akan meningkat. Apabila hasil tidak meningkat, pesawah padi macam itu juga. Kita bersyarahlah, pilihan raya tukar Kerajaan itu tukar Kerajaan ini tetapi masih tidak ada perubahan.
  2. Jadi pada hari ini di Lembaga kemajuan pertanian Muda (MADA), Alor Setar saya lancarkan program besar-besaran dengan meminta kerjasama pesawah padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA dan BERNAS dan saya sudah beritahu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kena pulun betul-betul kalau kita sayang orang Kedah, jadi kita kena buat. Jangan bimbang kami tidak sakau, saya minta pada dia duit. Saya kata kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bagi duit, pada tahun lalu sebanyak RM10 juta, tahun ini RM50 juta. Jadi jumlahnya RM60 juta. Hendak beri kepada siapa? Bagi kepada pesawah padi. Dahulu minta duit bagi kepada siapa? Tahu tak? Pernah dengar atau tidak diberikan kepada siapa?, Bagaimana dengan kes-kes Jana Wibawa. Tidak boleh, kita pegang amanah bukan harta peribadi kita. Harta Allah, anugerah dan mesti pulang kepada negara dan rakyat.

 

  1. Jadi menerusi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, RM 60 juta diberikan kepada pesawah padi. Kita bagi terus beri kepada pesawah-pesawah padi pada tahun lalu dan tahun ini. Dahulu masuk poket, masuk akaun parti, bolehkah? Sebab tidak minta untuk rakyat. Kalau bersyarah itu bukan main berkata Anwar Ibrahim pembohong, dahulu masuk lokap sama sahaja sebab itu beliau berkawan dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, kenalah dua-dua kluster mahkamah. Cepat sangat hendak menghukum orang itu kluster mahkamah. Sekarang ini, hampa sambung (nada berseloroh).

 

  1. Jangan sombong dan hina saya, siapa orang Kedah di sini yang tidak tahu saya masuk penjara? Semua orang tahu. Saya tidak bongkak cerita lama, jadi nak sakit hati kita berdamping pasal apa? Bukan kita berdamping, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan saya, kita pakat beli? Hang ambil sedikit dan aku ambil sikit. Tidak, kita berpakat untuk cuba sedaya upaya membantu.

 

  1. Di desa ini majoritinya siapa? Majoriti orang Melayu. Saya tidak jerit hidup meledak, tidak bercakap tetapi saya tahu kalau kita Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri yang ada tidak membuat sesuatu lebih berani untuk tolong, maka orang Melayu akan susah. Jadi percayalah, dalam negara ini tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa orang Melayu mesti diselamatkan. Meningkatkan pendapatan ekonomi Melayu mesti di pastikan.

 

 

  1. Apabila kita bercakap mengenai pesawah padi, 95 peratus Melayu. Usahawan desa, 90 peratus orang Melayu tetapi janganlah pula guna ini untuk menghentam orang lain atau mempelekeh orang lain. Kalau jadi begitu dan kita bergaduh, apa pun kita tidak dapat.

 

  1. Jadi kalau orang Cina hendak berniaga, biarlah dia berniaga tetapi mesti ada rencana tolong. Beberapa bulan yang lalu, seorang peniaga paling kaya di Hong Kong, Richard Lee, menelefon saya, nak datang ke Malaysia pada bulan hadapan kerana kawan beliau hendak tengok Malaysia. Jadi tiga hari yang lalu beliau datang, saya katakan bahawa Malaysia ini politiknya stabil, semasa pilihan raya negeri ini, di Parlimen kita ada lebih daripada 140 iaitu dua pertiga. Tidak perlu dua pertiga pun majoriti sudah cukup kuat.

 

  1. Baru-baru ini diadakan mesyuarat, semua Menteri dan pemimpin Kerajaan Perpaduan mempertahan, termasuk Premier Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Tidak ada sedikit pun goyang, semua kata apa pun yang berlaku, Insya-Allah kami tetap pertahankan Kerajaan Perpaduan sampai akhir penggal Insya-Allah. Biarkan mereka menggelupur di bawah ini, tetapi inilah kenyataannya.

 

  1. Jadi kita bawa mesej ini ke Kedah , saya betul-betul nak minta kerjasama bagi peluang Persekutuan dengan Negeri bekerja. Hendak buat apa? Hendak meningkatkan. Kalau tidak betul, tolong beritahu. Nak elok lagi, beritahu. Nak peruntukan tambahan, beritahu. Ini caranya tapi kalau sombong tidak tentu arah, saya pun tidak berkenan hendak jumpa. Kalau jumpa nak marah dan maki sahaja. Kalau nampak silap teruk sangat, minta maaf. Saya tidak mahu begitu sebab itu saya minta saudara faham keperluan kita ambil langkah-langkah seumpama ini.

 

  1. Kita baru mendengar tadi YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi sebut kalau kita tumpu usahawan desa, produk itu mesti ada kualiti seperti bersih, dipakejkan dengan sangat baik dan sangat indah. Kita belajar daripada Jepun, benda kecil saja tetapi pakej itu elok kemudian serah ke YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi. “Hang bagi elok, jadi sudah bersih, mutu dah baik, pembungkusan sudah elok, hang tolong jual”. Jadi kalau dia kata “Anwar, saya kena pergi Dubai, ke Istanbul untuk membawa produk itu, saya akan setuju”.

 

  1. Kita ada perdagangan, barang-barang industri, kita ada kelapa sawit, minyak dan gas. Saya bersetuju jika Kementerian ini di bawah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi kata nak bawa promosi besar-besaran di Dubai, dunia Arab atau Eropah untuk menjual produk saudara-saudara, saya kata silakan saya akan beri peruntukan yang cukup, Insya-Allah. Lebih daripada itu saya sudah tidak berupaya. Itu yang saya berupaya buat dan saya tunjuk serius.

 

  1. Saya sungguh-sungguh bekerja untuk membawa perubahan. Umpamanya, saya tidak mahu ulang peruntukan-peruntukan kerana Kementerian ini iaitu Kementerian Desa dan Wilayah ini merupakan di antara kementerian yang besar. Disebabkan itu kita ambil pasukannya yang masuk pentadbiran orang-orang kanan. Kita ada MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, KEDA dan banyak lagi. Peruntukannya itu pun besar umpamanya KEDA, kita beri RM4.82 juta untuk 473 penerima, RM3.86 juta untuk RISDA kepada 415 penerima daripada Kedah. Jadi yang lain-lain itu bukan kerja saya kerana Menteri sudah umumkan semuanya.

 

 

  1. Semalam siapa yang menghubungi kita? Saya mendapat maklumat bahawa orang paling kaya di dunia, Elon Musk yang juga merupakan pengusaha teknologi pembuatan kereta elektrik paling besar di dunia, iaitu Tesla, yang buat Starlink untuk connectivity, sebuah mesin yang kecil sahaja tetapi boleh buat connectivity. Kalau letak di sini, tidak ada Internet akan terus ada kerana ia langsung sambung ke satelit. Nama beliau ialah Elon Musk. Kemudian beliau buat Space X. Space X ini adalah yang ke angkasa. Beliau yang minta untuk hubungi bukan kerana Anwar Ibrahim tetapi kerana beliau tahu Anwar Ibrahim ini memimpin Kerajaan yang stabil. Beliau tahu kerana Anwar Ibrahim ini dengan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS dan GRS menjamin Kerajaan yang kukuh dan kemudian dasar ekonominya jelas.

 

  1. Kita hendak tuju ke mana? Apa keutamaan kita? Ekonomi desa, keterjaminan makanan atau food security dan pendigitalan. Jadi apabila kita sebut perkara ini, beliau hubungi dan apa yang disebut? Syarikat paling besar dan orang paling kaya di dunia ini mengambil keputusan untuk membuka ibu pejabat di Cyberjaya pada tahun ini juga.

 

 

  1. Selain itu, Starlink, YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil lebih tahu kerana berkaitan Internet. Ketika saya pergi ke universiti semua mengeluh mengatakan nak suruh kami belajar Dato’ Seri tetapi internet sangkut. Jadi macam mana hendak tumpu perhatian dalam pelajaran? Saya dengar dan saya katakan kenapa yang dulu mereka tidak buat tetapi mereka bersyarah lebih kuat daripada kita.

 

  1. Jadi saya kata kena buat. Apabila Elon Musk cakap dengan saya, saya kata baiklah dan YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil juga ada semalam, kita beli sekarang ini juga 40 buah dan kita pasang yang mana ada kerana beliau hanya boleh bagi 40 buah. Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan semalam, kalau kita perlu ratusan yang lain, kita akan beli supaya kita boleh pasang di mana-mana kampung atau projek-projek yang perlu, tetapi kita mula dengan universiti, politeknik dan sekolah yang memerlukan akses Internet. Itu dipanggil Starlink. Kemudian Space X ini mempunyai tiga syarikat di Malaysia yang kita akan bantu.

 

  1. Yang ketiga, soal kereta elektrik. Saudara, Elon Musk tidak akan bagi perhatian kalau Kerajaan tidak kuat dan bersatu. Jadi jangan ronyeh kerana yang rugi rakyat. Kalaulah umpamanya saya sebagai Perdana Menteri hanya curi duit untuk diri saya. Saya sebagai Menteri Kewangan bagi kontrak kepada anak saya, tidak apa atau saya tidak buat kerja. Mereka kata betul boleh buat kerja tetapi Islam ditinggalkan. Jadi musuh Allah, saya katakan tinggal mana? Peruntukan untuk Islam bertambah, penerbitan buku Islam bertambah, Kompleks Seri Perdana dijadikan tempat untuk Majlis Ilmu, panggil ulama-ulama dunia.

 

  1. Empat atau lima hari yang lalu, dua anak Almarhum Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, datang dengan ucapan beliau dan dikirimkan 112 jilid buku Almarhum Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi kerana sebelum beliau wafat, beliau pesan kepada anaknya, tolong kirimkan satu ini kepada Anwar Ibrahim.

 

  1. Sebelum itu kita panggil mantan Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan ramai lagi. Kita terbitkan buku-buku Islam, sebarkan di kalangan pejabat kerajaan. Saudara boleh tanya Tan Sri KSN sama ada sebelum ini ada atau tidak buku-buku Islam yang mendalam dikupas dan disebar kepada pegawai-pegawai kerajaan kanan. Ada atau tidak Tan Sri? Tidak ada tetapi kalau bersyarah ini jadi Islam dakwahnya itu apa? Politik.

 

  1. Selain itu, kitab Dr. Thaha Jabir Fayadh Al- ‘Alwani, ‘Adabul Ikhtilaf fil Islam’ iaitu Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam. Kita sebarkan kepada semua pegawai dan kepada menteri. Kita bagi supaya semua tahu dan Menteri berbangsa Cina dan India pun kita beri kerana dalam Malaysia ini dia kena tahu apa pendirian Islam, tentang adab, ikhtilaf dan perbezaan pendapat. Ini yang kita lakukan tetapi di bawah ini katakan, musuh Islam dan musuh Allah SWT. Mereka kata hendak selamatkan mesti buang orang-orang ini. Jadi saya tidak jawab tetapi saya jawab dari segi amal, dari segi tindakan, akhlak dan nilai kita.

 

  1. Mudah-mudahan saudara-saudara disini dapat memanfaatkan program ini tetapi, yang penting juga yang di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ialah peruntukan bagi rakyat miskin. Saya bagi amanah besar kerana saya kata tahun ini juga, tahun 2023, kita menoktahkan miskin tegar. Kita ada orang miskin, tetapi yang ini jauh lebih miskin, susu anak tak mampu beli, tidak boleh beli pakaian anak bersekolah, ini bukan B40 tetapi yang paling miskin. Saya tidak mahu kita tidur lena dan mereka sengsara, sebab itu ada sahaja senarai miskin tegar, kita terus ambil tindakan untuk bantu mereka.
  2. Bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah-rumah rakyat miskin akan dibina baharu sebanyak 3,000 unit dengan peruntukan sebanyak RM244.4 juta ringgit. Membaik pulih rumah yang bumbung robek, ‘pelantaq’ pun sudah goyang, kita berikan peruntukan sebanyak RM215.8 juta ringgit untuk 12,242 unit untuk kita baiki. Berapa jumlah keseluruhan? Hampir setengah bilion ringgit, tambahan untuk rakyat termiskin yang sudah diluluskan dan telah dilaksanakan cuma dalam proses untuk ditingkatkan, jadi RM 460.2 juta ringgit.

 

  1. Saya berharap dengan penjelasan ini, kita diberi peluang untuk kita terus berkhidmat kepada rakyat dan kurangkan sedikit ketegangan di kalangan kita dan bawa mesej yang jelas. Kirim salam kepada semua keluarga yang tidak hadir dan beritahulah apa yang telah saya sampaikan supaya negara kita ini aman, kita dapat bersatu dan kita gunakan ini untuk majukan negara kita supaya Malaysia kembali sebagai di antara negara hebat di dunia, tidak bertapuk macam sekarang ini.

 

Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.