TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN APRIL 2023

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

BAGI BULAN APRIL 2023

 

 

4 APRIL 2023 (KHAMIS

 

KEMENTERIAN KEWANGAN

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa Qaiyimal liyunzira baasan shadeedam mil ladunhu wa yubashshiral mu’minin

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in

 

YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan,

Timbalan Menteri Kewangan;

 

YB Steven Sim Chee Keong,

Timbalan Menteri Kewangan;

 

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan;

 

Tan Sri Gabenor, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah saya mulakan tadi dengan membaca potongan ayat daripada surah Al-Kahfi, iaitu tentang turunnya Al-Quran. Kita bersyukur sebagai hamba yang menerima Al-Quran.

 

  1. Hal ini ada kaitan dengan Ramadan Kareem, kullu ‘aam wa antum bi-khair, kerana Ramadan ini selain daripada disiplin untuk mengawal diri dari makan minum, ia dianggap sebagai tarbiyyah atau madrasah ruhiyyah.

 

  1. Ini penting seperti mana saya sebut dalam tazkirah bersama Mufti Wilayah tempoh hari, ini merupakan suatu kesempatan di mana semua tanpa terkecuali, sama ada seorang alim, seorang mufti atau rakyat terbanyak semuanya harus kembali kepada satu sistem pendidikan latihan yang disebut ulama sebagai tarbiyyah ruhiyyah ataupun madrasah ruhiyyah. Iaitu sekolah spiritual pendidikan, latihan untuk memperteguh keyakinan, memperbaiki akhlak dan nilai.

 

  1. Sebab itu, dikaitkan juga dengan unzila fihil quran. Turunnya Al-Quran supaya bulan Ramadan ini dapat kita menelaah dan membaca lebih sedikit Al-Quran. Saya gesa saudara-saudara termasuk saya, kadang-kadang kita sibuk tidak tentu arah sehingga kita ingat tak sempat, tetapi sebenarnya kita harus cari waktu untuk membaca Al-Quran.

 

  1. Oleh itu saya anjurkan semua jabatan/agensi, pada waktu zohor beri kesempatan 10-20 minit memanggil seorang untuk mengupas 1-2 ayat Al-Quran. Kemudian cuba memahami, menelaah, melaksanakan atau mengamalkan. Seterusnya pada akhir Ramadan kita boleh buat penilaian sendiri, sejauh mana keyakinan, akhlak dan amalan kita bertambah baik.

 

  1. Ramadan bagi sesetengah orang sudah puluhan kali tidak pernah tinggal, 40 tahun tidak pernah tinggal. Tetapi bila diuji selepas Ramadan, kita lihat tahap itu mungkin tidak meningkat. Kalau anak kita ambil exam 2 kali dan tidak lulus dengan baik tentunya kita tegur. Sementelah kita sudah 40 kali, 40 tahun berturut-turut melalui Ramadan sudah patut kita membuat penilaian sendiri.

 

  1. Kalau benar kita ada penghayatan, tentu muncul satu generasi yang punyai integriti, komitmen dan generasi yang boleh mengangkat martabat, harakat dan darjat umat.

 

  1. Sekarang kita beralih tentang tugas kita. Bermulanya Ramadan sehingga dua (2) hari lepas saya ke Arab Saudi. Alhamdulillah, kunjungan tersebut membuahkan hasil dari segi pelaburan. Cuma saya tidak dapat menyambung lagi dua (2) hari untuk bertemu Raja Arab Saudi. Saya mohon maaf kerana telah ada jadual yang telah disusun padat di sini termasuklah lawatan rasmi ke Kemboja. Namun, Kerajaan Arab Saudi telah memberikan penghormatan yang cukup baik dengan protokol yang sangat teratur.

 

  1. Lawatan ke Kemboja yang merupakan salah satu rakan dagang ASEAN juga menampakkan peningkatan pelaburan Malaysia ke Kemboja. Perdana Menteri Hun Sen telah menganjur majlis iftar bersama 6000 umat Islam di Kemboja. Islam di Kemboja itu hanya 10%, jadi apabila diberi penghormatan dan minta saya sampaikan ucapan kepada umat Islam di situ sebelum kita ke masjid di Phnom Penh, menunjukkan bahawa negara majoriti Buddha tetapi meraikan iftar bagi sekumpulan minoriti umat Islam 10% itu adalah suatu perkembangan yang baik.

 

  1. Ini satu pengajaran, apabila kita majoriti, kita rasa terlalu selesa dan angkuh, mengenepikan kelompok-kelompok yang lain. Ini bukan yang dianjurkan dalam pengajaran dan pedoman Nabi Muhammad SAW seperti mana berlakunya Perjanjian Madinah. Di mana dirangkul semua kekuatan asalkan mereka tunduk kepada satu peraturan atau perlembagaan dan tidak memerangi kita. Sebab itu saya memilih untuk memastikan sementara kita menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, kita harus pastikan ada prinsip saling hormat-menghormati, meraikan dan memberi hak kewarganegaraan kepada semua.

 

  1. Ini juga merupakan antara hal yang dikritik keras kepada pimpinan saya dan Kerajaan Perpaduan yang diperkatakan telah melebih-lebihkan Melayu Islam. Tidak benar. Kalau di Kemboja kita hendak orang Islam itu diraikan, masjid jangan dirobohkan, hak mereka dipertahankan. Malah diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka. Begitulah halnya di negara lain tidak mengorbankan kepentingan kelompok majoriti.

 

  1. Dari Kemboja saya berlepas ke negara China. China ini merupakan jiran tetangga dan juga satu kuasa besar, dengan geopolitik, keselamatan dan juga ekonomi. Namun saya sungguh terkesan dengan sambutan yang diberi oleh Presiden Xi Jinping, dan Perdana Menteri Li Qiang yang sangat baik.

 

  1. Saya pun tidak jangka diiktiraf sebegitu rupa. Pertama, saya telah berpeluang menyampaikan pandangan dalam satu sidang antarabangsa di Hainan, dan keduanya dalam beberapa pertemuan di Beijing, kita telah beroleh dukungan dan pengiktirafan daripada Kerajaan China dan syarikat-syarikat besar negara tersebut untuk melabur di Malaysia secara besar-besaran.

 

  1. Sepertimana saudara tahu, kebanyakan syarikat-syarikat besar gergasi di negara China itu sebahagian besarnya adalah milik kerajaan negara China. Ada yang bebas, yang tidak terikat tetapi majoriti adalah syarikat-syarikat kerajaan. Mereka telah memutuskan untuk melabur sejumlah RM170 bilion, itu tidak termasuk sembilan (9) syarikat yang telah membawa usul. Walau bagaimanapun, kita belum meluluskan kerana kita perlu meletakkan syarat-syarat dan peraturan tertentu yang akan diselaraskan oleh MATRADE dan MIDA.

 

  1. Ada yang mempertikaikan seolah-olah ‘sudah bertunang belum tentu kahwin lagi’. Tetapi dalam konteks ini, ia bukan begitu kerana beberapa usul pelaburan tertinggi itu disebut secara langsung oleh Presiden Xi Jinping dan juga Perdana Menteri Li Qiang. Mereka menyebut bahawa mereka mendukung dan mahu projek ini dilaksanakan, iaitu projek farmasi dan oil and gas di sekitar Pengerang, dan Geely bersama Proton iaitu automation city, projek besar mencecah puluhan bilion.

 

  1. Hal-hal yang sedemikian itu berlaku kerana sistem politik kita itu dianggap stabil, dasar yang jelas dan juga usaha-usaha awal oleh pegawai-pegawai sebelum saya pergi membuat lawatan. Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan terima kasih kepada jentera kerajaan dan penjawat awam, Kementerian Kewangan, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, MATRADE, MIDA dan MITI serta lain-lain jabatan di atas persiapan dan kecekapan yang cukup teratur dalam menguruskan perkara ini.

 

  1. Kalau soal kelapa sawit, tentunya Kementerian Perladangan dan Komoditi telah menjalankan tugas mereka. Kemudiannya Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Tsinghua University, antara universiti terulung di negara China. Apabila saya berjumpa dengan pimpinan universiti, saya dimaklumkan ada pendidikan khusus soal kelapa sawit dari segi dan projek hiliran daripada kelapa sawit yang dilakukan bersama MPOB serta beberapa agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi. Maknanya bila ada kesepakatan dari semua pegawai-pegawai yang terlibat dari jabatan, dan agensi berkaitan, akan mempermudah dan melicinkan proses, seterusnya meyakinkan pelabur-pelabur untuk datang ke Malaysia.

 

  1. Inilah yang kita harap dalam Kerajaan MADANI supaya ada kefahaman bersama, seragam, dasar-dasar yang kita sepakati, kemudian kita laksanakan dengan baik. Saya tekankan lebih mengenai program di negara China ini kerana ia merupakan satu peluang ekonomi yang besar dan dengan terbinanya hubungan dua hala yang bertambah baik ini mudah-mudahan manfaat dapat dipulangkan pada rakyat.

 

  1. Kita sudah mempunyai pengalaman dengan negara China, contohnya ECRL, inisiatif kita dukung, tetapi ada beberapa hal yang kita kenal pasti dan tegur, umpamanya jumlah pekerja tempatan itu sangat minimum ketimbang keupayaan anak kita untuk bekerja.

 

  1. Jadi oleh yang demikian, setelah berbincang dengan Perdana Menteri Li Qiang dan beberapa syarikat besar termasuk CCCT dan juga Geely, saya usulkan jika ada keupayaan anak tempatan mesti diberikan peluang pekerjaan dan keduanya, kalau nampak keupayaan kurang, perlu ada skim latihan khusus bagi mereka. Yang ketiga, sekiranya tidak ada, sementara kita boleh bawa dan kita akan permudahkan kemasukan golongan profesional luar termasuk dari China. Perkara ini kita tegaskan dan kedua-dua syarikat gergasi itu bersetuju. Malah Geely telah memutuskan untuk mengadakan program latihan di Malaysia dan beberapa ratus orang akan dibawa ke negara China untuk latihan tambahan.

 

  1. Begitu juga CCCT akan menjadikan Malaysia sebagai pusat ataupun ibu pejabat serantau, ini merupakan satu permulaan yang sangat baik. Alhamdulillah perkara ini telah dapat diputuskan bersama.

 

  1. Jika tiada pendekatan sedemikian, pelaburan masuk semua pekerja itu daripada asing, tidak ada transfer of technology, tidak ada latihan khusus dan akan ada kesenjangan, kelompongan dari aspek keupayaan dan tahap profesionalisme.

 

  1. Jadi, Kementerian Kewangan harus bantu menyelaras dan mengenal pasti bidang-bidang yang kurang keupayaan anak-anak tempatan dan kalau perlu kita dapatkan peruntukan khas tambahan untuk memberi latihan intensif, jika tidak apabila mereka mula masuk untuk mengambil pekerja mereka terpaksa mengambil pekerja asing dari luar negara.

 

  1. Ini hal-hal yang kita harus pantau dan segerakan tindakan. Saya percaya saudara-saudara cukup pengalaman dalam dan tentunya dapat mengenal pasti beberapa langkah yang sewajarnya. Saya lihat soal pelaburan, hasil kedatangan pelabur itu kian rancak dan apabila Amazon Web Service (AWS) masuk maknanya berapa minat negara lain untuk mengasaskan data center itu akan banyak termasuk negara China, Singapura, Indonesia dan beberapa negara lain. Akan ada snowballing effect untuk meningkat dan kalau hanya kita tunggu pelaburan, kita tidak siapkan jentera, kemahiran, pekerja, dan infrastruktur akan jadi masalah apabila mereka masuk tanpa keperluan-keperluan ini. Kita juga harus beringat bahawa Singapura, Indonesia sangat agresif untuk cuba menawan Amazon ini. Sememangnya luar daripada jangkaan kita bahawa begitu cepat AWS bersetuju dengan kita.

 

  1. AWS juga telah mengadakan pertemuan dengan 20 konglomerat terbesar Filipina dan pengumuman keputusan AWS bersama Malaysia itu mengejutkan mereka, terhenti perbincangan itu dan mereka mulai bertanya mengapa AWS pemilih Malaysia sedangkan Filipina, Indonesia, dan terutamanya Vietnam itu memberikan segala insentif yang mungkin lebih menarik minat AWS. Tapi mereka memilih Malaysia.

 

  1. Jadi ini satu perkembangan baik, dan kita perlu manfaatkan sepenuhnya. Kita perlu lihat persiapan-persiapan, baik dari segi prasarana, persiapan latihan sumber manusia, kerana ada bidang yang sebelum ini belum dapat kita penuhi. Saya minta bukan sahaja Kementerian Kewangan dan Bank Negara, tetapi lain-lain agensi/jabatan yang berkaitan untuk segera mengambil langkah-langkah yang perlu. Esok dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, insya-Allah saya akan tekankan hal yang serupa.

 

  1. Saya akan bertolak ke Parlimen selepas ini untuk Prime Minister Question Time, soalan tentang doktor kontrak dan vape. Orang macam saya yang tidak hisap rokok, jadi saya tidak faham mengapa orang terpaksa bergantung kepada rokok dan vape. Mungkin mereka jawab, sama seperti Anwar bergantung kepada kopi, kami bergantung kepada vape. Jadi oleh itu, kita perlu lihat dari aspek kawalan yang sewajarnya.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.