TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELANCARAN MRT LALUAN PUTRAJAYA

 

 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN MRT LALUAN PUTRAJAYA

  

16 MAC 2023 | 4.30 PETANG 

DEPOH MRT, SERDANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah. Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolil Kareem.

 

YB Anthony Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan

 

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari

Menteri Besar Selangor

 

Duta Besar Republik Korea

 

Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri

 

YBhg Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim

Ketua Pegawai Eksekutif

MRT Corporation

 

Rakan-rakan dan semua yang terlibat.

 

  1. Saya berasa bangga kerana pagi ini kita dapat menyaksikan hasil satu projek pengangkutan awam. Projek ini tidak mungkin berhasil tanpa penyertaan semua kalangan yang bekerja bertungkus-lumus menyiapkan mengikut jadual agar dapat memenuhi maksud dan harapan kita untuk melengkapkan dan meneruskan projek mega ini.
  1. Saya sangat bersetuju dengan keutamaan yang diberikan oleh MRT Corporation dan Prasarana dalam melaksanakan projek pengangkutan awam ini. Saya juga bersetuju dengan gesaan Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke yang mana kita sedia maklum bahawa beliau sentiasa menyantuni rakyat dan beliau juga di antara menteri yang sentiasa dilihat cuba bersama menyelesaikan beberapa masalah rakyat, dan kerana dinamiknya beliau itu tentunya Menteri Kewangan akan memberikan perhatian lebih kepada tuntutan-tuntutannya.
  1. Saya imbas sedikit tentang Belanjawan Negara. Tahun ini kita tumpu sekolah dan kesihatan. Dengan kekangan kewangan, hutang begitu banyak dan defisit, tentu kita tidak boleh selesaikan semua masalah dalam masa singkat. Jadi untuk tahun ini kita akan ambil langkah-langkah yang sangat tegas dan berani dengan berbelanja yang jauh lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah-masalah asas prasarana sekolah-sekolah daif seperti isu tandas di sekolah, kelengkapan-kelengkapan sekolah, klinik kesihatan dan kelengkapan perubatan. Sebab itu saudara lihat peningkatan yang agak mendadak bagi peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
  1. Ini tidak bermakna saya tidak beri perhatian kepada YB Datuk Tiong King Sing, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Sektor Pelancongan juga penting kerana dalam sebulan dua ini, saya telah dilaporkan bahawa kehadiran para pelancong lebih tinggi menerusi hasil pemantauan Jabatan Imigresen. Rentetan itu, terdapat keperluan untuk menambah pegawai Imigresen. Jadi, saudara Saifuddin dan KSN akan melihat perkara ini dan menumpukan kepada bidang-bidang yang dianggap mendesak dan perlu. Saya tidak bermaksud untuk meremehkan atau mengurangkan tekanan tentang aspek ini, tetapi dalam strategi yang kita ambil adalah mengikut kemampuan dan secara berperingkat tahun demi tahun.
  1. Sebab itu, selain daripada meningkatkan prestasi semua kementerian, saya mahu masalah sekolah di negara kita dan kemudahan kesihatan yang menyentuh kehidupan semua orang itu disegerakan. Tahun depan, seperti saya bayangkan kepada saudara Anthony Loke soal pengangkutan awam dengan kesesakan yang sebenarnya akan menyinggung soal produktiviti serta mengakibatkan produktiviti negara terjejas kerana kesesakan. Masa yang diambil untuk sampai ke tempat kerja itu adalah masa yang menyebabkan hilangnya produktiviti. Satu kajian yang menarik saya lihat di Bangkok beberapa tahun yang lalu, menunjukkan beberapa bilion dolar hilangan dari aspek produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah. Jawapan kepada penyelesaian masalah ini adalah pengangkutan awam.
  1. Saya letakkan tanggungjawab kepada Kementerian Pengangkutan dan MRT Corporation untuk menetapkan apa keutamaan-keutamaan selain daripada laluan MRT Putrajaya yang kita luncurkan hari ini serta beberapa keperluan lain yang mendesak. Terkait dengan isu ini juga harus diberi keutamaan soal penyelenggaraannya yang harus lebih telus. Justeru, MRT Corporation dan Kementerian Kewangan telah menetapkan kaedah baru yang sangat telus sebelum meluluskan tender besar.
  1. Saya pergi mempengerusikan tanpa mengetahui syarikat-syarikat terlibat, yang saya tahu hanya A, B, C, dan D. Segala penilaian dan pengukuran kriteria dan keupayaan syarikat-syarikat seperti kewangan, rekod latar belakang, kapasiti dari segi teknologi, teknikal, kejuruteraan dan kebolehan dalam urusan umum dibincang dengan wakil Kementerian Pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan. Kita hanya putuskan A atau B atau C atau D, kita tidak tahu syarikat mana.
  1. Kaedah ini menyebabkan kita boleh mengendalikan projek dengan lebih telus tanpa ketirisan, tanpa komisen dan rasuah dan dengan itu kos akan lebih kompetitif. Sebab itu dalam meluluskan semalam kita dapat perkenalkan satu kaedah yang sangat baik. Sebab apa saya tekankan begitu? Pengangkutan awam yang menjadi strategi ini akan menelan belanja yang sangat tinggi. Kos MRT laluan Putrajaya, kos RTS itu semuanya mencecah bilion ringgit. Tetapi kalau tidak diurus dengan baik dan telus ratusan juta itu akan bocor ke akaun lain. Sama ada akaun parti politik atau akaun perseorangan yang menyebabkan negara akan mengalami ketirisan.
  1. Tetapi kalau kita dapat jimatkan dengan pelaksanaan ketelusan, kita dapat bukan sahaja menyantuni tetapi memberi keselesaan kepada rakyat. Jadi ini ada kaitan dengan apa yang ditekankan dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, iaitu konsep MADANI yang lebih telus serta penekanan soal good governance atau tatakelola. Saya tekankan ini kerana ia bukan sahaja perlu kepada orang politik tetapi juga penjawat awam yang sekarang dipantau secara lebih kemas oleh Tan Sri KSN serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan termasuk MRT Corporation yang harus dipantau dengan lebih teliti kerana kerosakan ketirisan ini tidak hanya melibatkan elit politik, tetapi juga aspek pengurusan di pelbagai peringkat.
  1. Sebab itu saya ucap terima kasih kerana telah memberikan suatu pendekatan bersama agar kita dapat menjamin ada ketelusan dan mengelak ketirisan serta kebocoran. Saya tekankan hal ini berulang kali kerana soal kerosakan sistem, kebocoran dan kerosakan ini telah menjadi sistemik, parah di semua peringkat dan sekiranya kita dapat jimat berdasarkan satu sistem perolehan yang lebih telus manfaatnya kepada rakyat.
  1. Kita ambil contoh Yayasan Al-Bukhari, praktis dahulu wang dari Tan Sri Syed Mokhtar itu masuk ke parti RM200 juta. Pendekatan kita sekarang menerusi aspirasi MADANI kita minta beliau serahkan RM60 juta kepada pesawah padi dan 30% keuntungan kepada pesawah padi termasuk petani, pesawah yang miskin di Kedah atau di utara Seberang Perai atau di Selangor. Kita mahu pilih satu sistem di mana wang daripada syarikat besar dialih daripada diberi kepada individu, tokoh-tokoh politik dan parti politik, sebaliknya wang tersebut diserah langsung kepada pesawah padi yang miskin. Ia tidak mudah kerana ada tokoh politik pembangkang yang menyerang saya kerana kononnya saya ini bertindak ke atas seorang pengusaha melayu yang berjaya. Saudara lihat, untuk bantu pesawah padi pun kita kena serang tetapi bila bantu ratus juta ringgit kepada parti politik cium tangannya. Inilah keadaan yang berlaku yang mesti kita usahakan supaya berlaku perubahan. Satu contoh yang memberikan gambaran tentang 2 dasar yang berbeda.
  1. Hari ini kita datang ke sini bagi meraikan suatu projek raksasa yang membanggakan kita dan memberi keselesaan kepada rakyat. Sekiranya projek ini dijalankan dengan telus, ini bermakna kita boleh manfaatkan kelebihan dana itu untuk di digunakan bagi pelaksanaan projek-projek kecil yang lain untuk memberikan kemudahan kepada rakyat.
  1. Saya ucap terima kasih sekali lagi kepada Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke yang kini sedang mempersiapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh yang akan dibentangkan kepada jemaah menteri. Saya berharap isu pengangkutan awam ini dapat ditangani dengan bijaksana demi meringankan beban rakyat.
  1. Saya setuju supaya mulai hari ini bermula jam 3 petang sehinggalah 31 Mac 2023 tiada sebarang bayaran akan kenakan bagi pengguna MRT laluan Putrajaya.
  1. Jadi YB Datuk Tiong King Sing boleh bawa pelancong-pelancong naik, pergi balik pergi balik tanpa dikenakan bayaran. Ini juga merupakan di antara tarikan pelancong. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada seluruh pasukan MRT Corporation, Prasarana Rapid Transport dan Kementerian Pengangkutan di atas komitmen dan kesungguhan merialisasikan projek ini sehingga siap.
  1. Dengan lafaz bismillah bismillahirrahmanirrahim. Saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran MRT laluan Putrajaya.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.