Teks Ucapan Sempena Health Policy Summit 2022: The Future Of Our Healtcare – Health White Paper Development

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

HEALTH POLICY SUMMIT 2022: THE FUTURE OF OUR HEALTHCARE – HEALTH WHITE PAPER DEVELOPMENT

15 OGOS 2022 | ISNIN | 11.30 PAGI
PUSAT DAGANGAN DUNIA, KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 pagi ini.

2. Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana sudi mengundang saya merasmikan persidangan penting ini yang bertujuan membincang serta merencana masa hadapan sistem kesihatan negara melalui pembangunan Kertas Putih Kesihatan.

3. Seperti mana semua maklum, sistem kesihatan negara kita, sama ada kerajaan mahupun swasta, telah berfungsi dengan cemerlang sehingga sebahagian besar Keluarga Malaysia menikmati tahap kesihatan yang baik terutama ketika kes pandemik COVID-19 memuncak.

4. Namun begitu, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa kerana pandemik COVID-19 bukanlah yang terakhir kerana terdapat pelbagai cabaran baharu bakal muncul, seterusnya akan menguji tahap keberkesanan dan ketahanan asas sistem kesihatan sedia ada.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan.

6. Cadangan Kertas Putih Kesihatan ini bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, agar sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat ketika ini selain sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam tahun-tahun yang mendatang.

7. Kertas Putih ini bukan sahaja menumpukan kepada transformasi perkhidmatan kesihatan, tetapi juga meneliti aspek-aspek lain yang membawa impak kepada kesihatan Keluarga Malaysia.

8. Pada masa yang sama, keberkesanan sistem kesihatan negara tidak seharusnya digalas oleh pihak Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pemegang taruh, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

9. Saya juga percaya, jika kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha ke arah kebaikan, kita mampu ‘Mencorak Semula Perkhidmatan Kesihatan Untuk Keluarga Malaysia’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Sejak berlakunya pandemik pada tahun 2020 dan sehingga kini, seramai 4.6 juta rakyat Malaysia telah dijangkiti COVID-19 dan sebanyak 36 ribu orang telah kehilangan nyawa.

11. Hampir tiga suku atau 74 peratus daripada jumlah kematian melibatkan Keluarga Malaysia berusia 60 tahun ke atas, sekali gus menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga mereka kerana kehilangan tempat bergantung.

12. Alhamdulillah, hasil usaha Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kadar kematian dan kadar kemasukan wad intensif dapat dibendung.

13. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan turut berjaya melandaikan lengkuk jangkitan wabak, mengelakkan kadar kematian yang lebih tinggi serta mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Pandemik juga memperlihatkan cabaran serius kesihatan dalam tahun-tahun yang mendatang termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial kita.

15. Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

16. Kadar prevalen penyakit dan permintaan penjagaan kesihatan pastinya meningkat kerana kos penjagaan kesihatan rakyat berumur 60 tahun ke atas dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.

17. Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidapi penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi.

18. Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya, dan seterusnya mengundang risiko kematian.

19. Contohnya, sebanyak 87 peratus pesakit COVID-19 yang maut merupakan mereka yang mengidap sekurang- kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.

20. Selain itu, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka akan meningkat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang kita jangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada.

22. Justeru, pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan.

23. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi harapan dalam usaha kita melakukan mencorakkan semula sistem kesihatan negara. Ini adalah harapan saya:

Pertama, sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

Kedua, sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.

Ketiga, sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya.

24. Saya percaya bahawa anda juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

25. Saya juga menyeru Keluarga Malaysia agar membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, pupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

26. Kerajaan turut menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok, melalui strategi Generasi Penamat dan saya berharap Rang Undang- Undang berkenaan dapat dibentangkan di mesyuarat Parlimen yang akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Kerajaan akan terus memainkan peranannya untuk memastikan sektor kesihatan negara terus berdaya tahan dan fleksibel supaya kekal dan kalis cabaran pada masa hadapan.

28. Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada KKM kerana mengambil inisiatif menganjurkan persidangan ini sebagai usaha menambah baik sistem kesihatan negara.

29. Saya mendoakan persidangan ini berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif sebagai satu usaha yang diberkati Allah SWT ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

30. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, merasmikan Health Policy Summit 2022 “The Future of Our Healthcare Through The Development of The Health White Paper”.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.