TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JANUARI 2023
16 JANUARI 2023
DATARAN BANGUNAN PERDANA PUTRA, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera.
Alhamdulillah. Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolillah Kareem
YAB Dato’ Seri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri,
Menteri-menteri,
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali
Ketua Setiausaha Negara,
Dan rakan-rakan yang saya muliakan.
1. Kita panjangkan rasa syukur kepada Allah Taala. Semalam seharian kita ada pemukiman menteri-menteri. Ada kelainan dari segi pelaksanaannya, pertama, bukan sahaja menteri yang memberikan pandangan, perubahan, tetapi kita undang Ketua Setiausaha Negara, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Ismail Adam dan beberapa ketua jabatan supaya ada keserasian, kesefahaman di antara pimpinan eksekutif negara dan juga penjawat awam.
2. Jadi ini agak julung kali diadakan di mana, menteri-menteri mendengar pandangan. Namun, beberapa pandangan lain seperti dari Peguam Negara, SPRM dan lain-lain tentang bidang tugas dan peranan masing masing belum berkesempatan untuk dibentangkan. Dan ini tekad saya supaya ada kesefahaman yang baik serta suatu tingkat kerjasama kerana sebenarnya dalam mengurus negara dan apatah lagi kalau ada minat untuk bawa pembaharuan, mesti ada suatu kesedaran bahawa kita bekerja dalam satu pasukan, dan harus mantap. Jadi saya ucap terima kasih bukan sahaja rakan-rakan menteri tetapi juga kepimpinan perkhidmatan awam yang telah memberikan dukungan ke arah semangat perubahan ini.
3. Natijahnya apa?, Kita serap apa yang disebut sebagai humility. Dengan tawaduk bahawa ada kekuatan dan sumbangan yang lalu daripada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al Haj sehinggalah kemudiannya. Ada kekuatan ada kelemahan masing-masing. Malah kalau untuk berlaku adil kepada negara, selalunya kita ambil dari leluhur bangsa. Tidak akan muncul Perdana Menteri pertama, kalau tidak ada kekuatan perjuangan generasi terdahulu yang membawa semangat kebangsaan merubah sistem, menolak penjajahan. Jadi kita selalu datang dengan kesedaran yang sedemikian yang bukan sahaja berlaku di semenanjung yang lebih arif tetapi juga perjuangan yang sama di beberapa daerah yang lebih kental di Sarawak dan di Sabah.
4. Itu yang pertama, keduanya dalam apa-apa sistem mesti ada keinginan dan hasrat untuk bawa perubahan. Saya masih ingat tahun 90-an dulu Peter Drucker yang terkenal dalam bidang pengurusan, di antara buku Drucker yang kurang popular tetapi penting ialah culture of contentment, maknanya budaya selesa. Sistem pentadbiran sedia ada sudah bergerak puluhan tahun, sudah mantap, tetapi harus ada kesediaan humility to acknowledge, ada kekuatannya tetapi bila kita letakkan tokoh baru harus hasrat untuk bawa perubahan. Semua agama begitu, Nabi Muhammad SAW juga begitu, seorang tokoh, Rasul yang melakukan transformasi. Walaupun saya lebih suka dengan reformasi. Tetapi tidak mengapa. Bawa pembaharuan, jadi tidak benar bahawa kita harus ada budaya selesa, culture contentment itu yang mendidik kita. Apa yang saya pelajari dalam masa singkat ini bahawa sekiranya ada pendekatan yang lunak majoriti bersama kita.
5. Menteri-menteri ini bukan dari satu pasukan, saya berentap dengan YAB Datuk Seri Fadillah kurang lebih dengan UMNO. Tetapi untuk belajar menerima kekuatan, mengakui kelemahan dan yang lebih penting, bertekad menyatakan bahawa negara ini harus stabil politiknya. Harus jelas hala tujunya dan harus kuat keinginan hasrat membawa perubahan, mengangkat semula martabat bangsa dan negara dan kalau ada itu kesatuan, wahdatul fikri (kesatuan pemikiran) ke arah itu, maka saya percaya kita boleh lakukan.
6. Langkah-langkah itu sebahagiannya telah diumumkan oleh KSN, sebahagiannya yang saya lontarkan dan rakan-rakan kita, umpamanya tahap kecekapan menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Contohnya baru-baru ini kita menggesa suatu tindakan yang lebih agresif. Bukan untuk mengambil tindakan tapi untuk melepaskan masalah pekerja asing dalam industri perladangan dan juga pembuatan dan dalam bidang bidang tertentu yang nampak sangat kurang dan menjejaskan kadar pertumbuhan negara kita.
7. Jadi saya lihat imigresen menyambut begitu baik. Kemudian beberapa langkah yang kita dukung, sudah ramai orang menganggap bahawa beberapa tindakan kita itu harus lebih telus kerana ketelusan itu penting. Istilah telus itu saya reka semasa belanjawan bukan istilah dalam Dewan Bahasa juga bukan dalam kamus tetapi maknanya tindakan perlu, kelemahan-kelemahan dan kekuatan-kekuatan. Jadi saya harap sambutan itu hangat daripada rakan-rakan, daripada semua jabatan.
8. MAMPU belum ada, Ketua Pengarah mengadu kepada saya. MAMPU buat banyak, tapi Perdana Menteri tidak beri perhatian, tidak benar, sebenarnya kadang-kadang saya bagi perhatian lebih, Itu yang saya lawat kemudian. Sebab dia sudah mantap. Tetapi yang saya tekankan ialah penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, melihat banyak fail-fail, banyak keterlanjuran. Hendak salahkan pegawai kalau minit daripada Menteri apatah lagi YAB Perdana Menteri, dia patuh. Tetapi saya telah memberi pengarahan yang jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu. Apa lagi kalau di kalangan pegawai-pegawai di pejabat saya, atau di pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri. Sebab itu, langkah pertama saya buat arahan dan minta YB Menteri beri kerjasama ialah kali pertama semua SUSK termasuk di Pejabat Perdana Menteri itu harus dari kalangan PTD.
9. Jadi langkah ini diambil tapi saya nak tekankan ia akan hanya berhasil kalau ada kerjasama yang penuh daripada rakan-rakan. Setakat ini, tanyalah KSN alhamdulillah, dengan penjawat awam ini, saya sangat terhutang budi kerana nampak semangat dan sambutan saudara-saudara itu sangat baik, teguran-teguran saya boleh diterima baik. Contohnya, saya sebut kontrak-kontrak yang kadang-kadang komisen terlalu tinggi harganya tidak berpatutan. Bukan saya menuju kepada sesiapa, is a fact, you cannot. We cannot succeed as a nation. Kalau kebocoran dan ketirisan itu begitu banyak dan ramai pegawai terpaksa patuh kerana jika tidak patuh akan ditukar ke Pool, maka sebab itu saya harap saudara beri kerjasama dan kita bersama tingkatkan kecekapan.
10. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan mungkin dalam ruang yang lain saya hendak lontarkan idea dan dengar pandangan saudara-saudara seperti mana saya lakukan dengan semua KSU dan Ketua pengarah. Insha-Allah kita adakan kalau ada apa-apa masalah jangan simpan kerana kita hendak pastikan negara ini bergerak dengan lebih pantas. Tolong sampaikan sama ada kepada saya atau Timbalan Perdana Menteri ataupun kepada YB Menteri supaya kita dapat maklum balas yang baik.
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR