Teks Ucapan Sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-18 (MIHAS 2022) – “Mempelbagaikan Potensi Halal”

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

PAMERAN HALAL ANTARABANGSA MALAYSIA KE-18 (MIHAS 2022)
“MEMPELBAGAIKAN POTENSI HALAL”

8 SEPTEMBER 2022 | KHAMIS | 10.00 PAGI
PUSAT PAMERAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA (MITEC),
KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022.

2. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas penganjuran MIHAS edisi ke-18 ini yang menempa sejarah kerana buat julung kalinya diadakan secara hibrid.

3. Saya amat menghargai usaha MITI dan MATRADE yang telah bertindak sebagai ‘Barisan Hadapan Ekonomi’ untuk memulihkan ekonomi negara dengan menaikkan janaan hasil negara ketika kita masih berhadapan dengan ancaman COVID-19.

4. Keupayaan menganjurkan MIHAS ke-17 secara maya tahun lepas berjaya mencatatkan hasil jualan eksport sebanyak RM2.13 bilion yang sekali gus meletakkan MATRADE di tempat pertama bagi “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik” pada majlis penganugerahan ‘World Trade Promotion Organization 2022’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Halal sesuai untuk semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari.

6. Halal tidak tertakluk kepada penyediaan makanan dan minuman sahaja, tetapi ia juga sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan. Konsep Halal terbukti bersifat sejagat untuk diguna pakai oleh semua.

7. Peluang bagi pembangunan industri Halal sentiasa terbuka luas berikutan populasi Muslim global kini mencecah 1.9 bilion pada tahun lepas.

8. Ini menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri Halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang.

9. Arus globalisasi dan kemajuan dalam pengkomersialan meningkatkan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan Halal dalam kalangan pengguna dari setiap lapisan masyarakat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Saya berasa bangga apabila dimaklumkan dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’, menandingi 81 negara lain.

11. Penilaian ini telah dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur Halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan.

12. Petunjuk Ekonomi Islam Global ini turut meramalkan bahawa pasaran Halal akan berkembang daripada RM8.8 trilion (USD2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (USD3.27 trilion) menjelang 2028.

13. Konflik geopolitik serta sekatan perjalanan yang masih dikuatkuasakan di negara-negara tertentu telah mengganggu pengeluaran dan seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran.

14. Meskipun begitu, dijangkakan bahawa impak luar sebegini hanya bersifat sementara kerana terdapatnya peningkatan permintaan produk Halal oleh komuniti antarabangsa dan juga peningkatan sektor e-Dagang yang didorong oleh digitalisasi.

15. Justeru, operasi perniagaan pada masa kini perlu dijalankan dengan menggunakan kaedah dan pendekatan terkini. Ianya adalah suatu kemestian dan bukan lagi satu pilihan.

16. Transformasi dan kepelbagaian dalam industri Halal membolehkan perdagangan menjadi lebih berdaya saing dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Penganjuran MIHAS merupakan satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi Kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri Halal di Malaysia dan seterusnya memperkasakan lagi jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

18. Peningkatan hasil jualan daripada pameran perdagangan bertaraf antarabangsa seumpama MIHAS dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan Halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

19. Malah, peningkatan jualan sektor Halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri Halal ke peringkat antarabangsa.

20. Saya difahamkan bagi pameran kali ini, terdapat tiga komponen utama MIHAS 2022, iaitu
Pertama, Pameran Produk dan Perkhidmatan Halal;
Kedua, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP);
Ketiga, Hab Pengetahuan.

21. MIHAS edisi ke-18 ini menampilkan pameran secara fizikal dan maya, sesi pemadanan perniagaan dengan teknologi kecerdasan buatan (atau AI), ruang interaksi maya, dan sesi perkongsian serta persidangan secara langsung.

22. Sesi Hab Pengetahuan pada tahun ini memperincikan peluang di pasaran eksport, isu kemampanan Halal, serta penggunaan teknologi semasa agar sentiasa relevan dalam ekosistem Halal global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Dalam usaha mempromosikan Halal, ingin saya tegaskan bahawa penting untuk kita menangani sebarang isu yang berkait dengan jaminan Halal, yang berisiko merosakkan imej Halal yang kita usahakan selama ini.

24. Jaminan Halal yang saya maksudkan ini merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi.

25. Pengesahan dan piawaian produk Halal Malaysia bermula pada 1974 apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi mandat menyediakan surat akuan pengesahan Halal kepada produk yang mematuhi keperluan Syariah.

26. Kini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf Halal, di mana lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport. JAKIM turut bekerjasama dengan badan pensijilan Halal dari pelbagai negara untuk keseragaman piawaian dalam pematuhan kepada Undang-undang Syariah.

27. Antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri Halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada HDC.

28. Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan Halal, serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan Halal.

29. Sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.

30. Sehingga kini, Taman Halal telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, di mana RM9.5 bilion atau 59 peratus dari jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

31. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah sekali lagi kepada MITI dan MATRADE atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menganjurkan MIHAS ke-18.

32. Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada penaja-penaja MIHAS, di atas kepercayaan dan sokongan padu dalam pembangunan industri Halal Malaysia.

33. Sebelum mengakhiri ucapan, saya mahu syarikat Malaysia mencari keunikan sendiri dan mencari pasaran yang belum diterokai, pertimbangkanlah keperluan untuk mengubahsuai usaha penjenamaan dan promosi anda dalam mengakses pasaran baharu.

34. Kita perlu cekal dan berdaya saing. Inilah masanya bagi kita untuk “Mempelbagaikan Potensi Halal”.

35. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Edisi ke-18, MIHAS 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.