Kenyataan Media Berkaitan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bersiap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA DAERAH (JPBD) DIARAH DIAKTIFKAN SEGERA

UNTUK MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT


Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar/Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi terlibat.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November. MET Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Secara keseluruhannya, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 perserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mesyuarat pada hari ini bersetuju supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

Ini kerana JPBD mempunyai fungsi yang penting untuk melaksanakan kerja-keja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPBN menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.

Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.

Kementerian Pendidikan Malaysia diarahkan supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.

JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS.

NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

Dalam masa yang sama, JPBN dan JPB Daerah perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

Sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah. Kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.

Kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini. Semua aset-aset ini perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.

JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik. Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan. Pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara.

Seluruh Keluaga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah (lokasi bencana) diarah supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien.


#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
12 SEPTEMBER 2022

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.