TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SYARAHAN ULUNG SIDDIQ FADZIL – REFORMASI PENDIDIKAN UNTUK KESEJAHTERAAN MASA DEPAN MALAYSIA
9 FEBRUARI 2023
UNIVERSITI SELANGOR, KAMPUS BESTARI JAYA, SELANGOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman,
Presiden dan Naib Canselor UNISEL;
YAB Amirudin Shari,
Menteri Besar Selangor;
Dr. Muhammad Nur Manuty;
Profesor Emeritus Dato Dr Osman Bakar;
Mohd Azam dan lain lain;
Puan Hajah Norita binti Mohd Sidek yang membantu menyelenggarakan majlis ini; dan
Seluruh keluarga, staf dan mahasiswa mahasiswi Universiti Selangor (UNISEL).
- Saudara-saudara, saya mula dengan ungkapan ‘guiding ideas’. Bersama saudara Almarhum Siddiq Fadzil, kita popularkan karya pemikir Algeria terkenal Malek Bennabi yang menyatakan dalam pergerakan, dalam usaha menjana perubahan termasuk dalam bidang pendidikan, mesti ada kerangka pemikiran yang mendasari. Kerangka itu disebut oleh Malek Bennabi sebagai ‘guiding ideas’.
- Kita bicara soal MADANI, kita bicara soal pertumbuhan, kita bicara soal reformasi pendidikan, apakah kerangka pemikiran dasar itu. Jika tidak ada, kita hanya menerobos, kita hanya meminjam, kita hanya menciplak, jadi pancaroba, tetapi apa identitinya, apakah kerangka pemikiran yang akan menjadi pegangan kita yang boleh membawa perubahan dalam negara kita.
- Al-marhum Malik Bennabi menyebut, ‘guiding ideas’ itu mesti berteraskan kepada keyakinan. Sama ada kita gunakan istilah akidah, ideologi atau doktrin harus berteraskan keyakinan. Keyakinan kita berdasarkan akidah, tetapi keyakinan mesti diterjemahkan dari sudut dasar. Dasar pendidikan, dasar ekonomi, dasar sosial, tetapi setiap dasar-dasar ini adalah berteraskan kepada dimensi manusiawi atau insan.
- Maka dasar itu mesti berteraskan kepada nilai dan akhlak. Di sini kekuatan Siddiq Fadzil dalam membicarakan soal Islam dan Melayu kerana pembentukan idea yang panas dengan pelbagai atijah atau Maka dia memilih untuk menjelaskan semula dalam karya kecil tetapi sangat bernilai. Malah saya, baik dalam parti Keadilan pada ketika itu mewajibkan pimpinan Melayu atau Cina atau Dayak membaca. Kerana kita tidak harus faham Islam dari penafsiran pelbagai, tetapi dari segi yang kita yakini sebagai hakiki dan benar.
- Islam yang meletakkan nilai, dan nilai itu mengatasi sentimen kaum, kelompok dan menetapkan ‘guiding ideas’ tentang keamanan, keadilan, dan kemanusiaan. Jadi untuk memahami karya Siddiq Fadzil sebenarnya kita kena faham kerangka dasar ini. Ia tidak berganjak sedikit pun sama ada pembicaranya di masjid atau dalam khutbah, tidak pernah melanggar prinsip keamanan, keadilan, dan kemanusiaan.
- Dalam pada masa yang sama kami juga sering menukil pandangan Profesor Naquib Al-Attas berkenaan Islam, sejarah dan kebudayaan Melayu. Ya kita Melayu, bangga dengan bahasa kita, bangga dengan budaya kita dan cuba menggali khazanah dan kekuatan bangsa dan budaya. Tetapi kita juga diperingatkan oleh Profesor Naquib Al-Attas yang juga disinggung dalam karya Siddiq Fadzil.
- Kalau kita bicara soal Melayu dengan sentimen kaum yang menebal dan tidak mendasarinya kepada nilai dan akhlak Islam, maka ia pasti akan menjurus kepada chauvinisme, ini yang disebut oleh Profesor Naquib Al-Attas. Dan ini juga seringkali berlaku, sebab itu dalam ‘guiding ideas’ kerangka pemikiran besar Siddiq Fadzil mahu supaya pemahaman Islam di kalangan anak muda itu tidak terpengaruh dengan penafsiran peribadi dan kelompok atau parti yang kemudian melanggar atau bercanggah dengan kerangka kemanusiaan dan universal, rahmatan lil alamin ini dibawa oleh Islam. Kekuatan Islam menurut Siddiq Fadzil keupayaannya diangkat sebagai satu tamadun masyarakat atau negara MADANI dan kemudian dengan mesej kemanusiaan, mesej universal dan mesej yang tertegak pada dasar keyakinan, keadilan dan kemanusiaan.
- Siddiq Fadzil banyak mengupas, banyak karyanya termasuk Tafsir Maudhu’i. Beliau juga mengikuti perkembangan pemikiran semasa gerakan-gerakan Islam yang di antara kupasannya ialah kerana minat yang mendalam terhadap agama atau bangsa yang kadang-kadang itu meluap-luap. Ada hebatnya, dan ada baiknya. Orang muda kalau tidak ada semangat meluap, dia jadi lusuh macam orang tua.
- Tidak mengapa, tetapi biar semangat itu didasarkan pada kerangka tadi yang katakan apa yang mahu kita capai, apa keyakinan kita dan apakah benar kupasan kita itu berteraskan kepada prinsip membawa keharmonian dan keamanan, menegakkan keadilan dan memikirkan soal kemanusiaan sejagat. Apatah lagi dalam negara Malaysia yang sarat dengan segala kemajmukan.
- Saudara-saudara, kami mengkaji aliran sedemikian dan sebenarnya kami bergerak sebagai kumpulan pada ketika itu. Jadi kadang-kadang idea beliau saya ceduk, idea saya beliau ceduk. Kita melihat ini sebagai satu kesatuan pemikiran. Kita melihat banyak perkembangan di Mesir, dengan gerakan yang kadangkala kelihatan bersemangat meniupkan kesedaran Islam. Tetapi setelah ada pertembungan dahsyat kelompok Islam dan pemerintah timbul juga atijah yang agak ekstrem dan melampau.
- Di Mesir muncul umpamanya kecenderungan menganggap kita sahaja benar dan mengkafirkan yang lain. Maka Siddiq dan kita dalam barisan pimpinan ketika itu turut merasakan isu itu harus bukan sahaja diperhati tapi ditangani dan dikupas di sini, kerana tempiasan pengaruh itu mungkin juga ke sini. Maka Siddiq juga mengupas dalam karya beliau tentang apa yang cuba diolah oleh pemimpin pengganti gerakan Ikhwan pada ketika itu.
- Hassan al-Hudaybi yang menulis tentang Du’ah La Qudah maknanya kita ini menyeru, kita ini pembaharu, kita ini pendakwah, jangan kita ambil tugas khadi dan hakim dan menghukum. Sekiranya orang itu tidak sependapat dengan kita, kerana dia itu kabilah lain atau dia itu parti lain, maka terus kita buat hukuman yang keras seperti mana kita lihat dalam media sosial dan TikTok yang popular ketika ini.
- Jadi Du’ah La Qudah ini maknanya kita adalah pendakwah jangan penghukum. Kerana menghukum itu ada kaedah yang tetap. Sebab itu Du’ah La Qudah bermakna jangan kita jadi khadi, khadi itu dia dengar dua-dua pihak kemudian jatuh hukum. Almarhum Siddiq sangat terkesan dengan kaedah sedemikian, kerana dalam perbincangan kelompok kita itu di kalangan muda dia mudah terikut dengan aliran-aliran yang keras.
- Jadi kalau saya rumuskan umpamanya, termasuk karya PhD beliau yang meneliti pemikir-pemikir pembaharu daripada Rashid Redha, Shah Tun sehingga di sini Mohd Nasir, Zaaba sebelum itu Raja Ali Haji, ini kekuatan beliau yang saya rasa sukar ditandingi. Kukuh dari fahaman Islam, mampu membuat kupasan Tafsir Maudhu’i. Karya yang sangat berakar kepada budaya Melayu dan sangat bangga dengan kekuatan bahasa sepertimana keupayaan beliau sendiri mengolah kata-kata yang sangat memukau. Walau dalam kesibukan, saya masih ambil waktu mendengar celoteh Siddiq Fadhil, tentunya saya berasa sangat sayu, mengingat seorang pemikir, pejuang dan sahabat.
- Tetapi sebagaimana kita tahu, kalau kita kagum dengan seorang tokoh, bukan sekadar meluahkan rasa sedih dan pilu, tetapi memunggah khazanah, pemikiran, menghadam dan menghebahkan. Dan ini menjadi tugas anak-anak di sini.
- Kerana sejarah, budaya kita, kefahaman agama kita itu turut dikupas oleh beliau. Tapi ada satu keistimewaan dan keunikan beliau ini adalah beliau sentiasa mencabar sebagai sang pencerah, mencabar orang untuk berfikir semula, merenung semula, mempersoal semula tetapi ideanya itu adalah untuk mengangkat martabat dan harakat, supaya tidak kekal di tampuk yang lama.
- Bagi Almarhum Siddiq Fadzil, menimba ilmu sebagai sesuatu yang lazat yang disebut oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA, lazatul maarifat, iaitu satu yang tenang, hidup dengan limpahan buku. Dan pidatonya setiap kali disampaikan itu memberikan mesej baru, dan hal-hal yang sentiasa membawa kepada pemikiran lebih mendalam. Selain itu, beliau juga merupakan pimpinan ABIM, WADAH, dan kemudian Institut Darul Ehsan (IDE).
- Saya seringkali juga berkata kepada Siddiq, “masuk politik lah, ini jadi ilmuwan dan pencerah sahaja tidak cukup”, dia selalu sebut “biar kita jadi pola pemikir yang sama, saudara terus dengan agenda politik dan pimpinan, biar saya tumpu untuk membina generasi baru yang punyai fikrah yang mantap untuk sama-sama kita dukung semangat ilmu dan kekuasaan yang berdasarkan ‘guiding ideas’.
- Alhamdulillah, beliau merupakan seorang tokoh yang sangat berjasa dan saya menganggap kerusi Siddiq Fadzil ini sebenarnya membawa mesej ‘reform’ – Islah Mastata’tu, dalam bidang pendidikan yang sebenarnya merangkul idea-idea besar sepertimana yang saya lontarkan.
- Dan saya percaya Menteri Pendidikan yang baru, tokoh muda, YB Fadlina Siddiq boleh meneruskan kecemerlangan. Ya, kita mahu pengkhususan, kita mahu teknologi maklumat, kita mahu teknologi digital, kita mahu AI, tetapi semua itu mesti berpandu dan berpaksikan kepada keyakinan dan nilai.
- Kita tidak mahu orang pintar yang hanya untuk mengajar dan kepintaran untuk menipu. Kita boleh belajar dari pengalaman dahulu iaitu kekuatan bangsa seperti mana pernah diungkapkan oleh Zaaba dan sebelum itu Raja Ali Haji, iaitu pemikir-pemikir ulung bangsa yang terdahulu. Tidak pernah mendengar mereka dengan sikap yang melampau atau perkauman yang sempit, semuanya membawa mesej kebangkitan bangsa, kehebatan bangsa, kewarasan bangsa, keilmuan bangsa yang berteraskan kepada fahaman keharmonian, keadilan dan kemanusiaan.
- Saya percaya dalam merangka dan membuat penyesuaian dalam bidang pendidikan teras, ini tidak boleh kita ketepikan. Dan sepertimana Saudara Amiruddin singgung sebentar tadi bahawa sudah sampai ketikanya bangkit generasi baru, generasi muda yang menolak fahaman-fahaman jumud dan kolot dan merugikan bangsa. Bangkit sebagai satu kekuatan, anak Melayu yang pintar bersama anak Cina, India, Iban, Kadazan bangkit sebagai kekuatan bangsa yang pertahankan akidah, pertahankan nilai dan akhlak, pertahankan kebenaran dan keadilan, bangkit sebagai kekuatan baru masyarakat MADANI di Malaysia ini.
- Ini cabaran saya kepada anak-anak dan saya punya keyakinan besar saudara-saudara di UNISEL dan mahasiswa keseluruhannya akan faham tentang pemikiran ‘guiding ideas’. Apa dia kerangka pemikiran kita yang boleh mendorong perubahan hanya dengan memastikan masyarakat bersatu, utuh dan pendidikan itu membawa semangat kesatuan dan perpaduan. Sementara perpaduan itu pula berteraskan tentunya keyakinan bangsa, agama tetapi mesti membawa kekuatan negara dan kemanusiaan.
- Untuk menyokong usaha memartabatkan pemikiran saudara saya Almarhum Siddiq Fadzil, kerajaan akan menambah peruntukan untuk kerusi ini sebanyak RM1 juta lagi dan mungkin boleh ditambah lagi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan di antara negeri yang terkaya di Malaysia ini (secara berseloroh).
- Saya ucapkan tahniah bukan sahaja kepada Profesor Ridhuan dan pasukannya tetapi juga kepada Menteri Besar, kerana ini adalah universiti tajaan negeri Selangor yang dapat berupaya sebagai satu-satunya universiti kerajaan negeri yang dapat bersaing dengan universiti-universiti nasional lainnya. Jadi saya ucapkan sekali lagi, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT