Teks Ucapan Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
JELAJAH KELUARGA MALAYSIA

7 OGOS 2022 | AHAD | 10.00 PAGI

DATARAN PERAYAAN PETRA JAYA, KUCHING, SARAWAK


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun pagi ini di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching, Sarawak bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh.

2. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak khususnya Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg atas penganjuran dan tuan rumah JAKM di Bumi Kenyalang ini.

3. Kitak apa khabar tek? Semoga seluruh Keluarga Malaysia di Sarawak sentiasa sihat sejahtera. Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos tahun lalu, ini merupakan kunjungan kali keempat saya ke Bumi Kenyalang, menunjukkan betapa dekatnya negeri ini di hati saya.

4. Saya juga turut berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh anak-anak muda Sarawak, terbaharu Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya meraih pingat emas di temasya sukan Komanwel Birmingham 2022, tidak dilupakan juga Datuk Pandelela Rinong yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Keluarga Malaysia yang dicetuskan pada 22 Ogos tahun lalu, bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata. Ia bagaikan sebuah keluarga yang menekankan tiga teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

6. Konsep Keluarga Malaysia juga sebenarnya sudah sebati dengan orang Sarawak sejak sekian lama. Ia dizahirkan menerusi sifat kebersamaan, keterangkuman dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama, dan bangsa di negeri ini.

7. Nilai ini juga selari dengan sifat toleransi atau ‘tasamuh’ yang menjadi teras utama kepada perpaduan masyarakat majmuk Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang khususnya dan Malaysia amnya.

8. Inilah harapan saya agar rakyat di negara ini kekal sebagai sebuah keluarga yang besar dan mengelakkan persengketaan sesama sendiri. “Begempung kitai teguh, beserékang kitai runtuh.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kerajaan telah menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan negeri ini.

10. Fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang ini melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

11. Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta. Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini.

12. Sementara itu, Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

13. Kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak- Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

14. Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.

15. Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

16. Ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMKe-12.

18. Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

19. Daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

20. Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf danmembangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.

21. Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Bagi sektor kesihatan pula, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters.

23. Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap, manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.

24. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak.

25. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak juga komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) kepada rakyat negeri ini melalui Program Jalinan Digital Negara (atau JENDELA).

26. Bagi maksud ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia di Sarawak menjelang 2030. Baru-baru ini satelit kelapan negara, MEASAT-3d dengan kos sekitar RM1.2 bilion telah dilancarkan bagi meningkatkan kelajuan capaian internet sedia ada, sekaligus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

27. Inilah antara tanda keprihatinan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di negeri ini. Kerajaan berharap selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan internet.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kerajaan juga sentiasa mendengar rintihan Keluarga Malaysia berkaitan permasalahan bekalan elektrik. Untuk
itu, kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025.

29. Empangan ini berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan setempat.

30. Kerajaan juga komited dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 di bawah RMKe-12.

31. Ini termasuk projek tebatan banjir di negeri ini untuk Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) Lembangan Batang Rajang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Kerajaan turut menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.

33. Berikutan itu, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga.

34. Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

35. Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

36. Daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program ini di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

37. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Keluarga Malaysia Sarawak terutamanya Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari di atas perpaduan dan keharmonian yang berjaya dikekalkan di negeri ini.

38. Saya juga yakin, sasaran untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 dapat dicapai di bawah kepimpinan YAB.

39. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sarawak.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.