Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-5

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PERSIDANGAN TENAGA LESTARI ANTARABANGSA (ISES) KELIMA 2022

29 OGOS 2022 | ISNIN | 10.00 PAGI
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pagi ini dalam Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (atau ISES) Ke-5.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli (atau KeTSA), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana sudi mengundang saya merasmikan persidangan yang cukup bermakna ini.

3. Saya juga mengalu-alukan kehadiran para hadirin dalam dan luar negara, sama ada yang mengikuti majlis ini secara fizikal ataupun secara maya.

4. Sesungguhnya sokongan dan sumbangan anda semua amat penting bagi Malaysia melaksanakan peralihan tenaga secara berkesan, selain merangsang pertumbuhan dan pembangunan sektor-sektor ekonomi yang berkaitan bidang tenaga lestari di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Persidangan ini dengan tema “Memperkasakan Peralihan Tenaga”, tepat pada masanya ketika masyarakat global sedang rancak membincangkan langkah-langkah pengurangan jejak karbon dengan melakukan peralihan tenaga.

6. Persidangan ISES ini akan membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari, untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

7. Saya berharap dasar, amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan, agar Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Saya difahamkan bahawa peningkatan penjanaan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta amalan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah, merupakan dua aspek penting dalam menangani isu perubahan iklim dunia.

9. Penekanan terhadap kedua-dua aspek pembangunan tenaga lestari ini merupakan langkah penyahkarbon turut mendominasi serta mencorak hala tuju pembangunan geopolitik, ekonomi, pelaburan dan perdagangan dunia semasa.

10. Justeru, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 yang lalu, saya telah mengumumkan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan GHG (gas rumah kaca) bersih sifar pada tahun 2050.

11. Aspirasi ini menunjukkan kesungguhan Malaysia menyertai seluruh warga dunia untuk merealisasikan matlamat menangani perubahan iklim, meskipun kita menyumbang kurang daripada 0.7 peratus daripada jumlah GHG dunia.

12. Komitmen ini juga merupakan suatu wawasan yang selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mewujudkan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan mapan, selain membangunkan industri tenaga lestari tempatan yang kompeten dan berwibawa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Pada masa ini, trend semasa dunia dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, khususnya melibatkan pembangunan dan pelaburan tenaga elektrik daripada sumber lestari terutamanya di sektor pengangkutan, pemanasan dan penyejukan serta proses industri.

14. Saya melihat impak perkembangan cukup positif buat Malaysia, kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan.

15. Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan, sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, kita perlu memanfaatkan kelebihan perbandingan yang dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini.

16. Hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

17. Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif, melalui teknologi moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien.

18. Perkara ini penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti.

19. Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, telah diminta menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

20. Sebagai langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga ini, Kerajaan bersetuju melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara seperti berikut:

Pertama, meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar dan kuota baharu ini akan diagihkan untuk:

i. Pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan;

ii. Penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya; dan

iii. Penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW.

Dengan persetujuan ini, Kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara.

Kedua, melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca.

Ketiga, membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi. Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC.

Keempat, menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara. Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Malaysia diberkati dengan pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai. Saya yakin, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, kita mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.

22. Oleh itu, saya menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh kita laksanakan.

23. Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti, bakal menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon 2050.

24. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada KeTSA, SEDA Malaysia dan juga para penaja dan penganjur bersama yang menjayakan persidangan ini. Mudah- mudahan sumbangan tenaga dan usaha murni ini diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT.

25. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismilahirrahmanirrahim, merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima (ISES) 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.