Teks Ucapan Sempena Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 Tahun 2022

TEKS UCAPAN
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PENUTUP PESTA KEBUDAYAAN CINA KEBANGSAAN KE-37 TAHUN 2022

18 SEPTEMBER 2022 | AHAD | 8.30 MALAM
DEWAN SERBAGUNA
SEKOLAH TINGGI CHUNG HUA SEREMBAN


Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan (DPCNS) selaku penganjur Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 pada tahun ini.

2. Terima kasih juga kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) yang sudi menjemput saya ke majlis yang sangat dekat di hati masyarakat Cina ini.

3. Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan merupakan sebuah program tahunan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang warisan dan budaya cina, namun begitu, sejak dua tahun lalu majlis ini tidak dapat diadakan berikutan penularan pandemik COVID-19.

4. Kerajaan sememangnya menggalakkan penganjuran program kebudayaan seumpama ini, kerana perbezaan budaya membolehkan kita semua mempelajari falsafah setiap budaya seterusnya merapatkan hubungan di antara kaum.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, saya menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengembalikan kestabilan politik negara, selepas kita melalui satu detik yang mencabar apabila terdapat 3 Perdana Menteri dalam tempoh 3 tahun setengah.

6. Tidak sampai sebulan saya menjadi Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan telah berjaya berunding dengan pihak pembangkang untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

7. Saya sifatkan kerjasama dwi-partisan ini merupakan satu lakaran sejarah baharu dalam lanskap politik negara serta dapat menyumbang kepada kematangan politik dan menumpukan kepada pemulihan ekonomi negara.

8. Saya telah memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia selari dengan matlamat untuk membina perpaduan yang utuh serta mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

9. Konsep Keluarga Malaysia membawa nilai-nilai yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, agar kita semua dapat terus mengamalkan sikap hormat-menghormati, toleransi dan menghayati keistimewaan budaya masing-masing.

10. Konsep ini telah disebarkan ke seluruh negeri melalui Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia serta pelbagai program yang diadakan di peringkat kementerian serta jabatan, malah ia turut disambut oleh pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

11. Natijahnya, saya melihat insiden-insiden provokasi perkauman dan agama semakin reda. Kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama sangat penting dalam negara majmuk seperti Malaysia untuk menggerakkan ekonomi negara melangkah ke hadapan.

12. Kerencaman identiti dan budaya yang ada dalam kalangan kita sewajarnya merapatkan hubungan antara kaum supaya kita boleh mempelajari falsafah setiap budaya yang berbeza ini. Impian saya adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, harmoni dan hidup sebagai sebuah keluarga besar.

13. Maka, disebabkan itu, frasa ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, kerana ia mengajak kita mengukuhkan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia, setiap kementerian telah mengambil langkah melaksanakan program dan inisiatif mengikut peranan dan fungsi masing- masing.

15. Sebagai contoh, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, rakyat berbudaya.

16. DAKEN juga berperanan memartabatkan dan memelihara seni, budaya dan warisan Keluarga Malaysia agar tidak hilang ditelan zaman.

17. Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan rangka tindakan (atau blueprint), KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dilancarkan pada 28 November lalu.

18. Di bawah pelan ini, konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan melalui aktiviti dan program yang berteraskan perpaduan, bagi meraikan kepelbagaian berlandaskan tiga(3) prinsip asas dalam hubungan antara etnik iaitu faham, hormat dan terima.

19. Pelan ini menumpukan kepada empat (4) dimensi iaitu Karib, Aksesibiliti, Majmuk dan Inklusiviti yang ringkasnya dinamakan sebagai KAMI sebagai simbolik rasa kebersamaan dan meraikan perbezaan yang ada dalam Keluarga Malaysia.

20. Bagi memastikan Pelan ini mencapai matlamatnya, Kementerian Perpaduan Negara telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang bermula sejak bulan Jun lalu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan juga prihatin dengan kesulitan ahli Keluarga Malaysia dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung, khususnya berkaitan kenaikan harga barangan.

22. Dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

23. Antara tumpuan utama negara adalah untuk kembali pulih selepas pasca pandemik COVID-19 dan ini termasuklah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan kelangsungan sektor perniagaan.

24. Kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada memastikan persekitaran hidup yang selamat dan selesa, dengan menekan pembangunan yang inklusif serta selari dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.

25. Langkah ini bertujuan memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat daripada pencapaian pembangunan negara tanpa kompromi terhadap hak generasi akan datang.

26. Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa komuniti masyarakat Cina baik di kawasan bandar mahupun luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023 pada awal bulan depan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Akhir kata, menjadi harapan saya untuk mewujudkan negara yang aman dan harmoni, serta melihat kita semua dapat hidup sebagai satu keluarga yang besar mendukung semangat Keluarga Malaysia.

28. Kerajaan juga menggalakkan Huazong meneruskan usaha- usaha baik seperti penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang, dan sentiasa menyokong program-program anjuran agensi-agensi Kerajaan demi mengukuhkan perpaduan Keluarga Malaysia.

29. Dengan kata-kata tersebut, saya sukacitanya menyempurnakan Majlis Penutup Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.