Teks Ucapan Sempena Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PEMBUKAAN SEMINAR PERNIAGAAN ULANG TAHUN KE-40 DASAR PANDANG KE TIMUR

11 OGOS 2022 | KHAMIS | 10.20 PAGI
HOTEL HILTON,KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Ohayou Gozaimas,

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Seminar Perniagaan bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) pagi ini.

2. Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku penganjur kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ucaptama pada majlis ini.

3. Penganjuran seminar perniagaan ini adalah pengiktirafan kepada pencapaian DPT yang diperkenalkan lebih empat dekad lalu, malah sangat tepat pada masanya kerana banyak negara sedang berusaha memulihkan ekonomi masing-masing akibat pandemik COVID-19.

4. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun serta komuniti perniagaan Malaysia-Jepun yang turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi, terutama pada suku pertama tahun ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Tahun ini amat istimewa hubungan dua hala Malaysia dan Jepun kerana merupakan Ulang Tahun ke-65 dalam hubungan diplomatik, dan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT).

6. Kerajaan Malaysia memperkenalkan DPT pada tahun 1982 sebagai suatu peralihan daripada pemodenan yang berpaksikan Barat, kepada meneladani nilai-nilai Timur khususnya negara Jepun.

7. Semangat patriotisme, sistem pengurusan yang kompeten serta paling utama, kerjasama erat antara pihak Kerajaan dan sektor swasta telah membolehkan negara Matahari Terbit ini kembali bangkit setelah mengalami kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua.

8. Sesungguhnya amalan nilai-nilai terbaik di Jepun menjadi sumber aspirasi kepada Malaysia yang juga dalam proses pembangunan sosioekonominya.

9. DPT telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi terutamanya dalam sektor perkilangan dan perindustrian di Malaysia.

10. Bahkan, perkembangan sektor perindustrian Malaysia sejak era tahun 1980-an merupakan hasil kerjasama erat kedua-dua negara melalui pelaksanaan DPT yang kini diperkasakan dengan pengenalan Dasar Pandang ke Timur 2.0 atau (DPT 2.0) pada tahun 2013.

11. Pelaksanaan DPT 2.0 telah membuka ruang dan peluang kepada Malaysia dan Jepun untuk meneroka kerjasama dalam sektor baharu, yang menjadi keutamaan dan memberikan manfaat bersama.

12. DPT 2.0 ini menjurus kepada bidang pelaburan dan perdagangan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan teknologi dan infrastruktur, di samping mengekalkan teras pembangunan modal insan.

13. Justeru, saya amat berbangga bahawa hubungan ekonomi dua hala yang erat ini dimanifestasikan melalui peningkatan dalam jumlah perdagangan dua hala yang memberangsangkan sejak Dasar ini diperkenalkan.

14. Jepun kini merupakan rakan dagang keempat terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing yang utama bagi Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Sesungguhnya, setiap cabaran memberi peluang kepada kita untuk lebih berinovasi. Ini jelas apabila pandemik COVID-19 menyaksikan peningkatan dan perubahan penggunaan teknologi digital yang ketara dalam kehidupan harian kita pada masa kini.

16. Dalam hal ini, cabaran global diharap akan menjadi pencetus kepada pembentukan kerjasama Dasar Pandang ke Timur bagi kepentingan bersama Malaysia dan Jepun dalam bidang-bidang dan projek-projek baharu terutamanya dalam merancakkan aktiviti perdagangan agar ekonomi kembali pulih dengan cepat.

17. Ketika Persidangan Antarabangsa Ke-27 Nikkei mengenai “Masa Depan Asia” di Tokyo pada Mei lepas, saya telah mencadangkan supaya rantaian bekalan serantau menjadi lebih berdaya tahan melalui sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara pembangunan kapasiti ke arah memperkuatkan ketahanan rantaian bekalan tempatan.

18. Pertemuan dengan Perdana Menteri Fumio Kishida, turut memperkukuhkan hubungan Malaysia – Jepun, selain mencadangkan supaya hubungan dua negara ini dinaik taraf kepada ‘Comprehensive Strategic Partnership.’

19. Berdasarkan jalinan perdagangan yang mendalam antara Malaysia dan Jepun, saya ingin mencadangkan agar kedua-dua negara dapat meneroka kerjasama bagi menangani isu berkaitan rantaian bekalan melalui platform DPT.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Pencapaian kerjasama yang melangkaui lebih empat dekad antara Malaysia dan Jepun kini lebih tertumpu kepada bidang baharu selaras dengan revolusi teknologi yang telah memberi perubahan kepada landskap perindustrian dan ekonomi global.

21. Kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI), robotik, autonomous system, dan Internet pelbagai benda (Internet of Things – IoT) yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran yang tinggi, perlu dipertingkatkan.

22. Ini akan dapat menjamin kemampanan DPT untuk tahun- tahun yang mendatang. Oleh itu, saya berharap Kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek-projek usaha sama di bawah DPT.

Keluarga Malaysia yang saya hormati,

23. Menurut Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, isu-isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik COVID-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

24. Sehubungan itu, saya menggesa agar bidang-bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat diterokai oleh kedua-dua negara melalui projek dan program yang dilaksanakan di bawah DPT.

25. Ini termasuklah mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua (ageing society), ekonomi digital, Sains, Teknologi dan Inovasi serta pertumbuhan hijau.

26. Pada masa yang sama, pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua buah negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri Halal dengan Jepun.

27. Malaysia sebagai pelopor dalam industri Halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak di Malaysia dan Jepun yang komited sejak awal lagi dalam pelaksanaan DPT.

29. Terima kasih kepada para hadirin sekalian terutamanya delegasi dari Jepun yang turut bersama-sama meraikan dan menjayakan Seminar Perniagaan sempena Ulang Tahun ke-40 DPT di Kuala Lumpur, Malaysia pada kali ini.

30. Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, merasmikan Seminar Perniagaan sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.

Sekian, terima kasih,
Arigato Gozaimas.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.