TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JUN TAHUN 2023

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JUN TAHUN 2023

 

12 JUN 2023 (ISNIN)

 

 

DEWAN DE’ SERI ENDON

PUSPANITAPURI

PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Al-hamdu lillaahillazii anzala ‘alaa ‘abdihil-kitaaba wa lam yaj’al lahu ‘iwajaa

Wasallallah hu ala saidina Muhammad, wa’ala a’lihi wasabihi wassalam

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBhg. Datuk Dr. Zulkapli Mohamed,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Timbalan Menteri, dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan

 

  1. Mendengar doa tadi dimulakan dengan permulaan dari surah al-Kahfi, yang menyebut betapa syukurnya kita kerana menerima kitab al-Quran. Semalam saya telah merasmikan tilawah dan hafazan yang diselenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan, JAKIM dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebagai mukadimah, saya telah sebutkan tentang budaya membaca, menelaah dan memberi ruang orang bertanya dan menyoal sebagaimana yang diterapkan di dalam al-Quran.

 

  1. Dialog Nabi Musa A.S bersama Firaun misalnya serta kenyataan-kenyataan Quraisy terhadap Rasul ada diterangkan di dalam surah al-Kahfi. Tentang al-Quran disebut di dalam surah al-Baqarah, iaitu tentang bagaimana pihak yang mempertikaikan kesahihan al-Quran itu dicabar dan bagaimana al-Quran telah melakarkan ayat yang boleh bersaing.

 

  1. Ada pertikaian, Wa in kuntum fii raibim mimmaa nazzalnaa ‘alaa ‘abdinaa fatuu bi Suuratim mim mislihii wad’uu shuhadaaa’akum min duunil laahi in kuntum saadiqiin, Kemudiannya dijawab, Fa-in lam taf ‘alu walan taf ‘alu fa-ittaqu al-nara allati waquduha al-nasu wal-hijaratu u’iddat lil’kafirin. Kalau menurut Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dalam pemahaman Islam, jika ada orang bertanya atau pertikai jangan cepat kita menghukum.

 

  1. Dalam sejarah muthakhir ada perdebatan di antara Syeikh Khalid Muhammad Khalid dengan Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang ulama besar al-Azhar. Khalid itu bertanya, “ke mana hala tuju kita” – Min Huna Nabda’. Walaupun dia seorang alim, tetapi dia yakin bahawa masa depan Mesir pada masa itu di Barat. Dijawab oleh Syeikh Muhammad al Ghazali, Min Huna Na’lam, iaitu kita harus bermula dari asas ilmu sebagaimana yang diterjemahkan dalam bahawa Inggeris oleh almarhum Ismail Faruqqi, “Our beginning in wisdom”.

 

  1. Apa yang hendak saya sampaikan di sini adalah budaya pembenturan idea itu juga harus ada dalam kalangan penjawat awam. Saya hadir mesyuarat di beberapa agensi, MAMPU, JPA dan lain-lain, saya rasa ada semangat itu, Cuma saya hendak lebarkan dengan persetujuan KSN dan KPPA supaya dalam perbincangan-perbincangan, ketua-ketua jabatan atau pegawai-pegawai yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu patut bersedia memberi pandangan mereka selain daripada ketua yang ditugaskan. Musyawarah itu lebih bermakna dan berkesan, boleh diulas dan dipanjangkan nanti dalam mesyuarat-mesyuarat dipimpin oleh KSN.

 

  1. Min Huna Na’lam pada hemat saya adalah kita seharusnya menimba ilmu. Kalau dalam bidang umpamanya di bawah bidang kepakaran TPM YAB Fadillah, iaitu soal kerja raya, projek pelaksanaan lebuh raya, tentunya beliau lebih arif, jadi saya mendengar pandangan beliau dan itu akan membantu saya dalam membuat keputusan.

 

  1. Itu yang saya hendak sampaikan berkenaan Min Huna Na’lam, maknanya wacana itu yang diperluas adalah teras dalam budaya kita. Sebab itu semalam saya juga ada menyebut dalam seminggu dua ini saya akan luncurkan buku yang akan diterbitkan oleh JAKIM iaitu tentang perbezaan pendapat itu tidak semestinya menjadi perseteruan. Jangan menyebabkan kita menghukum apabila ada berbeda pendapat. Perkara ini telah dijawab panjang oleh seorang sarjana yang kebetulan kenalan baik saya semasa saya mengajar di Universiti Georgetown, almarhum Sheikh Taha Jabir al-Alwani, seorang Profesor Usul Fiqh di Imam Mohammad Islamiah yang kemudiannya menjadi di antara pengasas International Institute of Islamic Thought.

 

  1. Al-marhum telah menulis buku mengenai Adab al-Ikhtilāf fīal-Islām (The ethics of disagreement in Islam), adab berbeda pendapat dalam Islam. Amat penting kerana yang bicara soal Islam itu kadang-kadang tidak beradab, terus menjatuh hukum sehingga menyebabkan perbahasan perbincangan tidak berlaku.

 

  1. Jadi budaya ini harus juga dikembangkan dalam kalangan kita penjawat awam supaya perbezaan pendapat itu tidak bermakna memberi sijil atau hak untuk mencela, kerana kalau ada sebelas pendapat, akhirnya kita akan putuskan satu dan tidak bermakna sepuluh yang tidak dipilih itu semuanya curang, tetapi jamaah memutuskan satu. Itu sebab disebut adab, Adab al-Ikhtilāf fī al-Islām, iaitu pengantara tentang semangat musyawarah dan perbincangan yang lebih luas dan terbuka.

 

  1. Kedua, saya hendak tekankan adalah tentang pelaksanaan projek. Beberapa minggu ini Jemaah Menteri, Kementerian Kewangan dan juga KSN telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut. Kita umumkan yang baik tetapi pelaksanaan itu ketimbang suku tahun pertama tahun lalu lebih baik. Janganlah buat ukuran sewaktu kita berhadapan dengan COVID-19.

 

  1. Oleh itu, saya ingin menggesa, minggu ini dalam semua mesyuarat jabatan, lihat apa yang telah diluluskan, apa yang mula dilaksanakan, dan apa yang belum dilaksanakan. Apakah kerana peruntukan tidak sampai, atau ditugaskan di Kementerian lain.

 

  1. Saya juga telah bincang dengan YB Dato’ Seri Alex, Menteri Kerja Raya, projek-projek umpamanya sekolah daif, klinik daif, pembaikan tandas, tidak perlulah lagi dibebankan kepada JKR yang mempunyai tanggungjawab yang besar, pindahkan tugas itu ke Jabatan atau ke Pejabat Daerah.

 

  1. Insya-Allah pada minggu hadapan saya akan berjumpa semua Pegawai Daerah untuk memberi dan meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawahnya seperti projek lebuh raya, tebatan banjir, projek-projek tandas sekolah, parit tepi rumah dan di kawasan perumahan, masjid bocor atau runtuh termasuklah penyaluran bantuan STR dan e-Kasih.

 

  1. Sebab itu saya bagi arahan supaya disegerakan. TPM baru balik dari Kedah, beliau maklumkan masih ada rungutan mengenai bekalan gula, minyak masak di Baling. Jadi kadang-kadang maklumat tidak sampai ke peringkat tertinggi, tidak sama dengan yang di bawah. Sebab itu saya tekankan bahawa peranan jentera kita, jabatan di peringkat rendah dan kalau dari JPM ini, pegawai-pegawai di pejabat daerah itu sangat penting. Jadi bila disampaikan begitu sendiri oleh TPM, maknanya kita harus ada jentera dan kita akan sampaikan kepada kementerian yang berkenaan supaya hal ini dapat ditangani segera dengan baik.

 

  1. Jadi, itulah dua (2) perkara, musyawarah dan pelaksanaan projek dengan lebih berkesan. Bila saya sebut tentang musyawarah dalam al-Quran, di mana budaya membaca di antara yang saya tekankan dalam beberapa minggu lalu termasuk dialog-dialog di universiti dan kebimbangan saya tentang minat membaca itu kian merosot.

 

  1. Jadi keputusan dibuat dalam asa dua (2) minit tentang keadilan, tentang Islam, tentang negera, semuanya dalam dua (2) minit dalam satu ceramah. Itulah masalah besar kita. Jadi budaya pengajian dan membaca itu saya harap boleh dihidupkan dalam kalangan penjawat awam.

 

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.