Ucaptama YAB Perdana Menteri Sempena Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-35

UCAPTAMA
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERSIDANGAN MEJA BULAT ASIA-PASIFIK (APR) KE-35

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Profesor Madya Dr Hoang Anh Tuan, Naib Presiden, Akademi Diplomatik Vietnam dan Pengerusi Jaringan ASEAN-Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ASEAN-ISIS),

Encik Herizal Hazri, Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia,

Tuan-Tuan Yang Terutama, hadirin dan hadirat yang dihormati, tuan-tuan dan puan-puan,

1. Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik atau APR telah menjadi platform sesi dialog yang dinamik melibatkan topik-topik yang kompleks dan terkini yang berkaitan rantau Asia Pasifik, terutamanya di Asia Tenggara sejak 37 tahun lalu.

2. Ini merupakan kejayaan yang membanggakan dan saya berharap APR terus menjadi medan perbincangan yang penting terutamanya ketika suasana politik dunia yang tidak menentu.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pasca pandemik yang kompleks selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.

4. Di Eropah, misalnya kita menyaksikan konflik yang memberikan kesan amat dahsyat bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.

5. Berikutan itu, penting sekali bagi komuniti antarabangsa melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur.

6. Di Malaysia, kami menjadikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ untuk menjalin kerjasama yang inklusif; mementingkan kebersamaan dan bukannya perbezaan serta mengutamakan golongan yang paling memerlukan. Ternyata ia dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesaian yang lebih baik.

7. Justeru itu, saya juga menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat “keluarga dunia.” Tambahan pula, pandemik Covid-19 telah mengajar kita bahawa cabaran global yang berlaku dewasa ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau ‘silo’.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Cabaran yang dihadapi hari ini sebenarnya bukanlah baharu, malah dalam keasyikan mengejar pertumbuhan ekonomi, kita kadangkala terleka untuk memberikan perhatian terhadap banyak perkara berkaitan permasalahan global.

9. Disebabkan itu kita terpaksa berdepan dengan masalah- masalah yang sudah menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani.

10. Ini seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya kita menguruskan segera cabaran yang boleh mengakibatkan kesan buruk kepada generasi akan datang.

11. Isu perubahan iklim sudah berlarutan sekian lama dan masyarakat antarabangsa masih gagal mencapai kata sepakat untuk menanganinya sehingga menganggu keseimbangan alam semulajadi yang menjejaskan kelangsungan kegiatan harian manusia.

12. Penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa, serta penyahhutanan tanpa kawalan merupakan antara penyumbang peningkatan suhu global, diburukkan dengan ketidak-samarataan pembangunan ekonomi antarabangsa.

13. Negara-negara maju berupaya menggerakkan ekonomi melalui penggunaan teknologi moden yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, berbeza dengan negara membangun yang terbatas dari segi kemampuan teknologi dan modal.

14. Namun dalam usaha mencari keseimbangan ini, Malaysia tetap komited kepada sasaran untuk menjadi negara sifar bersih karbon seawal tahun 2050.

15. Melihat kepada skala krisis perubahan iklim, penyelesaian yang sepadan dan inovatif daripada sektor korporat amat diperlukan bagi mendepaninya bersama-sama kerajaan, terutamanya di negara-negara membangun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. Dunia kini melalui hari-hari yang kritikal akibat peningkatan konflik politik sejagat seperti di Myanmar, Wilayah Palestin dan terbaharu perang Rusia-Ukraine yang mencetuskan krisis kemanusiaan.

17. Malaysia menegaskan perperangan dan keganasan perlu dihentikan segera dan prinsip-prinsip dalam undang- undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) harus dipatuhi.

18. Masyarakat antarabangsa pernah bersatu teguh menangani masalah sejagat dengan memberi bantuan kemanusiaan, namun mereka masih dibelenggu isu ketidak samarataan dalam menangani krisis politik tertentu seperti dalam membantu pelarian dengan membezakan mereka “yang boleh diterima” dan juga sebaliknya.

19. Sehubungan itu, saya menggesa kita berpegang kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa yang inklusif dan mempunyai sikap perikemanusiaan sejagat serta tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan lalu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. ASEAN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamakan kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dalam menghadapi cabaran lalu dan juga yang mendatang.

21. Prinsip-prinsip asasnya seperti saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.

22. Sehubungan itu, ASEAN muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.

23. Untuk itu, ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala dan bahkan minilateral – dan juga kreativiti dan sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya.

24. Ketika persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menghasilkan cabaran yang tersendiri kepada rantau ini, ia tidak seharusnya memudaratkan.

25. Malah libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini, dengan syarat kita mampu melakukannya.

26. Dalam situasi sebegini, rantau ASEAN seharusnya bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak.

27. Keutuhan ASEAN akan memberikan kesan positif kepada kita dan disebabkan itu ia perlu terus kukuh dan produktif serta kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baharu di rantau ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

28. Kepentingan China di rantau ini tidak boleh dinafikan dan sejak 2009 negara itu kekal menjadi rakan dagang utama ASEAN. Pada 2020, ASEAN mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China.

29. Melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China, ASEAN berharap dapat mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing.

30. Dalam masa sama, ASEAN juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Amerika Syarikat berdasarkan rasa saling hormat- menghormati dan semangat setiakawan yang tinggi.

31. Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara dan diperkukuhkan, berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud.

Tuan-tuan dan puan-puan,

32. Walaupun kita berdepan dengan cabaran yang hebat, kita mesti terus cekal dan tabah serta sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, lestari dan saksama.

33. Saya yakin platform seperti APR ini tentu akan terus memainkan peranan penting dalam proses ini.

34. Dengan kata-kata itu dan lafaz BismillahiRahmanNirrahim, saya merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.