Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PEMBANGUNAN BERINTEGRASI PUSAT BEKALAN GAS DAN LOJI JANAKUASA PULAU BUNTING

1 SEPTEMBER 2022 | KHAMIS | 4.00 PETANG
PULAU BUNTING YAN, KEDAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis perasmian projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana kuasa Pulau Bunting, di daerah Yan ini.

2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor dan Kerajaan Negeri Kedah kerana telah berjaya menarik pelaburan dalam projek berskala mega bernilai RM14.4 bilion.

3. Sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), saya gembira dengan keputusan Kumpulan MMC mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini, sekali gus mengubah landskap sosioekonomi penduduknya.

4. Terima kasih juga kepada Kumpulan MMC. Saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan Negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Ini kali kedua dalam tempoh setahun saya berkunjung ke Kedah untuk merasmikan projek mega. Pada Februari lepas, saya merasmikan Projek Strategik NCER – Rubber City bernilai RM10 bilion di Padang Terap.

6. Projek berkenaan bakal mewujudkan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang tahun 2025.

7. Pada hari ini pula, saya berada di daerah Yan untuk merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting.

8. Pelancaran dua projek pelaburan mega kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion, menunjukkan Negeri Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat.

9. Sememangnya menjadi agenda Kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.

10. Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Berkat ketabahan dan kekuatan semangat Keluarga Malaysia, kita berjaya keluar dari tempoh sukar akibat COVID-19 dan kini berada dalam Fasa Peralihan Ke Endemik.

12. Untuk terus kekal berdaya saing dalam era pasca COVID- 19, kita perlu lebih kreatif dan proaktif dalam mencipta lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

13. Sehubungan itu, langkah yang diambil sektor swasta seperti Kumpulan MMC amat bermakna dalam membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara dan juga Keluarga Malaysia.

14. Ini kerana sektor swasta berperanan menjadi enjin utama pertumbuhan untuk menggerakkan sektor ekonomi pasca pandemik supaya negara berada pada kedudukan atau mencapai prestasi lebih baik.

15. Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting yang melibatkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di kawasan utara.

16. Komponen terbabit melibatkan Hab STS Yan yang akan menyediakan perkhidmatan pemindahan kargo produk petroleum, terutamanya gas asli cecair (LNG), secara ship- to-ship.

17. Saya yakin dengan kedudukan daerah Yan yang strategik, iaitu di pintu masuk utara Selat Melaka, ia mampu menjadi hab serantau di Asia Tenggara bagi aktiviti perdagangan dan simpanan LNG serta pengimportan LNG bagi kegunaan domestik.

18. Komponen kedua yang bakal dibina di sini ialah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara Semenanjung.

19. Kesemua prasarana ini penting jika kita mahu menjadikan Negeri Kedah terutama kawasan tengah negeri ini menjadi sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perindustrian untuk jangka masa panjang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Komponen yang ketiga adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung atau Floating Storage and Regassification Unit (FSRU) ataupun Floating Storage Unit (FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.

21. Ini merupakan sebuah kemudahan bebas yang membenarkan pihak pengimport membawa masuk gas asli cecair untuk pengguna di Semenanjung Malaysia.

22. RGT Yan menawarkan prasarana lengkap bagi bekalan, import, perdagangan, peruncitan dan penggunaan gas asli yang lebih cekap dan kos efektif di Semenanjung Malaysia terutamanya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini.

23. Saya percaya RGT Yan dapat menggalakkan aktiviti ekonomi yang mampan kepada Semenanjung Malaysia terutama di daerah Yan dan wilayah utara sekali gus meningkatkan taraf hidup dan landskap sosioekonomi penduduk di kawasan ini.

24. Selain bakal berubah seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya merupakan sebuah perkampungan nelayan, yang kemudiannya membangun pesat sebagai kawasan perindustrian, penduduk Yan terutamanya, golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan.

25. Kedah sangat sinonim dengan nama Bumi Jelapang Padi. Bagi memastikan pengeluaran hasil padi negara bertambah, pihak MMC turut membantu menaik taraf sistem perairan di kawasan tanaman padi.

26. Hasilnya, kitaran penanaman padi akan ditingkatkan kepada lima kali dalam masa dua tahun berbanding empat kali sekarang.

27. Persatuan petani dan pesawah, MADA, BERNAS dan MMC juga bersedia untuk merealisasikan projek menaiktaraf sistem perairan ini, menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kumpulan MMC telah bertindak berani menjadi perintis membuka laluan ke daerah ini termasuk menyediakan kemudahan yang akan menarik pelabur-pelabur lain untuk turut melabur di kawasan ini.

29. Ini adalah bukti kerjasama baik antara kerajaan dan swasta dalam merangsang dan memajukan ekonomi negara yang mana hasilnya dapat dinikmati seluruh Keluarga Malaysia.

30. Kerajaan juga sedang mengkaji pembinaan sebuah pelabuhan agregat di kawasan Sanglang bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal selain laluan penghubung jambatan darat atau land bridge antara selatan Thailand dan Malaysia.

31. Sekiranya menjadi realiti, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri Kedah termasuk meningkatkan keyakinan pelabur menanam modal di negeri ini dan juga wilayah utara amnya.

32. Sebelum saya mengakhiri ucapan, terima kasih diucapkan sekali lagi kepada semua Keluarga Malaysia yang terlibat dalam kelancaran program pada hari ini.

33. Dengan harapan dan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting, di Daerah Yan, Kedah Darul Aman.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.