TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
BAGI BULAN FEBRUARI 2023
7 FEBRUARI 2023
DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI,
PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillaahil Lazhee Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Menteri-Menteri;
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Rakan-rakan yang lain yang saya muliakan.
- Saudara-saudari, dalam doa tadi disebut tentang ‘balad’. Balad ini bermaksud negara, dan tentunya selalu diungkapkan ramai tentang doa baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (Surah Al-Balad) yang baik yang dilimpah rahmat oleh Allah SWT.
- Dalam surah Al-Balad, Laaa uqsimo bihaazal balad menceritakan tentang negara dalam konteks dan pesanan gesaan kepada pengalaman hidup Rasulullah SAW Wa anta hillum bihaazal balad. Saya teringat pada permulaannya ada kaitan dengan Malaysia MADANI, iaitu apabila disebut ‘balad’ dalam konteks negara dan tamadun.
- Saya tidak kupas seluruhnya, ini bukan kuliah dhuha (berseloroh). Tetapi saya hendak sebut tentang cabaran kepada kita bagaimana boleh menyucikan dan mengangkat martabat manusia dan negara ini. Falaq tahamal-‘aqabah bagaimana kita mampu mengangkat keupayaan kita ke tahap yang lebih mulia tinggi dan darjat yang lebih terpuji.
- Persoalannya Falaq tahamal-‘aqabah bagaimana?. Jawapan dalam Al-Quran jelas bermula dengan Fakku raqabah. Jadi kalau dalam kerja, amalan kita, jabatan kita, negara kita, tidak boleh terlepas daripada keikhlasan kita untuk membebaskan. Dalam konteks kupasan ulama-ulama silam, disebut bebaskan manusia dari perhambaan.
- Kupasan-kupasan ulama semasa mengaitkan dalam apa bentuk penindasan menyebabkan orang itu hamba atau separuh hamba. Fakku raqabah membebaskan manusia itu, rakyat kita, warga kita dan manusia itu dari segala bentuk penindasan, perhambaan, memperbodohkan rakyat, memiskin rakyat, mengambil harta rakyat sehingga hak mereka itu tersisih. Ini tugas pertama dan ini disebut dalam Al-Quran.
- Kemudian tentulah golongan yatim dan miskin. Jadi kalau saya digesa dalam jawatan saya, rakan-rakan saya dan saudara-saudari, gesaan saya ialah dengan niat yang baik. Kalau kita hendak angkat martabat negara ini, tetapi imej negara, ekonomi negara, dan keterlanjuran yang berlaku, itu tidak boleh dinafikan. Harus ada kekuatan dan tekad baru dari semua kalangan.
- Sebab itu setiap kali perjumpaan dengan penjawat awam, saya gesa kerana kalau hendak menentukan kejayaan ini bukan sahaja tokoh-tokoh politik, tetapi mesti dengan semangat dan komitmen menyeluruh penjawat awam untuk bersama bebaskan apa yang saya sebutkan tadi, dan seterusnya merialisasikan konsep Malaysia MADANI. Saya tidak mahu kita terpukau dengan slogan-slogan, contohnya “anjakan paradigma”, bunyi tu very powerful thesis, Paradigm Shift, berapa banyak slogan ini kita mahu gunakan.
- Tetapi kalau kita kupas lanjut, adalah shift tetapi tidak paradigm, tidak cukup untuk meyakinkan kita. Selain itu, terdapat pelbagai wawasan dan dasar, saya tidak mahu pertikai Islam Hadhari dan sebagainya. Saya tidak mahu tambah satu lagi slogan untuk kita hafal. Cukup dengan memahami maksud saya itu, sebab itu saya dengan badan penguatkuasaan dan KSN tentunya sebagai ketua dalam kalangan penjawat awam ini faham benar maksud saya.
- Sebab itu bermula dengan memberi gesaan kepada rakan-rakan saya jemaah menteri supaya bekerja dengan penjawat awam sebagai satu pasukan dengan elemen amanah dan trust. Tetapi dalam semua kerja kita ini mesti kerja untuk membebaskan rakyat, membebaskan negara dan segala keterlanjuran yang berlaku ataupun yang mungkin berlaku.
- Apakah dalam masa beberapa bulan ini ada kejayaan? Ya. Saya tidak boleh nafikan setiap arahan, setiap perjumpaan ada kesungguhan. Baik soal pekerja asing, atau beberapa dasar lain, soal menangani masalah banjir, diketuai oleh TPM, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Ataupun keputusan semalam mengirim SMART dalam kadar segera ke Turkiye yang diselaraskan oleh Saudara Armizan. Jadi saya lihat ada keinginan rakan-rakan, baik pimpinan ataupun penjawat awam mengorak langkah dengan lebih pantas dengan lebih bertanggungjawab bahawa setiap sen yang kita belanjakan itu, kita akan dipertanggungjawabkan.
- Tetapi tentunya masih ada di peringkat penguatkuasaan, saya lihat ada lagi sedikit sebanyak kecuaian. Ada yang kalau tidak kita tangani akan menyebabkan rakyat resah. Kita bebaskan perhambaan, tetapi kalau dia terpaksa berbaris berjam-jam untuk mendapatkan apa-apa lesen dan sebagainya itu, bagi saya perlu diperbaiki. Saya selalu ambil contoh, apa kata kalau saya yang terpaksa berbaris di situ? ataupun kalau dikatakan dalam kajian perbendaharaan atau Bank Negara, Khazanah Nasional Berhad atau EPU, tentang kadar kemiskinan yang sudah menurun, miskin tegar sekian peratus. Saya selalu kata apa kata kalau keluarga saya dalam kategori itu.
- Kalau kita melihat dari segi itu barulah maksud Fakku raqabah itu, iaitu bebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan dehumanization, degradation of man or woman itu baru kita boleh beri makna kepada MADANI.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kerana kerjasama yang ditunjukkan, tetapi bila ditanya tentang kemajuan, ada baiknya, tetapi ada ruang untuk diperbaiki. Cuma kadang-kadang ruang itu terlalu besar untuk diperbaiki, mudah-mudahan dengan semangat untuk membawa perubahan itu seperti yang saya sebut awal-awal dulu kita boleh memperlihatkan suatu keadaan yang lebih baik dengan kerjasama rakan-rakan dan dengan komitmen yang saudara-saudari tunjukkan.
- Dari segi peribadi, setakat ini saya tengok pasukan kerja dan rakan-rakan saya jelas nampak kesungguhan dan tekad walaupun latar belakang yang pelbagai dan sejarah apa orang kata pertelingkahan dan pembenturan idea dan pergaduhan itu besar terutama saya dengan TPM belah kanan saya. Tetapi alhamdulillah, yang tidak boleh dinafikan ialah kesatuan pemikiran, dan kesatuan tekad itu wujud. Yang ini tidak boleh dinafikan, ini kenyataannya, kita bekerja sebagai satu pasukan dan maksud kita untuk menyelamatkan negara dan mengangkat Malaysia MADANI.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PM ANWAR GESA ASEAN LAKSANAKAN USAHA KOHEREN DAN BERSEPADU
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR