TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS KEMUNCAK HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2023
28 MEI 2023
HOTEL CASUARINA@MERU, IPOH
PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillaah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak;
YB Fahmi Fadzil,
Menteri Komunikasi dan Digital;
YB Teo Nie Ching,
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital;
TYT Hermono,
Duta Besar Indonesia di Malaysia;
Pegawai-Pegawai Kanan, Pergerak, Pengamal, Penyebar Maklumat, Pengkritik Sosial, Wartawan-Wartawan yang saya muliakan.
- Hari ini sangat bersejarah, kerana kita meraikan satu profesion yang kritikal dalam memaknai erti pembangunan dan demokrasi.
- Pagi tadi saya di Port Dickson menyambut Hari Belia Negara. Suatu hal yang menarik ialah bila Kementerian Belia dan Sukan mengambil keputusan untuk menyerahkan pelaksanaan Hari Belia itu kepada Majlis Belia Malaysia (MBM). Maka saya akan syorkan di sini dengan persetujuan KKD supaya untuk tahun berikutnya kita serahkan penganjuran HAWANA, Hari Wartawan Nasional ini kepada pimpinan majlis media wartawan sendiri untuk mengendali dan memberikan sumbangan mereka. Kalau dipersetujui boleh kita kemukakan.
Saudara-saudara,
- Kita singkap sebentar tadi, liputan sejarah para wartawan Perak. Tetapi seperti mana kita sedia maklum para wartawan di negara kita itu sebenarnya adalah penggagas idea, pencetus semangat kemerdekaan, dan penyemai benih kesedaran. Sama ada di kalangan pembaharu Islam termasuk Zaaba, Sheikh Al-Hadi, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan lain lain yang membawa islah mastataktu (perubahan). Begitu juga tokoh-tokoh kebangsaan besar, selain Ahmad Boestamam, Rahim Kajai, A. Samad Ismail kemudiannya Melan Abdullah, Usman Awang, Keris Mas yang juga merupakan pemain utama dalam menjayakan gagasan media pada ketika itu, khususnya Utusan Melayu dan kemudian berkembang semasa era A. Samad Said di Berita Harian dan lain lain.
- Ada babak-babak cemas apabila berlaku mogok di Utusan Melayu kerana usaha pendiri dan penggagas idea ketika itu, pencetus benih kesedaran kebangsaan yang mahu mempertahankan kebebasan media sebagai suara dan hati nurani rakyat dan tidak mahu dibelenggu oleh pemerintah. Maka berlaku mogok yang menjadi sejarah juga tragis bagi wartawan pada masa tersebut. Kemudian apabila wartawan cuba memberi teguran dan kritikan, akhbar The Star pernah diharamkan. Saya singkap pengalaman ini untuk menunjukkan bahawa perjuangan di kalangan wartawan yang punyai idea, mempunyai prinsip dan nilai adalah tidak mudah. Jadi acara seperti HAWANA ini harus juga dimanfaatkan untuk menyatakan penghargaan kita kepada mereka. Mudah-mudahan semangat yang ditanam itu dengan pemupukan nilai dapat disemai di kalangan wartawan muda.
- Alhamdulillah, saya bersyukur kerana perubahan masa dan juga iklim politik maka saya dan rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan sekarang membuat keputusan yang sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas sepenuhnya. Memang ada yang dibangkit dan diungkit serta usaha mencetuskan permusuhan kaum, menerbitkan risalah agama yang boleh menimbulkan kerosakan, dan kekecohan dalam masyarakat. Tetapi selain daripada itu kritikan-kritikan terhadap Perdana Menteri atau pimpinan itu tidak harus menimbulkan rasa cemas dan takut di kalangan pimpinan.
- Saya lontarkan idea ini kerana saya yakin apa yang kita lakukan dan saya bersedia bertempur dengan hujah dan kalau benar ada kelemahan kita bersedia memohon maaf dan melakukan perubahan yang wajar. Jadi sebab itu rakan-rakan para wartawan yang memberi sambutan yang luar biasa pada hari ini harus menerima kenyataan, keadaan berubah. Jangan terasa mesti ada self-censorship kerana kalau kita mahu semarakkan suasana kebebasan dan demokrasi ini kita harus hormati.
- Cuma gesaan kita seperti juga kepada belia-belia pagi tadi dan saya cuba kaitkan dengan pandangan ulama-ulama besar yang kita bawa beberapa malam yang lalu bahawa perubahan seperti mana yang mahu dilakukan oleh saudara-saudara di kalangan wartawan, bukan sekadar merakam. Kerja wartawan ini bukan sahaja perakam media, tetapi juga pencetus idea berorientasikan nilai. Kalau kita bicara Malaysia MADANI dan demokrasi, maknanya kita hendak terapkan nilai. Bukan fahaman sempit yang boleh melemah dan mematikan semangat atau memecah belahkan rakyat. Jadi pemupukan nilai itu penting dan MADANI itu istimewa atau unik ialah kerana penekanan tentang nilai dan akhlak itu mendasari pemikiran kita dalam bidang pembangunan, kebebasan kewartawanan dan lain lain.
- Jadi saya menggesa rakan-rakan untuk menyedari bahawa dalam menyebarkan maklumat itu perlu berdasarkan ilmu dan nilai. Wartawan harus ada usaha di kalangan rakan-rakan wartawan dan penggerak media untuk memastikan wartawan muda diberikan asuhan bukan sekadar disiplin di kuliah universiti tetapi sejarah yang memaknai kehidupan dan bagaimana kedudukan rakyat dan negara boleh diangkat harakat dan martabat mereka dengan nilai yang luhur, yang senang dengan keamanan, persaudaraan dan kemanusiaan serta menolak kemungkaran, rasuah, penindasan yang akan merosakkan sendi masyarakat dan merobohkan kekuatan yang kita bina selama ini.
- Saya beri contoh umpamanya bila kita bicara soal gerakan anti-rasuah, sungguh-sungguh kita cuba. Ada rakan media dalam perbincangan dengan saya, menyebut kita harus berikan ruang yang bebas kepada usaha menolak rasuah dan ruang yang cukup bebas kepada perasuah mempertahankan diri mereka. Saya anggap pandangan ini aneh. Untuk memberi ruang kepada perasuah mempertahankan pandangan mereka seandainya mereka itu bersih, itu boleh. Tetapi untuk mempertahankan perasuah atau penindas atau penjenayah iaitu tentunya tidak wajar bagi sesebuah negara yang mahu angkat darjat dan martabat bangsa dan negara.
- Ini tidak bermakna jika diteruskan beberapa aspek budaya lampau di mana sesiapa yang memerintah itu akan mendapat sanjungan dan pujian, sementara yang membangkang atau yang tidak bersama pemerintah itu akan dicaci dan dihina. Saya tidak mahu ini diteruskan. Kita harus berdiri dan tegak dalam merakam peristiwa, menilai dan pertahankan prinsip akhlak.
- Maknanya dalam kalangan rakan-rakan kita yang tidak bersama atau memilih untuk menentang itu harus diberi hak menyuarakan tanpa merasa mereka itu akan terus dicela dan dihina seperti mana yang kami alami dahulu. Inilah perubahan dalam erti kata politik yang berdasarkan nilai. Soal values ini mengingatkan saya kepada S. Takdir Alisjahbana, pemikir bangsa rantau ini yang pernah menulis tentang “values as integrating force in society and culture”. Walaupun pada ketika itu nilai yang ada merupakan nilai yang diterapkan oleh pengaruh barat. Pada tahap awal Alisjahbana seperti juga Kajai dan beberapa tokoh-tokoh wartawan di sini, kurang memberi perhatian tentang prinsip, agama sendiri ataupun nilai budaya bangsa.
- Namun beberapa nilai manusiawi yang universal harus mendasari pemikiran dan usaha-usaha kita. How values as integrating for the society, a position that in our attempt to ensure the success of the society and nation. They are over riding principles beyond immediate interest in terms of political power or survival. And this is precisely the reason why i think we must not only explore but be reminded that in order to achieve success and create this MADANI nation they are essential values over ride temporary partisan interest. We must respect to those who support and give some recognition to those who disagree. The limits is quite clear in the constitutional framework in the law guiding and ensuring peace in the society and in the country.
- Jadi saya harap pandangan ini dapat saudara wacanakan dan bincang. Tetapi yang paling utama bagi saya ialah suatu kesedaran bahawa kita mahu memupuk satu budaya baharu dalam dunia kewartawanan. Saudara harus berasa bebas dan saya percaya pengamal media dan gedung-gedung utama yang menguasai media harus juga diberikan sedikit ruang untuk merasakan mereka itu di era baharu. Hanya yang kita gusarkan adalah kecenderungan untuk memporak-perandakan dari sudut keselamatan negara.
- Kita juga sedang menghadapi suatu suasana di mana ada usaha untuk memekarkan budaya memperluaskan sikap dan meninggalkan fahaman yang jumud dan dangkal dari segi kaum atau budaya dengan percubaan-percubaan untuk memerangkap anak-anak muda dalam pemikiran yang cetek tentang fahaman agama dan kaum. Ini tidak perlu semata-mata melalui undang-undang, cukup melalui penggagas idea di kalangan wartawan. Kerana ini juga akan menentukan sama ada kita berjaya meruntuhkan tembok kejumudan, kedangkalan berdasarkan kefahaman yang lebih luas dan memekarkan ilmu disamping memperkasakan budaya.
- Bila sentuh tentang cabaran media sosial, saya juga mungkin mewakili pemikiran lama, saya masih membaca surat khabar setiap hari, itu satu perkara wajib selain melihat perkembangan di media sosial. Saya masih mewakili pandangan bahawa surat khabar itu masih punyai peranan yang lebih tinggi dan wajar dibanding dengan media sosial.
- Saya pernah terbaca satu kupasan baru di Amerika Syarikat, mungkin tahun lalu yang menunjukkan pandangan bahawa beberapa media utama akan merosot, dan ini terbukti salah. Ada beberapa media yang kalau dipertahankan integriti, kebebasan dan mutunya, nampaknya mampu bertahan.
- Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keberkatan kepada kita. Ada satu pengumuman kecil yang saya diminta untuk umumkan, iaitu tentang Tabung Kasih HAWANA. Saya luluskan RM1 juta sebagai permulaan Tabung Kasih HAWANA.
Terima kasih, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- RAKYAT MAIN PERANAN BERTERUSAN PELIHARA KEAMANAN, SEMANGAT BERSATU PADU – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021