TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
BAGI BULAN MAC 2023
6 MAC 2023 | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI,
PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdu lillahi llazee nahmaduhu wa nusalli ala rasoolilah kareem.
YBhg. Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya ambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Peguam Negara yang diminta meneruskan tugas beliau sebagai Peguam Negara, sementara YBhg. Datuk Dr. Zulkapli Mohamed sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baru dan juga YBhg. Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Saya doakan semoga Allah SWT memberikan kemudahan kepada mereka agar dapat membantu memantapkan lagi tugas kita dalam menyempurnakan tanggungjawab dan mengangkat martabat penjawat awam agar lebih baik daripada sekarang.
- Orang bertanya mengapa kita bicarakan tanggungjawab untuk memperbaiki, jadi saya tegaskan dalam perjumpaan-perjumpaan lalu sebagai seorang muslim itu manusia sentiasa dan mesti ‘Itqan Fil Amal’ iaitu kecemerlangan dalam tindakan. Dalam rumusan hadis Nabi Muhammad SAW maknanya tidak ada gerakan melainkan untuk membawa kecemerlangan dalam amalan kita ‘Itqan Fil Amal’.
- Walaupun kita sekarang ini hanya sedar tentang kecemerlangan itu kerana strive for excellence oleh Peter Draker ataupun management Guru yang lain. Tetapi dalam konteks itu juga excellence atau ‘Itqan Fil Amal’ dalam konteks Islam itu sebenarnya lebih mencakupi, sebab itu saya guna istilah MADANI kerana ia lebih menyeluruh, ada nilai kerohanian, akhlak, nilai selain daripada kepantasan, kecekapan dalam urusan, tindakan dan pentadbiran dan duniawi jadi lebih mencakupi kesemua aspek.
- Malah dalam kehidupan, dalam pendidikan, teras dalam hadis Nabi Muhammad SAW itu adalah ‘Addabani Rabbi fa-ahsana ta’dibi’ iaitu penyempurnaan ilmu itu dalam penyempurnaan adab. Mohon kepada Allah Taala perbaikilah adab kami. Adab dan akhlak dalam pembinaan tamadun dalam konteks MADANI. Tidak apalah ada orang yang membangkang, mereka kata tidak ada Islam dalam konsep MADANI, tidak mengapa, dalam masyarakat kita perlu diberi ruang untuk orang memberikan pandangan berbeda dan mungkin ada kebaikan untuk kita memperbaiki usaha kita.
- Perkara kedua ialah tentang banjir. Semalam saya ke Johor. Saya perhatikan jentera kita di peringkat persekutuan dan negeri itu dari segi kepantasan bertindak itu jauh lebih baik. Terima kasih kerana YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri turun segera dan juga YB Armizan yang sentiasa beri laporan harian. Bukan hanya menteri-menteri turun, tetapi saya lihat tindakan penjawat awam dan saya sempat juga dengan Pegawai Daerah bersama Menteri Besar dan Ketua Polis serta lain-lain. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana tidak payah tunggu arahan, dia sudah tahu apabila banjir, apakah tindakan pantas yang perlu diambil. Umpamanya tentera dalam bailey bridge, apabila saya bertanya, dia kata sudah dalam proses menyiapkan, 2 hari selepas tu siap. Jadi ini maknanya ‘Itqan Fil Amal’, ada kesedaran di kalangan semua peringkat, khususnya penjawat awam melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas.
Rakan-rakan sekalian,
- Orang yang mengalami masalah itu tidak sama seperti kita, mereka tidak mampu menunggu berhari-hari, makan minum dalam tempoh umpamanya 1/2 hari dan selewat-lewatnya sebelum 24 jam makanan sudah sampai, melainkan di tempat-tempat yang terputus, yang mengambil masa satu hari. Jadi saya bersyukur dan saya ingat elok saya gunakan kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan rasa bangga bukan sahaja kepada yang hadir di sini tetapi kepada semua penjawat awam termasuk di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan yang lain-lain yang telah bertindak pantas.
- Saya ingin memberikan dukungan dan galakkan kepada semua penjawat awam. Insya-Allah hari khamis dalam penggulungan, saya akan gulung bagi pihak JPM dan Kementerian Kewangan selain daripada yang telah dibuat oleh menteri-menteri tentang skim gaji penjawat awam. Saya akan berikan beberapa gambaran yang sangat positif yang baik dari segi hasil kita dari segi pendapatan negara dan juga dari segi jumlah pelaburan yang real bukan MoU Ada orang kata ada beza di antara MoU dengan Mo-Do. Jadi kalau saudara yang senior yang pernah di MITI tahu pengumuman pelaburan RM30 bilion, tapi kadang-kadang 2 tahun tidak sampai lagi.
- Jadi sebab itu saya setuju dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri mengatakan elok kita gunakan kaedah yang berbeza untuk menyatakan apa yang akan berlaku bulan ini atau bulan-bulan berikutnya dari segi tindakan. Dan di antara kejayaan besar kita adalah untuk memperolehi dana dari International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan Abu Dhabi dengan rundingan yang sangat baik yang jauh melebihi jumlah yang kita unjurkan atau harapkan sebelumnya.
- Jadi tahniah kepada Peguam Negara dan jabatannya serta semua yang terlibat dalam rundingan itu. Kita juga tidak sangat bergantung kepada peguam-peguam lain. Ini bukan bermakna bahawa saya tidak menganggap pengambilan konsultan ataupun peguam swasta itu tidak penting. Tetapi saya hendak tunjukkan bahawa tingkat kepakaran keterampilan kita itu kalau kita garap latih, akan memberikan ruang kepada yang muda untuk terampil.
- Sebab itu saya beritahu kepada Tan Sri KSN, bukan saya menentang pengambilan terlalu banyak konsultan, tetapi seperti mana yang pernah saya tekankan dan saya saksikan kompetensi pegawai itu ada, maknanya kalau dia perlu 1 atau 2 konsultan bantu itu munasabah, tetapi dia sendiri memimpin, mampu memandu dan mengemudi projek itu adalah lebih baik sekali gus dapat memberikan pendedahan yang baik kepada barisan penjawat awam yang lebih muda.
- Saya hendak dalam pentadbiran sekarang ini kita kembalikan semula peranan kita, maknanya tugas besar dalam penilaian itu adalah tugas penjawat awam. Dibantu sedikit oleh syarikat-syarikat yang besar seperti International Petroleum Investment Company (IPIC), contohnya. Dalam hal itu bukan sahaja Jabatan Peguam Negara, SPRM, Kementerian Kewangan, Tengku Zafrul, malah Tuanku Yang Dipertuan Agong juga telah memanfaatkan hubungan baik dengan Sheikh Muhammad bin Zaid untuk meleraikan beberapa perkara. Saya hanya menumpang tuah sahaja.
- Buktinya, USD1.8 bilion atau RM8 bilion yang masuk dalam tabung negara ini bukan pelaburan, tetapi ini adalah dana tunai. Maknanya kalau unjuran saya minggu lalu, di dalam belanjawan dengan sedemikian membuktikan bahawa apa yang saya sebut pada ketika itu, saya yakin keadaan akan bertambah baik kerana saya sudah maklum dengan perkara ini, cuma saya belum tahu USD1.5 atau USD1.57 dan USD1.8 dan akhirnya kita peroleh USD1.8 bilion melebihi RM8 bilion ringgit.
- Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat. Ini yang melegakan saya apa?, dan saya sebut kepada Sheikh Muhammad Zaid dalam perbualan telefon dan tentunya kepada Tuanku Yang Dipertuan Agung. Maknanya kalau kita serahkan trust dan keyakinan ini kepada pegawai-pegawai dan beri contoh yang baik supaya jangan ada kepentingan pimpinan yang di atas untuk sebarang rundingan yang tidak wajar jadi pegawai itu boleh pergi dengan yakin, dia dapat mandat penuh daripada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri mengatakan do your best dan we trust you fully, apa decision kita support sepenuhnya.
- Alhamdulillah ini satu contoh yang saya tunjukkan bahawa ada kadar keupayaan dan kepakaran di kalangan kita. Kita mahu manfaatkan dan dengan sendirinya memulihkan imej penjawat awam ini sebagai sesuatu yang terbaik di negara kita dan juga di rantau kita, insya-Allah.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih. Ada juga hal-hal lain yang tidak saya ulas pada hari ini. Sekiranya banjir ini melanda ke Sarawak dalam masa singkat, kita doa mudah-mudahan dapat dihindari malapetaka yang lebih besar, tetapi saya mahu tindakan yang sama atau lebih baik sepertimana yang saudara-saudari lakukan di negeri-negeri dan yang saya saksikan sendiri di Johor. Alhamdulillah, mereka doing very well and extremely proud of the performance of the entire team, including the NGO yang terlibat.
- Untuk Sarawak TPM akan selaraskan tapi saya percaya kita dapat kekalkan prestasi itu dan maknanya arahan itu patut datang sekarang, jangan tunggu banjir baru ada arahan, itu yang saya lihat di Johor. Ini yang istimewanya kerana sebelum banjir jentera sudah siap siaga dan ini yang memudahkan tindakan. Dan saya mahu hal yang sama berlaku.
- Dan sebab itu untuk JPM serta badan penguatkuasaan lainnya dan juga Kementerian Kewangan, saya kata tidak payah tunggu kelulusan belanjawan sepenuhnya kerana belanjawan telah diluluskan sebahagiannya pada bulan Disember. Jadi sudah boleh teruskan jangan tunggu macam tebatan banjir dan sebagainya, jalan, tapi ikut proses. Jangan jalan runding terus. Runding ikut keperluan tender tetapi fast track, tidak payah tunggu. Ada yang persoalkan tanya kerana hendak tunggu sehingga kelulusan itu untuk projek-projek tambahan untuk berikutnya itu, mungkin. Tapi kalau untuk sekarang arahannya ialah laksanakan segera.
Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR