Kenyataan Media – Pendekatan Holistik Melindungi Golongan Rentan

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


PENDEKATAN HOLISTIK MELINDUNGI GOLONGAN RENTAN


Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dihadiri oleh Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Jabatan terlibat.

Jawatankuasa ini merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuklah pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.

Definisi golongan rentan kini diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan (stateless), pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.

Penubuhan jawatankuasa ini bagi merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian dan penganiayaan.

Keahlian jawatankuasa ini juga akan diperluaskan dengan penyertaan oleh wakil-wakil pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan bagi penyelarasan perlindungan golongan rentan.

Di samping itu, Kerajaan juga telah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana.

Mesyuarat bersetuju untuk mewujudkan rangka tindakan (Blueprint) dan penubuhan Jawatankuasa mengenai isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut. Ini kerana pada masa kini, tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian gelandangan di negara ini.

Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 [Akta 802] akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.

Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif (Alternative Service Delivery, ASD) di sebuah pusat jagaan warga emas bermula pada 21 November 2021.

Pendekatan baharu ini melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran NGO yang berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan.

Seterusnya, Kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.

Sejak DPTN diperkenalkan pada tahun 2016 jumlah pusat tahfiz berdaftar telah meningkat daripada 571 buah kepada 1,208 buah pusat tahfiz pada tahun 2022.

Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlu bersama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan dan pusat tahfiz untuk mendapatkan kelulusan beroperasi. Contohnya, isu penukaran status tanah pertanian kepada tanah komersial bagi membolehkan pusat-pusat ini beroperasi dengan sah.

Kerjasama bersepadu amat diperlukan bagi menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan rentan.


#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
3 OGOS 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.