Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
PAMERAN PERTANIAN, HORTIKULTUR DAN AGRO PELANCONGAN (MAHA 2022)

6 OGOS 2022 | SABTU | 10.00 PAGI
TAMAN EKSPO PERTANIAN MALAYSIA SERDANG
(MAEPS)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 pada pagi ini.

2. Pertama kali tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kerana berjaya menganjurkan pameran terbesar dan berprestij ini yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

3. Pemilihan Pemilihan tema ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana sumber pendapatan.

4. Terima kasih juga kerana sudi mengundang saya untuk merasmikan MAHA selepas empat tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Tanggal 6 Ogos setiap tahun, kita meraikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan sejak diisytiharkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1975.

6. Penganjuran MAHA pada bulan yang sama pula menjadi wacana terbaik untuk mengetengahkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan teknologi terkini yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

7. Malah, MAHA yang dianjurkan dalam beberapa siri sejak tahun 1999, dan kini mempunyai legasi sejarah tersendiri, juga bertujuan membolehkan sektor pertanian terus melangkah maju ke hadapan.

8. Bagi edisi kali ini, MAHA dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 bagi menjamin sekuriti makanan melalui transformasi sistem makanan negara serta melakar hala tuju negara dalam sektor ini sehinggalah tahun 2030.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Alhamdulillah, ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia, sejak tahun 2020 telah semakin pulih berikutan pelbagai inisiatif Kerajaan.

10. Di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, Kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.

11. Justeru, Kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi. Semalam, MyCCC juga telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam. Ini amaran Kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran.

12. Beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan Kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

13. Dalam langkah intervensi ini, Kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

14. Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram.

15. Saya pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

16. Jihad ini perlu diteruskan oleh MAFI menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi- agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah – buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun sekali gus menjadikan sektor ini sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

18. Kita perlu bergerak selari dengan trend terkini yang menitik beratkan soal keselamatan makanan, jaminan bekalan makanan, nutrisi dan juga ketahanan dalam sistem makanan negara.

19. Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik.

20. Di bawah jawatankuasa ini, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 – 2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan yang negara kita hadapi.

21. Beberapa langkah dan strategi berorentasikan perdagangan, pengeluar dan pengguna telah diperkenalkan oleh Kerajaan iaitu:

Pertama, mengurangkan kebergantungan kepada import bekalan makanan yang mencecah RM 60 bilion pada tahun 2021.
Kedua, menarik pelabur asing untuk melabur dalam projek sektor agromakanan negara.
Ketiga, mengalakkan penglibatan secara agresif agensi- agensi Kerajaan serta GLC, GLIC dan pihak swasta dalam agenda menjamin sekuriti makanan negara.
Keempat, mengukuhkan sinergi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan keluasan tanah untuk aktiviti pertanian dan;
Kelima, Kerajaan komited untuk menyediakan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk subsidi, geran mahupun dana pembiayaan bagi membantu pengusaha dan pemain industri di sepanjang rantaian nilai.

22. Kerajaan juga memastikan isu sekuriti makanan negara sentiasa diberi perhatian menerusi Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dan Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi.

23. Di samping itu, dua puluh lapan (28) sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) juga akan berlaku melibatkan nilai pelaburan lebih RM 5.6 bilion.

24. Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan (8) syarikat pemasar dari luar negara sebagai salah satu usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.

25. Sebanyak 15,000 peluang kerjaya dalam pelbagai sektor akan disediakan kepada golongan muda dan graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, setiap dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.

27. Sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara, Kerajaan menerusi MAFI akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan.

28. Sebagai permulaan, subsektor padi dan beras telah dipilih sebagai projek rintis Kementerian yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

29. Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

30. Para pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

31. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara, MAFI melalui Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM 800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM).

32. Berikutan sambutan yang memberangsangkan, Kerajaan bersetuju menambah RM 200 juta lagi dalam dana pembiayaan kos rendah untuk menjadikannya RM 1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan kita.

33. Agrobank juga akan menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara.

34. Bersempena MAHA 2022, saya juga ingin mengumumkan berita baik kepada individu termasuk graduan yang ingin memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan di rumah (home-based), membeli mesin bagi tujuan perniagaan makanan, atau pembelian motosikal bagi tujuan penghantaran makanan menerusi platform e-hailing dan seumpamanya.

35. Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM 50 juta melalui Agrobank di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz yang akan menawarkan pembiayaan sebanyak RM 5,000 bagi peringkat pertama dan RM 10,000 bagi peringkat kedua.

36. Di bawah program ini, pemohon diberikan moratorium bagi tempoh 6 bulan pertama dan dikenakan tiga peratus kadar keuntungan bagi bulan ketujuh dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau 5 tahun.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

37. Kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

38. Akhir sekali, saya ingin mengingatkan kejayaan untuk memantapkan jaminan sekuriti makanan di masa hadapan serta memajukan dan mentransformasi sektor agromakanan merupakan tanggungjawab kita bersama sebagai Keluarga Malaysia.

39. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan MAHA 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.