TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM PERTEMUAN MAHABAH YAB PERDANA MENTERI BERSAMA ULAMA DAN ASATIZAH

 

TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

SEMPENA

PROGRAM PERTEMUAN MAHABAH YAB PERDANA MENTERI BERSAMA ULAMA DAN ASATIZAH

 

11 DISEMBER 2022

 

KOMPLEKS SERI PERDANA

PUTRAJAYA

  

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

اَلحَمدُ للهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ، وَكَفَى بِاللهِ شَهِيدًاـ وَنُصَلِّى وَنُسَلِّمْ عَلَى رَسُولِهِ الْكَرِيمِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أجْمَعِين ـ

 

Salutasi

 

Saudara pengacara,

 

Saudara Dato’ Dr. Mohd Naim, menteri yang baru menjalankan tugas pertama pada petang ini,

 

Sheikh Sheikh Jamil, Sahibus Samahah Mufti, dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Terima kasih kepada tuan guru dan ustaz-ustaz yang telah mengambil ikhtiar inisiatif untuk menganjurkan acara ini. Acara ini sebenarnya acara yang diusulkan oleh ulama dan badan-badan Islam. Ini merupakan acara tidak rasmi saya yang pertama selain daripada urusan-urusan kementerian. Saya anggap ini merupakan satu permulaan yang baik, kerana ia berakar ke bumi kepada suatu keyakinan umat Islam dalam menjawab persoalan-persoalan mengenai hala tuju negara ini di bawah pimpinan yang baharu. Antara persoalan-persoalan yang dicetuskan adalah apakah kepimpinan yang baharu ini boleh dipercayai, bagaimana semangat perlembagaan yang menetapkan agama Islam sebagai agama persekutuan, adakah kedudukan bahasa Melayu dimartabatkan, bagaimana hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dilaksanakan dan kedudukan kemuliaan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
  1. Perkara ini memang saya telah tegaskan tetapi oleh kerana simpang siur dan pembenturan yang tidak berkesudahan dalam dunia politik menyebabkan persoalan ini terus dibangkitkan dan dipersoalkan. Saya rasa biasa walaupun dalam politik ada batasnya sepertimana prinsip dakwah

“بِالحِكْمَةِ وَالمَوْعِظَةِ حَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِى هِيَ أَحْسَن”

jadi kita tidak boleh lari. Mudah-mudahan suhu kepanasan politik terutama di kalangan umat dan di kalangan rakyat akan diredakan supaya kita dapat tumpu menjalankan tanggungjawab.

  1. Kerajaan ini digelar Kerajaan Perpaduan walaupun ada sedikit yang mempertikaikan. Oleh sebab itu, saya telah mengambil keputusan agar kerajaan membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang baru. Dari segi undang-undang ia tidak diperlukan, begitu juga pendapat Peguam Negara, ia juga tidak perlu sebab majoritinya jelas dan mandat adalah dari kuasa Yang Dipertuan Agung. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah mengambil langkah setapak yang lebih, iaitu mengundang sidang khas Raja-Raja Melayu supaya ada kata sepakat calon Perdana Menteri yang mereka usulkan.
  1. Yang Dipertuan Agong juga mengambil pendekatan mengikut perlembagaan walaupun ini dipertikai oleh setengah-setengah tokoh Melayu Islam. Penjelasan Yang Dipertuan Agong kepada saya dan kepada beberapa Raja-Raja Melayu yang sempat saya mengadap, antaranya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Kelantan, Sultan Perak, dan Sultan Selangor, menyatakan bahawa dari awal mereka tidak pertikaikan jumlah parti yang menduduki dan memperolehi kerusi terbesar itu akan mendapat keutamaan, dan pada masa itu yang terbesar adalah Pakatan Harapan diikuti oleh Perikatan Nasional 83 dan 73, lebih kurang begitu.
  2. Kemudian ada usaha-usaha untuk mendapatkan pengakuan bersumpah dan ini memang berlaku dalam tempoh yang ditetapkan oleh ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, iaitu tahap sehingga jam 2.00 petang. Jadi berapa pun jumlah yang diperolehi itu ditetapkan setelah dimuktamadkan waktunya sepertimana dalam perlumbaan, dia boleh potong kita di round pertama, kita potong dia round ketiga. Tapi yang pentingnya ialah garis penamat. Kalau berlaku garis penamat ternyata saya perolehi jumlah yang besar kerana orang yang memberi pengakuan sebelumnya itu telah menarik balik sebelum tempoh dua petang.
  1. Saya sebutkan di sini kerana semalam saya telah mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau menyatakan ada baiknya kalau Perdana Menteri menjelaskan supaya jangan timbul kekeliruan yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

Saudara-saudara,

  1. Kita boleh berbeda pendapat malah dalam beberapa pertemuan saya dengan beberapa raja saya memohon ampun dan maaf memberikan pandangan yang agak berbeda, tetapi kita tidak boleh melanggar prinsip adab dan akhlak dan dalam menghormati kemuliaan Raja-Raja itu. Kerana Raja-raja itu mewakili satu institusi dan peranan raja-raja itu sangat kritikal, sangat utama untuk menyelamatkan keadaan, umpamanya dalam keadaan tidak menentu baru-baru ini. Saya lihat keputusan mereka itu tidak pernah mengenepikan soal perlembagaan, soal kepentingan majoriti orang-orang Melayu dan kedudukan Islam. Tidak ada Raja-raja Melayu yang bila ada kesempatan saya mengadap yang mengenepikan atau menyisihkan soal ini kerana kedudukan Raja-raja Melayu itu juga yang dipertahankan dari segi tradisi, budaya dan perlembagaan adalah untuk mengawal keadaan sedemikian.
  1. Sebab itu kesopanan, tatasusila mesti dipertahankan, jika tidak sistem itu tidak boleh kekal. Umpamanya, mengapa kita sebut Tuanku, kenapa kita sebut patik, mengapa menginapnya di istana tidak di rumah. Itu hal-hal yang disebut perennial of the royal system or institutions. Oleh yang demikian, kemuliaan raja-raja Melayu hendaklah dipertahankan dan kalau kita berbeda pendapat kita bincang dan mohon ampun, namun untuk terima semua, itu tidak.
  1. Dalam mengatur pentadbiran negara, dalam menentukan calon-calon menteri dan calon timbalan menteri, ada pandangan-pandangan kita gunakan hujah dengan baik. Tetapi akhirnya dalam sistem ini perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu khususnya Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu penting. Saya tidak boleh umumkan senarai jemaah menteri kalau Yang di-Pertuan Agong tidak perkenan, walaupun perlembagaan itu mengkehendaki untuk Yang Di-Pertuan Agong itu menerima saranan Perdana Menteri. Tetapi Yang di-Pertuan Agong boleh melengahkan, dia tidak mahu angkat sumpah esok, tangguh sebulan, atau tiga bulan. Jadi menimbul ketegangan politik dan ketegangan dalam sistem tatakelola negara. Justeru, saya memilih untuk menjelaskan hal ini di sini kerana saya anggap ia merupakan asas pembentukan negara kita terutama tentang dukungan orang melayu dan umat Islam itu sangat penting. Sebab itu saya memilih menjelaskan kali pertama dari sudut hujah yang lebih jelas.
  1. Yang di-Pertuan Agong juga menerima pandangan Peguam Negara, bertanya saya selaku Perdana Menteri, apakah Perdana Menteri rasa perlu undi percaya kerana jumlahnya sudah jelas, pengakuan daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS Sarawak, GRS Sabah dan beberapa parti lain yang kecil. Saya jawab, ampun tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang sahaja, perkara yang dibangkitkan, dan patik mahu memimpin dengan mandat yang jelas dukungan daripada ahli-ahli parlimen dan majoriti, patik yakin patik akan perolehi. Andai kata tidak perolehi patik akan tunduk kepada suara rakyat. Jadi untuk orang menyatakan dan tohmah seolah-olah patik itu mengenepikan semua semata-mata untuk berebut kuasa, patik akan buktikan in shaa Allah hal ini tidak benar. Maka Yang di-Pertuan Agong berkata, insya-Allah dia doakan semuanya baik, berjalan dengan baik.

Saudara-saudari,

  1. Ini ada kaitan dengan apa yang disuarakan oleh saudara-saudara. Politik itu dikatakan tempat simpang siur segala pandangan dan parti. Dan semasa kempen pilihanraya seringkali suhunya itu meningkat dan ada kalanya mengganas. Tetapi, matlamat kita adalah untuk menjaga negara. Saya mohon kepada Allah subhanahu wataala dan saya terima baik pandangan dan teguran rakan-rakan supaya kuasa itu tidak menyebabkan kita rasa angkuh dan takbur. Saya duduk di sini sebelah Sheikh Jamil dan Dr Naim, saya tidak merasa apa-apa kemegahan. Saya syukur kepada Allah Subhanahu wataala kerana saya merasakan kita perlu buktikan bahawa politik itu bukan kesempatan kita untuk kita bina kekayaan, tunjuk kehebatan dan keangkuhan ataupun memperkayakan sanak saudara kita. Kerana tidak dapat dinafikan sistem kita itu seolah-olah menyebabkan rakyat termasuk umat Islam, merasa sinis, pertikai kewibawaan dan akhlak pimpinan. Sebab itu ada kaitan tentang negara hukum, mesti patuh kepada undang-undang.
  1. Saya tidak pernah bagi jaminan kepada sesiapa untuk menyatakan akan terlepas daripada hukuman dan sekiranya diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil. Dan kalau saya mahu kompromi saya sudah jadi Perdana Menteri bertahun-tahun dahulu. Begitu juga kebebasan profesionalisme badan-badan penguatkuasaan. Saya ada beberapa pertemuan dengan Ketua Polis Negara, SPRM, Peguam Negara dan lain-lain yang memberikan gesaan yang sama. Saya mahu buktikan bahawa ada orang Melayu, anak Melayu yang gunakan kuasa dia untuk menjaga dan membela nasib rakyat terbayar. Saya nak buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu dihormati, diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkan. Mudah-mudahan kita sama-sama doakan kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan dapat tercapai.
  1. Tetapi sepertimana juga yang disebut, ini bukan perkara baru, apa yang kita lihat mengikut sejarah, timbulnya Khawarij umpamanya dan juga pertempuran, pergaduhan sesama sendiri sesama orang Islam. Kalau ikut sejarah memang berlaku yang dikatakan 30 years war di antara Katolik dan Protestan yang menyebabkan berjuta orang meninggal dunia terkorban. Di zaman Mou Zedong puluhan juta orang Cina korban dari tindakan kekejaman komunis. Di Rusia, di zaman Stalin, jutaan yang disumbat ke penjara tanpa bicara dan dibunuh dan hilang entah ke mana. Tetapi mutakhir ini, perkara ini menimpa umat Islam. Sebab itu di Malaysia ini kita harus lebih waspada agar penyakit ini tidak parah dan menimbulkan perpecahan yang sukar diubati.
  1. Peranan ulama bersama umara’, guru-guru agama untuk membantu membendung. Tugas kita adalah mendidik, dakwah, memberikan kesedaran dan mempertahankan apa yang disebut tradisi ilmu dan tradisi aqliah yang juga disebut oleh Prof Mohammad Naquib al-Attas dan seluruh sejarah umat Islam itu bahawa dididik dengan kefahaman, tetapi ditambah juga dengan kasih sayang. Saya mohon tadi Sheikh Jamil berucap dulu, dia kata tak payah. Memadai peringatan hadis Nabi Muhamad SAW:

 

قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: (اَلرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَن، اِرْحَمُوا مَن فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُم مَّنْ فِي السَّمَآءِ)         -رواه أبو داود ، والترمذي –

 

Hadis ini saya jadikan motto dalam seluruh kempen baru-baru ini.

  1. Dalam politik, dalam didikan di pondok, sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri, tidak boleh lepas daripada asas kerja kita untuk kasih sayang, compassion, love dan ini bukan sahaja kepada orang Islam, termasuk orang bukan Islam. Inilah fahaman Islam dan kekuatan Islam yang menyeluruh, merentas bukan sahaja manusiawi, tetapi haiwan, pohon-pohon, bukit-bukau dan bumi. Ini menunjukkan rahmat dan kekuatan. Sebab itu ada disebut tadi:

وَكَذلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِتَكُونُوا شُهَداءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً             سورة البقرة: 143

  1. Umat yang disebut keseimbangan, yang sederhana itu adalah umat yang pertahankan kesederhanaan. Yang tidak terburu-buru dengan kemarahan, dengan hukuman, dengan mengkafirkan atau merendahkan darjat orang apa lagi memfitnah. Jadi sebab itu kita kena selamatkan keadaan dan saya ucap jazakallahikhairankathiran kerana badan-badan Islam, ulama, dan ustaz-ustaz mengambil inisiatif ini, memberi ruang kepada saya untuk menjelaskan keperluan kita, mengangkat semula martabat kita. Saya yakin in shaa Allah orang Melayu dan martabat Islam boleh kita tingkatkan dengan pimpinan yang mempunyai ketegasan untuk membela nasib rakyat terbanyak. Itu keyakinan saya, sama ada melalui sistem pendidikan kita yang perlu kita perbaiki, meletakkan anak muda yang mempunyai kefahaman yang jelas untuk memimpin, atau melalui sekolah-sekolah, sekolah agama, sekolah pondok, maahad tahfiz semuanya…tetapi dengan satu fahaman yang membina tidak merobohkan.

Saudara-Saudari, Saudara-saudara,

  1. Memang senang untuk merobohkan, sukar untuk membina. Kebetulan saya diberi mandat dalam keadaan hutangnya lebih daripada 1 trilion ringgit, daripada setiap agensi harus kita teliti di mana bocornya, di mana tirisnya dan ini bukan fitnah. Saya kerja kuat meneliti fail-fail. Sebab itu berapa projek hari itu kita tangguhkan, teliti semula atau batalkan bukan maksudnya bukan untuk mencerca mana-mana tokoh politik, saya tidak sebut nama tokoh politik tapi saya kata projek tebatan banjir kerana banjir itu menyeksa rakyat dan yang jadi mangsa itu orang miskin dan majoriti yang miskin itu Melayu. Sebab itu kalau kita nak belanjakan kita kena teliti kerana ini soal governance.
  1. Inilah yang dilakukan oleh Umar Abdul Aziz apabila menyentuh soal governance. Dia zuhud, dia solat malam, soal akhlak dia yang baik, itu ya tetapi dalam mengurus negara itu soal ketertiban peraturan negara harus diberi perhatian yang betul. Jadi bila saya lihat umpamanya diluluskan dengan spontan projek-projek tebatan banjir, dan syarikat-syarikat dipertikai, berapa persoalan tidak dijawab saya minta ditangguhkan, diteliti semula. Jadi esok insya-Allah saya akan ke Kementerian Kewangan saya akan kaji. Dan itu benar itu bukan fitnah, memang diluluskan tapi belum dilaksanakan kerana pilihan raya. Jadi hari pertama saya di Kementerian Kewangan, Pegawai-Pegawai kata ya sudah diluluskan tapi belum dilaksanakan. Ini sebagai contoh, jadi tidak perlu jadi hal politik. Saya tahu sepanjang kempen kita bercakap soal 8228, semua orang faham apa dia 8228. Maka saya kata perkara ini kuasa menteri kewangan. Tentunya kelulusan jemaah menteri dan kabinet. Saya tidak tunggu, kebetulan saya menteri kewangan, saya perdana menteri, terus saya arahkan peringkat ini kita turunkan dulu, daripada dulunya 8 naik 22, saya kata turun balik 8 sebelum dibuat kajian teliti.

Saudara-saudara,

  1. Kalau nak tunggu kajian tiga bulan lagi, saya datang majlis ini tentulah Tuan Guru Sheikh Jamil akan tanya ini ante sudah dua minggu dah kenapa Bajuri tak turun lagi? Anda tak reti jawab. Jadi sebab itu kita ambil langkah-langkah segera. Begitu juga soal pesawah padi, kerana saya teliti soal Bernas sudah lama berlalu, bukan soal baru. Ada orang kata Anwar luluskan sebagai Menteri Kewangan itu kenyataan politik. Itu penswastaan itu bukan soal Menteri Kewangan, penswastaan itu di bawah Unit Perancangan Ekonomi, Perdana Menteri. Tender bawah Menteri Kewangan. Tetapi ialah geng-geng yang bebal ini kadang-kadang dia tak peduli fakta dia bedal sahaja. Tetapi kena ingat, kita cakap tu dengan serban kita, dengan jubah kita kemudian kita buat kenyataan palsu begini, tidak boleh. Sebab itu yang disebut tradisi ilmu itu termasuk ini. Tradisi ilmu bukan soal ibadat sahaja tetapi soal kenegaraan itu perlu.
  1. Jadi sebab itu saya telah teliti saya faham monopoli beras. Saya panggil, saya telefon, tak sempat jumpa, saya nak umum cepat, saya telefon Tan Sri Syed Mokhtar, dia berjaya dalam banyak bidang dan kita bangga, kita boleh bagi kerjasama dalam bidang-bidang lain, tapi saya kata janganlah bidang lain, bidang yang menyebabkan keuntungan yang tinggi, diambil, kemudian pesawah padi itu diantara yang paling miskin di negara kita, semua kita tahu. Semenanjung Tanah Melayu siapa yang miskin, majoriti Melayu. Yang lebih teruk miskinnya adalah sebahagian orang India dan Orang Asli, tetapi majoriti kalangan Melayu yang miskin itu adalah pesawah padi di Kedah, Utara Perak, dan Kelantan. Saya ada mandat, gunalah kuasa dengan bijaksana. Jadi saya beritahu Tan Sri Syed Mokhtar, saya tahu belum ada teliti, saya tahu belum ada mesyuarat, saya tahu Kementerian Kewangan belum meneliti atau menelusuri hal-hal sedemikian. Tapi saya kata boleh tak kalau pergi segera sebab orang miskin dan susah hidupnya dia tak sempat tunggu jawatankuasa-jawatankuasa. Kalau ikut peraturan biasa saya faham maka Menteri Kewangan atau Kementerian Kewangan akan panggil mesyuarat, teliti kaji sana bincang-bincang, itu teliti lepas tu bawa balik kertas-kertas, bawa pertimbangan menteri, menteri bawa kalau perlu bawa ke Kabinet, ya tapi saya kata pada Tan Sri Syed Mokhtar, boleh tidak pertimbangkan bagilah sedikit dulu kepada pesawah-pesawah padi kerana saya tak sanggup umpamanya berdepan dengan mereka. Saya sudah Perdana Menteri tapi tidak mampu berbuat apa-apa. Dan alhamdulillah, Syed Mokhtar mengambil sikap yang sangat positif dia tidak tunggu persulitkan, dia kata ada kes-kes yang berlaku sebelumnya dia beri kepada syarikat-syarikat kroni termasuk orang UMNO dulu dan harga yang mahal. Saya kata pada dia saya tak mahu saudara rugi saya nak hanya beri sebahagian daripada keuntungan itu dipulang kepada orang miskin yang menanam padi. Dia jawab ya dan setelah berunding sedikit lagi baik, dia kata segera pada bulan Disember ini 10 juta ringgit dan untuk tahun depan 50 juta ringgit, barulah kita akan ada rundingan untuk laksanakan.

Saudara,

  1. Saya hanya lakukan itu kerana seluruh perjuangan politik saya itu bukan hanya memikirkan bangsa. Dalam bangsa Melayu ini bagi saya, saya fikirkan bangsa Melayu yang tertindas, terpinggir dan paling miskin. Itu yang saya cuba lakukan secara kecil-kecilan sebagai permulaan di hari pertama dan kedua dan sekarang umpamanya setelah kita bertapak tentulah saya harus teliti semua dasar-dasar ini mengikut peraturan, jawatankuasa yang berkenaan, tapi percayalah yang saya tidak akan tolak ansur. Saya beritahu kepada rakan-rakan jemaah menteri yang saya pilih, Dr Naim ada, saya yang pertama itu soal tatakelola to governance, maknanya no corruption. Saya bercakap dengan semua ketua-ketua parti komponen, kalau ada semasa pentadbiran saya selaku Perdana Menteri, kes seperti itu saya minta mandat saya pecat serta merta, saya tidak tolak ansur. Dan ini bukan kenyataan politik, ini keyakinan saya.
  1. Saya telah dihumban ke penjara dipukul setengah mati dah lama terseksa bukan untuk, kemudian mendabik dada, aku menang aku sekarang orang nombor satu, tidak. untuk menganggap ini semua ujian daripada Allah SWT. Saya selalu sebut tentang hadis Nabi Muhamad SAW, itu hanya ujian kecil untuk mengajar kita, mendewasakan kita:

” أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءَ؟ الأَنبِيَاءُ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ”

Ini ujian bagi kita, ini kecil tetapi ada pengajarannya. Apa pengajarannya? Kita tahu apa erti susah. Kita tahu apa erti sakit dipukul padahal kita yang tak bersalah. Kita tahu bagaimana kegiatan pasukan keselamatan dan pendakwaan dan hakim sekiranya tidak patuh kepada kerukunan undang-undang. Itu pengajaran buat kita. Kita tahu apa rasa bila dihina dan dicerca bukan diri tapi isteri dan anak-anak, walaupun sekarang orang cuba permainkan lagu lama, orang yang bicara soal kazaf sekarang boleh sanggup buat singgungan yang sedemikian, walaupun guna tiket agama. Saya tidak kisah bab itu tetapi saya hanya melihat secara positif. Mesti ada rencana Allah SWT.

  1. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi pernah sebut kepada saya berulang kali. Saya ingat tuan guru Haji Salleh Marhum Sik, Tuan Guru Abdullah Lubok Tapah, Pasir Mas ayahanda kepada mufti (Wilayah Persekutuan) semua apabila bercakap semua suruh kena ada kesabaran, kena ada bijak, jangan tinggal baca Quran satu hari mesti, dia tahu saya sibuk dia kata 10 minit pun tak apa, kalau orang lain kena sejamlah. Saya, tok guru ini simpati, 10 minit pun tak apa satu hari tapi jangan tinggal sama sekali. Setiap ucapan banyak Tok Guru sebut cakap kepada rakyat Malaysia yang Islam dan bukan Islam kalau boleh sebut satu patah ayat Quran, macam tu ya, kalau tidak pun hadis, kalau tidak pun bagi maksud supaya ada erti dan pengertian dakwah. Jadi saya dari segi itu alhamdulillah bernasib baik kerana walaupun saya bukan tergolong sebagai seorang yang kategori seorang alim dan ulama, tetapi saya mendekati mereka dan peringatan mereka itu kerana orang-orang ini dia balik ke rumah malam dia tahajjud, dia doa untuk kita, jadi susah payah, bukan ada elaun bukan ada tugas tapi dia lakukan.
  1. Oleh yang demikian, nasihat mereka itu kita cuba hadam dan ambil serius. Jadi saudara-saudara yang dihormati sekalian, masa di penjara seperti yang saya sebut, jangan fikir yang susah-susah. Apa dia hikmahnya, saya lebih banyak beramal saya tidak mahu nafikan, Tok-Tok Guru ini ramai ada. Saya lebih banyak amal, baca Quran, hafal Quran, munajat, menelaah kitab di penjara dan di luar penjara. Jadi bagi saya itu hikmah. Saya tidak kata orang yang masukkan saya ke penjara itu adil, dia zalim. Tetapi kita lihat secara positif jadi kita lakukan. Dan di antara yang saya teliti, termasuklah kitab-kitab yang dipelajari oleh anak-anak di pondok. Sebab saya kata kalau saya tidak boleh cakap soal kitab-kitab daripada intelektual apa semua sahaja, saya nak tengok apa yang dibaca oleh orang pondok maka termasuklah kitab yang dikatakan Munyatul Musolli oleh Syeikh Daud Abdullah Fatani Rahimahullah, lama dahulu, dia seorang ulama, seorang pejuang, seorang mujahid yang terkenal di Kepulauan Melayu dan kitab-kitabnya dibaca sampai sekarang. Dan tentulah bila kita dipenjara kita nak carilah, sempurnakan ibadah solat kita dan cari semua jenis solat-solat sunat yang disebut supaya kita amalkan kerana di luar ini kita agak sibuk jadi saya manfaatkan. Tetapi yang cukup mencuit perasaan saya ialah bila diakhir Kitab Munyatul Musolli itu adalah tatmin al-faidah, penamatnya yang berfaedah itu apa? Dia kupas semua tentang ketatanegaraan, soal kepimpinan dan keadilan dengan kuat sekali. Jadi saya renung seorang diri, solitary of confinement di penjara itu. Aneh juga Tok Guru ini, dia bercakap soal solat, menyempurnakan ibadah solat itu dan dengan niat yang betul, dengan matlamat yang jelas. Kemudian tak cukup dengan yang fardhu yang sunat-sunat itu didukung untuk memperkukuh, memperlengkap tetapi saya kata yalah betullah, tapi yang penamatnya, yang berfaedah, takmin al-faedah, apa dia? Keadilan, tatakelola yang baik, faedah kepada orang Islam dan bukan Islam.
  1. Disebut tentang orang yahudi yang menemui Khalifah Abdul Al Malik Ibn Marwan yang mengeluh kerana tanahnya dirampas. Sebagai seorang Khalifah, Malik tidak sempat untuk mendengar perihal orang-orang yang susah ini. Kemudiannya orang Yahudi ini telah bercerita dengan Abdullah ibni Ummi Maktum. Kemudian kisah yahudi ini dengan Malik Marwan, dua kali dia sebut tanah saya dirampas. Khalifah mana larat nak dengar orang pasal tanah hujung kampung mana entah, dia banyak masalah nak jaga negara, ekonomi meleset umpamanya sekarang ini, hutang 1 trillion, bursa saham, nak bawa pelabur asing, kemudian yang orang kampung mana, dia yahudi pulak tu datang  nak bercakap, dia tak layan. Kali ketiga bila yahudi tu dalam Munyatul Musolli ada yang saya tulis dalam ringkasan tidak sepertinya barulah dia tersentak. Dia sebut ya amirul mukmin, dengar sini saya baca dalam Taurat peringatan supaya jangan ada dirampas kezaliman, barulah diselesaikan masalah dia.
  1. Syeikh Daud Abdullah Fatani itu boleh menulis dalam keadaan di Patani waktu itu yang paling kecil jumlah bukan Islam. Kalau di zaman itu hampir tidak ada orang bukan Islam, tetapi ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, tasawwuf, tapi lihat kefahaman dia, keperihatinan dia yang cukup luar biasa. Apa lagi di negara kita, umat Islam majoriti tapi bukan Islam ada. Sepertimana saya sebut di Semenanjung Tanah Melayu majoriti miskin Melayu tetapi yang paling miskin dari yang miskin itu adalah etnik India dan orang asli. Apakah salah dengan saya dengan kedudukan yang saya ada sekarang untuk membantu orang Melayu dan orang India yang paling miskin itu supaya dia lihat oh ini rupanya tokoh Islam, dia tadbir, dia adil, dia bukan rasuah dia bukan zalim, dia bukan hina kaum kami, atau pakaian kami atau warna kulit kami, itu tujuan dan matlamat saya. Dan itu yang insya-Allah akan kita lakukan. Jadi pengajaran apabila kita baca Munyatul Musolli.
  1. Sekali lagi perbedaannya kerana kita baca semasa kita di penjara keseorangan tanpa gangguan tak ada mesyuarat, tak ada telefon nak jawab, tiada masa nak tengok whatsapp memang tidak ada telefon. Ya, jadi tumpu sepenuhnya, jadi itu tak mungkin kita perolehi manfaat itu sekiranya kita bebas di luar. Saya tidak anjurkan anak-anak muda pergi penjara pulak, tak payah. Tetapi saya nak beritahu kadang-kadang Allah atur itu dan kita lihat secara positif dan manfaatnya. Sebab itulah saya cuba nukil pengalaman itu dalam rencana kecil yang saya tulis, asalnya dalam bahasa Inggeris semasa di penjara dan diterbitkan oleh Critical Muslim di London, itu saya tulis, cubaan saya. Iaitu saya nak supaya cerita ini dibaca juga oleh orang-orang bukan Islam, intelektual. Jangan dia ingat Syeikh Daud Abdullah Fatani ini, tasawwuf, ulama lama, kitab kuning, tidak ada langsung relevan dengan semasa, kerana ada juga pandangan intelektual muslim melayu yang begitu. Cuba tanya dia dah baca belum? Belum. Dia baca tak Fatani yang menyentuh tentang ketatanegaraan, tatakelola, tantangan dan keadilan.
  1. Itulah sumbangan kecil saya mudah-mudahan kita dapat didik masyarakat dan saya rasa seperti saya sentuh juga dengan rakan-rakan kita mewakili pondok dan NGO dan lain-lain bahawa penting sekarang terutama di negara kita tonjolkan contoh-contoh baik supaya orang rasa enak, baik Islam itu. Tidak menakutkan, tidak mengancam hak mereka, tidak menghina mereka, tidak menakutkan seolah-olah mereka ini akan kuasai kita, Kristian akan ambil alih, jadi hanya menakutkan, sumbangan dakwah tidak ada, kefahamannya tidak meningkat, itu cara pemilihan, tidak setuju tidak apa, jangan hina jangan cerca saya. Tapi ini pendekatan yang saya pilih untuk menunjukkan dan in shaa Allah kerajaan perpaduan pimpinan saya akan pastikan sepertimana yang diusulkan sebab agama Islam adalah agama persekutuan, saya nak orang Islam terdedah dengan maklumat ini tetapi orang-orang bukan Islam juga diberi peluang untuk mendengar. Kalau kita katakan Umar Abdul Aziz itu tokoh good governance, saya nak panggil sidang biar mereka dengar jangan kamu nilai ketatanegaraan itu dari kisah 1MDB, tidak. Kamu kena dengar sumbangan Islam yang besar dalam isu mengatur dan mentadbir negara. Dan tentulah keutamaan saya juga adalah untuk mengangkat ekonomi rakyat termasuk orang-orang Melayu yang terpinggir dan ketinggalan.
  1. Soal pendidikan memang suatu hal yang utama, dan in shaa Allah saya akan berbincang dengan Menteri Pendidikan dan juga Menteri Pengajian Tinggi dan juga institusi-institusi yang berkaitan dan tidak akan tinggalkan peranan institusi tradisional yang dikatakan pondok, maahad tahfiz dan sekolah-sekolah agama. Bila sebut pondok ini saya baca dulu karya Muhammad Natsir, seorang pejuang dan tokoh muslim, tokoh Islam di Indonesia. Dia cerita tentang pesantren. Di sana pondok itu pesantren. Dia kata tatkala Belanda datang dan menghujat bukan sahaja sistem politik negara tapi seluruh pemikiran umat yang disebut oleh Sheikh Muhammad Al-Ghazali, roh dan jiwa ditawan satu-satunya kekal sebagai benteng pertahanan umat. Satu-satunya yang boleh lebur, institusi pemerintahan lebur, ekonomi lebur, dagang lebur, yang pertahankan sebagai umat Islam adalah pesantren, sebagai benteng pertahanan umat. Sebab itu relevan pesantren atau pondok itu mesti kita hidupkan semula sebagai benteng pertahanan bukan jadi pusat untuk menimbulkan kekacauan dan kegalawan, kekeliruan pemikiran yang berlaku sekarang ini.
  1. Saya ucapkan jazzaakumullah khairan kathiran kepada semua yang hadir. Sheikh Jamil pesan saya tadi jangan jadi ini yang awal atau yang akhir. Insya-Allah kita akan cuba untuk majlis-majlis ilmu, zikir, selawat di sini, Kalau boleh setiap minggu. Tetapi majlis-majlis supaya kita dengar, saya panggil menteri-menteri supaya mereka dengar celoteh daripada NGO dan wakil-wakil ni, bagus juga dia dengar, itu kita akan cuba adakan berkala, walaupun saya tidak boleh janji setiap minggu tetapi majlis ilmu itu ada.
  1. Terima kasih kerana mengundang saya ke sini, ini kali pertama saya melawat ke rumah rasmi ini. Saya nak jadikan rumah rasmi ini sebagai tempat dan rumah kebajikan dan kegiatan rakyat dan bukan untuk Perdana Menteri. Mudah-mudahan insya-Allah kita mendapat manfaat.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.