Teks Ucapan Sempena Majlis Hi-Tea Persatuan Wartawan Wanita (PERTAMA) Bersama Perdana Menteri

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS HI-TEA PERSATUAN WARTAWAN WANITA MALAYSIA (PERTAMA) BERSAMA PERDANA MENTERI

15 OGOS 2022 | ISNIN | 3.00 PETANG
HOTEL PREMIERA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini bagi meraikan wartawan dan petugas media WANITA Malaysia sempena Ulang Tahun ke-51 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

2. Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepemimpinan dan ahli PERTAMA yang berusaha memastikan persatuan ini kekal relevan dalam mendepani pelbagai perubahan dan cabaran sejak ditubuhkan pada tahun 1971.

3. Saya juga berterima kasih kepada PERTAMA yang mengundang saya untuk bersama-sama keluarga media wanita terdiri daripada mereka yang memegang pelbagai jawatan dan juga organisasi berbeza bagi meraikan majlis yang istimewa ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pada usia 51 tahun PERTAMA, sebagai sebuah persatuan yang mewakili kepentingan wartawan wanita di Malaysia, tentunya banyak jasa yang disumbangkan bukan hanya kepada ahli tetapi juga kepada negara.

5. Saya dimaklumkan, PERTAMA, yang diasaskan oleh Allahyarham Puan Azah Aziz, antaranya bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang kewartawanan selain diberi peluang memegang jawatan penting dalam organisasi media massa.

6. Saya yakin, ramai lagi nama besar wanita dalam pelbagai bidang di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang pernah menjadi wartawan dan kejayaan PERTAMA membantu melahirkan golongan berkaliber ini sangat mengagumkan.

7. Penglibatan kaum wanita dalam bidang kewartawanan di Malaysia hanya bermula sekitar dekad 50-an di mana ketika itu kebanyakan mereka berkelulusan Sekolah Melayu dengan sedikit pengetahuan Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun.

8. Kebanyakan golongan wanita yang terlibat dalam profesion ini pada ketika itu adalah dalam kalangan mantan guru, ustazah mahupun kerani.

9. Antaranya bekas guru Allahyarham Rosewita Ali iaitu isteri Keris Mas-Allahyarham Kamaluddin Muhammad, Allahyarham Puan Sri Hamidah Hassan (isteri Allahyarham Tan Sri Samad Ismail) dan Datin Salmi Manja, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

10. Selain nama-nama itu, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani yang juga mantan Menteri Kebajikan Masyarakat juga antara wanita Melayu yang turut menyumbang bakti serta budi dalam sejarah persuratkhabaran dan majalah di Malaysia, tahun 1920-an sehingga 1960-an.

11. Allahyarham Tan Sri Aishah memiliki kelulusan tinggi apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Regent Street Polytechnic, London untuk mengikuti kursus kewartawanan di sana pada April 1955 sehingga Disember 1958.

12. Sekembali ke tanah air pada Disember 1958, beliau terus berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian (satu daripada kumpulan besar akhbar The Straits Times) pada awal tahun 1959.

13. Hakikatnya, kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi negara hari ini tidak hanya disumbangkan oleh pemimpin negara mahupun tokoh ekonomi, bahkan juga golongan wartawan termasuk wartawan wanita memainkan peranan penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat sejak sebelum merdeka lagi.

14. Tanpa mengira penat dan cabaran dihadapi termasuklah terdedah kepada bahaya, wartawan wanita juga komited melaporkan pelbagai berita, rencana dalam menyebarluaskan maklumat terkini kepada masyarakat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Alhamdulillah, selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara, saya gembira melihat prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.

16. Jumaat lepas, Bank Negara mengumumkan prestasi suku kedua ekonomi negara pada tahun ini yang berkembang sebanyak 8.9 peratus dengan disokong kegiatan ekonomi yang kembali normal.

17. Prestasi suku kedua ini merupakan yang tertinggi dan terbaik di Asia Tenggara dan juga negara-negara utama di seluruh dunia.

18. Meskipun kita berdepan dengan kenaikan inflasi dunia, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan telah meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

19. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada bulan Mei 2022 dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak tahun 2013.

20. Selain itu, jumlah dagangan Malaysia juga melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada tahun 2021, meningkat 24.9 peratus, berbanding tahun sebelumnya hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

21. Sejak negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik, kadar pengangguran negara kembali menurun ke paras seperti sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3.8 peratus.

22. Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak COVID-19.

23. Malah, pada Suku Pertama 2022 sahaja, nilai ini adalah hampir separuh bagi keseluruhan tahun 2021, iaitu melebihi RM24 bilion.

24. Insya-Allah, pembentangan Bajet 2023 pada bulan Oktober akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia dan juga kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita termasuk anggota PERTAMA yang telah banyak berjasa terhadap arus pembangunan negara.

26. Ini dapat dilihat apabila Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Wanita Negara (MWN), Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan sehingga ke peringkat negeri pada akhir tahun lalu.

27. Sewaktu Hari Wanita, saya turut mengumumkan kebenaran bekerja di rumah (BDR) bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

28. Baru-baru ini, Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat mengikut fasal.

29. Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam GLC dan GLIC sekurang- kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

30. Sehingga kini, sebanyak 210 buah syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat daripada 900 buah syarikat sendirian berhad.

31. Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah meminda senarai keperluan (listing requirement) Bursa Malaysia untuk mewajibkan semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Lembaga Pengarah wanita.

32. Pihak SC menggunakan pendekatan yang standard di mana semua syarikat besar dengan permodalan pasaran (market capitalization) sebanyak RM2 juta (pada 31 Disember 2021) akan melaksanakan keperluan ini bermula 1 September ini manakala bagi syarikat-syarikat lain pula, ia berkuatkuasa mulai 1 Jun 2023.

33. Ini merupakan komitmen Kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu pihak media termasuklah PERTAMA. Saya merasakan wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

34. Memandangkan PERTAMA kini menginjak satu usia yang dianggap matang dan berjaya melahirkan banyak nama besar, saya berharap persatuan ini dapat membantu Kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

35. Pada hari ini, saya ingin mengumumkan RM300 ribu peruntukan kepada PERTAMA.

36. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun ke-51 kepada PERTAMA dan terima kasih atas peranan dan sumbangan anda dalam bidang kewartawanan ke arah pembentukan negara bangsa.

37. Saya sudahi ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.