Kenyataan Media – NCIA Luluskan Pelaburan Sebanyak RM17.25 Bilion

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


NCIA LULUSKAN PELABURAN SEBANYAK RM17.25 BILION


Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Kali Ke-29.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak; YAB Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis; YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang; YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dan YB Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah.

Sejak Januari sehingga 31 Julai 2022, NCIA telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion yang akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

Ia sekaligus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

NCIA bersama-sama Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan.

Mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM). Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
18 OGOS 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.