Teks Ucapan Sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18(XVIII)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE – 18 (XVIII)

30 OGOS 2022 | SELASA | 10.00 PAGI

PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
(PICC), PUTRAJAYA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) yang ke-18, selepas dua tahun tidak dapat diadakan.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Bin Mohd Ali, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) atas penganjuran majlis yang amat bermakna ini yang bertemakan ‘Penjawat Awam Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.’

3. Sebagai sebuah keluarga besar Malaysia, sesuai dengan tema tersebut, majlis ini berperanan menjadi pengikat jalinan semangat dan kebersamaan antara Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam di semua peringkat, termasuk Negeri dan Persekutuan.

4. Saya begitu teruja melihat sambutan yang penuh bersemangat pada pagi ini. Saya dimaklumkan, lebih 4,000 penjawat awam hadir secara fizikal di Dewan Plenari, PICC pada pagi ini dan berpuluh ribu lagi penjawat awam mengikutinya secara maya, bermula dari utara Perlis, membawa ke Selatan negeri Johor, merentasi Laut China Selatan hingga ke Sabah dan Sarawak. Terima kasih saya ucapkan kepada semua!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Seluruh dunia telah dikejutkan dengan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 yang membawa kepada langkah- langkah penutupan ekonomi dan perubahan hidup yang drastik.

6. Belum pun kita pulih sepenuhnya daripada pandemik itu, krisis perubahan iklim, geopolitik terutama konflik Rusia- Ukraine semakin memburukkan keadaan hingga membawa kepada isu gangguan rantaian bekalan dan makanan.

Keluarga Malaysia tidak terkecuali daripada tempias dan bahang krisis ini.

7. Namun dengan kematangan Keluarga Malaysia dan keberkesanan jentera pentadbiran Kerajaan melalui pendekatan collaborative mindset, kita dapat memberi fokus untuk memacu semula pemulihan ekonomi negara dengan pantas dan berkesan.

8. Keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara keseluruhan dan pembukaan sempadan antarabangsa antara tindakan yang paling tepat untuk melonjakkan kembali kitaran ekonomi.

9. Hasilnya hari ini, ekonomi Malaysia telah mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus, merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

10. Momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 dijangka berterusan sehingga penghujung tahun 2022 dan saya yakin, unjuran pertumbuhan di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun 2022 dicapai.

11. Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022. Untuk separuh masa pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik, iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

12. Dasar yang terbaik, jika tidak dilaksanakan dengan sempurna, tidak akan ke mana. Siapa yang melaksanakannya? Tidak lain dan tidak bukan, andalah Keluarga Perkhidmatan Awam yang bertungkus-lumus memastikan setiap inisiatif berjalan, setiap bantuan yang dihulur sampai, dan setiap halangan serta cabaran digembeleng bersama demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Kesan pandemik COVID-19, ketidakstabilan ekonomi, perubahan iklim, krisis sekuriti makanan dan inflasi yang kita hadapi hari ini, menuntut penjawat awam supaya mempunyai kemahiran dalam menjangka masa hadapan.

14. Ini perlu diperkukuhkan dengan kebolehan dan keupayaan untuk merancang, merangka, menambah baik dasar, peraturan dan proses kerja bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

15. Sehubungan itu, pendigitalan, data analitik dan Internet Benda (Internet of Things) perlu diaplikasikan dengan sebaiknya, agar perkhidmatan yang diberikan lebih cepat, mudah dan ringkas.

16. Landskap baharu perkhidmatan awam yang semakin mencabar dan kompleks, perlu mengambil kira keperluan dan aspirasi Keluarga Malaysia serta pihak berkepentingan, manakala mentaliti ‘tahu segalanya’ sudah tidak lagi relavan.

17. Perkara ini boleh direalisasikan dengan mempermudahkan dasar, peraturan dan proses kerja di pihak agensi awam serta menggalakkan libat urus dengan masyarakat dalam pembangunan negara.

18. Mentaliti ‘silo’ juga perlu dibuang jauh, kerana kita perlu bekerja dalam satu pasukan untuk memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan sebaiknya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Pemerkasaan budaya intrapreneurship dalam organisasi awam amat penting, bagi memastikan para penjawat awam kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

20. Budaya ini menerapkan kepada setiap anggota perkhidmatan awam supaya berfikir merekalah yang menjalankan perniagaan atau usahawan, untuk sentiasa proaktif, efektif dan efisien untuk memudahcara serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh.

21. Tindakan perlu cepat, tepat dan berkesan serta memenuhi ekspektasi yang diharapkan oleh rakyat dan sesiapa sahaja yang menerima perkhidmatan kita.

22. Penjawat awam juga perlu memiliki keupayaan Kepintaran Kontekstual (Contextual Intelligence) bagi mengaplikasikan pengetahuan dan kompetensi yang dimiliki serta menghasilkan penyelesaian di luar rutin kebiasaan.

23. Keupayaan Kepintaran Teknologi (Technology Quotient) perlu dipertingkatkan, dengan mengaplikasi serta memaksimumkan penggunaan teknologi sedia ada bagi menghasilkan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan.

24. Contoh kejayaan perkhidmatan digital yang terbaik adalah penggunaan aplikasi MySejahtera ketika penularan COVID-19 yang meletakkan negara kita sebagai negara Asia Tenggara pertama menggunakan aplikasi digital dalam mengurus tadbir pandemik, sehingga menempatkan kita pada kelompok tertinggi, iaitu ke 47 daripada 193 buah negara dalam Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik (EGDI).

25. Kita sedar, dalam era Revolusi Industri 4.0, keperluan perkhidmatan melalui medium digital amat kritikal dan inisiatif Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), telah menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan Kerajaan secara End to End (E2E) telah melepasi tahap 68 peratus.

26. Inisiatif pendigitalan E2E antaranya MyOnline Pasport bagi pembaharuan pasport, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi permohonan penggajian pekerja asing dan i-Citra bagi permohonan pengeluaran caruman KWSP, telah memberikan banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia.

27. Saya juga berpandangan, Inisiatif Projek Meningkatkan Norma Baharu Penyampaian Perkhidmatan Awam (NBPPA) berupaya mempercepat dan mempermudahkan Keluarga Malaysia serta komuniti perniagaan berurusan dengan agensi Kerajaan secara digital.

28. Inisiatif ini perlu diperluas dan disambut oleh agensi-agensi Kerajaan lain, supaya perkhidmatan E2E Kerajaan dapat mencapai 100 peratus berbanding sasaran asal 80 peratus menjelang tahun 2025.

29. Bagi merealisasikannya, perubahan dasar, perundangan dan prosedur standard bagi menyokong penggunaan teknologi baharu seperti automasi proses robotik (RPA) dan kepintaran buatan (AI) perlu diintegrasikan dengan sistem sedia ada.

30. Justeru, saya menyarankan agar satu piawaian pendigitalan penyampaian perkhidmatan yang seragam diwujud dan dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian dan agensi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

31. Pada tahun ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu yang turut dinikmati oleh penjawat awam antaranya:

Pertama, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 dibayar kepada 1.3 juta penjawat awam, dalam kumpulan Gred 56 dan ke bawah, di samping sejuta pesara Kerajaan menikmati bantuan sebanyak RM350. Kesemua melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan berjumlah RM1.3 bilion.

Kedua, pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi kemudahan 1.6 juta penjawat awam. Dengan inisiatif tersebut, pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan, boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah.

Ketiga, Inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (atau LPPSA).

Keempat, penurunan kadar pembiayaan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada empat peratus kepada dua peratus.

Kelima, membenarkan penjawat awam yang kematian suami atau isteri untuk bekerja dari rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari cuti tanpa rekod tamat, mengikut tempoh yang bersesuaian.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh Kerajaan. Justeru, Kerajaan bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan Kerajaan.

33. Sementara menanti kajian Sistem Saraan yang baharu itu selesai, bersesuaian dengan kedudukan dan kewangan negara pada masa ini, sukacita saya mengumumkan:

Pertama: Menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak;

Kedua: Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi;

Ketiga: Perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam;

Keempat: Penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

Kerajaan telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022. Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini.

Kelima: Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awamGred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion. Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180; dan

Keenam: Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

Dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

34. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan.

35. Akhir kata, saya menyeru penjawat awam yang bersama saya pada hari ini, sama ada di dalam dewan mahu pun di luar, atau dalam talian untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia.

36. Insya-ALLAH, sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan Kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya, dan yang pasti penjawat awam tidak akan dilupakan kerana saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.’

37. Sekian, saya sudahi ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.