TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN KARYA AGUNG SAYR AL-SALIKIN (4 JILID) DAN HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN
17 APRIL 2023 (ISNIN)
BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR
WISMA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah
Wamaa Tawfiqi Illa Billah
Aalayhi Tawakkaltu Wa Ilayhi Oneeb
Alhamdulillahil Qawiyyil
Shahru Ramadan Allazi Unzila Fihil Quran
Hudan Linnasi Wabayyinatin Minal Huda Wal Furqan
Wasallallah hu ala saidina Muhammad
Wa’ala a’lihi wasabihi wassalam
YB Fadhlina Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berhormat Senator Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan,
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka;
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Hamad Kama Piah Che Othman,
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka;
YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan,
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan;
Sasterawan Negara Pak Samad, Majid Salleh, Kak Nik safiah;
Sahabat-sahabat dan pejuang pejuang bahasa sastera yang dikasihi sekalian.
- Terima kasih diucapkan khususnya Saudara Awang Sariyan yang terus menggasak usaha memperkasakan bahasa sastera dan budaya, dan tentunya Tan Sri Ahmad yang telah menyingkap sejarah penubuhan Yayasan Karyawan.
- Izinkan saya menyebut sedikit tentang hal ini. Kita, terutamanya yang berpendidikan barat kenal betul tentang Great Books. Sebenarnya Great Books itu adalah warisan barat yang disunting oleh profesor ulunh Chicago, Mortimer J Adler. Menariknya saya ingat kupasan Adler bahawa kelemahan besar tamadun barat kini ialah kerana terputusnya tradisi ilmu barat dari sejarah khazanah warisan barat itu sendiri.
- Tetapi yang penting di sini yang saya nak tekankan ialah kalau saudara menganggap diri sebagai seorang cendekiawan barat, sudah biasa dan serasi dengan pemikiran ramai tokoh-tokoh yang amat terangkul dalam budaya ilmu barat yang disebut dalam The Great Books. Kemudian Harold Bloom, seorang sarjana kanan, menulis tentang The Western Canon yang merumuskan semua karya-karya yang dianggap utama di barat. Dan dia menyebut di antara lain bahawa paksi daripada seluruh kekuatan budaya ilmu barat itu Western Canon adalah karya-karya William Shakespeare, bab itu saya setuju. Tetapi, ada nota kaki yang pentingnya yang disebut yang saya nukil dan masukkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia (The Asia Rennaisance). Harold Bloom menyebut kelemahan dalam budaya ilmu barat kerana meminggirkan tradisi Islam dan kefahaman Al-Quran. Dia menyebut bahawa kegagalan menguasai Al-Quran menyebabkan kelemahan ketara di kalangan pemikir barat.
- Semasa saya muda, saya pernah terlibat atau diundang bersama sarjana besar. Saya hanya sebagai pelajar, pada masa itu, Presiden ABIM hadir atas inisiatif Profesor A.K. Brohi yang disokong oleh Presiden Daulah Hak, Pakistan. Iaitu menggagaskan 100 Great Books dalam dunia Islam. Saya hadir dalam beberapa perjumpaan di Islamabad yang turut dihadiri oleh Profesor Ismail Faruqi, Rusil Ahmad dan beberapa sarjana dan ulama besar dunia Islam. Maka saya pada masa itu terpanggil dan mesyuarat itu berulang sehingga 1982 tahun 1983 semasa saya sudah menjadi Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan.
- Jadi bila saya pulang, saya kata, ada kelompongan vakum yang nyata di dunia Melayu. Anak Melayu, graduan melayu, siswazah dan cendekiawan tidak diperkenalkan, dibentangkan dengan khazanah dan budaya bangsa mereka sendiri. Itulah sebabnya mengapa saya mula menggagaskan Yayasan Karyawan. Walaupun pada peringkat itu sangat lemah kerana tidak ada dukungan langsung daripada pemerintah. Tetapi saudara lihat perkembangannya dari semasa ke semasa selepas itu. Kita merasakan perlu untuk ditingkatkan sebab itu semasa saya sebagai Menteri Kewangan saya tambah peruntukan agar Yayasan Karyawan boleh berfungsi selain dari Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sasaran itu khusus tugasnya adalah untuk tingkatkan usaha, memperkenalkan kepada khalayak karya-karya besar Melayu. Walaupun pada masa itu saya kata kemudian karya-karya agung Melayu dan dunia, tetapi kita mula dengan pemerkasaan budaya dengan memantapkan tradisi aqliah dan tradisi ilmu.
- Itulah sejarahnya Yayasan Karyawan ini dan saya rasa walaupun ada sejarah yang disebutkan oleh YBhg. Tan Sri Ahmad sebentar tadi. Tetapi yang paling berjasa tentunya Allahyarham Datuk Hassan Ahmad dan tatkala dia ditugaskan sebagai Ketua Eksekutif, dia berhubung langsung dengan saya di Kementerian Kewangan untuk meminta beberapa sarjana besar termasuk Muhammad Haji Salleh dalam soal Hang Tuah. Walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan penghantarnya.
- Tetapi ia menjadi suatu tradisi yang sangat diperlukan bagi negara kita. Negara China dengan budaya China, iaitu The Romans of the Three Kingdom, karya-karya Lun Yu Confucius itu semua dijadikan karya besar walaupun pada masa itu ada usaha dalam cultural revolution untuk memadamkan tapi semarak semula. “Journey to the East” itu adalah sesuatu yang biasa diketahui oleh para cendekiawan atau cendekiawan China. Dalam ucapan-ucapan saya, jika saya menyebut beberapa cerita dari Romance of the Three Kingdoms atau Journey to the East atau karya Lun Yu atau Confucious Lu, itulah yang diketahui umum.
- Berlainan pula dalam perspektif kita, dalam semua hiruk-pikuk membicarakan soal tentang kebangkitan Melayu dan Ketuanan Melayu, tetapi dari segi pengisiannya begitu hambar sekali. Tokoh-tokoh besar pejuang-pejuang Melayu hampir tidak pernah membaca sejarah Melayu ataupun Hikayat Hang Tuah. Apa lagi Sulalatus Salatin atau Tajus Salatin, hampir tidak dikenali. Ini bagi saya suatu tugas besar untuk membangkitkan, membangun, memperkasakan bangsa kepada kekuatan bahasa, bangsa dan budaya dengan memunggah semula, menggali dan menghebahkan khazanah bangsa sendiri.
- Tentunya kita menilai secara kritis Hikayat Hang Tuah, tetapi mempertahankan keperluan memahami, membaca menghayati dalam konteks zaman itu. Kerana ada pertikaian dari beberapa sarjana tentang isu akhlak dan moral yang dipamerkan oleh Hang Tuah. Yang tidak boleh dipertahankan dari sudut nilai dan akhlak. Jadi Haji Salleh memilih untuk mempertahankan, tetapi saya tidak bersetuju.
- Ini adalah salah satu kebanggaan seorang pelajar ialah apabila tidak bersetuju dengan profesornya (nada bergurau). Jadi saudara-saudara dalam gagasan Malaysia MADANI saya juga lontarkan idea yang sama, satu kesinambungan dari pandangan saya tentang nakba ataupun Renaissance Asia iaitu tunggak kekuatan, keutuhan ekonomi tidak boleh dipertikai. Sumbangan atau dana yang boleh diserahkan kepada Yayasan Karyawan, Dewan Bahasa Dan Pustaka dan Institut Terjemahan itu kerana ada keupayaan ekonomi tetapi kekuatan ekonomi itu tidak akan menjamin kekuatan bangsa, negara dan tamadun tanpa usaha memperkasa bahasa, budaya dan menggali khazanah.
- Sebab itu dalam MADANI ini soal nilai itu penting. Kita dalam dalam mengupas semula maksud kemampanan itu berbeda daripada sustainability dalam konteks yang sama. Dalam mengupas tentang inovasi, daya cipta, dia tidak terikat kepada digitalization, tetapi sekali lagi merentas isu nilai dan akhlak. Soal ehsan, soal kemanusiaan, soal karamah insaniah itu lebih jelas dan mampu menjawab pandangan-pandangan yang terlalu cetek. Untuk mempertahankan kepentingan kaum sehingga menenggelamkan soal nilai dan soal kemanusiaan kerana budaya bangsa seperti saya lihat banyak Sulalatus Salatin itu kupasan tasawuf, berhujah mengenai bahaya kekeliruan yang pentaksub pegang kukuh kepada pandangan wahdatul wujud.
- Walaupun di kalangan ahli sufi wujud kelompok yang pertahankan dengan alasan mereka dari karya-karya besar Ibn Arabi Dan Hamzah Fansuri yang kemudian diperkenalkan oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Tetapi perbahasan tentang wahdatul wujud, wahdatul syuhud dan bahaya penafsiran yang agak ekstrem itu terus hidup dan segar di dunia Melayu yang dengan sendirinya meletakkan fahaman yang lebih universal dan para ulamak besar pada ketika itu hidup bukan sahaja berakar kepada Bumi Melayu tetapi serasi dengan pemikiran ulama-ulama Islam antarabangsa. Dan ini kekuatan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani seperti mana karya-karya besar yang lain ataupun terjemahan khaid nasafi yang lebih awal. yang dikupas. Terima kasih kerana jemputan yang sekarang saya pun dapat kupas balik.
- Baru-baru ini saya menulis, sebenarnya catatan di penjara Sungai Buloh, kebetulan dalam bahasa Inggeris tentang karya Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani. Sheikh Daud Abdullah fathani 1769, dia menulis tentang Munyatul Musolli. Dan saya berapa bulan itu memang di mana-mana ucapan saya menghebahkan, kerana hampir semua pondok pesantren di Tanah Melayu, di Pattani, di Indonesia menjadikan itu bahan dan buku teks mengenai solat wajib dan semua solat sunat. Saya seperti mana yang saudara-saudara tahu tatkala istirahat di Sungai Buloh tentulah baca dan cuba mengamalkan semua solat sunat kerana ada banyak waktu untuk solat sunat. Tetapi yang menarik bagi saya dan agak istimewa dalam kupasan Syeikh Daud Abdullah Fathani ini adalah bab terakhir, iaitu al-faedah maknanya penamat yang sangat berfaedah. Beliau bicara soal tatanegara, tatakelola dan keadilan. Keadilan bagi umat Islam dan keadilan bagi umat manusia. Beliau juga memberi contoh tentang seorang Yahudi yang menemui Khalifah Makmum merayu kerana hak dia di rampas. Sementara khalifah makmum yang sibuk, tiada masa untuk melayan orang Yahudi tersebut. Dia kata, “tanah saya dirampas diambil hak amirul mukminin”. Mungkin sibuk soal lain tidak dengar kali kedua tidak dengar kali ketiga. Lalu orang Yahudi itu berkata lagi, “Ya Amirul mukminin, dalam kitab saya Taurat menekankan tentang hal ini”. Hanya selepas itu tersentuh perasaan Khalifah Makmum sehingga memberikan jaminan hak orang yahudi yang memohon pertimbangan beliau.
- Jadi saudara-saudara yang saya sebut di sini ialah kekuatan ilmuan silam. Yang kadang-kadang diremehkan oleh sarjana-sarjana tempatan tanpa usaha memahami, menghadam, karya-karya besar. Kitab Munyatul Musalli itu adalah kitab mengenai solat. Tidakkah aneh kitab mengenai solat dan serba jenis solat sunat ditamatkan dengan kupasan penting tentang tatakelola, kepimpinan yang harus adil, mesti menolak kezaliman. Sebab itu dalam karya, dalam majalah Critical Muslim saya tulis judulnya ialah ‘Justice for Praying Person’, maknanya berbicara tentang solat tetapi dikaitkan solat itu dengan soal keadilan dan soalan negara. Perkara itu sangat penting, tidak semestinya diamalkan begitu tetapi itulah kekuatan alim dan ilmuan Islam yang patut kita hadam dan telaah supaya ada maksud dan mesej kepada masyarakat dan rakyat tempatan.
- Jadi tugas kita sekarang dan saya percaya dalam keadaan saya sekarang alhamdulillah saya telah minta rakan-rakan Jemaah Menteri keseluruhannya supaya melihat MADANI ini sebagai satu konsep untuk mengangkat martabat dan kehormatan bangsa dan negara. Tentunya mengutamakan tunggak ekonomi tetapi ekonomi juga berbeza dengan ekonomi yang asyik dan obses dengan pertumbuhan, angka dan data kepada ekonomi manusiawi dan jangan kita bicara soal pertumbuhan sambil mengenepikan soal nasib manusia yang melarat. Rakan-rakan bertanya, dari mana saya dapat idea untuk menekankan soal keadilan dan membebaskan rakyat daripada belenggu kefakiran terutama kemiskinan dan agak keras dalam menentang penyelewengan dan rasuah. Saya fikir tentunya dari kefahaman saya sebagai seorang muslim dan juga dari karya-karya agung. Aspek kemanusiaan itu sangat tebal dan kuat. Walaupun ada kontroversinya dalam setiap karya A. Samad Said, ‘Salina’ pun kontroversi, ‘Wira Bukit’ kontroversi, Hujan Pagi mungkin.
- Tetapi aspek kemanusiaan itu diberi penekanan begitu sekali dengan sangat mengesankan dan bagaimana kita yang membaca dan menelaah dari Al- Quran ke hadis ke karya-karya besar, sasterawan negara dan lain lain. Bila mana kita diberi amanah untuk mentadbir dan mengelola dan memimpin semua aspek itu dikesampingkan. Bahawa dianggap jawatan Perdana Menteri iaitu Menteri Kewangan dan Menteri-Menteri dan penguasa besar itu hanya kesempatan untuk memunggah kekayaan untuk diri dan anak-anak, menantu. Sebab itu saya bertekad untuk berkeras dalam hal ini menghentikan budaya ini tanpa mengira dari kelompok mana, parti mana, kaum mana. Negara ini mesti diselamatkan dari rompakan besar oleh pemimpin-pemimpin negara dan sudah tentunya untuk tugas besar ini kita menghadapi risiko. Kalau tidak, apa makna kita baca Sulalatus Salatin, apa maknanya? yang memberikan kekuatan tasawuf, mengenal diri sebagai makhluk terhadap khaliknya.
- Apa maknanya membaca Iskandar Zulkarnain yang juga dari segi karya Melayu itu berteraskan al-Quran dan mesejnya universal. Orang Melayu ini tidak pernah diajar dilatih terutama dari karya-karya besar mereka itu terperangkap di bawah tempurung perkauman yang sempit. Semua karya-karya itu universal Saya memberi beberapa contoh karya nipis oleh Sheikh Daud Abdullah Fathani yang bicara soal solat, bicara soal adil yang universal keadilannya, bicara tentang Raja-Raja Melayu, khalifah besar mahupun sejarah Yunani. Kalau tidak untuk mengajar kita, untuk apa kita menyingkap?.
- Jadi ada tugas kita yang besar, pertama, menggali sumber-sumber ini. Terima kasih kepada saudara Akhtar Zali dan kawan-kawan yang terus tekun untuk menghasilkan karya ini, menterjemah dan alih asal. Karya-karya ini harus dipopularkan. Kita tidak mahu Yayasan Karyawan ini hanya berlegar di kalangan elit. Yang memenuhkan buku mereka di perpustakaan peribadi, tanpa membaca karya-karya tersebut. Jadi, harus ada program seumpama ini. DBP dan Yayasan Karyawan mesti terus mempromosikan terjemahan.
- Tradisi kupasan buku seperti mana yang ramai sasterawan negara sering turun ke bawah. Ataupun saya ingatkan Nik Safiah dalam soal hadiah bahasa itu sentiasa ada rencana-rencana untuk meneruskan usaha mereka. Di kalangan pelajar, di kalangan mahasiswa, di kalangan graduan dan di kalangan masyarakat.
- Insya-Allah saya akan berikan apa sahaja sokongan yang perlu kerana bagi saya ini soal kelangsungan hidup negara bukan sahaja berdasarkan kekuatan ekonomi tapi dari segi tatakelola survival bangsa ini ialah kerana mengekalkan tradisi baru, tradisi yang sebenarnya yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu iaitu pimpinannya bersih, bertanggungjawab, faham erti pembangunan dan pemerkasaan budaya bangsa sendiri.
- Untuk keperluan dana, dalam Belanjawan MADANI saya umum RM20 juta. Walaupun katanya tidak cukup tapi itu permulaan, selesaikan dalam satu tahun ini RM20 juta. Allahyarham Datuk Hassan Ahmad sewaktu hidup, dia sangat tersinggung bila saya dalam ucapan di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu mengatakan proses penerbitan buku-buku di Dewan Bahasa dan Pustaka ini di antara yang paling lembab. Semua kakitangan mengeluh dan membantah saya, tetapi ada kebenarannya. Kalau tidak percaya, tanya sasterawan Negara. Tapi ini boleh diperbaiki dan alhamdulillah diperbaiki.
- Walaupun Datuk Hassan tersinggung tapi kemudian saya minta dia jalankan inisiatif untuk ikhtiar Yayasan Karyawan. Mula RM20 juta. Yayasan Karyawan meminta RM3 juta khusus untuk kegiatan tahunan mereka, saya luluskan. Dan saya sedia RM2 juta ringgit tambahan untuk popularkan karya-karya Sasterawan Negara. Ini permulaan yang baik. Saya harap Dewan Bahasa dan Pustaka lihat karya-karya Sasterawan Negara dari sudut daya usaha untuk mempopularkan. Kita ada karya agung yang harus ditelaah, kita teruskan karya. Jadi untuk tahun ini saya sediakan RM2 juta tambahan dan saya minta Dewan Bahasa beri ini sebagai keutamaan.
- Sasterawan Negara ini semuanya merupakan senior Jadi tolong beri pengiktirafan yang sewajarnya dan segera supaya jangan dilengahkan. Sementara Yayasan Karyawan, kita boleh mantapkan kedudukan dia kerana saya mahu karya-karya kalau boleh 50-60 judul baru diterbitkan kembali supaya kita boleh kembangkan karyawan agung dunia, satu karya Melayu, kemudian karya Islam dan dunia yang boleh kita fahamkan.
- Untuk seseorang menjadi warganegara dan seorang cendekiawan saya percaya akarnya sastera dan budaya Melayu dan budaya dunia tentunya Islam dan budaya-budaya lain kerana kita hidup dalam masyarakat yang kosmopolitan yang harus juga menunjukkan keupayaan kita memahami budaya dan tamadun lain. Saya berharap dana kecil RM25 juta untuk tahun ini dapat dimanfaatkan untuk berkarya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut terjemahan dan Yayasan Karyawan. Oleh itu adalah tugas Kementerian Pendidikan untuk selaraskan, dan jangan kerja dalam silo.
- Selain itu, saya hanya mohon pandangan, teguran, kritikan saudara-saudara dan juga cadangan-cadangan bagaimana boleh kita tingkatkan usaha memartabatkan bahasa dan mengangkat budaya dengan usaha menggali khazanah bangsa itu sendiri. Saya tidak mahu kekeliruan kerana seperti mana saya sebut kalau dalam wacana politik ini ada pelbagai. Seolah-olah kalau Anwar jadi Perdana Menteri bahasa akan ditinggalkan, budaya Melayu akan ditinggalkan, LGBT akan disahkan. Bagi saya ini polemik sia-sia dan ini mesti berakhir. Sekarang kita berikan amanah tumpu apa lagi langkah yang perlu untuk memartabatkan bahasa. Apa lagi langkah yang perlu untuk memantapkan penguasaan bahasa, antaranya dikalangan pelajar-pelajar dan rakyat secara umumnya. Apa yang perlu kita lakukan untuk merealisasikannya.
- Memartabatkan budaya melalui sastera dan menggali khazanah bangsa adalah tugasan saudara-saudara. Renung, kemukakan pandangan dan ambil sikap yang sangat terbuka. Apa sahaja yang baik yang mampu kita lakukan, insya-Allah saya lakukan sebaiknya. Dan untuk hari ini saya ambil kesempatan untuk ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan terutama yang telah berusaha, ikhtiar menjayakan hasil karya Agung SAYR-Al-Salikin dan juga Hikayat Iskandar Zulkarnain.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacitanya meluncurkan 2 karya Agung Melayu, SAYR-Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021