Kenyataan Media Berkaitan Kerjasama Awam Dan Swasta Memacu Agenda Pendigitalan Negara

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERJASAMA AWAM DAN SWASTA MEMACU AGENDA PENDIGITALAN NEGARA


Hari ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang turut dihadiri oleh YB Menteri-Menteri serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat.

Mesyuarat pada hari ini juga telah menetapkan beberapa keputusan seperti berikut:

Pertama, mesyuarat bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) untuk menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional. Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 dan melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara.

Industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Kedua, melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act – Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (National Data Sharing Policy – NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Ketiga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasakan melalui pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi. Satu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (Online Dispute Resolution – ODR) diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil dan meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

Penubuhan pusat sehenti (one-stop centre) juga akan mempermudahkan akses program sokongan pendigitalan kepada para PKS. Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi.

Keempat, Kerajaan akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara. Program yang akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.

Kelima, menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (Sharing Economy Committee) yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional melibatkan sektor awam, swasta, komuniti dan akademik.

Sementara itu, Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun 2022 dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024. Capaian rangkaian 5G kini telah mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Kerajaan berharap program pendigitalan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
6 September 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.