TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN TABUNG KEBAJIKAN DAN PELAJARAN YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN TABUNG KEBAJIKAN DAN PELAJARAN YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

 

1 JUN 2023 (KHAMIS)

 

DEWAN MELATI, PERBADANAN PUTRAJAYA

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolil kareem.

 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBrs. Tuan Haji Abdul Rahman Siraj,

Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan;

 

YBhg. Datuk Fadlun Mak Ujud

Presiden Perbadanan Putrajaya;

 

Semua hadirin dan hadirat yang saya muliakan.

 

  1. Terima kasih terutama kepada para penyumbang yang menyokong langkah Yayasan Wilayah Persekutuan. Seperti yang kita tahu ikut peruntukan peraturan, saya terpaksa menjadi Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, tetapi untuk berlaku adil, saya telah minta mantan Datuk Bandar, YBhg. Datuk Seri Mahadi Che Ngah untuk menjadi Timbalan Pengerusi. Jadi, saudara-saudara perlu berterima kasih kepada beliau kerana beliau yang menggerakkan kerja bukannya saya.

 

  1. Saudara-saudara, hari ini kita akan melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan. Seperti kebanyakan yayasan yang ditubuhkan, tujuannya amat murni. Namun, seperti juga pengalaman yayasan-yayasan lain, pasti ada masalah dan kerenah dan menuntut pengurusan dan kelemahan yang ada diperbaiki. Yayasan Wilayah Persekutuan juga tidak terlepas daripada kelemahan-kelemahan ketara.

 

  1. Tadi saya mempengerusikan mesyuarat awal dan saya telah gesa untuk memastikan sebarang kelemahan dan campur tangan berlebihan sama ada dari pihak pengurusan, mahupun politik sehingga menyebabkan lari dari maksud asal penubuhan, perlu ditangani kerana Yayasan ini merupakan amanah dan tanggungjawab kita semua untuk memastikan manfaat itu sampai kepada yang memerlukan.

 

  1. Dari sudut peraturan Yayasan, 80% daripada peruntukan itu mesti sampai kepada khalayak yang memerlukan, sementara tidak lebih dari 20% untuk pengurusan. Hari ini kita putuskan bahawa setiap Ahli Lembaga yang baru dilantik, setiap Jawatankuasa Pengurusan, Pelaburan, Pendidikan, harus juga mengambil, menimba pengalaman dan kepakaran, kemahiran beberapa anggota lain yang profesional supaya tahap pengurusan dan keputusan pelaburan dan sebagainya itu betul-betul dapat dipertahankan bukan sahaja oleh Ahli Lembaga ataupun pengurusan, tetapi oleh rakan-rakan yang mampu memberikan pandangan yang baik.

 

  1. Kelemahan ini bukan sahaja di Wilayah Persekutuan, tetapi kebanyakan yayasan-yayasan yang bercambah sekarang dan wajar bagi pihak Kerajaan untuk meneliti prestasi mereka. Hal yang sama perlu dilihat terhadap badan-badan Kementerian dan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang terlalu banyak anak syarikat. Kadang-kadang jika ada masalah, tubuhkan syarikat, tubuhkan agensi. Penyelesaiannya bukan dengan penubuhan agensi atau syarikat, tetapi hala tuju pengurusan dan tindakan-tindakan yang tepat dan jelas berdasarkan maklumat yang tepat, tertutama apabila kita mengambil alih tugas untuk meneruskan beberapa pelaburan supaya Yayasan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada derma, sumbangan, sedekah dan amal jariah, sebaliknya keupayaan untuk menggunakan sedikit dana itu untuk melabur dengan bijak.

 

  1. Ini satu cabaran, kerana selalunya orang yang dalam Yayasan ataupun pengurusan itu tidak pernah terlibat dalam perniagaan. Seperti mana yang kita alamai dalam Kerajaan selama ini, orang-orang yang mengambil keputusan untuk melabur atau melibatkan dalam bidang pengurusan perniagaan, tidak pernah ada pengalaman selain daripada membaca buku dan teori ekonomi. Sebab itulah saya gesa supaya Yayasan mengambil sikap yang lebih terbuka untuk memastikan mengambil penyertaan dan pandangan dari kepakaran luar yang ramai yang bersedia untuk memberikan sumbangan tenaga, pemikiran, idea untuk Yayasan menjalankan kegiatan perniagaan yang boleh memberikan pulangan yang lebih baik.

 

  1. Saya lihat perkara ini juga dilakukan oleh universiti-universiti utama. Pengalaman saya mengajar di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, dalam pasukan pelaburan universiti tersebut ada wakil daripada universiti dan juga bakal alumni universiti yang sangat pintar, bijak dan berjaya dalam bidang perniagaan. Oleh itu, tabung amanah mereka mencecah sehingga 8 bilion dolar Amerika. Ini kerana alumni universiti tersebut telah dilatih agar mengenang jasa dan terus menyumbang.

 

  1. Sebaliknya dalam dunia Islam, kurang ada peniaga-peniaga yang mahu meletakkan trust fund ataupun untuk membantu Yayasan. Budaya memahami bahawa hidup dan kejayaan dalam perniagaan itu mestilah bersandarkan nilai insaniah atau kemanusiaan yang ada di dalamnya Ihsan dan Rahmah yang menjadi tunggak dalam pendekatan MADANI.

 

  1. Dalam memacu pertumbuhan ekonomi, kita harus berikan dukungan kepada pertumbuhan gedung-gedung raksasa dan perniagaan-perniagaan yang berjaya kerana kejayaan perniagaan akan dapat membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan lingkaran. Tetapi, kiga juga harus gesa mereka supaya mengambil tahu tentang nasib pekerja, nasib setinggan sekitar tempat mereka dan juga kalangan yang dianggap sebagai kelompok termiskin. Sebab itu saya amat berterima kasih kepada penderma-penderma yang menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menambah kerja amal ini selari dengan konsep MADANI.

 

  1. Pandangan-pandangan seperti mana yang saya sebut dalam pertemuan pertama Mesyuarat Lembaga Yayasan tadi, saya harap dapat menjadi panduan supaya Yayasan Wilayah Persekutuan boleh berdiri sebagai sebuah yayasan yang kukuh, terutama dari kegiatan kebajikannya. Apa yang harus ditekankan adalah kaedah pengurusannya itqan fil amal yang dinilai kerana keupayaannya mengurus dengan cekap dan bersih.
  2. Saya ingat lagi tentang satu pesanan dari Kitab Ithaf al-Sadah al-Muttaqin tentang sikap kita menanam jiwa dari hati nurani yang ada kecintaan kepada orang yang daif dan susah. Sebab itu, saya berkeras walaupun ditohmah, bahawa dengan kuasa dan keupayaan yang ada kita noktahkan kemiskinan tegar tahun ini. Alhamdulillah, ada kejayaan, sehingga April – Mei, nampak jumlah bertambah. Saya ucap terima kasih kepada penjawat awam dan pelbagai Jabatan serta Kementerian yang mengambil langkah yang cukup serius untuk menoktahkan kemiskinan. Dalam Kitab Ithaf ini juga turut menyebut, “Kecintaan kepada orang-orang fakir miskin itu adalah akhlak para Nabi. Menyantuni mereka dengan duduk bersama mereka adalah tanda-tanda orang soleh dan menjauhi dari mereka, dari mendampingi mereka adalah tanda-tanda orang munafik”.

 

  1. Jadi jelas peringatan dalam kitab ini menunjukkan bahawa dengan niat ikhlas (al-amaliah) dan mengurangkan beban rakyat di bawah adalah satu tugas yang mulia dan murni. Jadi saya tegaskan semula penghargaan kepada rakan-rakan yang menderma. Sebagai permulaan, saya ingin beri jaminan bahawa dana itu akan diurus dengan baik dan cekap.

 

  1. Yayasan Wilayah Persekutuan akan memulakan satu tradisi yang baharu. Siapa yang menderma akan mendapat laporan ke mana wang tersebut, digunakan untuk apa. Ini penting dan saya harap perkara ini dapat diikuti oleh badan-badan amal dan yayasan yang lain. Saudara derma RM100,000.00, selepas itu hilang, boleh jadi hanya terima surat penghargaan terima kasih. Tetapi Yayasan Wilayah Persekutuan akan pastikan nama penderma akan disenaraikan dan selepas 6 bulan, atau kurang daripada 6 bulan, ada surat/laporan menyusul untuk memaklumkan bahawa derma saudara itu telah digunakan untuk beli 20 kerusi roda untuk OKU, umpamanya. Jadi saudara tahu nama-nama OKU yang diberikan, butiran alamat atau nombor telefon. Jadi dengan cara sedemikian, satu keyakinan dapat diberikan kepada para penyumbang bahawa kerja amal ini adalah kerja serius dan dilaksanakan dengan begitu tersusun dan telus. Inilah beberapa cadagan saya.

 

  1. Tuan Rahman Mahadi tolong catat betul-betul, kerana saya mahu pastikan hal ini dilaksanakan dan saya mahu dalam tempoh yang singkat Yayasan Wilayah Persekutuan dikenali. Kita akan laksanakan kaedah yang telus, pengurusan yang baik, ada pengauditan dan ada laporan kepada para penyumbang. Pendekatan seumpama ini barulah akan mewujudkan keyakinan kepada para penderma atau penyumbang.

 

  1. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.