NOTA PERCAKAPAN PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI
PERUTUSAN KHAS SEMPENA PERAYAAN AIDILFITRI 2023
Kerajaan Perpaduan bersetuju melaksanakan beberapa ikhtiar khas bagi meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
(1) Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol RAHMAH Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini. Tol RAHMAH Percuma akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga pada 24 April 2023 (Isnin).
Pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan. Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung.
(2) Kerajaan amat menghargai sumbangan para pengusaha Menu RAHMAH yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Pada masa yang sama, Kerajaan turut cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
Oleh hal yang demikian, bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu RAHMAH, Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu RAHMAH pada kadar diskaun khas.
Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu RAHMAH yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan.
(3) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya). Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023. Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.
Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 and 19 April 2023 dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan. Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April 2023 bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas.
(4) Sempena Aidilfitri yang mulia, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti). Ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
(5) Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi keutamaan berhubung penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat. Bagi merealisasi hasrat ini lebih-lebih lagi dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat, Kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik. Ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.
Mengambil kira pengurangan harga simen ini berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang telah diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan. Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit.
(6) Pagi tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023. Kerajaan Persekutuan amat memahami kepentingan dan keperluan penyelenggaraan berkala di Jalan Persekutuan supaya jalan sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat. Ini khususnya melibatkan masalah jalan raya berlubang sebagai antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan kerja tersebut akan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera. Maka, peruntukan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan sebanyak RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan meningkat kepada RM 1 bilion.
(7) Memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.
Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.
Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.
Kerajaan Perpaduan terus komited memastikan kebajikan rakyat di bawah Malaysia MADANI sentiasa terbela dalam segenap aspek. Diharap dengan pelbagai ikhtiar dan program khas yang dilaksanakan, semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat memberi seribu makna buat seluruh rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM
18 April 2023
Similar Posts:
- PM ANWAR UMUM TOL PERCUMA 20, 21 JAN SEMPENA TAHUN BARU CINA
- PM ANWAR BERI KEUTAMAAN TANGANI ISU KOS SARA HIDUP
- PASCA PRU15: ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM TERUS SEMPURNA TUGAS DEMI RAKYAT, NEGARA – MOHD ZUKI
- PASCA PRU15: ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM TERUS SEMPURNA TUGAS DEMI RAKYAT, NEGARA – MOHD ZUKI
- PM ANWAR SEMBAH MAKLUM KEPADA AGONG BELANJAWAN 2023