TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN SEMINAR FIKRAH SIDDIQ FADZIL ‘CINTA BUDAYA DAN PERADABAN BANGSA MALAYSIA’
30 MEI 2023
BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR
WISMA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YBhg. Datin Dr. Siti Zulaikha Mohd Nor dan keluarga;
YB Fadhlina Sidek,
Menteri Pendidikan;
YBhg. Datuk Dr. Awang Sariyan,
Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka;
YBhg. Prof Mohammad Redzuan,
Naib Canselor UNISEL;
Sasterawan-sasterawan Negara;
Gabungan WADAH-ABIM-PKPIM;
Keluarga Dewan Bahasa Dan Pustaka; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UNISEL dan WADAH untuk memanfaatkan peluang yang ada, mengimbau semula dan mendalami fikrah sahabat kami pemikir dan murabbi ummah, Siddiq Fadzil.
- Acapkali bila mengingat tokoh-tokoh silam saya terkenangkan apa yang pernah diungkapkan oleh Roger Garaudy, pemikir dan filasuf Perancis mutakhir yang menyatakan kalau benar, kita ikhlas dan faham tentang seseorang tokoh dan sosok penting, ianya bukan untuk menyatakan sekadar keprihatinan, kesedihan, tetapi menggali khazanah dan mewacanakan, menggilap idealisme yang dibawa oleh tokoh atau sosok tersebut. Kata-kata Roger Garaudy, “To be faithful to our ancestors is not to preserve the ashes of their fire but to transit its flame” yang bermaksud mentaati moyang kita bukan sekadar menyimpan abu mereka tetapi menyalakan api keriangan ke dalam kehidupan mereka. Dalam konteks ini, ialah menyalakan fahaman idealisme yang dilontarkan oleh susuk itu. Justeru, wacana seperti ini harus diperluaskan.
- Saya tidak bias kerana kebetulan Siddiq itu sahabat karib. Tetapi kerana pemikirannya itu sangat relevan dengan keperluan kita mengangkat masyarakat MADANI ini, kuat berakar kepada budaya Melayu, petah dalam perbicaraan penguasaan bahasanya, mendalami Islam dan terbuka luas minda, penggagas islah atau reform. Tidak terperangkap dengan pemikiran sempit kaum atau jumud kefahaman agama dan juga merupakan seorang demokrat yang memahami erti demokrasi rakyat. Bukan demokrasi, sistem dan institusi seperti mana yang lazim difahami sekarang, tetapi demokrasi itu hanya bererti sekiranya ada kecerdasan di kalangan rakyat.
- Ini kesedaran dari kalangan massa yang tempang. Sebab itu tokoh-tokoh politik, parti-parti politik atas apa nama jua, boleh mengheret rakyat untuk mendukung fahaman mereka sama ada dengan wang atau dengan demonologi atau dengan ideologi sempit tidak dengan kefahamannya lebih meluas. Tertarik kerana A. Samad Said ada di sini, kerana bila Ahmad Azam bicara soal kupasan kita dalam muktamar ABIM mengenai islam dalam masyarakat majmuk, A. Samad Said dalam Berita Harian pernah mengupas. Satu-satunya medium pada ketika itu yang memberi ruang kepada kami mengupas dengan kritis dan dengan mendukung hasrat golongan muda, membuka minda rakyat dan mengaitkan kekuatan Islam dalam konteks Melayu dan juga pembinaan negara bangsa. Terima kasih Pak Samad!
- Sepertimana yang kita ketahui, terutama rakan-rakan yang mengikuti Tafsir Maudhu’i, Islam dan Melayu serta beberapa keputusan lain dan juga karya tesis kedoktoran yang tidak diterbitkan oleh beliau, Siddiq itu terlalu keras dalam fahamannya dengan mengakar kepada tradisi rantau dan Melayu. Walaupun tidak berganjak dari segi keyakinan tentang Islam dan ini juga harus difahami oleh generasi sekarang. Kadang-kadang bila kita bina ABIM dia tidak menganjurkan satu sikap walak. Mendukung pemikiran satu orang, satu kelompok tetapi mentafsir pada Al-Quran dan Al-Quran dengan tafsir yang pelbagai supaya kefahaman kita lebih mendalam, tafsir yang tradisional yang ala Tassawuf yang moden, yang kuat bahasa Arabnya, kuat bahasa Inggerisnya.
- Maka dalam usrah-usrah awal dipimpin oleh Sheikh Razali Nawawi dan Fadzil Noor tentu diikat, terikat dengan tafsir jalan lain tetapi dibawa juga Qurtubi, Maududi Syed Qutub untuk diberikan satu perimbangan kefahaman yang lebih meluas dan mendalam. Tapi yang penting di sini ialah memahami agama dengan tradisi ilmu yang mantap, yang mendalam, tidak memahami Islam dan bentuk penafsiran seorang guru agama. Melainkan hal-hal yang sudah tetap, solat, salam, Ramadan dan lain lainnya.
- Kemudian buku-buku dia hebahkan dan sebab itu saya hendak manfaatkan waktu ini untuk menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dalam dan mendukung semangat islah dan perubahan, mengangkat martabat negara bangsa, negara MADANI, ia mesti berteraskan kepada keyakinan. Keyakinan yang mendalam dan ilmu.
- Sebab itu dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan yang cukup luas dari pandangan tokoh-tokoh gerakan Islam termasuk Hassan Al-Banna kepada pemikir-pemikir semasa, Abdul Rahman al-Kawakibi, dan kupasan kupasan dalam beberapa karya Sayyid Sabiq, Syaikh Muhammad Al- Ghazali, kemudian Yusuf al-Qaradawi dan juga mengambil kira pandangan-pandangan di rantau ini, Muhammad Iqbal dalam “Reconstruction of Religious Thought in Islam” yang menggagaskan pembaharuan berdasarkan kefahaman lebih mendalam dan keperluan untuk menolak taklid, bukan kesemuanya, tetapi kerana tidak berakar kepada sunnah atau Al-Quran dan menganjurkan ijtihad dengan beberapa prinsip yang ketat.
- Kemudian di Indonesia tentunya Buya Hamka, termasuk tafsir Al-Azhar, satu-satunya tafsir gagah dalam korpus bahasa Melayu, dan juga pemikir seperti Mohammad Natsir. Di Tanah Melayu, pejuang-pejuang kebangsaan awal termasuk kupasan Raja Ali Haji, Za’aba dan kemudiannya dari sudut ekonomi kemiskinan kupasan Ungku Aziz. Syed Muhammad Naquib al-Attas bin Ali al-Attas pula seorang pemikir yang lebih kritis tentang fahaman dogmatik Melayu pada ketika itu yang membantah pemikiran usang Revolusi Mental yang menganggap beberapa sentimen Melayu yang agak ketinggalan dan perubahan itu hanya di kalangan rakyat. Tidak menyinggung bahawa beberapa kerosakan besar dalam negara ialah kerana pemikiran jumud dan keterlaluan, keangkuhan kuasa, kegelojohan dan rasuah di kalangan pimpinan itu tidak disinggung kuat dalam karya “Siapa Yang Salah. Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu” serta “Intellectual Masyarakat Membangun” (Intellectuals in Developing Countries). Siapa yang salah menggasak pemikiran yang sedemikian termasuk “The Malay Dilemma” oleh Tun Dr. Mahathir. Satu per satu karya yang dianggap besar oleh sebahagian cendikiawan Melayu, tetapi tidak dapat dipertahankan dari sudut keilmuannya, dari sudut gagasan pembaharuan sebenar kerana fikiran itu masih terperangkap dengan kerangka pemikiran penjajah.
- Semua kita ini anti-penjajah tetapi secara tidak sedar kita terbawa diheret dengan pemikiran penjajah termasuk pandangan mitos pribumi malas yang perlu dikupas, yang didukung oleh Revolusi Mental dan juga Melayu Dilema. Mitos yang pernah disanggah lama sebelum itu oleh José Rizal yang saya anggap sebagai the Precursor of Asian Renaissance. José Rizal dalam “The Indolence of the Filipino”. Lembap, malas Filipino ikut pandangan siapa? penjajah Sepanyol dan pendakyah Kristian yang memaksa mereka meninggalkan budaya dan agama yang lalu. Kerana ditanam tebal pandangan dan susuk yang negatif itu. Hal-hal ini kalau saudara-saudari teliti semula karya-karya Siddiq itu sangat tepat untuk kita kaji sama ada relevan pada masa kini.
- Sebab itu di acara pesta buku saya tegas menggesa golongan cendiakawan yang harus jadi seperti Siddiq Fadzil. Cendekiawan ini bukan yang terperangkap di gedung universiti, tetapi juga public intellectual yang pernah dikupas oleh Edward Said, dalam “The Reith Lectures” berbeda dengan sarjana dan public intellectual yang mengungkap permasalahan rakyat dan cuba mengangkat tahap kefahaman masyarakat secara umum.
- Dalam konteks ini kita harus perbanyakkan, saya bincang dengan saudari Fadhlina umpamanya, memang betul keutamaan sekarang digital teknologi, ilmu mengenai AI dan beberapa kerangka pemikiran ke arah sains dan matematik yang kebanyakan lemah di kalangan masyarakat terutama anak Melayu. Tetapi, kitakan manusia, kita bicara soal karamah insaniah. Maka manusiawi itu tidak mampu dibentuk hanya dengan kerangka teknologi, sains dan digital (digitalization), ia juga turut dibentuk dengan bahasa dan budaya.
- Maka, walaupun ada pandangan-pandangan yang serong menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak sekali-kali boleh menerima fahaman cetek sedemikian kerana yang kita bicarakan itu mengangkat martabat bangsa. Tentunya ekonomi masih fundamental, saya tidak nafikan penting dan petang ini saya akan tumpu di situ untuk membincangkan soal ringgit, soal pelaburan, soal keutuhan ekonomi. Tetapi apabila kita bicara soal walaqad karramna bani adam dan kalau karamah insaniah itu, tentunya tekad kepada keyakinan, nilai, akhlak, budaya, manusia, seni, pengucapan hati nurani dalam bahasa yang terindah yang mungkin, dan itu puisi. Sebab itu, bila saya di lapangan, kadang-kadang dalam perbicaraan dengan anak muda, termasuk universiti-universiti, saya rasa bimbang, kerana minat dan kecenderungan ke arah ini sudah tidak ada. Karya-karya penting di sini seperti Anwar Ridhwan, Rahman Shaari, dan tentunya A. Samad Said yang membicarakan soal bumi hijau, soal kemiskinan, yang disebut papa kedana, soal rasa lara, lara ini memang istilah paling disenangi oleh A. Samad Said, soal perjuangan, soal gerakan kebangsaan awalnya, soal penindasan, soal hilangnya nilai demokrasi, semua itu diceriterakannya, dia gubah dan diucapkan dengan bahasa yang terindah mungkin dalam bahasa kita.
- Maka kalau generasi baru ini tidak merasai kelazatannya yang disebut oleh. Saidina Ali bin Abi Talib lazatnya kerana keindahan bahasa dan ilmu marifahnya. Maka kita akan rasa kerugian sebab itu wacana seperti ini penting dan sebab itu buku-buku yang kita hasilkan termasuk dari Dewan Bahasa dan Pustaka mesti diwacanakan di sekolah dan di pusat pengajian tinggi. Bagaimana?, itu kerja Awang Sarian dan YB Fadlina.
- Baru-baru ini saya minta JAKIM, kerana kecelaruan pemikiran sikap pelampau walak tanpa berfikir yang menganggap satu guru itu sahaja yang paling baik, tidak membaca, tidak menganjurkan pembacaan yang lain. Kalau hendak baca kalau yang menyokong Anwar buku pasal anwar sahaja. Kita tidak boleh angkat masyarakat MADANI begitu. Dalam setiap tajuk itu mesti ada keinginan, keghairahan untuk menimba ilmu, membicarakan dan wacanakan dengan bebas.
- Sebab itu di JAKIM beberapa bulan yang lalu saya minta diterjemah buku hasil karya Dr. Taha Jabir Al-Alwani, pengasas and pengerusi the Fiqh Council of North America yang berjudul Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam – Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam. Perbedaan atau berwacana atau berbeda pendapat dalam Islam, menghormati dan memuliakan walaupun ada perbezaan tapi berdasarkan ilmu, bukan berdasarkan parti, bukan berdasarkan tokoh, tetapi mestilah berdasarkan bersandarkan kepada kekuatan ilmu.
- Kemudian minggu lalu bila saya dengar ucapan dari dua (2) ulama terkenal dunia sekarang termasuk Dr. Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab ialah merupakan mantan Mufti Besar Mesir dan Habib Omar bin Hafiz mereka menyebut tentang Kitab matan arbain – Imam Nawawi iaitu 40 hadis yang dipilih yang rasanya harus ditelaah, hadam oleh masyarakat. Tetapi saya beritahu Sheikh Dr. Ali Jum’ah bukan sahaja matan hadis itu, tetapi harus dengan syarah yang lebih tepat, kalau tidak dakwah kita itu dakwah pertarungan sengit yang penuh dengan benci dan menghukum tanpa kefahaman. Berbeda dengan semangat Irhamu man fil ardli yarhamkum man fis sama’”– Sayangilah semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.
- Jadi saya harap semangat dan budaya ini harus kita terapkan dalam masyarakat kita kerana saya dan Siddiq Fadzil umpamanya itu juga peminat pemikir Algeria, Almarhum Malik Ben Nabi. Beliau menulis dalam bahasa Perancis dan terjemahan bahasa Arab. Jadi saya mohon Siddiq Fadzil menterjemahkan dan saya cuba hadam kemudian saya ulas. Dia selalu sindir saya, pengulas itu lebih baik daripada yang penterjemah asalnya. Itulah persahabatan kami dan beberapa kupasan di dalam bahasa Inggeris, umpamanya karya awal Seyyed Hossein Nasr sekarang di Universiti Washington, pengasas badan lembaga falsafah Islam di Iran dan “Man and Nature: The Spiritual Crisis in Modern Man” yang ditulis sejak tahun 60-an. Dikupas baru-baru ini oleh Sheikh Dr. Ali Jum’ah tentang ummatan wasata. Saya kagum juga kerana kita bicara tentang ummatan wasata itu puluhan tahun. Tapi dia kupas ummatan wasata ini sebagai umat sederhana. Tapi sederhana bagi beliau itu adalah sederhana ‘Itqan Fil Amal’, excellence dan sederhananya adalah seperti bukit, kita naik mendaki perlahan-lahan sampai di tempat yang tertinggi kemudian ada turun. Jadi di antara 2 mercu bukit itu, itulah kesederhanaan di mercu, hebat begitu.
- Jadi kesederhanaan dan Islam itu adalah di puncak tertinggi kerana minat kepada ‘Itqan Fil Amal’. Jadi, ini dasar sama seperti yang dikupas oleh saudara Siqqdiq, selalu kita gunakan tentang bawa perubahan itu kerana keyakinan, seperti kata almarhum Malik Ben Nabi, “Inner struggle of conscience”, keyakinan bukan bikin-bikinan, bukan kerana helah kelompok atau kaum atau politika ataupun tokoh. Tetapi suatu cetusan ikhlas dari hati nurani yang bersih. Pencernaan ini yang menghasilkan suatu kefahaman yang kemudian membina kekuatan. Kata dia, dari inner struggle of conscience, kita membentuk satu kerangka pemikiran yang disebut guiding ideas, dan idea pendorong inilah yang menetapkan hala tuju keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita sendiri. Dan sebab itu saya cuba ungkapkan negara MADANI dalam konteks itu.
- Negara tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun. Betul ekonomi itu dasar dan teknologi juga penting. Tetapi mesti didasari dengan kekuatan nilai dan akhlak dan keindahan yang dilengkapkan dengan semangat yang disebut manusiawi atau karamah insaniah. Sebab itu Dewan Bahasa itu penting dan saya telah berikan dukungan yang cukup kuat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, baik penerbitannya, kegiatannya kerana kita mahu lihat dalam bulan-bulan akan datang Dewan Bahasa dan Pustaka itu kembali sebagai gedung budaya yang hebat. Dengan ini saya berikan jaminan untuk kita angkat dan menyempurnakan semangat sepertimana hadis Nabi Muhammad SAW, “addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” – Tuhanku telah mendidikku dan dengan demikian menjadilah pendidikanku yang terbaik.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR