Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
DASAR BIOTEKNOLOGI NEGARA 2.0 (DBN 2.0)

12 SEPTEMBER 2022 | ISNIN | 3.00 PETANG PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC),
KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (atau DBN 2.0) petang ini yang mengangkat tema ‘Ke Arah Masyarakat Bioinovasi’.

2. Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana mengundang saya untuk merasmikan majlis yang amat penting dalam memacu pembangunan negara dalam bidang bioteknologi.

3. Bioteknologi merupakan komponen penting dalam bio- inovasi bagi memacu pembangunan negara dan ia harus dibangunkan bersama teknologi lain yang baru muncul dalam konteks Revolusi Perindustrian 4.0.

4. Sebagai contoh, dalam bidang biomolekul dan biosistem, pembangunan dalam teknologi molekul telah membantu memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang proses biologi serta membolehkan perancangan terperinci untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Kerajaan amat berbangga kerana Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada 17 buah negara megadiversity berikutan terdapat sekurang- kurangnya 5,000 tumbuh-tumbuhan indigenous serta memiliki ekosistem marinnya sendiri.

6. Kekayaan biodiversiti negara ini perlu dimanfaatkan sebaik- baiknya bagi melonjakkan ekonomi negara melalui pemerkasaan sektor bioteknologi.

7. Bagi menyokong komitmen ini, kerajaan telah memberi aspirasi baharu menerusi penggubalan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 atau DBN 2.0 untuk tempoh sehingga 2030.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. DBN 2.0 menambah baik strategi-strategi dalam Dasar Bioteknologi Negara yang terdahulu selaras dengan perkembangan trend di peringkat global.

9. DBN 2.0 juga akan memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

10. Dasar ini juga akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.

11. Bagi memperkasakan sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama, iaitu:

Pertama: Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan;

Kedua: Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan; serta

Ketiga : Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

12. Selaras dengan bidang tumpuan bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, usaha Kerajaan akan dipertingkatkan dalam menggunakan sumber asli tempatan secara mampan untuk input pertanian, ternakan dan hasil marin, serta akuakultur bernilai tinggi.

13. Ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi dengan menggunakan teknologi baharu dan terkini akan dibangunkan, seperti superfood dan penghasilan makanan baharu yang lebih lestari.

14. Bioteknologi turut memainkan peranan penting bagi sekuriti kesihatan negara untuk mengatasi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021- 2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi.

16. MOSTI akan terus menjalin kerjasama erat semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kementerian dan

agensi kerajaan serta pihak industri berasaskan bio dan masyarakat bagi menjayakan sasaran-sasaran utama DBN 2.0.

17. Lima sasaran utama DBN 2.0 adalah:

Pertama: 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif;

Kedua: Sokongan kepada syarikat-syarikat Bionexus yang berpotensi untuk menjadi syarikat berstatus unicorn. Kerajaan dalam konteks ini mensasarkan 3 syarikat bio- inovasi berstatus unicorn menjelang 2030;

Ketiga: Pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia;

Keempat: 5 peratus KDNK negara oleh syarikat-syarikat bioteknologi; dan

Kelima: 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah.

18. Antara cabaran dan kekangan yang dihadapi negara ketika ini adalah kekurangan modal atau pembiayaan susulan untuk pengkomersialan serta kekurangan bakat dalam kepakaran khusus.

19. Bagaimanapun, segala permasalahan ini mampu ditangani jika semua pihak berkepentingan menggembleng tenaga untuk menyokong ekosistem bioteknologi negara termasuklah menyediakan persekitaran yang kondusif agar dapat menambah jumlah kepakaran penyelidik tempatan bertaraf antarabangsa.

20. Pengukuhan dan pemerkasaan ekosistem bioteknologi negara ini perlu dilaksanakan seiring dengan transformasi strategi dan tadbir urus dasar yang telah dikenal pasti dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

21. Justeru, saya menggesa peranan aktif semua pihak termasuk:

Satu: Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (atau Bioeconomy Corporation) sebagai pemudahcara industri perlu menambah baik Bionexus Bill of Guarantees yang merangkumi keistimewaan status Bionexus agar lebih berdaya saing di peringkat global dan insentif yang ditawarkan juga perlu lebih menarik;

Dua: National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) perlu memperkukuhkan fasiliti makmal R&D dan perkhidmatan yang mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kolaborasi dengan institut penyelidikan serta universiti tempatan dan antarabangsa, dan pemain-pemain industri;

Tiga: Syarikat modal teroka (VC) tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga digalakkan untuk melabur dalam syarikat bioteknologi tempatan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan bioteknologi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa; dan

Empat: Bank-bank komersial juga diminta agar memudahcara pembiayaan kepada syarikat-syarikat bioteknologi tempatan yang berdaya saing termasuk mengambil kira nilai hak harta intelek sebagai aset yang bernilai.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Saya juga ingin mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia (atau Malaysia Biotechnology Alliance of Research Centre) yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara.

23. Justeru, satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan ini, bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara, seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0.

24. Gabungan ini berperanan untuk:

Pertama: Menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat;

Kedua: Menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong R&D bioteknologi yang memfokuskan kepada pembangunan eksperimen; dan

Ketiga: MOSTI menerusi Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi.

25. MOSTI juga ketika ini sedang dalam perancangan untuk menjalankan Projek MyGenom, yang melibatkan 10,000 hingga 100,000 sampel manusia di Malaysia.

26. Objektif projek ini adalah untuk menghasilkan genom rujukan bagi kepelbagaian populasi dan etnik Keluarga Malaysia, mencirikan variasi genetik rakyat dan menghimpunkan data genom dalam perubatan diagnostik dan pencegahan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Baru-baru ini MOSTI dan Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi konsultasi dan MOSTI telah memohon peruntukan bagi menggalakkan perkembangan syarikat- syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation.

28. Ini amat signifikan memandangkan MOSTI mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Saya berharap BioMalaysia akan dapat dianjurkan pada tahun 2023 dengan jayanya dan menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing dan tempatan.

30. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya memberi jaminan bahawa Kerajaan sentiasa menyokong penuh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan yakin ia akan memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan.

31. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, melancarkan Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.