TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2023
11 MAC 2023
STADIUM INDERA MULIA, IPOH, PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah,
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad,
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim;
YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin,
Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Perak;
Datuk Seri Huang Tiong Sii,
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim;
YB Dato’ Haji Rosli Bin Isa,
Ketua Setiausaha
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat hadir di Ipoh sempadan Tambun untuk bersama-sama menjayakan Hari Air Sedunia.
- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ini adalah di antara kementerian yang besar, gabungan dua (2) kementerian yang tentunya punyai tanggungjawab yang besar. Sumber air, sumber kehidupan, sumber kemampanan menjadi tunggak dalam konsep Malaysia MADANI. Sebab itu, tentunya tanpa air akan terkesan alam sekitar dan tanpa air perubahan iklim itu tidak mungkin terkendali. Sebab itu saya telah memberi mandat kepada menteri yang juga tokoh muda untuk dibebankan dengan kerja yang lebih serta bidang tugas yang lebih besar.
- Pendekatannya agak berbeza, sebab dia ada sinergi di antara satu sama lain. Kalau pengalaman dulu dilihat ada ketegangan di antara kementerian yang harus mengurus sebagai satu badan induk menyusun kerangka strategi dari segi bekalan air, tebatan banjir, alam sekitar dan mendepani permasalahan perubahan iklim yang kian kritikal dan mencabar. Jadi saya harap rakan-rakan dalam keluarga kementerian ini tidak hanya dalam kerangka pemikiran lama, tetapi memikir bagaimana kita mendepani permasalahan ini dan menyelesaikan masalah-masalah.
- Sumber asli sekarang sudah berbeza dari dahulu, kalau sumber asli dahulunya getah dan bijih timah, sekarang lebih meluas, hasil galian baru yang harus kita manfaatkan untuk pembangunan negeri dan juga negara.
- Semalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saudara Nik Nazmi bentangkan tentang pendekatan kita yang akan diperhalusi dan dicerakin, iaitu tentang bidang-bidang baru serta peluang baru yang dulu tidak difikirkan, termasuklah inisiatif di Sarawak disebut ammonia, tenaga hidrogen, electric vehicle, ini hal-hal yang baru. Kadang-kadang orang lama seperti saya ni membingungkan, sebab itu kita minta tokoh-tokoh baharu fikir dan buat sebaik-baiknya dan ini merupakan cabaran kepada beliau.
- Saya hendak tekankan satu-persatu, bagaimana satu negeri dan negara di mana air melimpah jenuh orang perak kata, tapi ada beberapa tempat, air tidak ada. Maknanya Allah kurniakan kita kemudahan ini tapi kita tidak dapat uruskan dengan baik bila bekalan air di beberapa tempat terputus.
- Sebab itu saya kata kerjasama dan sinergi kerajaan persekutuan dan negeri itu patut lebih erat dan kuat lagi. Ini kerana dari segi pemantauan, kuasa memantau, bekalannya, dan juga penyaluran air itu kadang-kadang merentas negeri. Sebab itu kuasa pemantauan itu harus dimantapkan antara kerjasama persekutuan dan negeri yang punyai kuasa air.
- Kemudian kita bincang tentang isu tebatan banjir yang menjadi kontroversi. Saudara-saudara, masalah banjir, masalah besar dalam negeri. Bukan masalah Sungai Perak ataupun banjir kecil-kecilan di Manjoi. Tapi masalah yang memberi kesan kepada rakyat umumnya. Setiap kali banjir maknanya simpanan dia, keperitan hidupnya, semuanya terkesan.
- Oleh yang demikian, kerajaan telah meluluskan peruntukan yang besar untuk tebatan banjir ini, iaitu sebanyak RM15 bilion. Uruslah dengan baik tebatan banjir ini kerana hendak menyelamatkan nyawa orang, harta benda dia dan simpanan dia. Janganlah guna tebatan banjir untuk mentekedarah duit.
- Sebab itu saya keras dan tegas dalam soal ini. Ada yang sudah marah, doa, solat hajat marah saya. Yang saya hendak buat ini adalah untuk memastikan pengurusannya betul. Semasa kita ambil alih kerajaan, sepertimana yang saya ulas di parlimen hari Khamis baru-baru ini, sudah diluluskan. Diluluskan ikut rundingan terus. Rundingan terus maknanya mari satu syarikat runding-runding hari ini harga sekian, syarikat ini jalan.
- Tidak semestinya salah, tetapi salah rundingan terus ini, kerana ada kira bicara lain di bawah meja. Ini menjadi masalah kerana kos menajdi tinggi. Bukan kita tidak percaya kepada pegawai di JPS, KSU atau menteri. Tetapi sistem itu kena betul. Sebab itu dalam Al-Quran, bila kita buat perjanjian, dia suruh perjanjian bertulis kalau boleh, dalam apa-apa perkara hutang-piutang perniagaan. Ya Ayyuhalladzina amanu Aufu bil uqud artinya : Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah janji-janji, bermakna perjanjian itu ditetapkan, sudah tentunya ada peraturannya. Ini pula dalam hal ini kita runding tanpa kaedah yang teratur.
- Dalam konteks tebatan banjir apabila kita kaji balik harganya terlalu tinggi. Jadi sebab itu kita minta batalkan kelulusan lama dan minta disegerakan proses perolehan yang lebih telus dan teratur. Panggil syarikat itu, panggil 2-3 syarikat lain walaupun terhad. Tengoklah kira bicara macam mana, boleh buat atau tidak boleh buat. Jangan pula berkira syarikat itu syarikat geng kita, itu kawan kita atau keluarga kita. Kita perlu fikir masalah banjir ini orang susah kesannya kepada orang ramai. Itulah yang kita lakukan sekarang.
- Saya sudah bagi arahan dan saya ingatkan saudara Nik serta KSU Rosli, saya tidak mahu lengah. Saya sebutkan kepada KP JPS tadi, saya kata tidak ada main-main, bulan Jun saya fikir kena take-off peringkat pertama. Kalau tidak saya akan panggil KSU dengan JPS datang pejabat. Saya percaya, saya sebut ini kerana saya yakin insya-Allah mereka boleh lakukan. Maknanya bukan hendak lengahkan tetapi hendak jimatkan dan pastikan setiap sen yang kita gunakan itu tidak disalahguna.
- Jadi bila kita buat tender terhad cepat, kos rendah pula. Bagaimana kalau dahulu RM2 bilion sekarang jadi RM1 bilion, atau dahulu RM600 juta sekarang RM300 juta. Saya tidak tentukan, saya tidak tahu. Tetapi kena ikut pakar-pakar kejuruteraan dan kewangan kaji. Ini yang kita lakukan, kita bincang kerana ini soal hidup, soal tebatan banjir, soal keselamatan keluarga, mana mungkin setiap tahun negara sudah merdeka kaya-raya, hasil puluh bilion tapi setiap tahun redah banjir.
- Kita kena ambil keputusan yang betul dan selamatkan negeri ini. Sekurang-kurangnya ikhtiar kita, apakah boleh kita pastikan tidak akan berlaku banjir? Tidak. Tetapi boleh menjamin sekiranya ada projek tebatan banjir. Murah ke tidak, ada yang sampai RM600 juta, ada yang mahal sehingga RM900 juta.
- Jadi saya jelaskan bahawa isu tebatan banjir, pengurusan di semua peringkat mesti ingat ini agenda selamatkan nyawa rakyat. Ini agenda selamatkan kehidupan dan harta benda rakyat. Jangan digunakan kesempatan untuk mencuri harta orang.
- Jadi apakah ia patut dilengahkan? Tidak. Dipercepatkan proses dan kementerian akan bawa ke Kementerian Kewangan. Saya sudah beritahu Kementerian Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan bahagian perolehan, untuk ini bagi keutamaan cepat.
- Kemudiannya tentang isu bekalan air, program-program bekalan air di Perak, masalah bekalan air tidak serius berbanding di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan lebih berat, maka fikir, ini kerja kementerian. Bagaimana boleh kita salurkan, dari mana bekalan air yang besar untuk selatan Pahang dan untuk Pahang ke Wilayah ke Selangor ke Johor, dan juga ke Singapura.
- Dari mana modalnya, berapa kos kita hendak jual kepada Singapura? tentunya kita runding. Tidak boleh cara dahulu, kita buat silap sekali, kemudian setelah buat perjanjian bergaduh puluh tahun tidak boleh selesai. Jadi baru-baru ini bila saya jumpa Perdana Menteri Lee Hsien Long di Singapura, saya kata saya setuju bekalkan air, tetapi keutamaan untuk orang Pahang, Wilayah, Selangor dan Johor, manakala yang lebih kita jual kepada Singapura dengan harga baru yang munasabah dan berpatutan.
- Kalau kita sanggup buat kerja-kerja ini dengan teratur, saya pasti tidak kan menjadi masalah. Saya hanya terangkan dasar dan konsep yang kita patut lakukan. Maknanya kita kena fikir ini soal baru, bila soal air di Pahang, hendak bawa ke Johor sampai ke Singapura itu perkara baru.
- Apakah ada keuntungan kita? keuntungannya kita boleh bangunkan negeri Pahang dan dengan membangunkan sumber, mempertahankan sumber air negeri Pahang, bersih, kita boleh salurkan untuk tambah keperluan negeri-negeri lain.
- Jadi sebenarnya ada dua (2) tanggungjawab besar berhubung soal air belum lagi alam sekitar dan sumber asli. Maknanya tebatan banjir satu hal, bekalan air satu hal.
- Ada sahabat karib saya dari Amman, Jordan yang mempunyai ladang pokok zaitun. Katanya dalam satu tahun hujan lebat dua (2) kali setahun di Amman. Tapi saya kata macam mana boleh tanam pokok zaitun sebab tanaman tersebut memerlukan banyak air. Beliau kata dia buat sistem yang mana apabila hujan dia simpan air dalam satu (1) kolam besar yang boleh guna untuk 6 bulan. Kita banjir 3 kali setahun, tetapi bila masa kemarau, air tidak ada juga. Maknanya tidak guna kepintaran, tidak guna kebijaksanaan dan sumbangan yang Allah berikan itu dimanfaatkan dengan perancangan yang baik.
- Dia buat ladang pokok zaitun sudah berpuluh tahun. Setiap tahun dia hantar dekat saya minyak zaitun. Baru-baru ni dia tahu saya jadi Perdana Menteri jadi tanggungjawab banyak dia hantar banyak bertin-tin. Kemudian Kastam kata kena bayar cukai. Sebab saya tidak bagi tahu ini Anwar Ibrahim punya, saya bayar RM500. Pasal apa pula, bukan saya jual. Bukan saya meniaga. Tapi saya hendak tunjuk, saya hendak bagi contoh, kalau Perdana Menteri ambil minyak zaitun untuk dia, keluarga, kawan-kawan dan staf perlu bayar RM500, jadi semua Menteri, KSU, pegawai-pegawai mesti ikut peraturan yang sama. Barulah negeri ini boleh selamat.
- Dengar baik-baik saudara Nik Nazmi, tahun depan tidak mahu dengar lagi masalah kemarau tidak ada air. Bagaimana hendak buat? itu bukan kerja saya, itu kerja anda. Mengapa saya cerita begini? kerana bila saya duduk banyak tahun di rumah dia dahulu, saya tengok kebunnya. Saya tengok tank yang dibuat, jadi saya rasa aneh. Hujan lebat dua (2) kali setahun, dan dia boleh pastikan air yang disimpan digunakan sepenuhnya untuk pohon zaitun berpuluh-puluh ekar itu hidup.
- Maknanya ikhtiar, maknanya sains, maknanya teknologi, maknanya penyelidikan, maknanya usaha memikir luar daripada kotak atau pemikiran jumud. Ini kita pakai kotak lama, berfikir cara lama 40 tahun yang lalu, guna yang itu lah juga sampai sekarang tanpa memikir kaedah-kaedah baru.
- Ini untuk masalah air, jadi saya tengok ada pelan sekarang ini, Pelan Transformasi Sektor Air. Saya belum diberi taklimat mengenai pelan tersebut secara terperinci dan saya mengaku saya belum baca habis. Saya tidak tahu masalah ini masuk atau tidak, ini kerja Nik Nazmi.
- Apa yang saya sebutkan tadi soal tebatan banjir, soal air yang melimpah, macam mana hendak simpan? di Malaysia patut tidak ada masalah musim kemarau. Sebab limpahan hujan dan air itu terlalu banyak. Oleh itu, saya sebut tentang Transformasi Sektor Air, WST 2040 dan itu kerja menteri, KSU dan semua pegawai-pegawai.
- Sekiranya saya berkelapangan dalam sebulan 2 bulan ini saya pergi melawat ke kementerian. Saya hendak dengar apakah sudah ada jawapan kepada soalan-soalan saya bangkitkan. Saya percaya ada sebab itu saya berani lontarkan secara terbuka.
- Jadi saudara-saudara percayalah ada isu lain berkaitan alam sekitar seperti masalah hutan, masalah hijau dan lain-lain. Tapi saya nak manfaatkan waktu ini sekadar mengajak saudara untuk faham mengapa dalam Kerajaan Perpaduan ini kita cuba bawa perubahan.
- Tidak ada niat lain, selain daripada tema program kita hari ini, iaitu “Accelerating Change” – pemesatan perubahan. Tadi saya tengok YB Nizar ada sebut istilah lain, iaitu “pemacuan”. Pemacuan itu menjalankan dengan kapasiti cepat. Tapi kalau pesat lagi perubahan, dulu kalau teori-teori Management Guru, Peter Drucker dan lain lain ini dia cakap tentang “Managing Change”, iaitu bagaimana hendak menangani perubahan. Begitu juga saya, pada sekitar tahun 80-an saya pernah tulis buku mengenai menangani perubahan. Tetapi sekarang adalah waktu yang tepat untuk kita mempercepatkan perubahan tersebut. Ayat al-Quran dalam soal reform dan reformasi iaitu islah in uridu illal islah mastataktu – kita berdoa kepada Allah SWT, doa Nabi Allah Syu’aib AS, tidak ada pekerjaan yang lebih baik selain daripada membawa perubahan (reform).
- Reform seperti saya maksudkan, konteks perubahan itu selamatkan alam sekitar, selamatkan kehijauan, selamatkan bekalan air kita dan urus sumber asli supaya memberi manfaat kepada lebih ramai.
- Tadi di Pesta Landskap KPKT saya ingatkan tentang ayat al-Quran, iaitu ummatan wasata – umat yang seimbang ini umat yang jaga dunia dan akhirat, iman dan ilmu, manusia dan sekitarnya itu harus seimbang. Kalau guna kuasa, habis balak sehingga menyebabkan banjir, habis bukit-bukit diratahnya sampai rosak alam sekitar. Wa kadhalika ja’alnaakum ummatan wasatan litakuunu syuhadaa’a ‘alan-naasi wayakuuna ar-rasuulu ‘alaikum shaahidaa., jadi kita hendak jaga ini, keseimbangan yang disebut equilibrium, keseimbangan iman dan ilmu, akal dan kalbu, duniawi dan ukhrawi, material and spiritual, man and nature baru ada maksud keseimbangan.
- Saudara-saudara, kementerian ini adalah kementerian yang sangat penting, yang kritikal untuk menjaga persekitaran dan kemampanan (sustainability) negara yang kita sebut sebagai Malaysia MADANI. Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih serta menitipkan doa supaya semua mendapat keberkatan dan negara selamat daripada segala malapetaka dan bencana dengan syarat kita terus urus dengan baik dan tawakkal kepadaAllah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR DISEGERAKAN, PERLU BEROPERASI MULAI JUN INI – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- KELULUSAN PROJEK TEBATAN BANJIR BERNILAI RM7 BILION MELALUI RUNDINGAN TERUS DITELITI SEMULA – PM ANWAR