TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID MENGKUANG TITI

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN

MASJID MENGKUANG TITI

 

14 APRIL 2023 | JUMAAT  

 

MENGKUANG TITI, PULAU PINANG

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem. Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YAB Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

  1. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Menteri Pulau Pinang I;

 

  1. Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh,

Timbalan Menteri Pulau Pinang II;

 

Ketua Pengarah,

Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU);

 

Setiausaha Kerajaan Negeri;

 

Dif-dif Kehormat;

 

Pegawai Daerah; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan di Bukit Mertajam dan Permatang Pauh khususnya Mengkuang Titi.

  1. Hari ini saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama dan saya rasa rindu dendam tidak terkira. Terima kasih untuk kehadiran anda dan pada hari ini alhamdulillah kita dapat ihya’ Ramadan serta dapat membuat pengumuman yang penting iaitu peluncuran tapak Masjid yang telah diminta sejak tahun 2019.

 

  1. Saya masih ingat pada tahun 2020, satu memorandum telah dihantar kepada saya, ketika itu saya masih sebagai Ketua Pembangkang. Pada masa itu, masih tidak banyak pengaruh tetapi Nurul Izzah membuat gesaan kepada saya berulang kali mengatakan bahawa orang kampung Mengkuang Titi sudah marah. Alhamdulillah, apabila kita menubuhkan Kerajaan Perpaduan, peruntukan untuk JAKIM dan Kemajuan Islam itu bertambah, paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.

 

  1. Maka saya boleh memanfaatkan peruntukan tersebut untuk Masjid Mengkuang Titi tetapi kita harus ingat bahawa kita di akhir Ramadan. Kita harus memanfaatkan waktu untuk bermunajat kepada Allah SWT dan mohon supaya usaha-usaha kita ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

 

  1. Kita tahu bahawa dalam bulan Ramadan juga turunnya Al-Quran, maka gunakanlah peluang ini untuk memperbanyakkan bacaan, pemahaman dan amalan. Allah berfirman dalam Al-Quran sabit dengan kaitan puasa pada bulan Ramadan – Shahru Ramadaanallazeee unzila feehil Qur’aanu hudal linnaasi wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan.

 

  1. Kalau kita hendak memanfaatkan Ramadan ini, tentulah harus mendekati Al-Quran. Mendekati Al-Quran bermakna kita yakin Al-Quran itu adalah petunjuk bagi manusia dan tidak mungkin ada petunjuk kalau tidak ada usaha membaca, memahami dan mengamalkan dengan penuh kegembiraan. Saya minta maaf kepada Mufti Negeri sekiranya ada silap penyampaian saya ini boleh tegur.

 

  1. Saya rasa terpanggil untuk mengadakan majlis ini meskipun terdapat acara-acara awal yang harus saya hadir, tetapi Program Mengkuang Titi ini saya perlu hadir kerana saya sendiri hendak memberitahu berita baik ini. Kendatipun tadi disebut permulaan projek ini hanya bermula pada tahun hadapan tetapi seperti mana yang kita tengok terdapat beberapa projek-projek yang segera diperlukan.

 

  1. Projek Masjid Mengkuang Titi ini sudah lama diminta dan harus disegerakan dan insya-Allah, saya akan beri arahan kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan supaya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses agar projek ini dapat disegerakan.

 

  1. Baiklah, saya hendak menarik perhatian saudara mengenai orang Mengkuang Titi. Istimewanya orang Mengkuang Titi ini dia tidak meminta peruntukan daripada Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Persekutuan. Mereka mengambil langkah sendiri. Jadi apabila berbincang dengan pegawai-pegawai di ICU dan juga Kementerian Kewangan, mereka memberi suatu perhatian bahawa masyarakat dan kariah Mengkuang Titi di antara yang sangat proaktif. Mereka telah mengambil ikhtiar daripada awal dan mengutip RM2.5 juta, sangat hebat.

 

  1. Sebenarnya ini satu perkara yang kita kena ingat. Penubuhan masjid adalah seperti yang disebut dalam Al-Quran, tanggungjawab bersama – Innamā ya’muru masājidallāhi man āmana billāhi wal-yaumil-ākhiri wa aqāmaṣ-ṣalāta wa ātaz-zakāta wa lam yakhsya illallāh, fa ‘asā ulā`ika ay yakụnụ minal-muhtadīn. Maksudnya yang mendirikan masjid itu, memakmurkan masjid itu adalah seruan kepada semua, tanggungjawab Kerajaan Negeri dan juga tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan yang lebih besar adalah tanggungjawab kalian sebagai kariah.

 

  1. Jadi diberi keberkatan kepada kita untuk mempunyai saham dalam pembinaan masjid dan membangunkan masjid. Kita boleh faham juga bahawa yang membangunkan masjid itu bukan sekadar gedungnya, bukan sekadar keindahannya, tetapi pengisiannya. Sebab itu disebut man amana billahi walyawmi al-akhiri – masjid itu adalah tunggak untuk memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT dan hari akhirat. Bagaimana? Dengan mendirikan solat dan membayar zakat.

 

  1. Saya masih ingat kupasan daripada Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi iaitu kaitan solat dan zakat itu selalu serasi di dalam Al-Quran, dikaitkan dan diberi penekanan kerana kalau kita hanya menunaikan solat tetapi meminggirkan atau meremehkan keperluan zakat, tidak adalah yang dikatakan tunggak keyakinan Islam kerana masjid itu dikaitkan dengan tanggungjawab kepada Allah SWT. Ia merupakan satu tanggungjawab penyucian harta kita untuk membayar dan menunaikan ibadah zakat seterusnya meringankan beban rakyat.

 

  1. Sebab itu kupasan Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menyebut yang antara lain, tidak ada yang berlaku dalam sejarah dunia, dari Parsi ke Cina ke India, jarang sekali kita dapati pimpinan yang sanggup berperang untuk membela nasib rakyat miskin dan ini yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A. iaitu menoktahkan kemiskinan.

 

  1. Jika orang tak bayar zakat, beliau isytihar perang pada ketika itu, kerana tunggak keadilan Islam, tunggak sistem ekonomi Islam dan keyakinan kita itu akan tergugat tanpa zakat. Sementara kita bercakap soal iman tetapi kita meninggalkan tanggungjawab membela nasib yang memerlukan pembelaan.

 

  1. Masjid juga dikaitkan dengan hari akhirat, solat dan zakat. Kalau semua ini difahamkan maka disebut wa lam yakkhsa illal laaha – tiada rasa gentar selain daripada Allah SWT. Sekian tazkirah ringkas sebentar tadi untuk menyebut kehebatan orang-orang Mengkuang Titi. Terima kasih banyak, Jazakumullah Khairan Katsiran.

 

  1. Saya juga mengucapkan terima kasih kerana kerajaan negeri akan menyumbang RM1.1 juta. Orang Mengkuang Titi kata kami dah kutip, YB dah bagi jadi yang lebih tu dalam RM5.4 juta. Jadi saya bersetuju, Kerajaan Persekutuan meluluskan RM5.4 juta ringgit untuk melengkapkan projek menjadikan keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM9 juta dan jumlahnya bukan kecil.

 

  1. Maknanya masjid ini adalah masjid yang hebat dan gagah walaupun Mengkuang Titi ini nampak macam terpencil dan tersorok sedikit tetapi masjid yang gagah adalah lambang Islam dan lambang kehidupan masyarakat.

 

  1. Mudah-mudahan masjid ini dikategorikan sebagai lamasjidun ossisa AAala attaqwa – masjid yang didirikan dengan niat yang betul dan bersih bukannya dengan kebanggaan dan kemegahan serta gemerlapan tetapi untuk membawa kepada ketaqwaan kepada Allah SWT.

 

  1. Setiap kali kita bina masjid kita kena ingat, masjid ini terdiri daripada 2 Kategori. Lamasjidun ossisa AAala attaqwa – masjid yang didirikan dengan semangat ketaqwaan, ataupun Masjidan diraaranw wa kufranw – namanya masjid tetapi tidak membawa kepada kebaikan tetapi membawa kepada kemungkaran, kekafiran dan kesesatan.

 

  1. Jadi harus diingatkan supaya Jawatankuasa Masjid ini menyusun kegiatan bagi mengimarahkan masjid, membawa semangat kesatuan, kefahaman agama untuk mengelak daripada perpecahan seterusnya mengangkat martabat umat dan kefahaman mereka.

 

  1. Kalau orang tanya apakah itu MADANI? Apa maknanya? Orang kata satu Perdana Menteri ada satu slogan. Tetapi bagi saya ini bukan soal slogan, tetapi soal pengisiannya. Asasnya itu adalah keyakinan dan keimanan. Jika kita tengok Perjanjian Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW, dan kemudiannya kita baca buku Madinah Al-Fadlillah oleh Abu Nasr Muhammad ibn Tarkhan al-Farabi (Al Farabi). Kesemuanya berkisar tentang bagaimana membina tamadun bagi masyarakat dan negara. Ini semua merentasi dan perlu ada nilai. Kita bercakap soal politik, ekonomi, pendidikan atau soal masjid, semua aspek kehidupan dan kesihatan tetapi kalau tidak ada nilai dan akhlak, kita tidak dapat membezakan di antara karamah insaniah iaitu manusiawi seperti yang Ketua Menteri Pulau Pinang sebentar tadi.

 

  1. Apakah keistimewaan kemanusiaan itu? Yang Allah angkat darjat kemanusiaan itu? Walhal kerana Bani Adam, adalah kerana semangat kemanusiaan yang berteraskan nilai yang tahu di antara hak dan batil, maaruf dan mungkar, benar dan fitnah.

 

  1. Melalui kefahaman kita dan nilai tentang keadilan dan kezaliman, mempunyai kuasa adalah untuk menegakkan keadilan bukan untuk membuat kezaliman tapi kadang-kadang memukau. Sekarang ini pun saya dituduh zalim kerana katanya peruntukan diberikan kepada negeri pembangkang tidak sama atau dikurangkan. Ini tidak betul. Jadi zalim ini membawa maksud fitnah kerana peruntukan bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kita telah tambah.

 

  1. Semalam, Menteri Besar Kelantan telah datang berbincang untuk menambah Projek Tebatan Banjir dan satu lagi projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu. Selain itu, saya tambah satu lagi kerana kita dapat jimatkan belanja dari Projek Tebatan Banjir, saya tambah Projek Besar di Sungai golok kerana masalah banjir yang serius.

 

  1. Masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh. Jadi kalau kita boleh bantu sedikit di sini, kita kena beri keutamaan walaupun Kerajaan negeri berbeza parti. Ini kenyataannya sebab itu saya nak bezakan di antara fakta dan rekaan, rekayasa di dalam politik.

 

  1. Kita kena ingat, bukan bermakna kerana kita kata kita ini ada pendidikan agama, kita boleh cakap semborono. Kita bercakap itu mesti berdasarkan fakta, jadi alhamdulillah berbincangan saya dengan Menteri Besar Kelantan, beliau telah memberi beberapa cadangan dan sebahagiannya saya setuju, saya terus catit dan terus beri arahan untuk kita dilaksanakan.

 

  1. Esok Insya-Allah saya ke Terengganu, Menteri besar Terengganu usulkan supaya saya berjumpa dengan pegawai Kerajaan Persekutuan. Beliau kata tidak mengapa dan Kerajaan Negeri pun akan memberi kerjasama. Inilah cara kerjasama diantara Persekutuan dengan Negeri. Masa pilihan raya berlawanlah lepas itu kita hidup aman. Baru boleh jaga kehidupan rakyat. Itulah yang saya harapkan di kalangan kita supaya ada semangat perbezaan tetapi jangan menyebabkan kita tumpulkan perhubungan, persaudaraan ukhuwah dikalangan kita.

 

  1. Saya mempunyai banyak pengalaman dan berpuluh kali saya telah datang ke Mengkuang Titi. Saya melihat semangat itu ada. Jadi kita kena jaga kerana masjid ini lambang kesatuan, lambang keimanan, lambang untuk kita seperti yang saya sebut bukan sahaja mendirikan solat tetapi juga zakat yang ada hubungan kaitan dengan ekonomi. Jadi saya percaya kita semua faham apabila dikatakan tetang nilai.

 

  1. Ada orang mengatakan saya keras sangat sekarang dalam membanteras rasuah dalam negara. Tetapi sebab apa? Hasil negara kita sejak 3 bulan lalu melonjak naik. Ada tauke-tauke besar yang dahulunya membayar cukai yang sedikit, sekarang ini mereka bayar banyak. Mereka tahu kerajaan sekarang tidak main-main. Kalau orang biasa perlu membayar cukai, orang kaya juga perlu membayar cukai. Kalau tidak kita nak membangunkan masjid macam mana? Nak perbaiki jalan berlopak bagaimana? dan kita juga perlu jaga supaya kita tidak sakau.

 

  1. Saudara orang lama disini, dan saya tahu kalau ada wang sikit kita bagi sikit. Tetapi tidak bolehlah setiap kali nak buat masjid, kena ambil 20% komisen ataupun nak buat jambatan ambil lagi 20% komisen ataupun nak buat tebatan banjir ambil lagi 20% komisen.

 

  1. Ini yang sekarang SPRM sedang geledah kerana negara ini kalau tidak betul tatakelolanya saya fikir kita tidak boleh selamatkan. Malaysia ini mempunyai imej yang sangat buruk di peringkat antarabangsa. Kalau orang ingat kes 1MDB, orang ingat pemimpin-pemimpinnya rasuah jadi kita kena selamatkan, harus dijaga dan ditadbir.

 

  1. Jadi saya minta kawan-kawan di Mengkuang Titi dan kawan-kawan di sini doakanlah supaya saya diberi kekuatan kerana saya tekad dengan sedaya upaya, saya hendak membersihkan negara ini dan pimpinan daripada rasuah.

 

  1. Jangan anggap menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau Pegawai Tinggi boleh buat sesuka hati, boleh memperkayakan keluarga atau anak menantu. Saya mahu hentikan perkara ini. Selagi saya diberi amanat dan mandat walaupun bukan di kampung saya, Permatang Pauh kerana saya sekarang di Tambun. Tetapi saya tidak pernah meninggalkan Permatang Pauh sebab itu bila ada projek masjid, sekarang ada 3 atau 4 projek masjid di Pulau Pinang, Saya memilih projek di Mengkuang Titi.

 

  1. Jadi mudah-mudahan kita boleh percepatkan projek ini dan ia sudah dibincangkan. Kita sasar ia akan bermula tahun hadapan. Jadi kita sudah bagi arahan supaya percepatkan semua proses. Proses ini boleh cepat tetapi sekarang kita kena masuk Tender. Kita perlu buat ikut peraturan kerana banyak sangat sakau jadi sebab itu kita kena lalui Tender. Kalau ianya bersih, kita yakin jawatankuasa masjid ini orangnya yang boleh dipercayai, tidak mengambil kontrak untuk dapat komisen, ia boleh dipercepatkan. Tetapi kita tidak boleh pilih satu kontraktor kerana ini akan bertentangan dengan prosedur kewangan negara.

 

  1. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih. Selepas ini saya akan solat Jumaat di Pajak Song, Kepala Batas. Selepas itu berbuka puasa di Sungai Petani, Kedah yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Kemudiannya pula saya akan menunaikan solat Isyak dan Terawih di Kepala Batas. Kemudian balik semula ke Putrajaya kerana esok pagi kita ada Qiamullail di Putrajaya. Jadi apa-apa kegiatan kita teruskan.

 

  1. Saya juga turut mengarahkan agar sepanjang bulan Ramadan ini, setiap pejabat, jabatan, kementerian harus melaksanakan program Tazkirah Zuhur untuk memberi kefahaman kepada umat tentang Ramadan dan menumpukan kepada Al-Quran dengan membaca Al-Quran dan membuat kupasan Al-Quran.

 

  1. Jadi itu arahan rasmi daripada saya dan telah dilakukan di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan saya tengok menjadi ikutan kepada Kementerian/Jabatan lain melaksanakan. Jadi saya ucap terima kasih kepada pegawai-pegawai kita ini. Kalau kita beri dorongan, mereka buat dan menunjukkan prestasi sangat baik.

 

  1. Selepas ini saya akan hidupkan semula dengan aktif Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang pernah dihidupkan dabulu dengan giat supaya kedudukan bumiputera itu lebih terjamin. Saya telah memilih seorang ketua unit yang saya rasa sangat berkesan kerjanya, sangat baik prestasinya semasa saya mempengerusikan pada tahun 90-an dahulu. Saya telah meminta Tan Sri Khalid Ramli untuk kembali mempengerusikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang dan tumpuannya adalah bagaimana kita dapat membantu Melayu di Pulau Pinang dari sudut ekonomi, sosial dan kebajikan.

 

  1. Akhiru kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini meluncurkan pembinaan Masjid Mengkuang Titi.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

 

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.